SN597 – Puasa Perisai Diri, Khilafah Perisai Umat
SN597
15 April 2022 M / 14 Ramadhan 1443 H
Segala puji dan syukur kita panjatkan kepada Allah (swt) yang masih membenarkan kita menghirup udara Ramadhan. Selawat dan salam semoga sentiasa tercurah ke atas junjungan besar Nabi Muhammad (saw), yang telah membawa dan mengajarkan Islam kepada kita serta mengajarkan kepada kita bagaimana menggapai seluruh amal soleh di bulan yang mulia ini. Sesungguhnya Allah (swt) telah melebihkan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain dengan pelbagai kelebihan yang jika tidak dimanfaatkan oleh setiap orang yang mengaku beriman, maka sudah pasti ia termasuk ke dalam golongan yang rugi. Di atas semua kelebihan itu, Allah (swt) telah menyediakan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, yang senantiasa dicari-cari oleh ahlul ibadah, khususnya di sepuluh malam yang terakhir.
Di dalam bulan yang mulia ini, Allah (swt) memerintahkan hamba-Nya untuk berpuasa, yang merupakan satu ibadah yang mempunyai kedudukan yang sangat istimewa di sisi-Nya. Rasulullah (saw) bersabda bahawa Allah (swt) berfirman, “Setiap amal anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa adalah untuk-Ku dan Aku-lah yang akan mengganjarinya…” [HR Bukhari, Muslim, an-Nasai, Ibnu Majah dan Ahmad]. Dalam hadis yang lain, baginda (saw) bersabda, “Siapa sahaja yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan redha Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu” [HR Muslim]. Dengan sekian banyaknya kebaikan yang Allah (swt) sediakan di bulan Ramadhan ini, seseorang Muslim itu seharusnya mengisi Ramadhan dengan amal-amal soleh pada setiap saat, baik siang mahu pun malam. Amal soleh ini tidak hanya khusus pada ibadah mahdhah semata-mata, tetapi juga merangkumi amalan-amalan lain seperti belajar tsaqafah Islam, berdakwah, melakukan amar makruf nahi mungkar, memuhasabah penguasa, berjihad dengan segala kemampuan yang ada untuk meninggikan agama Allah (swt) dan banyak lagi.
Puasa Sebagai Perisai Diri
Dalam beberapa hadis, Rasulullah (saw) menggunakan istilah “perisai” dalam menggambarkan kehebatan dan fungsi puasa bagi umat Islam. Sabda baginda (saw), “Puasa itu adalah perisai. Jika datang hari puasa seseorang di antara kalian maka janganlah ia berkata buruk dan jangan memaki…” [HR Bukhari, Muslim, an-Nasai, Ibnu Majah dan Ahmad]. Dalam hadis lain, Rasulullah (saw) bersabda, “Puasa itu adalah perisai daripada api neraka, seperti perisai seseorang daripada kalian dalam peperangan” [HR an-Nasai, Ibnu Majah].
Hadis di atas menjelaskan bahawa puasa bertindak sebagai perisai atau benteng kepada kita di dunia dan juga akhirat. Di dunia ia akan melindungi kita daripada hawa nafsu yang membinasakan, manakala di akhirat ia akan melindungi kita daripada api neraka. Ini kerana puasa dapat mencegah seseorang daripada melakukan maksiat atau keharaman dan ketika ia terbenteng daripada semua itu di dunia, maka ia akan turut terbenteng daripada api neraka di akhirat. Oleh itu, setiap Mukmin hendaklah berpuasa dalam keadaan memastikan agar puasanya menjadi perisai atau benteng untuk dirinya.
Manakala dalam hadis yang lain, Rasulullah (saw) bersabda, “Puasa itu adalah perisai selama ia (manusia) tidak melubanginya” [HR Ahmad]. Berdasarkan hadis ini, fungsi puasa sebagai perisai akan hilang apabila seseorang itu telah melubangi atau memecahkan perisainya sendiri, yang bermaksud ia tetap melakukan keburukan, maksiat atau dosa walaupun sedang berpuasa, dan walaupun ia berada di bulan Ramadhan. Apabila perisai ini sudah pecah atau tidak lagi berfungsi sebagaimana seharusnya di dunia, maka di akhirat kelak ia juga akan kehilangan fungsinya sebagai penyelamat kepada manusia daripada api neraka. Wal iyyazu billah.
Walaupun Nabi (saw) telah memberi peringatan yang cukup jelas, namun malangnya masih ramai yang berpuasa tetapi tetap terlibat dengan keharaman seperti terlibat dengan transaksi ribawi; masih ramai yang berdiam diri dengan segala kemungkaran yang berlaku di sekelilingnya, masih ramai yang tidak mempedulikan nasib umat Islam di belahan dunia lain yang sedang tertindas; masih ramai yang mempunyai sifat permusuhan atau tidak mempedulikan ukhuwwah sesama Muslim, apatah lagi dengan Muslim Rohingya, Muslim Bangladesh, Indonesia atau Muslim mana pun yang tidak sebangsa dengan mereka.
Para penguasa Muslim lebih parah lagi, walaupun mereka berpuasa, tetapi mereka masih tetap mengekalkan sistem dan hukum kufur penjajah serta memaksakan segala undang-undang yang bertentangan dengan Islam ke atas kita; mereka masih tetap menzalimi rakyat dengan pelbagai bentuk cukai, kos pendidikan, caj api, air dan lain-lain; mereka masih tetap merampas harta rakyat berupa minyak, gas asli dan segala galian lainnya; mereka masih tetap tegar menerapkan sistem perbankan ribawi dalam negara; mengekalkan pusat-pusat judi, kelab malam, membenarkan konsert dan pelbagai maksiat lainnya dalam negara, tanpa rasa bersalah sedikit pun. Sesungguhnya puasa dan Ramadhan langsung tidak dapat mencegah mereka daripada melakukan segala keharaman tersebut.
Khilafah Sebagai Perisai Umat
Selain puasa yang disifatkan oleh Rasulullah (saw) sebagai sebuah perisai, terdapat satu lagi perkara yang juga disifatkan oleh Rasulullah sebagai perisai iaitu Imam (Khalifah). Sabda baginda (saw), “Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu umpama perisai di mana orang-orang berperang dan berlindung di belakangnya” [HR Muslim]. Hadis ini, walaupun ringkas dan pendek, namun membawa pengertian dan kesan yang cukup besar dan penting kepada umat Islam. Ini kerana, keberadaan Khalifah sebagai perisai adalah bersifat kulliyat (menyeluruh). Jika sifat dan fungsi puasa hanya menjadi pelindung diri, tetapi sifat dan fungsi Khalifah lebih besar lagi kerana ia menjadi pelindung bagi seluruh umat Islam.
Hadis ini, selain menjelaskan sifat dan fungsi Khalifah sebagai pelindung kepada umat Islam, ia juga membawa pengertian mengenai kewajipan yang terbeban ke atas umat Islam untuk mewujudkan Khalifah di saat ketiadaannya (seperti sekarang). Ini kerana apa jua hadis yang berbentuk ikhbar (pemberitaan), apabila mengandungi pujian (seperti dalam hadis ini), maka ia mengandungi thalab (tuntutan) untuk mewujudkannya.
Jika kita membandingkan kedua-dua hadis di mana Rasulullah (saw) menggambarkan puasa dan Khalifah sebagai “perisai”, maka sudah sewajarnya untuk kita mempertanyakan diri kita sendiri, sejauh manakah kita telah berusaha untuk memanifestasikan kedua-dua hadis ini, yakni berusaha mewujudkan perisai-perisai tersebut?
Jika kita benar-benar berusaha untuk menjadikan puasa sebagai perisai diri, maka sewajarnya kita juga perlu berusaha untuk menegakkan Khilafah, yang merupakan perisai umat. Ini kerana Rasulullah (saw) menjadikan kedua-duanya sebagai perisai, dan Rasulullah (saw) sangat sayang kepada umatnya. Justeru, jika kita menyayangi Rasulullah (saw), kita juga seharusnya menyayangi orang yang disayangi oleh Rasulullah (saw) iaitu “umat”nya. Jika kita benar sayangkan umat baginda (saw), maka kita seharusnya berusaha untuk mewujudkan Khilafah, yang berfungsi sebagai penyelamat kepada umat baginda (saw).
Menegakkan Khilafah bukan sahaja wajib, malah keberadaannya akan dapat memastikan semua kewajipan lain terlaksana. Di saat ketiadaannya (sejak keruntuhannya hingga sekarang), sebahagian besar hukum khususnya yang melibatkan kenegaraan dan kemasyarakatan, tidak berjalan. Keberadaan Khilafah merupakan metode kepada pelaksanaan agama Islam sebagai sebuah Deen yang sempurna, yang merangkumi sistem pemerintahan, ekonomi, pergaulan, uqubat, polisi pendidikan, polisi luar negeri dan lain-lain. Tanpa Khilafah, semua sistem Islam bukan sahaja tidak berjalan, malah telah diganti dengan sistem dan undang-undang yang datangnya daripada penjajah.
Sepanjang lebih 13 abad kewujudan Khilafah, ia menjadi negara yang benar-benar bertindak sebagai perisai kepada umat Islam. Dalam bulan Ramadhan sahaja, tinta emas sejarah keKhilafahan telah mencatat sejumlah peperangan dan futuhat (pembukaan) yang dilakukan oleh para Khalifah, yang membenarkan hadis Rasulullah (saw) bahawa umat baginda akan berperang di belakang Khalifah yang menjadi perisai mereka.
Sejarah mencatat bahawa pada bulan Ramadhan 13 H, berlaku peperangan Buwaib di mana Khilafah telah berjaya mengalahkan Parsi, sekali gus telah menggoncang jantung Parsi dan menghantar kepada kehancurannya selepas itu. Kita juga tidak akan lupa kejayaan Khilafah membuka Andalusia pada Ramadhan 92 H, yang sekali gus menjadi kejayaan Islam membuka Eropah dan masuknya cahaya Allah ke benua tersebut selama beberapa abad, sebelum musuh berjaya merebutnya kembali. Pada bulan Ramadhan tahun yang sama, seorang komandan perang yang masih muda, Muhammad bin Qasim telah berjaya membuka benua India, yang menjadikan Islam zahir di atas agama Hindu di rantau tersebut, juga berabad lamanya, sebelum India jatuh semula ke tangan musuh Allah (swt).
Pada Ramadhan 213 H, Khilafah telah membuka Amuriah yang menjadi kebanggaan dan kekuatan Rom pada waktu itu, dalam sebuah peperangan yang tercetus hanya akibat maruah seorang Muslimah yang telah dicemari oleh orang-orang Rom. Khalifah al-Mu’tasim pada waktu itu benar-benar menjalankan fungsinya sebagai perisai, bagi melindungi walaupun hanya seorang Muslimah. Manakala pada Ramadhan 658 H pula, Khilafah telah berjaya mengalahkan pasukan Tartar di Ain Jalut, satu bangsa yang terkenal kejam dan brutal, yang telah melakukan banyak kerosakan dan kezaliman di muka bumi, khususnya ke atas umat Islam selama lebih satu abad.
Ringkasnya, para Khalifah dahulu memahami kewajipan dan fungsi mereka sebagai perisai, di mana mereka berperang (berjihad) dan sentiasa melindungi umat Islam, dan mereka tidak pernah “berehat” walaupun di bulan Ramadhan. Malah mereka turut membuktikan bahawa Ramadhan merupakan bulan kemenangan bagi umat Islam, sebagaimana Rasulullah (saw) juga berperang dan meraih kemenangan di bulan Ramadhan. Para Khalifah dahulu tidak pernah menyarungkan pedang mereka tidak kira Ramadhan atau bukan, kerana mereka tidak pernah lupa akan fungsi mereka sebagai perisai kepada umat Muhammad (saw).
Nasib Umat Tanpa Perisai
Malang bagi umat Islam apabila perisai ini telah lenyap sejak 28 Rajab 1342 H (bersamaan 3 Mac 1924 M), setelah ia berjaya dihancurkan oleh pengkhianat umat, Mustafa Kamal, dengan bantuan kafir British la’natullah. Tanpa perisai, maka umat Islam telah kehilangan pelindung sehingga mereka dengan begitu mudah dibunuh dan diperkotak-katikkan oleh musuh. Tanpa Khilafah, wilayah umat Islam telah terpecah-belah, tanah-tanah mereka dirampas hatta Masjidil Aqsa pun terlepas ke tangan musuh, harta-harta mereka dirompak, maruah mereka diinjak-injak, dan mereka kehilangan segala kemuliaan dan kekuatan.
Sejak kehilangan perisainya, lihatlah nasib umat Islam di Palestin, Kashmir, Turkestan Timur (Xinjiang), Myanmar, Syria dan lain-lain. Mereka diganyang oleh musuh-musuh Islam sejak berpuluh-puluh tahun lamanya dan tidak ada seorang penguasa Muslim pun yang membela dan melindungi mereka. Malah para penguasa yang ada justeru telah “mempermudahkan” dan memberi jalan seluas-luasnya kepada musuh untuk mengganyang umat Islam.
Sejak runtuhnya Khilafah, negara umat Islam dipimpin oleh para penguasa daripada kalangan bangsa mereka sendiri dan seagama dengan mereka, tetapi merupakan ejen dan tali barut kuffar penjajah. Para penguasa ini memaksakan undang-undang penjajah dan segala peraturan ciptaan mereka sendiri, ke atas umat Islam, dengan penuh kezaliman. Para penguasa ini bukan sahaja gagal bertindak sebagai perisai, sebaliknya mereka menjadi “pedang” yang dihayunkan ke atas umat Islam. Inilah realiti umat Muhammad (saw) yang hidup tanpa perisai sejak lebih 100 tahun yang lalu.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Selagi kalian tidak berusaha untuk mewujudkan kembali Khilafah yang merupakan perisai kalian, maka selagi itulah kalian akan hidup tanpa pelindung. Siapa pun yang memahami peri pentingnya puasa sebagai perisai diri, maka ia seharusnya memahami peri pentingnya Khilafah sebagai perisai umat, kerana kedua-dua perumpamaan tersebut keluar daripada lisan mulia Rasulullah (saw). Justeru, jika kalian ingin memperolehi perlindungan dan keselamatan di dunia dan akhirat, maka kedua-dua perisai ini wajib diusahakan kewujudannya dengan sungguh-sungguh.
Wallahu a’lam.