Debat Pertahankan Sistem Demokrasi

Sejak ahir-akhir ini, semakin banyak program debat diadakan untuk melaga-lagakan  pemimpin kerajaan dan pemimpin pembangkang. Hairan juga, tidak cukupkah mereka berdebat di Parlimen? Terbaru, kita telah menyaksikan debat di antara salah seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO iaitu Datuk Saifuddin Abdullah dengan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub manakala Prof. Datuk Mohamad Abu Bakar memainkan peranan sebagai moderator. Program yang bertajuk: Demonstrasi Jalanan : Meruntuhkan atau Mengukuhkan Demokrasi itu telah dianjurkan oleh Sinar Harian dan telah diadakan di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf.

Di dalam program itu, kedua-dua ahli panel telah mengemukakan hujah masing-masing untuk menyakinkan penonton tentang pendirian mereka terhadap isu demontrasi jalanan yang dilihat boleh meruntuhkan ataupun mengukuhkan demontrasi. Jika kita mengamati setiap hujah yang diberikan oleh kedua-duanya, tidak salah jika kita mengambil kesimpulan bahawa mereka begitu bersungguh-sungguh mempertahankan Sistem Demokrasi. Ia juga menunjukkan bahawa masing-masing pendebat tetap mahu berpaut kepada satu asas yang sama iaitu mempertahankan kesucian dan ketulenan demokrasi. Seolah-olah demokrasi itu adalah sesuatu yang ideal untuk digunapakai oleh manusia termasuk umat Islam. Ini menunjukkan betapa kuatnya racun demokrasi ke atas minda masyarakat hari ini sehinggakan umat Islam amnya dan khususnya ahli-ahli gerakan Islam yang lain seolah-olah telah ditipu oleh ‘nilai-nilai’ palsu demokrasi itu. Sedangkan hakikatnya demokrasi adalah suatu sistem pemerintahan yang merampas hak Allah SWT sebagai musyari’ (pembuat hukum) bagi alam, manusia  dan kehidupan ini. Di mana ahli-ahli parlimen dalam sistem pilihanraya demokasi yang dipilih pada hari ini akan bertindak untuk menentukan apakah sesuatu perkara yang akan dijadikan undang-undang itu boleh atau tidak untuk diterapkan. Semuanya itu adalah ditentukan oleh suara majoriti manusia. Sedangkan dalam Islam suara  majoriti itu tidak ada nilainya dalam menentukan apakah sesuatu perkara itu boleh atau tidak, halal atau haram, kerana hukum syara yang akan menentukannya. Justeru itu, siapapun yang lebih kuat hujahnya dalam debat tersebut, atau siapakah yang layak dinobatkan sebagai pemenangnya adalah sesuatu yang tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada Islam. Ini adalah kerana kedua-dua pihak dilihat terus bersungguh-sungguh mempertahankan demokrasi sedangkan demokrasi adalah sebuah sistem kufur yang  haram hukumnya bagi umat Islam itu mengambil, menerapkan  dan menyebarluaskannya. Faktanya, kerosakan dan kehancuran kehidupan manusia kesan daripada penerapan sistem demokrasi yang menguasai dunia pada hari ini adalah bukti empiris akan kegagalan sistem ciptaan manusia ini. Maka apakah layak bagi kita sebagai umat Islam untuk mengharapkan “kebaikan” dari demokrasi? Untuk itu siapaun pemenang debat tersebut tidak akan membawa apa-apa makna, kerana yang pastinya ketinggian Islam itu telah “direndahkan” oleh hujah-hujah pihak yang ingin memenangkan demokrasi. Amat buruk apa yang mereka lakukan. Bukalah minda kita dengan peringatan Allah SWT ini:

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ al-Mai’dah (5) : 50].

Sumber: Utusan Malaysia