SN614 – Najib Ke Penjara, Adakah Segalanya Telah Selesai?

SN614

26 Ogos 2022 M / 28 Muharam 1444 H

 

Tercipta sejarah baru di Malaysia apabila Datuk Seri Mohd Najib bin Abdul Razak menjadi bekas Perdana Menteri pertama yang dihumban ke penjara setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadapnya, berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd. Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahguna kedudukan. Secara keseluruhannya, Najib sebenarnya dihukum 72 tahun penjara atas tujuh kesalahan, namun oleh kerana tempoh pemenjaraan berjalan serentak, maka bekas Perdana Menteri itu perlu menjalani 12 tahun penjara dan membayar denda sebanyak RM210 juta.

Ramai pemimpin pembangkang yang menyuarakan kepuasan hati masing-masing dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dan memuji kelima-lima hakim yang telah membuat keputusan sebulat suara untuk mengekalkan sabitan ke atas Najib. Kebanyakan mereka menyifatkan integriti mahkamah telah kembali pulih dengan keputusan ini. Rakyat yang selama ini mengikuti tanpa jemu kes berprofil tinggi itu juga rata-ratanya melahirkan kepuasan setelah penantian mereka berakhir dengan apa yang mereka harapkan. Tidak kurang yang memberikan pujian melangit kepada para hakim sambil menyifatkan yang badan kehakiman serta sistem demokrasi di negara ini telah kembali ke landasannya. Manakala dalam masa yang sama, para penyokong Najib melahirkan rasa kecewa dengan keputusan mahkamah, bahkan sebelumnya ada yang “menyerang” institusi mahkamah dan Ketua Hakim Negara kerana tidak berpuas hati dengan proses keadilan ke atas boss mereka. Sebahagian mereka berkumpul di Istana Negara bagi menuntut pengampunan diraja ke atas Najib.

Pengajaran Untuk Mereka Yang Berkuasa

Satu perkara yang dipersetujui ramai dengan apa yang berlaku ke atas bekas Perdana Menteri Malaysia ini ialah mengenai pengajaran yang seharusnya diambil oleh para pemimpin. Ketika berkuasa, janganlah dengan semahunya melakukan segala bentuk penyelewengan, rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan lain-lain. Hari ini anda mungkin selamat dengan kuasa yang ada, dan anda boleh mengawal serta mempengaruhi banyak pihak, namun langit tidak selalunya cerah untuk anda. Inilah apa yang diperkatakan oleh banyak pihak, dan memang benar.

Namun di atas semua itu ada pengajaran yang lebih penting untuk diambil iktibar oleh para pemimpin, khususnya yang sedang berkuasa. Para pemimpin ini seharusnya sedar bahawa mereka bukan sahaja wajib menjauhi segala keharaman, tetapi wajib menerapkan hukum Allah (swt) secara kaffah dalam pemerintahan mereka. Inilah amanah pemerintahan yang terbeban di atas bahu mereka, yakni bukan sahaja menghindari perkara-perkara haram, tetapi hendaklah melaksanakan perkara-perkara yang wajib berupa penerapan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya secara menyeluruh!

Mereka yang sekarang ini sedang memegang kuasa juga seharusnya sedar bahawa kekuasaan yang ada pada mereka itu sesungguhnya datang daripada Allah (swt). Allah-lah yang memberikannya, dan Dia berkuasa untuk mencabutnya pada bila-bila masa. Firman-Nya:

“Katakanlah: “Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu” [TMQ Ali Imran (3) 26].

Sebesar dan sehebat mana sekali pun kuasa yang dimiliki oleh seseorang, dia seharusnya sedar bahawa Allah-lah yang menganugerahkan kekuasaan tersebut kepadanya, dan dengan itu dia seharusnya senantiasa mengingati Allah, dan menunaikan apa jua perintah Allah yang terbeban di pundaknya sebagai seorang penguasa. Ironinya, ramai penguasa yang hanya mengingati Allah di saat-saat kejatuhannya sahaja, sedangkan tatkala berkuasa, mereka mencampakkan hukum Allah serta melakukan segala yang Allah haramkan, demi mendapat habuan dunia yang sedikit!

Allah (swt) telah mengingatkan orang-orang yang beriman melalui kisah Firaun yang sangat berkuasa sehingga mengakui dirinya sebagai Tuhan. Pelbagai tanda dan peringatan telah diberikan oleh Allah kepadanya, namun dia tetap kufur dan melakukan kezaliman sewenang-wenangnya. Akhirnya Allah (swt) menenggelamkannya berserta bala tenteranya ke dalam laut, dan hanya di saat itu barulah Firaun ingin beriman, namun Allah sudah tidak menerima keimanannya lagi.

Sesungguhnya kisah Firaun sahaja sebenarnya sudah mencukupi untuk para penguasa yang ada sekarang sedar dan insaf mengenai kewajipan mereka agar jangan berlaku sombong dan zalim dengan kekuasaan yang ada. Namun demikian, berapa ramai penguasa yang terus memekakkan telinga dan membutakan mata seolah-olah tidak pernah ada peringatan daripada Allah untuk mereka di dalam Al-Quran!

Selain Firaun, sebenarnya ramai lagi para penguasa yang telah dibinasakan oleh Allah (swt), yang seharusnya membuka mata para penguasa yang sedang berkuasa sekarang bahawa Dia berkuasa menyentap kekuasaan mereka dengan cukup mudah, dan sepantas kilat. Lihat sahaja di sepanjang tragedi Arab Spring apabila para diktator dunia Arab telah kehilangan kuasa dengan cara yang cukup menghinakan. Mereka lari lintang pukang, menyorok, meminta suaka dari negara lain, malah ada yang mati dibunuh. Kesemua diktator itu merasakan yang mereka akan selamanya berkuasa dan selamat, sehingga mereka melakukan kezaliman dan kesombongan di muka bumi tanpa batas.

Para penguasa di dunia Islam rata-ratanya bertuan kepada Amerika, berkhidmat dengan penuh ketundukan dan taat setia kepada Amerika serta menjaga kepentingan Amerika di sepanjang kekuasaan mereka. Namun, apabila rakyat telah menolak mereka, sehingga mereka sudah tidak ada kawalan lagi ke atas rakyat mereka, Amerika tidak pernah bersimpati dengan mereka sedikit pun, malah akan turut menendang mereka tanpa belas kasihan. Mereka menyangka bahawa Amerika menyayangi mereka, dan akan mempertahankan kedudukan mereka, sedangkan Amerika yang kafir itu hanyalah mempergunakan mereka, dan hakikatnya maruah serta nyawa mereka tidak bernilai satu sen pun di sisi Amerika!

Begitulah sedikit “azab” di dunia lagi yang Allah rasakan kepada sebahagian penguasa yang sombong dan zalim, yang seharusnya diinsafi dan dijadikan teladan oleh sebahagian yang lain. Malangnya hingga kini tidak pernah muncul para penguasa yang sedar dan insaf, lalu bertaubat kepada Allah, meninggalkan segala kejahatan serta kezaliman mereka seraya menerapkan segala hukum-Nya. Sebaliknya yang muncul secara silih berganti ialah para penguasa yang semakin sombong dan zalim yang menunggu masa untuk dibinasakan oleh Allah!

Kewibawaan Institusi Kehakiman Telah Kembali?

Di sebalik pujian melambung yang diberikan kepada para hakim dan institusi kehakiman melalui keputusan kes Najib ini, yang dikatakan telah bersih daripada campur tangan politik, hal ini sekali gus merupakan pengakuan bahawa para hakim dan institusi kehakiman selama ini telah tercemar dengan pengaruh orang-orang politik yang berkuasa.

Melalui doktrin pengasingan kuasa dalam sistem demokrasi, badan kehakiman seharusnya bebas daripada campur tangan atau pengaruh badan eksekutif mahu pun legislatif. Malangnya, hal ini cuma berlaku secara teori kerana secara realitinya, kes-kes yang menjadi bukti ketidakbebasan badan kehakiman muncul satu demi satu di depan mata rakyat.

Ungkapan bahawa si jerung sering terlepas dan yang tersangkut hanyalah si bilis sudah sangat popular di Malaysia, yang mencerminkan hakikat badan kehakiman di negara ini. Malah ia sebenarnya mencerminkan sistem demokrasi itu sendiri, yang seharusnya disedari oleh umat Islam. Persoalannya sekarang, adakah dengan tersangkutnya seekor jerung, maka sudah cukup untuk membuktikan betapa bebas dan bersihnya badan kehakiman negara?

Bolehkah kita membuat kesimpulan mudah bahawa dengan menghantar seorang bekas Perdana Menteri ke tirai besi, ini bermakna institusi kehakiman telah kembali berwibawa? Memang benar bahawa inilah harapan setiap rakyat untuk melihat setiap jerung tersangkut, dan boleh jadi ini adalah jerung pertama, yang akan disusuli dengan jerung-jerung yang lain selepas ini. Siapa pun sudah pasti mendambakan keadaan ini setelah puluhan tahun menanggung kesakitan melihat layanan dua darjat yang ada di bumi Malaysia ini.

Namun demikian, jika difikirkan dengan mendalam dan jernih, setiap Muslim tidak seharusnya terlalu gembira dengan keputusan mahkamah ini. Kenapa? Kerana hakikatnya mahkamah yang ada masih belum “bebas”. Ya benar kita mahukan sebuah badan kehakiman yang bebas – bebas dari sistem dan undang-undang sekular tinggalan penjajah! Inilah kebebasan yang sebenar. Kita mahukan sebuah badan kehakiman yang berhukum dengan hukum Islam sepenuhnya!

Lebih daripada itu, kita mahukan sebuah negara yang menerapkan hukum Islam sepenuhnya. Jika kita mahukan keadilan, maka hukum Islamlah yang paling adil. Jika kita mahukan sebuah institusi kehakiman yang berwibawa, maka institusi kehakiman Islamlah yang paling berwibawa. Ada pun institusi kehakiman yang ada pada hari ini ialah yang telah diberikan oleh British kepada kita – sebuah institusi yang dibina atas asas sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan). Begitu juga dengan negara yang ada pada hari ini – sebuah negara yang dibina atas asas sekularisme, yang mana sebahagian besar sistemnya diwarisi daripada British.

Mereka yang telah menarik nafas lega setelah melihat Najib ke penjara, juga tidak seharusnya terlalu gembira kerana dalam sistem hari ini, Najib masih berpeluang bebas dan “suci” daripada segala kesalahan dalam sekelip mata sekiranya beliau mendapat pengampunan diraja, sebagaimana yang telah dikecapi oleh Anwar Ibrahim pada tahun 2018. Jika ini berlaku, maka segala proses perbicaraan dan penghakiman yang dipuji hebat itu, hanyalah seperti istana pasir yang lenyap begitu sahaja disapu ombak.

Dalam Islam, setelah qadhi (hakim) memberi keputusan, maka keputusannya bersifat mengikat (wajib dilaksanakan), dan tidak ada siapa pun yang boleh memberi pengampunan sesudah itu. Hukuman wajib dijalankan tanpa mengira status seseorang dalam masyarakat, baik ia merupakan pemimpin, orang terhormat atau orang bawahan. Tidak ada siapa pun yang lebih tinggi atau kebal daripada hukum. Rasulullah (saw) pernah diminta oleh Usamah bin Zaid agar mengampuni seorang perempuan terhormat daripada suku Makhzumiah yang terbukti telah mencuri. Rasulullah (saw) bersabda dengan cukup tegas, sebagai peringatan untuk umatnya:

“Sesungguhnya kebinasaan atas umat-umat sebelum kalian, jika orang yang mulia dalam kalangan mereka mencuri, mereka membiarkannya, akan tetapi jika orang yang rendah dalam kalangan mereka mencuri, mereka potong tangannya. Demi Dzat yang jiwaku ada dalam genggaman-Nya, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya akan aku potong tangannya! Demikianlah akhirnya tangan perempuan Makhzumiah itu dipotong.” 

Rasulullah (saw) sendiri tidak boleh memberi pengampunan kepada orang yang telah terbukti bersalah, untuk kesalahan yang di dalamnya terdapat hak-hak Allah. Inilah yang harus difahami oleh setiap Muslim, malah harus diperjuangkan, iaitu penegakan sistem dan undang-undang (hukum) Islam. Sungguh tidak ada kewibawaan jika apa yang ada pada kita adalah yang datangnya daripada penjajah, bukannya datang daripada Kitabullah dan Sunah Rasulullah.

Khatimah

Seorang yang bernama Najib ke penjara tidak bermakna keadilan telah tertegak, tidak bermakna semua jerung akan tersangkut, tidak bermakna masalah negara telah selesai, dan tidak bermakna kehidupan rakyat telah kembali pulih! Kita perlu ingat bahawa undang-undang sekular dan sistem demokrasi masih membelenggu negara ini, dan hukum Allah masih belum berjalan. Umat Islam perlu dibebaskan daripada perhambaan sesama manusia, kepada perhambaan hanya semata-mata kepada Allah (swt). Perjuangan sebenar umat Islam ialah untuk mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah di bawah naungan Khilafah, yang dengannya sahajalah masyarakat serta negara, akan bebas daripada belenggu penjajahan, baik secara mental mahu pun fizikal.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF