SN608 – Perbezaan Eidul Adha Hanya Boleh Selesai Dengan Satu Cara

SN608

8 Julai 2022 M / 9 Zulhijjah 1443 H

 

Sekali lagi pada tahun ini ketibaan Eidul Adha telah mengundang polemik ekoran wujudnya perbezaan penetapan masuknya 1 Zulhijjah di antara Arab Saudi dan beberapa negeri kaum Muslimin. Polemik ini sebenarnya sangat menyedihkan kerana ia dengan jelas menunjukkan perpecahan kaum Muslimin dalam merayakan hari besar Islam, yang seharusnya disambut pada hari yang sama. Tambah menyedihkan apabila ada pihak yang berpendapat bahawa perbezaan raya ini bukanlah menunjukkan perpecahan, tetapi hanya merupakan perkara khilafiah dalam skop pembahasan fiqh semata-mata. Dalam pada itu terdapat juga pihak yang langsung tidak peduli atau hanya bersikap acuh tak acuh sahaja dalam isu ini serta menyerahkan sepenuhnya kepada pemerintah. Alasan mereka mudah sahaja – jika hal ini salah, pemerintahlah yang akan menanggung dosa. Manakala ada pula yang berkata “taat sahajalah kepada Ulil Amri”.

Di sisi lain, ada yang berpandangan bahawa pihak yang mengetengahkan isu perbezaan ini hanya suka memperbesar-besarkan isu serta sengaja mempermasalahkan perkara ini. Bahkan mereka sampai ke tahap menuduh orang yang membangkitkan isu perbezaan raya ini sebagai pencetus pertelingkahan dan pemecah-belah kesatuan umat Islam. Pendek kata, ramai yang menanggapi perbezaan ini dengan emosi, bukannya dengan rasional atau dengan syarak. Sesungguhnya perbezaan Eidul Adha ini tidak boleh dipandang remeh, sama sebagaimana perbezaan puasa dan Eidul Fitri, kerana ia merupakan syiar Islam dan melibatkan banyak persoalan ibadah lain yang terkait dengannya. Umat Islam seharusnya memandang serius isu ini kerana jika tidak diambil pendirian atau ditangani dengan benar, maka selamanya umat Islam ini akan berada dalam perpecahan.

Penentuan Eidul Adha Wajib Ikut Penguasa Mekah 

Siapa pun yang meneliti nas mengenai Eidul Adha akan pasti menemui dalil khusus yang menunjukkan bahawa penentuan Eidul Adha dan juga manasik (cara menunaikan) haji seperti wukuf di Arafah, tawaf ifadhah, menyembelih korban, bermalam di Muzdalifah, melontar jamrah dan sebagainya, wajib mengikuti rukyatul hilal penguasa Mekah. Nas menunjukkan bahawa penguasa Mekahlah pihak yang berautoriti untuk menetapkan masuknya 1 Zulhijjah berdasarkan rukyah yang dilakukannya. Hal ini dijelaskan dalam hadis dari Husain Ibn al-Harits al-Jadali, dia berkata:

“Sesungguhnya Amir (penguasa) Mekah pernah berkhutbah dan berkata, “Rasulullah (saw) berpesan kepada kami untuk melaksanakan manasik haji berdasarkan rukyah. Jika kami tidak dapat merukyah tetapi ada dua saksi adil yang berjaya melakukannya, maka kami melaksanakan manasik haji berdasarkan kesaksian keduanya” [HR Abu Daud dan Ad-Daruquthni].

Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa penguasa Mekah berkewajipan untuk melakukan rukyah bagi menetapkan masuknya 1 Zuhijjjah, dan dari sinilah secara automatik akan membawa kepada penetapan tarikh wukuf, tarikh solat sunat Eidul Adha, tarikh menyembelih korban, hari-hari tasyrik dan sebagainya. Pada waktu yang sama, kaum Muslimin di mana pun berada, tetap sahaja boleh merukyah hilal, kerana hadis tersebut turut menjelaskan bahawa sekiranya penguasa Mekah tidak berhasil dalam melakukan rukyah, maka dia boleh menetapkan pelaksanaan manasik haji dengan mengambil kesaksian rukyatul hilal daripada sekurang-kurangnya dua orang saksi yang adil.

Walau pun realitinya sekarang tidak ada Daulah Islam dan pemerintahan Hijaz telah lama diambil secara paksa oleh keturunan Saud, namun ia tidak menghapuskan tanggungjawab dan autoriti untuk melakukan rukyatul hilal oleh mereka yang berkuasa di Mekah. Jadi, apabila penguasa Mekah telah menetapkan masuknya 1 Zulhijjah berdasarkan rukyah, dan sekali gus wukuf pada 9 Zulhijjah, lalu diikuti dengan yaum an-nahr (hari sembelih korban) atau hari raya pada keesokannya (10 Zulhijjah), maka kaum Muslimin di seluruh dunia adalah terikat dan wajib mengikuti penetapan ini.

Oleh kerana wukuf pada tahun ini telah ditetapkan oleh penguasa Mekah pada hari Jumaat, maka Eidul Adha secara automatik jatuh pada hari Sabtu, dan tasyrik bermula pada hari Ahad. Begitulah ketetapan yang bersesuaian dengan nas, dan perlu difahami bahawa tidak ada perbezaan nas untuk kaum Muslimin dalam hal ini. Dengan kata lain, inilah satu-satunya nas untuk seluruh kaum Muslimin di mana pun mereka berada.

Tidak ada nas yang membezakan kaum Muslimin berdasarkan sempadan negara atau kerana perbezaan bangsa. Tidak ada nas yang membezakan kaum Muslimin hanya kerana perbezaan garis masa. Berapa minit atau jam sekali pun perbezaan masa antara Mekah dengan Madinah, Baitul Maqdis, Beirut, Baghdad, Tehran, Islamabad, Kuala Lumpur, Jakarta dan lain-lain, tidak ada satu pun nas yang membolehkan kaum Muslimin di tempat selain Mekah untuk merayakan Eidul Adha pada hari yang berlainan daripada ketetapan penguasa Mekah!

Demikianlah juga dengan puasa sunat Arafah, solat sunat Eidul Adha, menyembelih korban, dan larangan puasa pada hari-hari tasyrik, semua ini wajib mengikuti tarikh atau hari yang sama yang telah ditetapkan oleh penguasa Mekah. Ini kerana nas dengan jelas telah menyebut mengenai “hari” yang dengan kata lain tidak ada nas yang menuntut kita untuk mengikuti “minit” atau “jam” yang sama sebagaimana Mekah untuk kita melakukan puasa Arafah, solat Eid, menyembelih korban dan sebagainya.

Justeru, perbezaan 5 minit, 15 minit, setengah jam, satu jam, dua jam, lima jam atau tujuh jam langsung tidak boleh dijadikan alasan untuk kaum Muslimin berpuasa atau berhari raya “sehari” berbeza dengan Mekah! Tambahan lagi pemikiran seperti ini tidak pernah wujud pada kaum Muslimin tatkala negeri-negeri mereka bersatu di bawah naungan Khilafah kerana semua negeri dianggap satu, yang terikat dengan keputusan seorang Khalifah (penguasa) yang sama.

Di sinilah pentingnya untuk kita memahami nas dalam hal ini, kerana perbezaan tarikh atau hari dengan Mekah, boleh membawa kepada banyak kesalahan lainnya dalam hal-hal ibadat yang terkait dengan haji. Umum sudah mengetahui bahawa kita disunatkan untuk berpuasa Arafah pada “hari” jemaah haji wukuf di Arafah, yang pada tahun ini jatuh pada hari Jumaat. Seandainya umat Islam berpuasa Arafah pada hari Sabtu, maka hal ini telah menyalahi nas kerana hari Sabtu bukan lagi hari wukuf, malah jemaah haji telah pun selesai wukuf pada hari Sabtu. Apa yang lebih buruk ialah hari Sabtu merupakan hari raya, yang mana umat Islam diharamkan untuk berpuasa pada hari Raya. Justeru, jika ada yang berpuasa pada hari Sabtu, sesungguhnya mereka telah berpuasa pada hari yang diharamkan!

Dengan nas khusus yang demikian jelas mengenai penetapan Zulhijjah atau Eidul Adha oleh penguasa Mekah, sungguh menyedihkan apabila masih terdapat sebahagian pihak yang menyatakan boleh berbeza raya berdasarkan perbezaan matla’ (tempat terbit hilal) yang disandarkan kepada hadis Kuraib dalam penetapan puasa dan Eidul Fitri. Sesungguhnya tidak ada qiyas dalam hal ibadat, kerana hal-hal ibadat diambil daripada nas secara tauqifiyyah (seadanya) tanpa boleh diqiyaskan dengan perkara lain. Nas-nas mengenai Eidul Fitri tidak boleh diqiyaskan kepada Eidul Adha, apatah lagi dalam keadaan sudah ada nas khusus mengenai penetapan Eidul Adha. Sungguh aneh apabila masih ada pihak yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari perbezaan, walhal apa yang kita dituntut ialah untuk mencari kesatuan. Alangkah baiknya jika mereka mencari dan mengikuti nas-nas yang boleh mempersatukan kaum Muslimin berbanding sebaliknya!

Khilafah Akan Mengangkat Perselisihan

Memang terdapat nas yang jelas agar umat Islam mentaati Ulil Amri. Apabila terdapat sebarang perselisihan dalam kalangan umat Islam, lalu Ulil Amri mengeluarkan satu perintah, maka kaum Muslimin wajib mentaatinya, sehingga insya Allah segala perselisihan akan terangkat. Namun, apa yang perlu difahami ialah sejak kejatuhan Khilafah pada 28 Rajab 1342 H, kaum Muslimin sudah tidak lagi mempunyai seorang Ulil Amri yang wajib ditaati. Negeri-negeri kaum Muslimin telah terpecah-belah kepada lebih 50 buah yang masing-masing mempunyai penguasanya sendiri, yang memerintah bukan berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.

Dalam Islam, Khalifah yang juga merupakan Ulil Amri bagi seluruh kaum Muslimin berhak melakukan tabanni (penetapan) hukum. Jadi, jika muncul sebarang perbezaan pandangan yang mana Khalifah merasakan hukum dalam hal tersebut perlu ditabanni demi menjaga kesatuan kaum Muslimin, maka sewajarnya bagi Khalifah untuk melakukan tabanni dalam hal tersebut. Apabila sesuatu hukum atau undang-undang itu telah ditabanni oleh Khalifah, maka seluruh kaum Muslimin terikat dan wajib mengikutinya walaupun bertentangan dengan ijtihad atau pendapat mereka.

Hal mengenai perbezaan pandangan dan tabanni ini sudah masyhur dalam kalangan Sahabat, sebagaimana perbezaan pandangan dan tabanni yang terjadi di masa Abu Bakar dan Umar. Para Sahabat dan kaum Muslimin keseluruhannya mentaati tabanni Abu Bakar semasa beliau menjadi Khalifah, manakala mereka mentaati tabanni Umar semasa Umar menjadi Khalifah, tanpa sebarang masalah, walau pun pandangan Abu Bakar dan Umar tidak sama. Dari kesepakatan (ijma’) Sahabat inilah para ulama menetapkan hak untuk mentabanni di tangan Khalifah. Hal ini juga sesuai dengan kaedah fiqh yang menyatakan amru al-imam yarfa’u al-khilaf (perintah Imam / Khalifah akan mengangkat / menghilangkan perselisihan)

Secara umumnya, Khalifah tidak melakukan tabanni ke atas perkara-perkara ibadah, kerana perbezaan pandangan dalam hal ini amat banyak di antara imam-imam mazhab, dan masing-masing mempunyai dalil mengenainya. Kaum Muslimin dibenarkan mengikuti mana-mana pandangan yang mereka rasa kuat, puas dan tenang dengannya. Perbezaan pandangan dalam banyak hal ibadat tidaklah menunjukkan perpecahan umat Islam, kerana hal itu sudah pun lumrah sejak dahulu. Sungguhpun demikian, bukanlah satu keharaman untuk Khalifah melakukan tabanni ke atas perkara-perkara ibadat, malah menjadi satu keperluan pula jika dilakukan dalam rangka menjaga kesatuan umat Islam dalam beribadat.

Perlu difahami bahawa antara tugas dan kewajipan Khalifah ialah menjaga kesatuan umat Islam, dan menjaga syiar-syiar Islam. Dari aspek ibadat – puasa, raya, haji, zakat dan jihad adalah termasuk perkara-perkara ibadat yang kaum Muslimin seharusnya bersatu. Jadi, sangat wajar bagi Khalifah untuk mentabanni hukum dalam hal-hal ini. Dengan tabanni daripada Khalifah, maka insya Allah kaum Muslimin akan menyambut Ramadhan, Eidul Fitri, Eidul Adha, mengerjakan manasik haji, menunaikan zakat serta melakukan jihad dalam satu kesatuan yang utuh, yang benar-benar menggambarkan umat Islam sebagai umat yang satu.

Realitinya, perpecahan yang melanda umat Islam pada hari ini, termasuklah perselisihan mengenai penetapan Eidul Adha, boleh dikembalikan kepada satu sebab yakni kerana umat ini telah terpecah-belah kepada lebih 50 buah negara sejak runtuhnya Khilafah. Sejak itu, masing-masing negara telah menentukan tarikh Eidul Adha mereka sendiri. Malaysia sebagai contoh, telah menetapkan masuknya 1 Zulhijjah dengan kaedah sendiri, sedangkan jika pemerintah Malaysia mengikuti nas, mereka akan menetapkan masuknya 1 Zulhijjah berdasarkan rukyatul hilal dan ketetapan penguasa Mekah. Begitulah apa yang berlaku di negeri-negeri kaum Muslimin lainnya, yang telah mengikuti ketetapan pemerintah masing-masing, bukannya mengikuti ketetapan nas, sehingga kita semua berbeza dalam menyambut Eidul Adha. Inilah punca masalah yang sebenarnya iaitu ketiadaan sebuah institusi pemersatu umat ini. Jika umat ini hanya mempunyai satu negara, maka sudah pasti Eid mereka juga satu.

Khatimah

Sesungguhnya polemik di sebalik perbezaan tarikh Eidul Adha ini menunjukkan betapa umat ini memerlukan Khilafah dalam meleraikan perselisihan yang muncul di tengah-tengah mereka. Ketiadaan seorang pemimpin tunggal (Ulil Amri) bagi seluruh kaum Muslimin bukan sekadar menyebabkan malapetaka yang dahsyat ke atas umat ini baik di negeri sendiri, apatah lagi di negeri orang-orang kafir, malah ia menjadi penyebab kepada hilangnya kesatuan ibadat yang merupakan syiar Islam. Justeru, umat Islam wajib mengambil serius isu perbezaan penetapan tarikh Eid ini sekali gus berusaha untuk mengembalikan semula Khilafah, yang dengannya akan terwujudlah kembali Ulil Amri yang akan mempersatukan kaum Muslimin di bawah satu negara, satu pemerintahan, satu bendera, satu jihad, satu puasa dan satu Eid insya Allah.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF