SN600 – Ketaatan Pada Ulil Amri Dan Batasannya

SN600

6 Mei 2022 M / 6 Syawal 1443 H

 

Ramadhan telah pun berlalu dengan penuh kepiluan khususnya bagi mereka yang sentiasa merindukannya. Lebih memilukan apabila melihat nasib umat Islam yang masih tetap belum berubah dan kesatuan masih tetap belum terwujud dalam tubuh umat ini sejak runtuhnya institusi pemersatu mereka (Khilafah) kira-kira 100 tahun yang lalu. Semua ini merupakan kesan daripada penjajahan yang menjadikan negara kaum Muslimin pecah berantakan berdasarkan negara bangsa, yang kemudiannya dipertahankan oleh para penguasa Muslim yang tunduk kepada penjajah. Sejak runtuhnya Khilafah, hukum Allah (swt) tidak lagi diterapkan kecuali sedikit dalam ruang lingkup kehidupan peribadi sahaja. Hukum Allah (swt) yang selama 13 abad diterapkan dalam negara (Khilafah) telah diganti dengan hukum penjajah dan hukum buatan tangan manusia. Bayangkan betapa parahnya perpecahan umat hingga ke tahap puasa dan raya pun gagal disambut serentak, walhal ini merupakan persoalan ibadah dan syiar yang sangat penting dalam Islam.

Tahun ini suara-suara umat Islam semakin kuat kedengaran untuk menyambut Ramadhan dan Syawal serentak di seluruh dunia, yang menunjukkan umat ini sudah semakin sedar dan tidak lagi mahu akan perpecahan. Namun demikian, pemerintah mereka masih enggan mempersatukan Ramadhan dan Syawal mereka dengan tetap berpegang keras kepada kaedah hisab dan imkanur rukyah dan tidak mahu hanya berpegang kepada rukyah. Sedangkan rukyah global ialah satu-satunya kaedah syarie yang boleh mempersatukan puasa dan raya umat ini. Apabila umat ini mula mempertikaikan ketetapan dan keputusan pemerintah, apatah lagi pada tahun ini yang mana perkiraan mereka ternyata salah, para agamawan yang dibayar gaji oleh pemerintah terus berkicau agar umat ini mentaati segala keputusan pemerintah atas alasan pemerintah adalah Ulil Amri. ‘Ketaatan kepada Ulil Amri’ menjadi senjata ampuh para ulama salathin dalam memastikan umat ini tunduk kepada kehendak politik tuan-tuan mereka.

Perintah Taat Pada Ulil Amri

Umum mengetahui bahawa Allah (swt) memerintahkan orang-orang yang beriman supaya mentaati Ulil Amri. Firman-Nya:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan Ulil Amri dalam kalangan kalian. Jika kalian berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagi kalian) dan lebih baik akibatnya” [TMQ an-Nisa’ (4): 59].

Beberapa hadis turut digunakan bagi menyokong hujah mereka supaya rakyat mentaati pemerintah, antaranya hadis:

“Sebaik-baik imam (pemimpin) adalah orang yang kalian cintai dan mereka mencintai kalian, yang kalian doakan dan mereka mendoakan kalian. Sebaliknya, seburuk-buruk imam (pemimpin) adalah orang yang kalian benci dan mereka membenci kalian, yang kalian laknat dan mereka melaknat kalian.’ Dikatakan, ‘Wahai Rasulullah, tidakkah kita perangi sahaja mereka dengan pedang?’ Rasulullah menjawab, ‘Tidak, selama mereka masih menegakkan solat di tengah-tengah kalian’” [HR Muslim].

Mereka mentafsirkan ayat dan hadis di atas secara literal dengan tujuan agar umat Islam tunduk secara mutlak kepada kekuasaan atau keputusan pemerintah, tanpa boleh mempertikaikan atau melawan sedikit pun. Sedangkan makna sebenar ayat dan hadis ini adalah berbeza. Imam Nawawi telah mensyarah hadis tersebut, di mana beliau secara tegas menyatakan bahawa hadis tersebut sesungguhnya melarang seseorang memisahkan diri daripada kekuasaan Khalifah (la yajuuz al-khuruj ala al-khulafa’). Ini sekali gus menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan “penguasa” dalam hadis tersebut ialah Khalifah, bukan selainnya.

Imam Nawawi menjelaskan maksud “selama mereka masih menegakkan solat” sebagai ma lam yughayyiru syai’an min qawa’idi al-Islam (selama mereka tidak mengubah salah satu daripada sendi-sendi Islam). Jadi, apa yang dimaksudkan dalam hadis ini bukanlah sekadar mengerjakan solat semata-mata, tetapi bermaksud menegakkan seluruh hukum syarak, atau dengan kata lain selama penguasa tersebut memerintah dengan Islam.

Ini merupakan pembahasan majaz (kiasan) yang termasuk dalam kategori itlaqul juz’i wa iradatul kulli. Ia sama seperti firman Allah (swt): “Maka merdekakanlah raqabah” [TMQ al-Mujadilah (58): 3] di mana apa yang dimaksudkan dengan “raqabah” dalam ayat ini ialah “hamba” yakni memerdekakan hamba itu secara keseluruhan, bukan hanya raqabah (leher)nya sahaja [Syeikh Abdul Qadim Zallum, Nidzam al-Hukmi Fi al-Islam]. Ringkasnya, hadis tersebut menjelaskan mengenai kewajipan mentaati penguasa selama mereka masih menegakkan tiang-tiang pemerintahan Islam, bukannya selama mereka mengerjakan solat semata-mata.

Batas Ketaatan Pada Ulil Amri

Sebelum membahas lebih lanjut sejauh manakah batas ketaatan kepada Ulil Amri, adalah penting untuk difahami terlebih dahulu siapakah yang dimaksudkan dengan Ulil Amri. Menurut Ibnu Abbas, “Ulil Amri” dalam Surah an-Nisa’: 59 ialah al-umara’ wa al-wullat (para penguasa), kerana ayat tersebut turun berkaitan dengan kewajipan untuk mentaati penguasa [As-Syaukani, Nailu al-Authar fi Syarh Muntaqa al-Akhbar]. Oleh itu, ayat tersebut memerintahkan kaum Muslimin agar mentaati penguasa.

Namun persoalannya, siapakah dan apakah ciri-ciri penguasa yang dimaksudkan dalam ayat tersebut? Berdasarkan lafaz “min kum” (dalam kalangan kalian), ia bermaksud Ulil Amri dalam kalangan kaum Muslimin secara keseluruhannya. Menurut Islam, wajib ada hanya seorang sahaja ketua negara bagi seluruh kaum Muslimin dalam satu-satu masa, iaitu seorang Khalifah yang dibaiah dengan cara yang sah oleh umat Islam. Ulil Amri ini wujud sejak zaman Rasulullah (saw) sehinggalah ke zaman Khalifah terakhir kaum Muslimin iaitu Khalifah Abdul Majid II.

Setelah runtuhnya Khilafah pada 1342 H, tidak ada lagi penguasa yang dibaiah oleh umat Islam secara sah. Apa yang ada hanyalah para penguasa boneka yang diangkat oleh kafir penjajah tanpa melalui proses baiah in-iqad mahupun baiah at-tha’at yang diwajibkan oleh Islam. Sejak keruntuhan Khilafah hingga sekarang, umat Islam telah berpecah kepada lebih 50 buah negara dan tidak lagi mempunyai seorang Ulil Amri untuk ditaati. Ini dari satu sisi.

Dari sisi yang lain, perintah untuk mentaati Ulil Amri (di saat kewujudannya) bukanlah perintah yang mutlak, tidak sebagaimana perintah mentaati Allah dan Rasul. Ini sebagaimana penjelasan para Mufassirin di mana lafaz “athi’u” (taatlah oleh kalian) dalam Surah an-Nisa’: 59 tersebut hanya terdapat pada Allah dan Rasul, tetapi tidak terdapat pada Ulil Amri. Ini bermaksud bahawa ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah mutlak, tetapi ketaatan kepada Ulil Amri adalah bersyarat. Apakah syaratnya?

Syaratnya ialah selama mana Ulil Amri tersebut mentaati Allah dan Rasul. Dengan kata lain, apabila Ulil Amri itu tidak mentaati Allah dan Rasul, maka tidak ada lagi ketaatan kepadanya. Hal ini sesuai dengan firman Allah (swt):

“Janganlah kalian mentaati orang-orang yang berdosa dan orang-orang kafir di antara mereka” [TMQ al-Insan (76): 24].

Hal ini dipertegaskan lagi oleh Rasulullah (saw) dalam hadis baginda:

“Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam hal kemaksiatan kepada al-Khaliq (Allah)” [HR Ahmad].

Jadi, siapa pun yang menggunakan dalil-dalil di atas untuk memaksa umat Islam mentaati pemimpin, sedangkan pemimpin itu sendiri tidak mentaati Allah dan Rasul, sungguh hal ini telah jauh tersasar daripada pengertian ayat tersebut. Ini kerana Ulil Amri dalam ayat tersebut bermaksud penguasa yang diangkat oleh kaum Muslimin melalui jalan baiah yang sah untuk memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Ia bukannya penguasa yang diangkat oleh Barat atau oleh mana-mana manusia, untuk menerapkan hukum kufur.

Ringkasnya, ketaatan kepada Ulil Amri menurut Islam, sebagaimana yang terdapat dalam Surah an-Nisa’: 59 itu atau pun dalam hadis-hadis, berlaku selagi Ulil Amri itu mentaati Allah dan Rasul-Nya, atau selagi ia memerintah dengan Islam atau selagi ia tidak memerintahkan kepada kemaksiatan. Kewajipan mentaati Ulil Amri adalah terbatas untuk Ulil Amri yang menerapkan hukum Islam, bukannya “Ulil Amri” yang menerapkan hukum kufur.

Adapun para penguasa yang tidak syarie yang memerintah atau berhukum dengan hukum-hukum buatan manusia seperti yang ada sekarang ini, maka tidak wajib untuk mentaatinya secara syarie. Malah segala hukum dan  undang-undang yang digubalnya tidak mengikat umat Islam, sebab ia tidak memiliki hak untuk ditaati, yang menjadi kewajipan umat Islam.

Bagaimana Menyikapi Perselisihan

Di antara keindahan, kesyumulan dan keadilan Islam, di samping wujudnya Ulil Amri yang satu untuk seluruh kaum Muslimin, dalam masa yang sama Islam tidak pernah mengajar penganutnya mentaati Ulil Amri secara membabi buta. Ketaatan itu ada batasnya, dan batasnya ialah hukum syarak. Selama mana Ulil Amri masih mentaati hukum syarak, maka Ulil Amri tersebut wajib ditaati, tetapi apabila Ulil Amri itu telah melanggar syarak, maka ia bukan sahaja wajib diingkari, malah wajib dimuhasabah. Di sinilah letaknya tugas dan tanggungjawab kita, yakni untuk meluruskan Ulil Amri yang telah menyimpang, dan berusaha mewujudkan seorang Ulil Amri (Khalifah) dalam keadaan ketiadaannya seperti sekarang.

Seperkara lagi yang perlu difahami mengenai Surah an-Nisa’: 59 di atas ialah, Allah (swt) memerintahkan kepada orang-orang yang beriman yang berselisih tentang apa jua perkara, apatah lagi apabila perselisihan tersebut melibatkan rakyat dengan Ulil Amri, untuk mengembalikan urusan tersebut kepada Allah (Al-Quran) dan kepada Rasul-Nya (As-Sunnah), bukan mengembalikannya kepada Ulil Amri. Ini kerana kebenaran dan jawapan kepada perselisihan itu ada pada Al-Quran dan As-Sunnah, bukan pada Ulil Amri.

Jadi, jika kita merujuk kepada perselisihan mengenai ketetapan masuknya 1 Ramadhan/Syawal sebagai contoh, yang mana penguasa dan sebahagian umat Islam menggunakan kaedah hisab dan imkanur rukyah, sedangkan sebahagian lagi rakyat menggunakan kaedah rukyah (semata-mata), maka perselisihan ini hendaklah dikembalikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah, bukannya dikembalikan kepada pemerintah! “Keputusan” kepada perselisihan ini ada di tangan Allah dan Rasul-Nya, bukannya di tangan penguasa!

Perlu difahami bahawa penentuan awal/akhir Ramadhan adalah terkait dengan hukum syarak yang sekali gus terkait dengan ibadah. Ia bukannya masalah administrasi atau sains yang membolehkan penguasa menetapkan keputusan berdasarkan apa yang dia pandang sebagai terbaik. Penetapan awal/akhir Ramadhan ini memerlukan istidlal (pengambilan dalil) dan istinbat (penggalian) hukum yang benar berdasarkan nas, sehingga terhasil hukum syarak yang sesuai dengan dalilnya. Inilah prosedurnya.

Setelah diistidlal dan diistinbat, ternyata satu-satunya nas dalam hal penetapan awal/akhir Ramadhan ialah rukyah, bukannya hisab dan bukannya imkanur rukyah. Rasulullah (saw) tidak pernah melakukan hisab dan tidak pernah memerintahkan umatnya untuk melakukan hisab. Apa yang dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah (saw) hanyalah melihat (rukyah) hilal, dan puasa/raya ditentukan berdasarkan nampak atau tidaknya hilal. Hisab hanya berfungsi untuk membantu perkiraan kemunculan hilal, tetapi bukannya berfungsi untuk menentukan masuknya 1 Ramadhan/Syawal.

Demikianlah, apabila kita mengembalikan urusan ini kepada Allah dan Rasul-Nya, maka satu-satunya kaedah yang mesti diambil ialah rukyah, kerana rukyah itu ada dalilnya sedangkan hisab itu tidak ada dalilnya sama sekali. Apabila dirukyah dan hilalnya kelihatan, maka umat Islam (termasuk Ulil Amri) wajib berpuasa dan berhari raya, tanpa mempedulikan lagi benar atau salahnya hisab. Sekiranya penguasa menetapkan awal Ramadhan/Syawal dengan membelakangkan nas, maka tidak ada ketaatan kepada penguasa tersebut, kerana ketaatan hanya wujud di saat penguasa mengikuti nas. Inilah yang diajar oleh Islam kepada kita.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kita telah menyaksikan perpecahan umat ini sejak sekian lama, termasuklah dalam hal sepenting puasa dan raya, yang mana umat Islam tidak seharusnya berpecah. Sungguh, tidak ada jalan lain untuk mempersatukan semula umat Islam kecuali dengan berusaha mewujudkan kembali seorang Ulil Amri (Khalifah) yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF