SN587 – Islam Kaffah Hanya Terealisasi Di Bawah Khilafah

SN587

04 Februari 2022 M / 03 Rejab 1443 H

 

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kalian agama kalian (Islam), dan telah Aku lengkapkan atas kalian nikmat-Ku dan telah Aku redhai Islam sebagai agama buat kalian” [TMQ al-Ma’idah (5): 3].

Turunnya ayat ini menandakan lengkap dan sempurnanya Deen al-Islam yang diturunkan oleh Allah (swt) kepada Nabi Muhammad (saw). Lengkapnya Islam itu meliputi seluruh aspek kehidupan yang merangkumi persoalan akidah dan syariat untuk manusia menjalani kehidupan di dunia yang fana ini dalam rangka menuju kehidupan abadi di akhirat. Lengkapnya Islam itu bermaksud tidak ada satu pun persoalan yang dihadapi oleh manusia yang tidak diurus atau tidak boleh diselesaikan oleh Islam.

Telah terbukti di sepanjang sejarah keemasan Islam bagaimana Islam telah berjaya menyelesaikan segala persoalan manusia, dan umat Islam mengecapi kemanisan dan keindahan Islam tatkala ia diterapkan secara kaffah (menyeluruh) ke atas mereka oleh negara. Penerapan Islam secara kaffah ini telah berlangsung sejak berdirinya Daulah Islam yang pertama di Madinah sehinggalah ke abad 18 apabila Daulah Khilafah mulai melemah di mana pengaruh serta undang-undang Barat mulai meresap ke tubuh Khilafah sehinggalah kejatuhannya pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924). Rajab tahun ini menandakan lebih dari satu abad runtuhnya Khilafah yang sekali gus bermaksud runtuhnya Islam Kaffah dalam kehidupan kaum Muslimin.

Perintah Untuk Masuk Islam Secara Kaffah

Menerapkan Islam secara kaffah merupakan perintah Allah (swt) ke atas kita semua. Firman-Nya,

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam Islam secara kaffah, dan janganlah kalian mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu merupakan musuh yang nyata bagi kalian” [TMQ al-Baqarah (2): 208].

Menurut Imam al-Qurthubi, kata “kaffah” di dalam ayat tersebut berfungsi sebagai hal (penjelasan keadaan) dari kata “al-silmi” (Islam) [Tafsir al-Qurthubi, III/18]. Ertinya, melalui ayat ini Allah (swt) menuntut orang-orang yang memeluk Islam untuk masuk ke dalam Islam secara keseluruhan, bukan sebahagian. Dengan kata lain, mereka tidak boleh memilih hukum Islam mana untuk diamalkan, kecuali wajib diamalkan semuanya.

Pemahaman ini diperkuat dengan asbab an-nuzul (sebab penurunan) ayat ini yang mana menurut Imam al-Baghawi, ia adalah berkaitan dengan masuk Islamnya seorang Ahli Kitab Yahudi Bani Nadhir bernama Abdullah bin Salam bersama teman-temannya. Namun, setelah memeluk Islam, mereka tetap menganggap mulia hari Sabtu dan tidak mahu memakan daging unta. Mereka berkata kepada Rasulullah (saw), “Wahai Rasulullah, bukankah Taurat itu merupakan Kitabullah? Kerana itu, izinkanlah kami untuk tetap membaca Taurat dalam solat-solat malam kami.” Lalu turunlah ayat ini sebagai jawapan atas mereka [Tafsir al-Baghawi, I/240].

Menurut Imam ath-Thabari, dalam ayat ini kaum Mukminin diseru untuk menolak semua hal yang bukan berasal dari hukum Islam; wajib melaksanakan seluruh syariah Islam; dan menjauhkan diri dari usaha-usaha untuk melenyapkan sesuatu yang merupakan sebahagian dari hukum-hukum Islam [Tafsir ath-Thabari, II/337]. Imam Ibnu Katsir pula menjelaskan, “Allah menyeru para hamba-Nya yang beriman kepada-Nya serta membenarkan Rasul-Nya untuk mengambil seluruh ajaran dan syariah Islam; melaksanakan seluruh perintah-Nya dan meninggalkan seluruh larangan-Nya semampu mereka” [Ibn Katsir, I/335].

Perintah untuk mengamalkan dan menerapkan Islam secara kaffah itu diperkuatkan lagi dengan banyak ayat di dalam al-Quran, antara lain firman-Nya,

“Apakah kalian beriman dengan sebahagian al-Kitab dan mengkufuri (mengingkari) sebahagian yang lain? Tidaklah balasan bagi orang yang berbuat demikian di antara kalian melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada Hari Kiamat nanti mereka akan dikembalikan kepada azab yang pedih. Allah sekali-kali tidak lalai dari apa yang kalian kerjakan” [TMQ al-Baqarah (2): 85].

Manakala dalam ayat lain Allah (swt) menyifatkan mereka yang tidak berhukum dengan apa yang Dia turunkan sebagai zalim, fasiq dan kafir (apabila mengingkarinya).

Realitinya, sejak runtuhnya Khilafah hingga kini, penguasa sekular di negeri-negeri kaum Muslimin yang rata-ratanya merupakan ejen Barat, telah mencampakkan hukum Allah dengan sewenang-wenangnya daripada pemerintahan mereka. Islam kaffah sudah hilang daripada kehidupan umat Islam dan yang tinggal hanyalah secebis Islam yang diamalkan dalam aspek ibadat, munakahat (perkahwinan), harta pusaka, doa di majlis-majlis dan sebagainya.

Maksud Islam Kaffah

Selain perlu memahami kewajipan untuk mengamalkan dan menerapkan Islam secara kaffah, amat penting juga untuk mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan “Islam kaffah” tersebut. Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani (rahimahullah) telah memberikan definisi Islam yang komprehensif dan sistematik yang memudahkan untuk kita memahami sejauh manakah cakupan Islam sehingga kita dapat memahami kesempurnaan Islam sebagaimana seharusnya.

Menurut pendiri Hizbut Tahrir itu, “Islam adalah agama yang diturunkan Allah (swt) kepada Nabi Muhammad (saw), untuk mengatur hubungan manusia dengan al-Khaliq (Pencipta)nya, dengan dirinya sendiri dan dengan sesama manusia. Hubungan manusia dengan al-Khaliq merangkumi persoalan akidah dan ibadah; hubungan manusia dengan dirinya sendiri merangkumi persoalan akhlak, makanan dan pakaian; hubungan manusia dengan sesamanya merangkumi persoalan muamalat dan uqubat” [Taqiyuddin an-Nabhani, Nidzamul Islam].

Secara garis kasarnya, Islam mengatur tiga hubungan:

(1) Hubungan manusia dengan al-Khaliq = Akidah dan Ibadah:

Akidah mencakupi persoalan rukun iman iaitu percaya (beriman) kepada Allah sebagai Tuhan yang Esa, beriman kepada malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, hari kiamat serta beriman kepada al-qadha’ wal qadar. Selain itu, persoalan akidah turut mencakupi segala perkara ghaib seperti dosa dan pahala, padang Mahsyar, syurga dan neraka, nikmat dan azab, dan sebagainya.

Ada pun ibadat, ia mencakupi persoalan seperti solat, puasa di bulan Ramadhan, zakat, haji, dakwah, jihad dan termasuk semua ibadat yang bersifat sunat seperti solat sunat, puasa sunat, bersedekah, doa, membaca al-Quran, berkorban pada Eidul Adha, ziarah orang sakit, ziarah kubur, berbuat baik dengan jiran tetangga dan banyak lagi.

(2) Hubungan manusia dengan dirinya sendiri = Akhlak, Makanan dan Pakaian:

Akhlak adalah sebahagian daripada syariat Islam, kerana ia merupakan sebahagian daripada perintah dan larangan Allah (swt). Akhlak adalah amalan yang bersifat individual yang “melekat” pada diri seseorang ketika melakukan sesuatu perbuatan. Syarak telah menjelaskan sifat-sifat yang dianggap sebagai akhlak yang baik dan sifat-sifat yang dianggap sebagai akhlak buruk, yang kesemuanya menjadi hukum syarak ke atas setiap Muslim tatkala melakukan perbuatan.

Islam juga telah menjelaskan secara terperinci mengenai hukum pemakanan yakni dari sudut halal dan haramnya. Islam menuntut penganutnya tidak sahaja memakan yang halal, malah yang baik-baik. Begitu juga dengan pemakaian di mana Islam mengatur cara umatnya berbusana dengan membezakan aurat lelaki dan wanita, selain membezakan cara berpakaian ketika berada di dalam hayatul khas (dalam rumah) dan hayatul am (di luar rumah).

(3) Hubungan manusia dengan sesama manusia = Muamalat dan Uqubat:

Muamalat merupakan cakupan yang terluas di dalam Islam. Muamalat sesama manusia diatur oleh Islam melalui sistem pemerintahan, sistem ekonomi, sistem pergaulan, polisi pendidikan dan polisi luar negeri. Kelima-lima sistem dan polisi ini mengatur kehidupan rakyat dan negara secara sempurna.

Manakala uqubat (hukuman) dalam Islam pula terdiri daripada empat kategori iaitu hudud, jinayat, ta’zir dan mukhalafat. Hudud adalah hukuman ke atas kemaksiatan yang telah ditetapkan kadarnya oleh al-Quran dan as-Sunnah, dan terdapat hak Allah di dalamnya. Ertinya tidak ada pengampunan daripada manusia terhadap kesalahan hudud, atau dengan kata lain hukuman Allah wajib dijalankan tanpa pilihan. Kesalahan hudud merangkumi zina, liwat, qadzaf, khamr, sariqah, murtad dan hirabah (termasuk bughat).

Jinayat adalah hukuman yang dijatuhkan ke atas tindakan penyerangan atau penganiayaan terhadap nyawa atau badan yang mewajibkan qisas atau diyat, dan terdapat hak manusia di dalamnya. Ertinya sohibul haq (pemilik hak) boleh memberikan pengampunan, atau dengan kata lain boleh memilih untuk menggugurkan haknya.

Ada pun ta’zir adalah hukuman yang ditetapkan atas tindakan kemaksiatan yang di dalamnya tidak ada had dan kifarat. Bentuk hukuman ke atas setiap kesalahan ta’zir tidak ditetapkan secara spesifik oleh syarak. Ia bergantung kepada ijtihad qadhi (hakim) dalam membuat keputusan, berdasarkan berat-ringan kesalahan yang dilakukan. Bagaimana pun, qadhi tidak boleh “mereka-reka” hukuman sendiri di luar syarak.

Adapun mukhalafat adalah hukuman yang dijatuhkan oleh penguasa kepada orang yang melanggar perintah penguasa – baik Khalifah, Mu’awin, Wali atau Amil. Sebagaimana ta’zir, syarak juga tidak menetapkan jenis hukuman tertentu bagi kesalahan melanggar perintah penguasa ini. Oleh itu, penguasa memiliki solahiyyah (autoriti) untuk menjatuhkan hukuman yang telah diberikan oleh syarak kepadanya, sesuai dengan pendapat dan ijtihadnya.

Inilah gambaran ringkas mengenai kesempurnaan Deen al-Islam yang mencakupi seluruh aspek kehidupan, yang bersumber daripada al-Quran dan as-Sunnah. Sempurnanya Islam itu bermaksud kita sudah tidak memerlukan ajaran mahu pun peraturan dari mana-mana orang, apatah lagi orang kafir dalam mengurus kehidupan ini. Kita tidak memerlukan ajaran Darwin, Aristotle, Karl Marx, Confucius, Montesquieu, Thomas Hobbes, John Locke, Adam Smith, David Ricardo, Keynes dan lain-lain untuk mengatur kehidupan kita.

Penerapan Islam Kaffah Memerlukan Khilafah

Setelah lebih seratus tahun runtuhnya Khilafah dan negara kaum Muslimin terpecah-belah kepada lebih 50 buah, tidak ada satu pun negara yang menerapkan Islam secara kaffah. Malah, tidak ada kehendak mahu pun keazaman politik oleh mana-mana penguasa Muslim untuk menerapkan Islam secara kaffah sedangkan ia merupakan perintah Allah yang sangat jelas di dalam al-Quran. Atas dasar itu, umat ini sudah tidak boleh menaruh harapan lagi kepada penguasa mereka untuk menerapkan Islam secara kaffah, walaupun kewajipan muhasabah tetap terbeban di bahu umat.

Justeru, untuk merealisasikan penerapan Islam secara kaffah, tidak ada cara lain lagi kecuali dengan berusaha menegakkan kembali Khilafah, institusi yang dahulunya telah terbukti menerapkan Islam secara kaffah, malah institusi yang wajib secara syarie untuk didirikan. Tanpa Khilafah, kita telah dan sedang menyaksikan berapa banyak syariat Allah (swt) yang telah ditelantarkan oleh para penguasa kaum Muslimin.

Penerapan Islam Kaffah sesungguhnya memerlukan Khilafah. Para Ulama muktabar telah pun menjelaskan hal ini, sebagaimana ungkapan Imam Abu Zakaria an-Nawawi (rahimahullah) dalam Raudhah at-Thalibin wa Umdat al-Muftin, “Umat Islam wajib memiliki seorang imam (Khalifah) yang bertugas menegakkan agama, menolong Sunnah, membela orang yang dizalimi serta menunaikan hak dan menempatkan hak itu pada tempatnya”.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya menegakkan kembali Khilafah merupakan sebuah kewajipan yang terbeban di bahu kita semua. Kewajipan ini tidak akan terlaksana tanpa sokongan dan penyertaan serta usaha yang sungguh-sungguh dari kita semua. Atas dasar itu, Hizbut Tahrir sebagai sebuah parti politik Islam antarabangsa yang berjuang siang dan malam untuk mengembalikan semula kehidupan Islam secara kaffah, menyeru kalian untuk kita sama-sama berganding bahu bagi melaksanakan kewajipan ini. Ingatlah bahawa Islam Kaffah tidak akan sama sekali terealisasi, kecuali di bawah Khilafah.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF