SN586 – Perubahan Mendasar Hanya Dengan Jalan Taghyir, Bukan Islah

SN586

28 Januari 2022 M / 25 Jamadil Akhir 1443 H

 

Perhimpunan menuntut Azam Baki ditangkap tetap berjaya diadakan di sebalik halangan daripada pihak polis dan juga perintah mahkamah untuk pihak penganjur tidak meneruskannya. Perhimpunan ini jelas menunjukkan kesungguhan mereka yang terlibat dalam usaha “membersihkan” imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain menyampaikan mesej sikap double standard kerajaan dalam menangani kes-kes yang melibatkan rakyat dan pembesar negara. Tanpa mengambil kira political mileage yang ingin diraih, usaha, kesungguhan dan keberanian para demonstran ini wajar dipuji.

Bagaimana pun, ada beberapa persoalan yang seharusnya difikir dengan serius dalam isu-isu seperti ini seperti persoalan apakah sekiranya Azam Baki ditangkap atau meletakkan jawatan, maka penggantinya adalah lebih baik daripada beliau? Apakah jaminan yang ada bahawa peneraju baru SPRM merupakan seorang “Mr. Clean” yang akan membersihkan bukan sahaja SPRM, malah seluruh agensi kerajaan lainnya, daripada skandal rasuah dan penyelewengan yang telah mendarah daging di bumi Malaysia ini?

Kita telah melihat selama ini berapa banyak pihak yang mengadakan perhimpunan mendesak itu dan ini, lalu akhirnya apabila mereka berada dalam kerajaan, situasi mereka dua kali lima sahaja dengan orang yang mereka desak sebelumnya. Pihak yang sentiasa tertipu dengan “perjuangan” mereka ialah para pengikut mereka yang ikhlas, dan rakyat secara umumnya.

Sesungguhnya dengan pelbagai penderitaan yang dihadapi pada waktu ini, banyak pihak mendambakan sebuah perubahan, yang akan merubah kehidupan rakyat, dan negara ini kepada suatu keadaan yang benar-benar baik. Persoalannya, adakah dengan berubahnya nakhoda sesebuah kapal, sedangkan kapal tersebut sudah lama reput dan berlubang, maka situasi penumpang akan berubah menjadi lebih baik?

Kita telah melihat bagaimana Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat pada waktu itu, telah didesak habis-habisan untuk meletak jawatan, lalu beliau berundur dan diganti dengan Abdullah Ahmad Badawi. Namun ternyata masalah rakyat tetap tidak selesai. Pak Lah kemudian ditekan hebat untuk melepaskan jawatan, lalu berundur dan menyerahkan jawatan PM kepada Najib. Ternyata Najib tidak lebih baik daripada Mahathir dan Pak Lah, yang menatijahkan masalah rakyat dan negara bertambah buruk. Akhirnya Najib ditolak rakyat dan Mahathir kembali duduk di kerusi nombor satu sebelum berjaya “digulingkan” oleh Muhyiddin dan rakan-rakannya. Tidak lama kemudian, Muhyiddin pun turut tersungkur daripada kerusi empuk dan diganti pula dengan Ismail Sabri.

Begitulah yang terjadi secara berulang-ulang di Malaysia, di mana banyak pihak mendesak pemegang jawatan yang terlihat “korup” di mata rakyat agar melepaskan jawatannya. Apabila ia berlaku, lalu diganti oleh yang lain, ternyata penggantinya itu lebih buruk dari yang sebelumnya. Justeru, sudah tiba masanya untuk rakyat melihat dan menilai apakah dengan menukar wajah pemimpin, masalah rakyat dan negara akan selesai? Jika tidak, apakah yang seharusnya dilakukan oleh mereka yang menginginkan perubahan?

Kenapa Perubahan Gagal?

Rakyat negara ini telah menolak UMNO-BN secara besar-besaran dalam PRU-14 sehingga parti asobiyyah Melayu terbesar itu tumbang dengan penuh keaiban. Apa yang pasti, tsunami politik itu sebenarnya menunjukkan yang rakyat sangat menginginkan perubahan, setelah lebih 60 tahun hidup menderita di bawah parti yang penuh dengan kesombongan. Malangnya, setelah tampuk pemerintahan beralih ke tangan Pakatan Harapan (PH), perubahan yang didambakan itu tidak berlaku sehingga rakyat sebenarnya tertipu dengan manifesto yang ditawarkan oleh PH, yang kelihatan menarik, tetapi ternyata tidak lebih sebagai penarik undi sahaja.

Baik di bawah BN mahu pun PH, perubahan yang didambakan bukan sahaja gagal berlaku, malah nasib rakyat semakin buruk. Faktor dari kegagalan tersebut dapat dikembalikan kepada satu sebab yakni kerana perubahan yang terjadi tidak pada persoalan pokok atau dengan kata lain bukan pada akar permasalahan, tetapi hanya pada permukaan sahaja, yakni pada muka-muka pemimpin!

Padahal faktor utama kepada penderitaan rakyat, selain kerana pemimpin yang zalim, ialah kerana sistem yang batil yakni sistem kufur yang datangnya dari penjajah. Sejak diberi kemerdekaan palsu oleh British, penjajah kafir itu mewariskan sistem mereka ke bumi ini yang meliputi sistem pemerintahan, ekonomi, sosial, dasar pendidikan, dasar luar negeri dan termasuklah Perlembagaan serta undang-undang, semuanya “ditinggalkan” untuk diterapkan di negara ini setelah pemergian mereka. Inilah sistem, perlembagaan dan undang-undang yang kemudiannya dijaga dan dipertahankan mati-matian oleh kesemua pemimpin di Malaysia, siapa pun ia, termasuklah oleh gerakan Islam sekali pun.

Sejak merdeka hingga kini, perubahan yang terjadi hanyalah pada wajah pemimpin, bukan pada sistemnya. Padahal yang mengatur kehidupan manusia itu ialah sistem. Apabila buruk sistemnya, maka buruklah pengaturannya, walaupun pengaturnya seorang yang “baik”. Justeru, sehebat mana sekali pun usaha untuk melakukan perubahan, jika ia hanya usaha untuk merubah wajah pemimpin, ia akan terus menemui kegagalan. Ini kerana, masalah tersebut tidak ditangani daripada puncanya, tetapi hanya daripada simptomnya.

Taghyir Sebagai Jalan Perubahan

Dalam usaha melakukan perubahan, kita tidak boleh lari daripada dua istilah/cara iaitu islah (pembaikan) dan taghyir (perubahan total). Islah adalah perubahan yang menyangkut perkara furu’ (cabang) dan bersifat juz’i (sebahagian), bukan pada asasnya, dan tidak menyeluruh. Asas yang ada dibiarkan yakni tidak diubah dan tetap diakui serta dipertahankan. Manakala taghyir merupakan perubahan yang bersifat menyeluruh dari akar sehinggalah ke ranting-rantingnya. Asas yang sedia ada tidak lagi diakui dan dicabut serta diganti dengan asas yang baru, yang melahirkan pula cabang-cabang dan ranting-ranting yang baru.

Siapa pun, apatah lagi gerakan Islam, yang ingin melakukan perubahan hendaklah melihat dan menanggapi perkara ini dengan serius. Ini kerana, ia bukan sahaja melibatkan persoalan benar-salah dalam perjuangan, tetapi juga menjadi asbab kepada keberhasilan serta dosa-pahala. Kesalahan memilih jalan islah atau taghyir juga menyebabkan kesalahan fatal dalam memberikan penyelesaian kepada setiap masalah.

Dalam Islam memang terdapat penyelesaian yang bersifat islah, ketika faktanya memerlukan islah dan juga yang bersifat taghyir ketika faktanya memerlukan taghyir. Begitu juga dengan aktiviti dakwah, yang ada kalanya memerlukan islah dan ada kalanya memerlukan taghyir bergantung kepada suasana dan faktanya. Contohnya, jika ingin mendakwahkan seorang Muslim yang telah terpengaruh dengan tsaqafah Barat, maka yang harus dilakukan ialah islah terhadap pemikiran-pemikirannya. Namun, jika ingin mendakwahkan seorang kafir untuk memeluk Islam, maka yang harus dilakukan ialah taghyir, yakni dengan merubah total akidahnya dan segala pemikiran kufur yang ada padanya.

Begitu juga jika ingin memperbaiki Daulah Khilafah di saat kemundurannya ketika telah dimasuki oleh tsaqafah dan pengaruh Barat, maka yang harus dilakukan ialah islah, kerana asas negara masih lagi benar iaitu berasaskan akidah Islam. Namun setelah kehancuran Khilafah, dan yang tinggal hanyalah negara-negara sekular yang berdiri atas asas nasionalisme sebagaimana hari ini, maka yang harus dilakukan ialah taghyir iaitu merubah secara total akan asas dan segala sistem serta perundangan negara, agar kembali menjadi negara Islam (Khilafah) yang berdiri atas asas akidah Islam dan melaksanakan hukum Islam secara kaffah.

Inilah realiti dan hukum yang harus difahami oleh umat Islam. Selama ini segala macam usaha telah dilakukan oleh banyak pihak untuk merubah nasib rakyat dan negara ini ke arah kebaikan, namun tidak pernah berhasil. Sebabnya boleh dikembalikan kepada satu faktor – kerana telah tersalah dalam mengambil penyelesaian. Masalah yang seharusnya diselesaikan dengan cara taghyir tetapi telah diambil penyelesaian secara islah, maka masalahnya tidak pernah selesai, kerana jalannya yang salah.

Atas dasar itu, umat Islam di negara ini seharusnya sedar bagaimanakah caranya jika ingin melakukan perubahan mendasar terhadap nasib mereka dan juga terhadap negara ini. Umat Islam seharusnya telah belajar dan mengambil iktibar daripada ‘kejayaan’ mereka menukar pemimpin dan kerajaan pada PRU-14, tetapi hakikatnya perubahan yang didambakan tidak kunjung tiba. Ini kerana asasnya tidak ditaghyir, sistem kufurnya tidak ditaghyir, maka bagaimana mungkin perubahan mendasar akan dapat dikecapi?

Meneladani Rasulullah (saw)

Rasulullah (saw) merupakan teladan kita dalam segenap perkara, termasuklah dalam melakukan perubahan dan mendirikan negara. Maka tidak boleh tidak, kita wajib mencontohi baginda apabila kita berbicara mengenai perubahan. Malah baginda merupakan sosok agung yang telah menunjukkan jalan perubahan, dan berjaya dengan gilang gemilang dalam melakukan perubahan. Inilah sebenar-benar contoh dan teladan yang wajib kita ikuti.

Rasulullah (saw) telah berusaha untuk melakukan perubahan yang mendasar (taghyir) di Kota Makkah, dengan jalan yang diperintahkan oleh Allah (swt). Asas kepada seruan perubahan itu ialah akidah Islam. Baginda menyeru manusia dengan kalimah La ilaha illallah Muhammad Rasulullah sebagai asas perubahan dan kebangkitan. Setiap orang yang menyahut kalimah tersebut kemudiannya diajar dengan Islam sehingga terbentuk akidah dan syakhsiyyah Islamiyyah yang kukuh dalam diri mereka.

Perlu difahami bahawa kerosakan yang terjadi di Makkah saat itu adalah kerosakan sistemik, yakni sebuah kerosakan yang menyeluruh yang terhasil daripada sistem (Jahiliah) yang diamalkan. Penyembahan berhala, sihir, menilik nasib, pembunuhan anak perempuan, perlecehan kepada kaum wanita, perzinaan, perjudian, meminum arak, menipu timbangan dan banyak lagi, semuanya telah menjadi lumrah dalam masyarakat kerana dibenarkan oleh sistem. Semua kerosakan inilah yang cuba diubah (taghyir) oleh Rasulullah, kerana jalannya bukanlah islah lagi. Kerosakannya datang dari akar dan tertancap kuat dalam masyarakat dan negara.

Oleh kerana manusianya kafir, dan sistem yang diamalkan ialah sistem kufur, maka Rasulullah berusaha untuk menukar (taghyir) manusia daripada kafir kepada Islam, dan dalam masa yang sama berusaha menukar keadaan masyarakat agar menjadi masyarakat yang Islami, serta berusaha menukar negara (Makkah) kepada negara Islam, yakni sebuah negara baru yang dibina atas asas akidah Islam. Walaupun tidak berjaya merubah sistem bermasyarakat dan bernegara kepada Islam (di Makkah) tetapi Allah (swt) mengurniakan kejayaan tersebut di Madinah, sehingga terwujudlah masyarakat dan negara Islam. Apa yang pasti, Rasulullah (saw) telah melakukan proses taghyir terhadap semua perkara itu kerana fakta dan hukumnya memerlukannya sedemikian.

Sesungguhnya fakta kita sekarang tidak jauh bezanya dengan fakta di zaman Rasulullah dari sudut kerosakannya. Malah kerosakan yang berlaku dalam masyarakat dan negara sekarang jauh lebih buruk berbanding apa yang berlaku di zaman Rasulullah. Walaupun individunya Muslim, tetapi masyarakat dan negara ini sudah terlalu jauh daripada Islam. Ya individunya boleh diislah kerana akidahnya masih benar (Islam), tetapi masyarakat dan negara perlu ditaghyir. Tidak ada cara lain lagi jika kita ingin melakukan perubahan mendasar, yakni perubahan kepada Islam, kecuali dengan jalan taghyir keseluruhan sistem sehingga terwujud masyarakat dan negara Islam seperti di Madinah yang menerapkan Islam secara kaffah.

Sedarlah bahawa apa jua usaha islah yang cuba dilakukan di Malaysia, tanpa mentaghyir asasnya, maka sudah pasti akan berakhir dengan kegagalan demi kegagalan sebagaimana yang kita sedang saksikan. Kita kena ingat bahawa dalam sistem sekarang, satu “Azam Baki” boleh berundur, tetapi selagi sistem kapitalismenya tidak ditukar, maka ia dengan mudah akan melahirkan seratus “Azam Baki” yang lain, yang semuanya sedang berada dalam senarai menunggu.

Khatimah

Rosaknya negeri-negeri kaum Muslimin, termasuklah Malaysia saat ini adalah daripada akarnya sehinggalah ke ranting-rantingnya, yang sudah tidak boleh diperbaiki lagi dengan cara islah tetapi wajib dilakukan taghyir. Negara ini dan kesemua sistemnya mesti dibina semula atas asas akidah Islam, yang daripada akidah inilah akan terpancar segala hukum-hakam (syariat) yang akan menaungi negara ini dengan penuh keadilan dan keberkatan. Inilah satu-satunya cara dan tidak ada cara lain lagi.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF