SN596 – Lompat Parti: Salahnya Di Mana?

SN596

08 April 2022 M / 07 Ramadhan 1443 H

 

Setelah agak lama diperbincangkan dan dipersetujui untuk dibentangkan, Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan (RUU) Anti Lompat Parti dijadualkan akan dibentangkan di Parlimen pada 11 April nanti. Pimpinan utama blok pembangkang telah pun mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri beberapa hari lepas dan dilaporkan memberi jaminan yang kesemua 90 ahli parlimen mereka akan menyokong RUU tersebut. RUU ini disifatkan sebagai bersejarah kerana ia mendapat persetujuan sepenuhnya daripada kedua-dua blok kerajaan dan juga pembangkang. Walaupun terdapat sedikit perbezaan pendapat mengenai takrif “lompat parti” oleh parti-parti yang terlibat, ia dilihat sebagai persoalan kecil sahaja, kerana pada asasnya kesemua mereka telah sepakat terhadap RUU tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah memberi penjelasan sebelumnya bahawa berdasarkan draf RUU tersebut, terdapat tiga pengertian utama “lompat parti” iaitu (i) mana-mana ahli Parlimen yang menang dalam sesuatu pilihan raya kemudian mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas atau menyertai parti politik lain, (ii) mana-mana ahli Parlimen yang memenangi sesebuah kerusi¸ tetapi kemudian dipecat oleh partinya, (iii) mana-mana ahli Parlimen Bebas yang memenangi sesebuah kerusi, kemudian menyertai sesebuah parti. Bagaimana pun jelas Junaidi terdapat beberapa pengecualian seperti dalam keadaan sesebuah parti politik yang terbubar dengan sendirinya, atau seseorang ahli Parlimen dilantik menjadi Speaker Dewan Rakyat atau Dewan Negara, atau berlaku penggabungan antara parti-parti politik. Menurut Junaidi lagi, mana-mana ahli Parlimen yang terbukti telah melompat parti, maka keahliannya terbatal dan satu pilihan raya akan diadakan bagi mengisi tempatnya.

RUU Bagi Menjaga Status Quo

Apabila RUU ini diluluskan nanti, ia bakal menjadi sebuah sejarah demokrasi yang sangat aneh dan melucukan. Kenapa? Kerana para pemain demokrasi sebenarnya telah bersetuju untuk menafikan hak demokratiknya sendiri, yang mereka perjuangkan sejak sekian lama! Bukankah menjadi ahli dalam mana-mana parti politik merupakan sebuah hak demokratik setiap orang, sebagaimana hak untuk keluar daripada mana-mana parti politik? Bukankah hal ini dijamin oleh demokrasi?

Kerajaan dan pembangkang yang bersetuju dengan RUU ini memberikan alasan bahawa RUU ini perlu bagi menjaga kestabilan negara, khususnya setelah mereka melihat bagaimana negara menjadi cacamarba sejak Langkah Sheraton. Persoalannya, siapakah yang telah menyebabkan negara ini menjadi seperti kartun, jika bukan mereka sendiri? Kini mereka kononnya cuba untuk memperbaiki kerosakan yang mereka sendiri timbulkan. Persoalan seterusnya ialah apakah situasi negara dan rakyat akan menjadi lebih baik melalui tangan orang-orang yang telah terbukti melakukan kerosakan demi kerosakan sebelum ini?

Setakat yang dilaporkan, RUU Anti Lompat Parti tidak merangkumi ahli Dewan Negeri (DUN), kerana ia hanya memfokuskan kepada ahli Parlimen. Jika benar, ini bermakna para penggubal undang-undang ini sebenarnya tidak kisah sekiranya kerajaan negeri menjadi cacamarba, kerana mereka hanya mengambil peduli mengenai kestabilan kerajaan Persekutuan. Realitinya, sudah banyak negeri yang menjadi seperti kartun setelah berlakunya lompat parti. Bagaimana mungkin mereka boleh mengabaikan kestabilan politik negeri dan hanya mementingkan kestabilan politik di peringat Persekutuan? Memang aneh dan lucu cara berfikir mereka ini.

RUU ini memperkuatkan lagi bukti yang selama ini telah pun terbukti dengan pasti iaitu “wakil rakyat” sebenarnya dan secara hakikatnya hanyalah “wakil parti”. Jika mereka ini benar merupakan wakil rakyat, maka tidak ada keperluan pun untuk menggubal RUU ini kerana apa pun parti mereka, mereka tetap berkhidmat kepada rakyat, bukan kepada parti. Parti hanyalah wadah semata-mata, kerana tugas dan tanggungjawab mereka ialah terhadap rakyat (yang mereka wakili). Justeru, jika ahli Parlimen ini benar-benar mewakili rakyat, membawa suara dan masalah rakyat ke Parlimen, merealisasikan aspirasi rakyat, berjuang untuk rakyat dan “mengabdikan” diri mereka kepada rakyat, maka parti mana sekali pun yang mereka berada atau yang mereka lompat, ia tidak akan membawa sebarang masalah kepada rakyat mahu pun negara.

Namun sayangnya realitinya tidaklah begitu, kerana “wakil rakyat” ini sebenarnya berkhidmat untuk parti, membawa suara dan masalah parti ke Parlimen, merealisasikan aspirasi parti, melakukan pembahasan, menggubal undang-undang dan mengundi untuk kepentingan parti, berjuang untuk parti dan “mengabdikan” diri kepada parti. Lebih parah, mereka (dan parti mereka) sebenarnya “berkhidmat” kepada para Kapitalis yang telah mendanai mereka semasa pilihan raya. Segala polisi dan undang-undang dalam negara akan dibuat bagi menjaga para Kapitalis ini. Inilah hakikat “wakil rakyat” dalam sistem demokrasi.

RUU Anti Lompat Parti ini juga sebenarnya akan mendatangkan masalah lain apabila kita berbicara mengenai pilihan raya. Ini kerana, berdasarkan draf yang dimaklumkan, Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan setiap kali ahli Parlimen melompat parti. Umum sudah mengetahui bahawa kos untuk sesebuah PRK bukanlah murah dan sering menelan belanja puluhan juta ringgit. Ahli Parlimen yang lompat parti peduli apa dengan semua kos ini kerana ia datangnya daripada duit rakyat, bukan daripada poket mereka. Tambahan lagi, akan sentiasa ada Kapitalis di belakang mereka yang akan mendanai kempen mereka dalam setiap PRK yang diadakan.

Apa pun justifikasi yang diberikan samada oleh kerajaan mahu pun pembangkang, tujuan sebenar RUU ini dibuat hanyalah untuk memastikan status quo kekuasaan dan kekuatan sesebuah parti. Bagi parti yang menang (memerintah), RUU ini dapat memastikan mereka terus berkuasa. Semua orang tahu jika ada ahli Parlimen yang melompat parti, maka sesebuah kerajaan boleh tumbang apabila telah kehilangan sokongan majoriti di Parlimen sebagaimana terjadi pada kerajaan pimpinan Mahathir dan Muhyiddin pada penggal yang lepas. Justeru, RUU ini merupakan langkah terbaik bagi memastikan sesebuah parti terus berkuasa. Manakala bagi parti yang kalah, mereka juga perlu memastikan kekuatan mereka terjaga, kerana melompatnya ahli Parlimen mereka akan pasti melemahkan kekuatan mereka.

Walaupun kita masih belum mengetahui apakah inti keseluruhan RUU ini, namun setakat yang dijelaskan, RUU ini hanya bertujuan menghalang “ahli Parlimen” sahaja daripada melompat, bukannya menghalang “ahli parti”. Dengan kata lain, ahli parti yang bukan ahli Parlimen masih boleh melompat sesuka hati. Hal ini jelas membuktikan bahawa tujuan RUU adalah terkait dengan kuasa pemerintahan, yang mana “kuasa” ini termanifestasi pada setiap ahli Parlimen, dan tidak ada pada ahli parti yang lain.

Kehilangan status sebagai ahli Parlimen juga bermakna kehilangan segala keistimewaan yang dikecapi, termasuk gaji dan elaun yang sangat lumayan, yang sudah pasti menyebabkan ahli Parlimen berfikir sepuluh kali sebelum melompat parti. “Kenikmatan” duniawi seperti ini tidak boleh dinafikan menjadikan faktor utama kepada seseorang ahli Parlimen mahu kekal sebagai ahli Parlimen. Inilah hubungan erat antara kuasa dan harta, yang tidak mudah untuk dilepaskan oleh siapa pun yang bergelar ahli Parlimen dalam sistem demokrasi.

Masalahnya Ada Pada Sistem

Sesungguhnya RUU Anti Lompat Parti ini tidak boleh dipisahkan sama sekali dengan sistem demokrasi, yang meletakkan parti yang menang pilihan raya sebagai parti yang memerintah. Realiti menunjukkan bahawa ahli Parlimen mana pun yang melompat parti, atau menjadi calon Bebas, atau menukar sokongan, tindakan mereka tidak lain kecuali untuk memenuhi nafsu kekuasaan semata-mata. Tindakan mereka tersebut langsung tidak ada kena mengena dengan kepentingan rakyat, kecuali hanya untuk kepentingan tembolok masing-masing sahaja.

Dalam senario seperti inilah RUU Anti Lompat Parti diperbincangkan dan dipersetujui untuk digubal oleh parti-parti politik demokrasi, yakni tidak lain kecuali bagi memastikan kuasa atau kepentingan parti masing-masing tidak tergugat. Sudah sedia maklum dalam sistem demokrasi bahawa parti pemerintah tidak akan berkompromi dengan apa sahaja yang boleh menggugat kekuasaan mereka. Mereka sanggup dan akan melakukan apa sahaja, apatah lagi dari sudut perundangan, bagi mengekalkan status quo mereka.

Contoh untuk hal ini sangat banyak. Demokrasi membenarkan kebebasan berpendapat, namun apabila rakyat bersuara dan mengkritik kerajaan sehingga terzahir kezaliman, kejahatan atau kebodohan kerajaan, maka diguballah undang-undang untuk menutup mulut rakyat. Demokrasi membenarkan kebebasan berhimpun, namun apabila rakyat berhimpun untuk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap pemerintah, maka diguballah undang-undang untuk menyekat perhimpunan. Demokrasi membenarkan kebebasan berpersatuan, namun apabila terdapat kumpulan yang menyebarkan dakwah yang berlawanan dengan kehendak pemerintah, maka diguballah undang-undang untuk menyekat kumpulan berkenaan.

Begitulah seterusnya cara yang digunakan oleh parti yang berkuasa dalam usaha mereka mengekalkan status quo pemerintahan mereka. Samalah dengan RUU Anti Lompat Parti yang akan digubal ini, yang sangat jelas bertujuan untuk mengekalkan status quo pemerintah. Parti mana pun yang memerintah hakikatnya “mengawal” sistem demokrasi ini sepenuhnya, dan tidak malu-malu menipu rakyat bahawa apa yang mereka lakukan ialah demi kepentingan rakyat!

Dalam Islam, kewujudan dan fungsi parti politik ialah untuk menyeru kepada kebajikan (Islam) dan melakukan amar makruf nahi mungkar sebagaimana dijelaskan oleh Allah (swt) dalam Surah Ali Imran (3) ayat ke-104. Fungsi parti politik dalam Islam bukanlah berebut untuk mendapatkan kekuasaan. Pemerintahan itu ada strukturnya tersendiri, yang diketuai oleh seorang Khalifah dan terdapat 12 struktur lain di bawahnya. Khalifah dilantik dengan cara baiah oleh kaum Muslimin, yang diwakili oleh Ahlu Halli Wal Aqdi, dan dia memerintah semata-mata untuk menerapkan hukum Allah secara kaffah.

Dengan kata lain, pemerintahan dalam Islam bukan dibentuk oleh parti yang menang majoriti, kerana hakikatnya tidak ada pilihan raya pun untuk parti-parti merebut kekuasaan. Apa yang ada ialah pilihan raya untuk memilih wakil ke Majlis Umat, dan wakil tersebut benar-benar dilantik untuk mewakili umat, kerana mereka tidak mempunyai kepentingan apa pun, kecuali untuk umat.

Anggota Majlis Umat bukan merupakan pihak yang mempunyai kuasa pemerintahan, dan bukan juga pihak yang menggubal undang-undang. Ini kerana Majlis Umat bukanlah Majlis Tasyri’ (badan legislatif) sebagaimana Parlimen dalam sistem demokrasi. Majlis Umat hanya berfungsi sebagai tempat musyawarah (mesyuarat) untuk memberi cadangan atau input kepada Khalifah; untuk memuhasabah Khalifah; untuk mencalonkan dan memilih seseorang ke jawatan Khalifah jika terdapat kekosongan. Inilah fungsi Majlis Umat.

Justeru, tidak akan timbul isu lompat parti dalam sesebuah pemerintahan Islam atau dalam Negara Islam (Khilafah), kerana realitinya tidak akan ada “ahli Parlimen” sebagaimana sistem demokrasi, dalam Islam. Bagaimana pun, parti tetap ada insya Allah dan wajib ada sekurang-kurangnya sebuah parti (jemaah) menurut tuntutan ayat di atas (3:104). Jika ada sesiapa yang ingin melompat parti, hal tersebut mubah (harus) sahaja asalkan orang yang melompat itu tetap menjalankan kewajipannya sesuai dengan fungsi parti sebagaimana perintah Allah dalam ayat tersebut (3:104). Namun demikian, perlu difahami bahawa parti yang bertentangan dengan Islam tidak dibenarkan wujud sama sekali.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sedarlah bahawa tindakan ahli Parlimen yang melompat parti dalam sistem demokrasi ini hanya dilakukan demi kepentingan peribadi dan kepentingan parti yang mereka lompati, dan bukannya demi kepentingan rakyat. Justeru, penggubalan RUU Anti Lompat Parti juga bukanlah untuk kepentingan rakyat. Ahli-ahli Parlimen ini, baik yang melompat parti atau tidak, mereka sentiasa hidup mewah dengan segala keistimewaan yang mereka kecapi, manakala rakyat merupakan pihak yang sentiasa “terhukum” dan hidup susah dengan segala undang-undang yang mereka gubal. Ahli-ahli Parlimen ini, baik yang melompat atau tidak, harus sedar bahawa kesalahan dan dosa terbesar mereka ialah kerana mengambil hak Allah sebagai Musyarri’ (Pembuat hukum / Legislator).

Wallahu a’lam.

 

Download PDF