SN610 – Hijrah: Berdirinya Sebuah Negara Islam

SN610

29 Julai 2022 M / 30 Zulhijjah 1443 H

 

Apabila Umar bin al-Khattab memutuskan hijrahnya Rasulullah (saw) ke Madinah menjadi tanggal penetapan tahun pertama dalam kalendar Islam, hal ini tentu sahaja bukan perkara biasa, kecuali ada sebab yang sangat kuat dan penuh makna untuk beliau berbuat demikian. Umar tentunya mahukan umat Islam mengingati peristiwa agung ini sampai bila-bila, dan lebih jauh dari itu, umat Islam bukan sekadar mengingatinya, tetapi mengambil pengajaran dan hukum daripadanya. Sungguh banyak pengajaran dan hukum yang wajib diambil daripada peristiwa hijrah Rasulullah (saw) sehingga siapa pun yang bergelar Muslim tidak seharusnya melewati tahun hijrah kecuali dalam keadaan wajib mencontohi apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah (saw), wajib memahami perjuangan Rasulullah (saw) daripada awal, sehinggalah Allah (swt) memerintahkan baginda untuk berhijrah.

Sesungguhnya hijrah membawa seribu pengajaran buat umat Islam. Namun di atas semua itu, makna politik penting daripada hijrahnya Rasulullah (saw) ialah kewajipan mendirikan sebuah ad-Daulah al-Islamiyyah (Negara Islam). Faktanya, melalui hijrahlah berdirinya sebuah Negara Islam. Melalui hijrahlah hukum Allah (swt) dapat diterapkan secara kaffah. Melalui hijrahlah tonggak kepimpinan dunia telah bertukar daripada Rom dan Parsi kepada Islam. Melalui hijrahlah agama Allah (swt) telah zahir di atas agama-agama yang lain. Melalui hijrahlah Islam telah berkembang dan menguasai hampir dua per tiga dunia. Melalui hijrahlah manusia telah berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah (swt). Melalui hijrahlah manusia telah berjaya dikeluarkan daripada kegelapan kepada cahaya. Melalui hijrahlah Islam telah terealisasi sebagai rahmatan lil alamin. Pendek kata, semua hal tersebut berlaku kerana hijrah telah melahirkan sebuah Negara Islam, yang sekali gus melahirkan kekuatan Islam. Atas dasar itu, perlu difahami bahawa hijrah bukanlah sekadar sebuah catatan sejarah, tetapi merupakan sebuah teladan yang wajib diikuti.

Makna Syarie Hijrah Dan Negara Islam

Secara bahasa, hijrah bererti berpindah tempat. Secara syarie, para fuqaha’ mendefinisikan hijrah sebagai keluar dari Darul Kufur menuju Darul Islam [An-Nabhani, asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah, Jilid II]. Definisi hijrah seperti ini diambil daripada fakta hijrah Nabi (saw) itu sendiri, dari Mekah yang saat itu merupakan Darul Kufur, ke Madinah, yang kemudian menjadi Darul Islam. Inilah satu-satunya pengertian syarie dan hakiki mengenai hijrah. Inilah pengertian dan fakta hijrah yang seharusnya diambil iktibar oleh umat Islam.

Seiring dengan pembahasan hijrah, ada satu pembahasan kembar yang tidak boleh dipisahkan daripadanya ialah mengenai Darul Islam (Negara Islam) dan Darul Kufur (Negara Kufur). Kedua-dua pembahasan ini perlu difahami dengan benar, kerana keduanya bukan sahaja terkait rapat, malah membawa implikasi hukum yang perlu dilaksanakan. Untuk menetapkan status sesebuah negara sebagai Negara Islam atau Negara Kufur, maka perlu melihat kepada dua hal – Pertama: Penerapan hukum di dalamnya, samada hukum Islam atau hukum kufur. Kedua: Aspek keamanannya, samada berada di tangan orang-orang Islam atau kafir.

Jika sesebuah negara itu memenuhi kedua-dua hal ini secara serentak, yakni wujudnya penerapan hukum Islam, dan keamanannya berada di tangan kaum Muslimin, maka negara tersebut adalah Negara Islam. Sebaliknya, jika sesebuah negara itu menerapkan hukum kufur dan keamanannya berada di tangan kaum kafir, ia merupakan Negara Kufur. Cukup dengan salah satu elemen sahaja akan menjadikan negara tersebut sebagai Negara Kufur. Dalam konteks yang sama, berdasarkan kedua-dua elemen ini jugalah sesebuah negara boleh bertukar statusnya daripada Negara Islam kepada Negara Kufur dan sebaliknya.

Sebahagian mujtahid berpendapat bahawa perubahan Negara Islam menjadi Negara Kufur adalah ketika diterapkan hukum-hukum kufur di negara tersebut. Hujah mereka adalah bahawa istilah “Dar al-Islam” dan “Dar al-Kufur” adalah sebuah idhafah (sandaran) pada kata “Islam” dan “Kufur”. Lafaz “Dar” di sandarkan pada “al-Islam” atau “al-Kufur” itu kerana munculnya fenomena Islam atau kufur di negara tersebut. Hal ini sama sebagaimana syurga dinamakan dengan “Dar as-Salam” kerana ada keselamatan (as-Salam) di dalamnya, atau neraka disebut “Dar al-Bawar” kerana ada kebinasaan (al-Bawar) di dalamnya. Jadi, penentu Islam atau kufur adalah dengan melihat kepada penerapan hukum Islam atau hukum kufur di dalam negara tersebut [An-Nabhani, asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah, Jilid II].

Melihat kepada realiti hari ini, kesemua Bilad al-Muslimin (negeri kaum Muslimin) adalah termasuk ke dalam kategori Darul Kufur, kerana faktanya negeri-negeri tersebut tidak menerapkan hukum-hukum Islam. Begitu juga dengan Bilad al-Kafirin (negeri kaum kafir) tetap termasuk Darul Kufur walaupun (sekiranya) mereka menerapkan hukum-hukum Islam ke atas penduduk Muslim mereka. Ini kerana kekuasaan dan keamanannya berada di tangan orang-orang kafir. Oleh yang demikian, untuk merubah negeri kaum Muslimin pada hari ini menjadi Darul Islam, hukum-hukumnya harus diubah kepada hukum Islam sepenuhnya, dan keamanannya hendaklah dipastikan berada di tangan kaum Muslimin atau penguasa Muslim.

Perlu diperhatikan di sini bahawa jika sesebuah negara itu dikatakan Negara Kufur, bukanlah bermaksud yang kesemua penduduknya menjadi kafir. Sama sebagaimana jika sesebuah negara itu dikatakan Negara Islam, bukanlah bermaksud yang kesemua penduduknya menjadi Muslim. Demikianlah kedudukan Madinah sebagai sebuah Negara Islam, bukanlah bermaksud yang kesemua penduduknya menjadi Muslim, kerana ternyata terdapat Yahudi dan Musyrikin di dalamnya.

Sama sekiranya kita menyatakan pada hari ini bahawa Amerika, Rusia, China, Jepun, Brazil, Arab Saudi, Pakistan, Malaysia dan lain-lain adalah Negara Kufur, bukanlah bermaksud kesemua penduduknya menjadi kafir. “Islam” atau “kufur” itu merujuk kepada terma “Dar” (negara) yang merupakan makna syarie untuk merujuk kepada “status” sesebuah negara, bukan status agama penduduknya.

Hijrah Dan Penegakan Negara Islam

Setelah Rasulullah (saw) mendapat nusrah (pertolongan) daripada penduduk Madinah, yakni setelah Baiat Aqabah II, secara de jure-nya Madinah telah bertukar menjadi Negara Islam. Kekuasaan dan keamanan di sana sudah berada di tangan kaum Muslimin sepenuhnya. Madinah hanya menunggu kedatangan Rasulullah (saw) untuk menjadi sebuah Negara Islam secara de facto, di mana berlakunya penerapan hukum Islam.

Walaupun ada sebahagian pendapat cuba menafikan bahawa apa yang ditegakkan oleh Rasulullah (saw) di Madinah ialah sebuah negara, pendapat seperti ini sangat naif, di samping menunjukkan agenda mereka untuk menafikan kewajipan mendirikan sebuah Negara Islam. Bukti empirik bahawa Madinah merupakan sebuah negara tampak jelas daripada apa yang dipraktikkan oleh Rasulullah (saw) sebagaimana lazimnya dilakukan oleh seorang ketua negara. Sejak hari pertama tibanya baginda di Madinah, kota kecil itu telah bertukar menjadi sebuah wilayah politik baru dengan ketua negara dan sistem yang baru, yang ternyata diakui oleh semua pihak, baik dari dalam mahu pun luar Madinah pada waktu itu.

Rasulullah (saw) menerapkan dan menetapkan suatu struktur, sistem dan hukum yang baru (Islam) menggantikan struktur, sistem dan hukum lama yang dipraktikkan oleh penduduk Madinah. Baginda membuat satu Sahifah (perlembagaan) yang di dalamnya terdapat undang-undang dasar yang mengatur kehidupan bermasyarakat dan bernegara, yang merangkumi hubungan antara Muslim dan non-Muslim. Terdapat sempadan wilayah dan sejumlah penduduk (rakyat) yang sama ada rela atau terpaksa, tunduk patuh dengan segala peraturan yang diterapkan di dalamnya. Semua ini membuktikan kewujudan sebuah negara, dan sememangnya memenuhi karakteristik sebagai sebuah negara.

Rasulullah (saw) bukan sahaja membangun pemerintahan dan pentadbiran yang baru, malah baginda mengatur seluruh urusan dan kemaslahatan rakyatnya, memenuhi segala keperluan asas mereka berupa tempat tinggal, makanan dan pakaian, serta menjamin keselamatan, pekerjaan dan kesihatan mereka, sejajar dengan kuasa dan tanggungjawabnya sebagai seorang ketua negara.

Rasulullah (saw) menjadi qadhi (hakim) di saat terjadinya tuntutan atau perselisihan di antara rakyatnya, termasuk mengangkat Ali bin Abi Thalib, Muadz bin Jabal dan Abu Musa al-Asy’ari sebagai qadhi di Yaman. Manakala untuk membantu pemerintahannya, Rasulullah (saw) melantik Abu Bakar dan Umar sebagai Mu’awwin Tafwidh, dan setelah wilayah Islam berkembang, baginda mengangkat Muadz bin Jabal menjadi wali di Janad, Ziyad bin Lubaid menjadi wali di Hadhramaut, dan banyak lagi pelantikan lainnya telah dibuat oleh baginda.

Sebagai sebuah negara, Madinah sudah tentu berhadapan dengan urusan-urusan luar negeri seperti keperluan kepada perjanjian antarabangsa, baik itu perjanjian ekonomi, diplomatik, perjanjian damai, gencatan senjata, perundingan, penghantaran duta dan lain-lain. Semua ini turut diatur oleh Rasulullah (saw). Baginda mengirim surat-surat diplomatik dan para utusan (duta), yang intinya mengajak negara dan kerajaan lain untuk memeluk agama Islam. Rasulullah (saw) juga turut menerima kedatangan para duta daripada negara luar.

Selain itu, Rasulullah juga menjadi Amirul Jihad dalam banyak peperangan, dan melantik para Sahabat sebagai Amirul Jihad dalam peperangan yang tidak disertai baginda. Baginda pernah mengangkat Zaid bin Haritsah sebagai amir (pemimpin)  dalam perang Mu’tah, mengutus Hamzah bin Abdul Muthalib dan Sahabat lainnya dalam peperangan melawan Quraisy, mengutus Khalid bin Walid menyerang Dumatul Jandal dan banyak lagi. Rasulullah (saw) juga pernah mengangkat Utsman bin Affan untuk berunding dengan Quraisy, semasa perjanjian Hudaibiyyah. Semua ini merupakan fakta yang tidak terbantah bahawa Madinah adalah sebuah negara.

Setelah kewafatan Rasulullah (saw), kepemimpinan negara dilanjutkan oleh Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan para Khalifah lainnya, dalam negara yang disebut sebagai Khilafah. Sejarah Islam telah mencatat bahawa kepimpinan dalam Negara Khilafah telah bersilih ganti daripada Khulafa’ ar-Rasyidin kepada para Khalifah daripada Bani Umayyah, Abbasiyyah dan yang terakhir Uthmaniyyah.

Daulah Khilafah berkembang dengan cukup pesat dan besar dan bertahan sehingga lebih 13 abad sebelum kejatuhannya pada 28 Rajab 1342 H. Sejak runtuhnya Khilafah, kaum Muslimin telah hidup dalam negara yang menerapkan hukum kufur, dan keamanannya banyak bergantung kepada kuasa-kuasa besar yang kafir. Maka, di sinilah pentingnya untuk kaum Muslimin melihat kembali hijrah yang telah dilakukan oleh Rasulullah (saw), kerana dengan hanya memahami makna hijrah yang benar, barulah setiap Muslim faham akan kewajipan mereka. Mereka wajib berusaha menggantikan hukum kufur yang membelenggu mereka, dengan hukum Islam, dan seterusnya menukar status negara mereka, kepada Negara Islam.

Dengan kata lain, setiap Muslim wajib berusaha untuk mendirikan Negara Islam. Inilah pengertian dan perjuangan hijrah yang wajib direalisasikan oleh kaum Muslimin, sama sebagaimana perjuangan hijrah yang telah dirintis oleh Rasulullah (saw). Atas dasar itu, mempraktikkan makna hijrah dalam konteks sekarang harus dimaknai dengan perjuangan untuk mengembalikan semula kehidupan Islam dengan berusaha menegakkan kembali Negara Islam (Khilafah).

Khatimah

Hijrah dengan maknanya yang hakiki yakni keluar dari Darul Kufur menuju Darul Islam sudah pasti tidak dapat dilakukan kecuali adanya sebuah Darul Islam terlebih dulu. Bagaimana mungkin kita boleh berhijrah jika Darul Islam yang menjadi tujuan hijrahnya belum ada? Sirah Rasulullah (saw) menunjukkan dengan jelas bahawa mendirikan Negara Islam adalah wajib, yang mana kewajipan inilah yang telah membawa kepada hijrahnya Rasulullah (saw) daripada Mekah ke Madinah. Hijrah seperti inilah yang seharusnya direalisasikan kembali oleh kaum Muslim saat ini, sesuai dengan hakikat hijrah yang telah dilakukan oleh Rasulullah (saw) dan para Sahabat baginda. Peristiwa hijrah seharusnya dapat membangun kesedaran kaum Muslimin tentang peri pentingnya memiliki sebuah Negara Islam, yang bukan sahaja akan menerapkan hukum Allah (swt) secara kaffah, tetapi akan mempersatukan semula kaum Muslimin serta mengembalikan kekuatan dan kemuliaan mereka di persada antarabangsa.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF