SN584 – Mekanisme Islam Tangani Isu Melibatkan Penjawat Awam

SN584

14 Januari 2022 M / 11 Jamadil Akhir 1443 H

 

Isu Azam Baki telah menambahkan satu lagi senarai panjang kes berprofil tinggi negara, yang bilangannya kini sudah cukup mengerikan. Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) itu didakwa memiliki antara 1.9 juta hingga 2.9 juta saham dalam Gets Global Bhd pada 2015 dan 2016. Azam juga dikatakan memiliki 2.15 juta waran dalam Excel Force MSC Bhd, yang pada waktu itu beliau merupakan pengarah bahagian siasatan SPRM. Pemilikan saham itu menimbulkan persoalan sama ada ia sepadan dengan pendapatannya sebagai penjawat awam dan kemungkinan berlakunya konflik kepentingan. Azam bagaimana pun menafikan sebarang salah laku dan mengatakan adiknya menggunakan akaun perdagangannya untuk memperoleh saham tersebut. Beliau kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC). Dalam perkembangan yang sama, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Abu Zahar Ujang telah “membersihkan” Azam dari sebarang salah laku atau konflik kepentingan, yang kemudiannya disifatkan oleh enam anggota LPPR yang lain sebagai pendapat peribadi Abu Zahar dan mereka menegaskan bahawa itu bukan keputusan mesyuarat.

Sehubungan dengan apa yang berlaku, Azam Baki telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Lalitha Kunaratnam, selaku pemberi maklumat yang paling awal yang mendedahkan perkara ini. Azam menuntut gantirugi RM10 juta dan permohonan maaf daripada Lalitha. Azam bagaimana pun dikecam atas tindakannya ini kerana beliau pernah menegaskan sebelum ini bahawa SPRM adalah agensi yang menggunakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat supaya mereka dilindungi daripada segala ancaman. Ternyata dalam sistem hari ini pengadu tidak pernah selamat untuk membuat aduan, khususnya terhadap “ikan jerung” walaupun kononnya ada undang-undang yang melindungi mereka. Sautun Nahdhah kali ini akan membincangkan hak rakyat untuk membuat pengaduan terhadap penjawat awam, dan bagaimanakah mekanisme Islam menangani isu-isu yang melibatkan kakitangan awam.

Hak Membuat Aduan Dalam Islam

Sebagai sebuah agama yang sempurna yang mengatur urusan dunia dan akhirat, sudah pasti Islam mengatur hubungan antara sesama manusia dalam kesemua aspek, apatah lagi jika melibatkan kezaliman, penyelewengan atau salah laku kakitangan negara. Persoalannya, bagaimanakah rakyat ingin membuat pengaduan jika mereka dizalimi, atau jika mereka melihat salah laku, atau jika mereka ingin Khalifah menyiasat sesuatu isu yang melibatkan kakitangan negara?

Dalam Islam, pengaduan terhadap kakitangan negara boleh dilakukan secara langsung kepada ketua negara atau wakilnya. Rasulullah (saw) pernah memecat Amil baginda di Bahrain setelah menerima pengaduan dari delegasi kabilah Abdi Qais. Ibnu Saad menuturkan dari Muhammad bin Umar bahawa,

“Rasulullah pernah menulis surat kepada al-‘Ala’ bin al-Hadhrami untuk mengirim kepada baginda 20 orang dari kabilah Abdi Qais. Kemudian dikirimlah 20 orang yang dipimpin oleh Abdullah bin Auf al-Asyaj. Selama pemergiannya bersama 20 orang tersebut, al-‘Ala’ menjadikan al-Mundzir bin Sawa pemimpin sementara di Bahrain. Lalu, delegasi kabilah Abdi Qais itu mengadukan perihal al-‘Ala’ bin al-Hadhrami sehingga Rasulullah memecat beliau. Rasulullah kemudian mengangkat Aban bin Said al-‘Ash untuk menjadi Wali di Bahrain, dan berpesan kepada beliau, ‘Jagalah Abdi Qais dan muliakanlah para pemuka mereka” [Ibnu Saad, ath-Thabaqat].

Aduan boleh dilakukan bukan hanya kerana terdapatnya salah laku oleh kakitangan negara, malah jika terdapat ketidakpuasan hati terhadap tindakan pegawai yang berkenaan, aduan tetap boleh dibuat. Rasulullah (saw) pernah menegur Muaz bin Jabal (sewaktu menjadi Wali di Yemen) untuk memendekkan bacaan Al-Quran ketika menjadi Imam, hanya kerana terdapat aduan daripada salah seorang jemaah yang solat di belakangnya.

Umar al-Khattab semasa menjadi Khalifah sangat terkenal tegas dengan salah laku Wali (pemimpin yang memerintah di Wilayah) dan sering memecat mereka tanpa ragu apabila ada aduan. Umar pernah memecat Saad bin Abi Waqas kerana adanya aduan masyarakat terhadap Saad. Umar juga pernah didatangi oleh seorang Yahudi dari Mesir yang mengadu bahawa tanahnya telah dirampas oleh Amru al-Ash. Umar lalu mengambil sepotong tulang dan membuat satu garisan lurus dan membuat pangkah di tulang tersebut, dan seterusnya memerintahkan Yahudi tersebut memberikannya kepada Amru. Amru yang memahami teguran dan kiasan yang dibuat oleh Umar kemudiannya mengembalikan semula tanah tersebut kepada Yahudi tersebut.

Semua ini, dan sesungguhnya banyak lagi dalil lainnya yang menunjukkan bahawa rakyat berhak untuk mengemukakan aduan terhadap kakitangan negara, dan negara (pemerintah) wajib untuk bertindak di atas setiap aduan, dan tidak boleh sama sekali mengabaikannya. Dalil-dalil dengan jelas menunjukkan bahawa negara wajib bertindak ke atas orang yang diadukan, bukannya ke atas pengadu!

Mekanisme Tindakan

Dalam Islam, ketua negara (Khalifah) wajib memastikan seluruh kakitangan negara (penjawat awam) menjalankan tugas mereka dengan baik yakni mematuhi hukum syarak dan melayani kepentingan masyarakat. Ini kerana, tugas dan tanggungjawab kakitangan negara adalah sebagai organ pelaksana kepada segala undang-undang (hukum syarak) dalam melayani segala keperluan orang ramai. Justeru, dalam menjalankan tugasnya, kakitangan negara mesti mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi, apatah lagi di saat wujudnya konflik di antara keduanya. Tidak boleh (haram) sama sekali bagi kakitangan negara menggunakan jawatannya untuk meraih kepentingan peribadi.

Apabila ditelusuri af’al (tindakan) Rasulullah (saw) dan Khulafa’ ar-Rasyidin, tampak jelas bahawa Islam mempunyai mekanisme yang sempurna dalam menangani apa jua isu salah laku atau kerenah yang melibatkan kakitangan negara, antaranya:

Pertama: Dari awal, kakitangan negara seharusnya dilantik daripada kalangan mereka yang bertakwa dan kompeten. Ini dapat dilihat daripada tindakan Rasulullah (saw) tatkala melantik dan mengutus Muaz bin Jabal ke Yemen di mana baginda terlebih dahulu bertanya,

“Dengan apakah engkau akan memutuskan hukum?’ Muaz menjawab, ‘Aku akan memutuskan hukum dengan Kitabullah’. Rasul bertanya lagi, ‘Jika engkau tidak mendapatinya dalam Kitabullah?’. Muaz menjawab, ‘Dengan Sunnah Rasulullah’. Rasul bertanya lagi, ‘Jika engkau tidak mendapatinya dalam Sunnah?’ Muaz menjawab, ‘Aku akan berijtihad sesuai pendapatku’. Rasul kemudian bersabda, ‘Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan Rasulullah dengan apa yang diredhai oleh Rasulullah” [HR Ahmad].

Kedua: Pemantauan berterusan dan peringatan terhadap segala tindak-tanduk kakitangan negara dalam menjalankan tugas. Tidak cukup dengan kelayakan (competency), Khalifah wajib melakukan pemantauan dan pemerhatian yang teliti terhadap setiap tindakan kakitangan negara agar tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syarak seperti menerima hadiah semasa menjalankan tugas. Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa,

“Rasulullah (saw) pernah mengangkat seorang lelaki dari Bani Asad, yang dikenal dengan nama Ibnu Lutbiyah, sebagai Amil untuk mengurusi zakat di (perkampungan) Bani Sulaim. Ketika ia kembali kepada Rasulullah (saw), ia berkata, ‘Ini untukmu dan ini dihadiahkan orang untukku’. Lalu Rasulullah (saw). bangkit menuju mimbar…setelah memuji Allah (swt), baginda bersabda, ‘Tidak selayaknya seorang petugas yang kami utus lalu datang dan berkata, ‘Ini untukmu dan ini dihadiahkan orang untukku’. Mengapa tidak ia duduk sahaja di rumah bapa dan ibunya lalu memerhatikan apakah ia akan mendapat hadiah tersebut atau tidak….”

Ketiga: Melakukan “auditing” secara berkala. Umar pernah melantik Muhammad bin Maslamah untuk menyelidiki keadaan Wali yang dilantiknya serta mengaudit mereka. Umar mengumpulkan para Wali pada musim haji untuk bertanya apakah yang telah mereka lakukan. Dalam masa yang sama Umar mendengar keluhan-keluhan rakyat terhadap mereka.

Umar merupakan Khalifah yang terkenal tegas dan teliti mengaudit setiap Wali atau Amil yang dilantiknya. Beliau akan memeriksa harta pegawainya dari semasa ke semasa, dan tidak pernah ragu sedikit pun untuk merampas dan memasukkannya ke dalam Baitul Mal jika terdapat kelebihan yang tidak munasabah. Umar bukan sahaja mengaudit harta, malah tingkah laku dan akhlak para Wali dan Amil juga turut diaudit beliau. Kisah-kisah mengenai hal ini sungguh banyak dan sudah dimaklumi.

Diriwayatkan bahawa Umar, pada suatu ketika pernah berkata kepada orang-orang yang berada di sekitarnya,

“Bagaimana pendapat kalian jika aku mengangkat Amil bagi kalian dari orang yang terbaik yang aku ketahui, lalu aku perintahkan ia agar berlaku adil, apakah dengan itu aku telah menunaikan apa yang dibebankan kepadaku?’ Mereka menjawab, ‘Benar’. Umar berkata, ‘Tidak, sehingga aku menyelidiki tindakan-tindakan mereka, apakah mereka melakukannya sesuai dengan yang aku perintahkan atau tidak” [HR al-Baihaqi].

Meskipun sedemikian ketatnya auditing Umar terhadap para Wali, beliau tetap bersikap terbuka dan memelihara kemuliaan mereka. Umar sentiasa mendengar dan mengambil kira hujah-hujah mereka dan jika hujahnya memuaskan, beliau tidak menyembunyikan kepuasan hatinya atas hujah tersebut. Beliau pernah memuji Walinya di Hims, Umair bin Saad dengan katanya,

“Aku sangat senang mempunyai seseorang seperti Umair bin Saad, yang aku boleh bergantung padanya terhadap urusan kaum Muslimin” [Ibnu Saad, ath-Thabaqat].

Keempat: Mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk pemecatan. Perlu difahami bahawa melantik dan memecat Wali/Amil adalah hak ketua negara dan ia berhak memecat Wali/Amil tanpa apa-apa kesalahan atau sebab sekali pun. Umar pernah memberhentikan sejumlah Wali dan Amil kerana adanya kesalahan atas dasar syubhah (keraguan), tanpa bukti yang nyata. Beliau pernah ditanya tentang pemberhentian sejumlah Wali dan Amil tersebut, lalu beliau berkata,

“Perkara paling mudah untuk aku memperbetulkan keadaan ialah menggantikan seorang pemimpin dengan yang lain” [Ibnu Saad, ath-Thabaqat].

Selain mekanisme di atas, rakyat juga berhak mengadu tentang salah laku atau ketidaksenangan mereka terhadap kakitangan negara kepada Majlis Wilayah atau Majlis Umat, dua badan yang mempunyai fungsi syura, memberi input serta muhasabah terhadap Khalifah. Apabila aduan disampaikan kepada mana-mana badan ini, maka anggota kedua-dua Majlis tersebut wajib menyampaikannya kepada Khalifah, dan Khalifah hendaklah mendengar aduan dan pendapat mereka, serta mengambil tindakan terhadap kakitangan negara berdasarkan saranan mereka.

Selain itu, dalam Khilafah terdapat Mahkamah Madzalim yang akan sentiasa memerhatikan tingkah laku Khalifah dan kesemua kakitangan negara dalam menjalankan tanggungjawab, dan akan mengambil tindakan serta merta jika wujud kezaliman, kelalaian atau salah laku daripada mereka. Mahkamah Madzalim juga akan mendengar dan membicarakan setiap persengketaan yang melibatkan rakyat dan kakitangan negara, dan mempunyai bidang kuasa untuk memecat Khalifah dan mana-mana kakitangan negara dalam keadaan-keadaan tertentu.

Khatimah

Mekanisme Islam dalam menangani isu yang melibatkan kakitangan negara sangat jauh berbeza dengan mekanisme yang ada sekarang, yang penuh dengan ketidakadilan dan kelompangan. Segala salah laku, penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam kalangan penjawat awam hanya merupakan kesalahan-kesalahan cabang yang terhasil akibat “laluan mudah” yang tersedia dalam sistem demokrasi yang diterapkan pada hari ini. Kesalahan pokok ada pada pemerintah itu sendiri yang tidak menerapkan hukum Allah, sehingga perjalanan pemerintahan dan pentadbiran negara sangat jauh dari bi’ah (suasana) keIslaman, ketakwaan dan rahmat Allah. Apabila amanah pemerintahan yang merupakan amanah yang paling besar, pun dikhianati dengan begitu mudah oleh pemerintah, maka apatah lagi amanah-amanah lainnya oleh penjawat awam.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF