Mekanisme Sistem Islam Tangani Implikasi COVID-19 Terhadap Ekonomi (Siri 1)

Dalam penulisan terdahulu, penulis telah mengupas mengenai kepincangan solusi kapitalis dalam menangani implikasi penularan wabak COVID-19 terhadap ekonomi, termasuklah akibat pelaksanaan PKP yang kini telah dilanjutkan sehingga 14 April.

Kali ini, penulis ingin mengetengahkan prinsip utama Islam berhubung isu ini dan mekanisme yang terdapat dalam sistem Islam bagi menangani implikasi penularan wabak seperti COVID-19 terhadap ekonomi secara umumnya.

Penyelesaian kapitalisme rata-rata menjurus kepada suntikan rangsangan ekonomi yang berpaksikan polisi kewangan dan polisi fiskal. Namun, terdapat banyak kepincangan pada penyelesaian tersebut yang cenderung bersifat “stop-gap”. Dengan kata lain, ia hanya bertujuan untuk menutup lompang-lompang pada sistem kapitalisme yang sememangnya telah rosak itu.

Hal ini jauh berbeza dengan penyelesaian Islam yang menangani kemelut seperti ini dengan cara menyeluruh, di samping mempunyai objektif-objektif yang lebih jelas demi menjamin kesejahteraan umat manusia. Perlu difahami bahawa Islam mengatur kehidupan manusia dengan aturan yang sempurna, dan apabila berlaku krisis atau masalah, Islam turut menyediakan solusi yang berasal dari wahyu. Di sinilah juga kita perlu memahami bahawa objektif-objektif utama untuk menjaga masyarakat bukan ditentukan oleh manusia, akan tetapi berasal dari perintah-perintah Allah dan larangan-larangan-Nya. Oleh itu, melestarikan kewujudan manusia, menjaga akal, kehormatan, jiwa, pemilikan individu, agama, keamanan dan negara merupakan tujuan-tujuan utama yang ada dalam Islam sejak sekian lama, dan tidak akan pernah berubah. Dalam menjaga semua itu, Islam telah menetapkan hukuman yang tegas ke atas setiap pelanggaran.

Namun demikian, semua objektif itu hanya akan dapat dicapai melalui penerapan syariah secara menyeluruh, yang pasti dengan adanya sebuah institusi politik (negara) Islam iaitu Khilafah Rasyidah, selaku entiti yang akan menerapkan dan menjaga Islam itu sendiri.

Sungguhpun demikian, terdapat langkah-langkah yang mesti dilaksanakan meskipun dalam keadaan ketiadaan negara Khilafah. Langkah-langkah ini menuntut penguasa yang mempunyai autoriti agar melaksanakan amanah yang terpikul pada bahu mereka kerana mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Rasulullah (saw) bersabda,

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤول عَنْ رَعِيَّتِهِ، الإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْؤولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Setiap daripada kamu adalah pemelihara, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipelihara. Seorang pemimpin adalah pemelihara bagi rakyatnya, dan dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dia pelihara…” [HR Muslim].

Tanggungjawab Negara dalam Mengurus Kebajikan Rakyat

Pemenuhan Keperluan Asas (Basic Needs) – Makanan, Pakaian dan Tempat Tinggal

Dalam Islam, negara wajib menjamin keperluan asas (primer) setiap individu rakyatnya yang tidak berkemampuan yang merangkumi keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Sabda Rasulullah (saw),

“Aku lebih berhak atas kaum Muslimin dari diri mereka sendiri. Barangsiapa meninggal sedangkan dia masih memiliki tanggungan hutang, maka sayalah yang akan melunasinya. Dan barangsiapa masih meninggalkan harta warisan, maka harta tersebut untuk ahli warisnya” [HR Muslim].

Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa tanggungjawab di dalam memenuhi keperluan adalah terletak di bahu pemerintah. Rasulullah (saw) bukan bersabda atas kapasiti baginda sebagai seorang Rasul semata-mata, tetapi atas kapasiti sebagai pemerintah sebuah Negara. Ini jelas terlihat dengan sikap yang sama yang telah diambil oleh para Khulafa’ di sepanjang sejarah Islam dalam menangani masalah yang serupa.

Dalam situasi wabak Covid-19 ini, terdapat sebilangan rakyat yang terjejas sumber pendapatan mereka, seperti mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap, golongan peniaga kecil, penjaja dan lain-lain. Keadaan juga menjadi semakin buruk bagi golongan rentan (vulnerable) iaitu mereka yang sememangnya sudah hidup dalam kesusahan. Golongan sebegini termasuklah golongan fakir dan miskin, orang-orang gelandangan, pelarian yang berada di negara ini seperti Muslim Rohingya, serta warga yang tidak mempunyai dokumentasi pengenalan diri.

Maka, dalam situasi bencana ataupun wabak, negara wajib meletakkan keutamaan bagi memastikan keperluan-keperluan asas setiap individu di negara ini dipenuhi. Oleh itu, bantuan yang disampaikan hendaklah dilakukan secara bersasar (targeted). Bagi memastikan usaha ini mencapai objektifnya, negara perlu mewujudkan pangkalan data atau mengemaskininya (sekiranya sudah ada) bagi mengenalpasti mana-mana individu yang benar-benar memerlukan bantuan demi memenuhi keperluan primer mereka.

Walau bagaimanapun, perlu dijelaskan bahawa takrif kemiskinan yang disandarkan kepada jumlah pendapatan isi rumah seperti yang digunapakai sebelum ini bukanlah ukuran yang tepat.  Apatah lagi dalam situasi wabak dan kemelesetan ekonomi yang dijangka akan menyusul selepas ini. Islam sebaliknya meletakkan ketidakmampuan seseorang itu dalam memenuhi keperluan asas sebagai ukuran dalam menentukan status kemiskinan seseorang.

Oleh itu, negara seharusnya mengerahkan seluruh kekuatan untuk menangani hal ini, termasuklah untuk berkunjung dari rumah ke rumah bagi mendapatkan maklumat keperluan asas sekali gus menyalurkannya secara selamat dan tersusun. Urusan ini boleh dipermudahkan dengan mendapatkan kerjasama daripada wakil persatuan penduduk atau ketua-ketua kampung.

Mekanisme ini sebenarnya bukan sahaja perlu dilaksanakan semasa kecemasan seperti ini, malah ia perlu diteruskan walaupun setelah tamat tempoh PKP. Dengan kata lain, golongan rentan dan yang seumpamanya bukan hanya perlu dijaga semasa kecemasan sahaja, tetapi perlu diperhatikan pada setiap masa sehingga masalah ini dapat diselesaikan secara tuntas.

Negara tidak sewajarnya menunggu rakyat untuk datang menagih bantuan, sebaliknya para penjawat awam dari agensi-agensi berkenaan sepatutnya keluar mencari dan menyalurkan bantuan. Hal ini sebagaimana dilakukan oleh Saidina Umar yang keluar meninjau rakyatnya kerana khuatir ada yang tidak mendapat keperluan asas. Dalam era moden ini, aplikasi permohonan secara online juga boleh membantu memudahkan proses, namun perlu diambil perhatian bahawa tidak semua orang mempunyai kemudahan internet apatah lagi golongan-golongan rentan dan serba kekurangan.

Ekoran kemerosotan ekonomi dan kehilangan sumber pendapatan, selain keperluan kepada makanan, juga terdapat kemungkinan adanya pihak yang tidak berkemampuan untuk membayar sewa kediaman. Justeru, negara wajib memastikan mereka tidak diusir daripada kediaman masing-masing oleh tuan tanah dengan cara memberikan bantuan bagi membayar sewa, atau menyediakan rumah lain sekiranya mereka diusir. Tuan tanah pula sewajarnya bertimbang rasa dan tidak terlalu menekan penyewa yang tidak berkemampuan untuk membayar sewa buat sementara waktu sehingga kedudukan kewangan mereka kembali pulih.

Penyaluran bantuan dalam bentuk wang semata-mata tidak begitu membantu sekiranya rakyat sukar untuk mendapatkan akses kepada bekalan-bekalan makanan dan keperluan lain, lebih-lebih lagi bagi mereka yang diletakkan dalam perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) seperti di beberapa buah kampung di daerah Kluang, Johor yang berkuatkuasa dari 27 Mac sehingga 9 April.

Di sepanjang tempoh PKP ini, berlaku insiden bahan mentah makanan seperti sayur-sayuran dan ikan yang dibuang kerana tidak dapat dihantar ke pasar-pasar ekoran kawalan pergerakan. Dalam hal ini, negara sepatutnya mengambil langkah proaktif bagi memastikan bahan-bahan tersebut sampai ke pasaraya dengan menyediakan bantuan logistik atau setidak-tidaknya memberikan kelonggaran pergerakan bagi rangkaian penghantarannya. Sudah tentu tindakan tersebut dibuat tanpa mengabaikan protokol kesihatan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, meskipun buat masa ini kerajaan menjamin bekalan makanan adalah mencukupi, namun langkah proaktif perlu diambil bagi memastikannya tetap mencukupi pada masa akan datang. Justeru, negara perlu melaksanakan polisi intensif berhubung agromakanan termasuklah meningkatkan pengeluaran tanaman khususnya bagi tempoh tiga ke enam bulan akan datang.

Sehubungan itu, negara juga wajib memastikan tanah-tanah pertanian yang terbiar (al-mawat) diusahakan bagi meningkatkan lagi pengeluaran makanan domestik. Tanah-tanah tersebut hendaklah diserahkan kepada petani dan peladang bersama-sama insentif lain seperti bekalan baja dan peralatan pertanian. Sementara itu, keutamaan juga diberikan kepada kilang-kilang pemprosesan makanan yang berkhasiat untuk beroperasi bagi menjamin bekalan makanan yang berterusan demi memenuhi keperluan penduduk di negara ini.

Mekanisme dalam Sistem Islam

Dalam Islam, terdapat mekanisme khusus bagaimana semua pihak berperanan untuk membantu memastikan keperluan asas tersebut dipenuhi. Pertamanya, Islam mewajibkan seseorang itu untuk berusaha mencari rezeki bagi memenuhi nafkah dirinya dan tanggungannya. Sekiranya ia tidak berkemampuan bagi menafkahi dirinya dan tanggungannya, maka syarak mewajibkan pihak lain untuk memenuhi keperluan tersebut seperti ketetapan berikut:

1. Terlebih dahulu, kaum kerabat bertanggungjawab untuk memenuhi nafkah mereka yang tidak berkemampuan. Kerabat ini mestilah mereka yang mempunyai hubungan waris kepada yang memerlukan bantuan tersebut. Firman Allah (swt):

ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُودٌ لَهُ بِوَلَدِهِ ۚ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَٰلِكَ ۗ

“Kewajipan ayah memberi makan dan pakai kepada ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kemampuannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan ayah kerana anaknya, ahli waris pun berkewajipan demikian” [TMQ Al-Baqarah (2):233].  

Maksudnya, waris berkewajipan yang sama seperti seorang ayah untuk memenuhi keperluan asas waris lain yang memerlukan. Waris bermaksud orang yang berhak menuntut atau mendapatkan harta dalam hal faraid sekiranya seseorang meninggal.

2. Sekiranya individu tersebut tidak mempunyai kerabat atau waris, ataupun mereka tidak berkemampuan untuk menanggung nafkahnya, maka kewajipan tersebut berpindah kepada Baitul Mal (perbendaharaan negara), melalui bahagian agihan zakat. Rasulullah (saw) bersabda,

“Siapa sahaja yang meninggalkan harta, maka harta itu menjadi hak para ahli warisnya. Siapa sahaja yang meninggalkan ‘kalla’, maka ia menjadi kewajipan kami” [HR Muslim].

Kalla‘ merujuk orang yang lemah, yang tidak mempunyai anak mahupun orang tua yang hidup sebatang kara.

3. Jika bahagian zakat daripada Baitul Mal tidak mencukupi untuk menampung golongan fakir miskin, maka negara perlu menanggung mereka melalui dana yang lain. Dalam sistem Islam, Baitul Mal juga mempunyai bahagian lain yang berperanan khusus untuk menguruskan perbelanjaan berkaitan bencana, iaitu Diwan al-Thawari’ (darurat atau bencana alam). Diwan ini memberikan bantuan kepada rakyat tatkala wujud keadaan darurat/bencana mendadak seperti gempa bumi, taufan, kelaparan dan wabak seperti Covid-19.

4. Apabila tidak terdapat harta dalam kedua-dua Diwan tersebut, maka keperluannya dibiayai dari harta kaum Muslimin (samada dari sumbangan sukarela atau dharibah). FirmanAllah (swt):

وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ

“Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian” [TMQ al-Zariyat (51):19].

Dharibah adalah sejenis bayaran wajib yang dipungut di saat kecemasan sekiranya Baitul Mal tidak mencukupi, dan ia hanya dikutip daripada kaum Muslimin yang mempunyai kelebihan harta (yang kaya) bagi menghilangkan kecemasan tersebut.

Mekanisme ketiga dan keempat tidak wujud dalam sistem kapitalis yang diamalkan di negara ini. Bahkan kewujudan dan peranan “Baitulmal” yang ada pada hari ini adalah sangat terhad dan tidak seperti peranannya yang sebenar menurut sistem Islam. Malah kutipan dan pengagihan zakat juga tidak berlaku secara efisien kerana diuruskan secara ‘decentralized’ mengikut negeri-negeri.

Penjelasan yang lebih terperinci mengenai dharibah, Baitul Mal serta mekanisme lain yang terdapat dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran Islam bagi menyediakan suasana kondusif demi mengatasi implikasi bencana seperti wabak Covid-19 terhadap ekonomi akan dibincangkan dalam siri seterusnya yang merupakan siri terakhir dalam penulisan ini, Insya Allah.

Dr. Muhammad Fauzi

Rujukan:

  1. ‘Petani Cameron terpaksa buang beratus tan sayur’, Malaysiakini, 24/3/2020. Diakses pada 24/3/2020. https://m.malaysiakini.com/news/516627
  2. Bukan hanya sayur, nelayan juga terpaksa buang ikan, Malaysiakini, 26/3/2020. Diakses pada 26/3/2020. https://www.malaysiakini.com/news/516916
  3. Perintah Kawalan Pergerakan diperketatkan dilaksanakan di Johor, Bernama, 26/3/2020. Diakses pada 26/3/2020. https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1825441
  4. Kemiskinan dalam Islam: Mekanisma penyelesaian dan tadbir urus negara, Budiman Abu Miqdad, Hizbut Tahrir Malaysia, 1/2/2018. Diakses pada 24/3/2020. https://mykhilafah.com/kemiskinan-dalam-islam-mekanisma-penyelesaian-dan-tadbir-urus-negara/