SN631 – Gaji Progressif vs Gaji Bermaruah

Bil: SN631 (PDF) – 4 Zulkaedah 1444 / 24 Mei 2023

Kos sara hidup masih meningkat dan rakyat mula mempersoalkan langkah yang diambil kerajaan Malaysia Madani dalam memperbaiki taraf hidup rakyat. Walaupun pelbagai bantuan telah diberikan kepada golongan yang memerlukan seperti petani, nelayan dan kelompok miskin tegar, masalah kos sara hidup ini masih belum menemui jalan penyelesaian yang tuntas. Dalam pada itu, kerajaan terus memperkenalkan berbagai langkah untuk mengatasi isu peningkatan kos sara hidup. Terkini, kerajaan Malaysia Madani memperkenalkan Model Gaji Progresif (Progressive Wage Model atau PWM) untuk golongan pekerja bawahan. Gaji progresif bermaksud pekerja bawahan berpeluang untuk meningkatkan gaji mereka sesuai dengan pengalaman dan kemahiran yang mereka capai. Para pekerja akan melalui beberapa siri latihan untuk meningkatkan kemahiran agar dapat memberikan lebih banyak manfaat kepada majikan dan seterusnya mendapat gaji yang setimpal dengan usaha dan manfaat yang telah mereka curahkan. Usaha ini diharap akan dapat meningkatkan pendapatan golongan bawahan dan seterusnya menampung sebarang kenaikan kos sara hidup.

        Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, kerajaan akan merujuk kepada Singapura di dalam rancangan perlaksanaan Model Gaji Progresif [Berita Harian 3/5/2023]. Persoalannya, mengapa Singapura? Tidak dinafikan terdapat beberapa aspek berkesan dalam perlaksanaan gaji progresif di negara republik tersebut, namun ia masih di peringkat awal perlaksanaan dan hanya melibatkan pekerja yang bergaji rendah. Bagaimana pula dengan golongan pekerja atasan? Adakah gaji mereka juga progresif?

        Asas kepada permasalahan ini muncul apabila ramai yang menganggap gaji merupakan faktor utama dalam memenuhi keperluan dan jaminan hidup serta menikmati gaya hidup masakini. Bagi sebahagian besar graduan,  mereka berharap untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lebih bermaruah iaitu sepadan dengan usaha yang telah mereka curahkan sepanjang bertahun-tahun berada di menara gading. Bermaruah di sini bermaksud sesuai dengan kos sara hidup semasa. Namun hakikatnya, ramai yang gagal mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang diharapkan. Lebih parah lagi, kadar gaji yang ditawarkan tidak masuk akal kerana dikatakan tidak setimpal dengan kelulusan yang mereka ada. Masing-masing menganggap bahawa kelulusan tinggi seharusnya dibayar dengan gaji yang tinggi manakala mereka yang tiada kelulusan hanya layak mendapat gaji yang rendah. Jika benar demikian, maka amat malanglah bagi mereka yang tiada peluang belajar di menara gading kerana terpaksa bekerja dengan gaji yang rendah. Lebih sayu apabila gaji yang diterima masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan hidup.

        Inilah realitinya. Hampir semua golongan samada pekerja mahupun majikan mempunyai pandangan bahawa gaji merupakan faktor paling utama untuk memperoleh kehidupan yang sejahtera. Gajilah yang akan digunakan untuk mendapatkan keperluan asas kehidupan seperti membeli makanan, pakaian dan tempat tinggal. Gaji jugalah yang diharap untuk menampung kos perubatan dan pendidikan anak-anak. Walaupun ada sebahagian rakyat yang bernasib baik terpilih untuk diberikan bantuan dan kemudahan bagi rakyat termiskin, ramai lagi yang terperangkap dengan gaji pertengahan (RM4K ke RM7K) yang gagal mendapatkan bantuan tetapi bergelut untuk memenuhi keperluan hidup. Ditambahkan lagi dengan kadar inflasi makanan dan minuman yang masih tinggi (>6%), kenaikan harga rumah dan kadar sewaan yang tinggi menjadikan kehidupan rakyat berpendapatan gaji pertengahan ini amat tertekan.

Pandangan Islam

        Secara asasnya, Islam mempunyai takrifan terhadap gaji yang berbeza dengan pandangan kapitalisme. Di dalam Islam, gaji tidak ada kaitan dengan harga barang atau harga perkhidmatan di pasaran. Mengaitkan harga barang dengan gaji adalah satu kesalahan yang fatal. Ini adalah kerana, dalam Islam, harga sesuatu barang itu dikaitkan kepada nilai guna barang tersebut manakala gaji pula adalah upah yang merujuk kepada manfaat hasil dari usaha yang dicurahkan oleh seseorang. Gaji diberikan kepada seseorang pekerja apabila dia telah menyelesaikan suatu tugas berdasarkan perjanjian di antara majikan dan pekerja. Ia tidak ada kena mengena dengan harga barangan dan perkhidmatan. Dalam sistem ekonomi Islam, gaji atau upah yang diberikan haruslah berdasarkan kepada akad ijarah (kontrak) yang dibuat antara majikan dan pekerja. Ijarah merupakan pemberian perkhidmatan oleh pekerja kepada majikan, dan majikan memberikan bayaran (upah) kepada pekerja sebagai imbalan terhadap usaha atau manfaat yang telah diberikan. Dengan kata lain, ijarah adalah transaksi yang melibatkan seorang pekerja mencurahkan usaha tertentu yang kemudiannya diberikan imbalan gaji. Faktor paling penting di dalam menentukan kadar gaji ialah sumbangan usaha yang dicurahkan oleh pekerja untuk majikan. Di dalam hal ini, Islam telah menetapkan bahawa gaji  tersebut hanya dipersetujui atau disepakati di antara dua pihak yang berakad sahaja yakni pekerja dan majikan. Pihak ketiga atau orang lain yang tidak ada kena-mengena dengan akad tidak boleh masuk campur di dalam aqad tersebut. Oleh itu, kerajaan contohnya, selaku pihak yang tidak ada kena mengena dengan akad, tidak boleh dan tidak ada hak untuk campur tangan dalam penentuan gaji antara pekerja dan majikan [Syeikh Taqiyuddin An Nabhani, Nizamul Al Iqtisadi Fil Islam (Sistem Ekonomi Islam). hlm 136]

Hukum tentang gaji ini telah difirmankan  oleh Allah SWT di dalam Al-Quran,

“Apabila mereka (wanita-wanita) menyusui anak kalian, maka berikanlah kepada mereka upah-upah mereka” [TMQ at-Thalaq (65):6].

Dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah SAW bersabda,

“Tiga orang yang Aku musuhi pada hari Kiamat ialah…..orang yang mengupah pekerja, kemudian pekerja tersebut menunaikan pekerjaannya sedangkan orang tersebut tidak memberikan upahnya” [HR Bukhari].

Islam memerintahkan kepada kedua belah pihak (pekerja dan majikan) untuk menentukan gaji terlebih dahulu sebelum sesuatu pekerjaan dimulakan, sebagaimana sabda Nabi SAW,

“Apabila salah seorang di antara kalian mengupah seorang ajir maka hendaklah ia memberitahu upahnya kepada ajir tersebut” [HR Daruquthni].

Imam Ahmad juga meriwayatkan sebuah hadis dari Abi Sa’id bahawa

“Nabi SAW melarang mengupah seorang ajir sehingga upahnya jelas (terlebih dahulu) baginya”.

        Huraian dan dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa penentuan gaji tiada kena mengena dengan harga barang atau perkhidmatan di pasaran. Seseorang itu boleh sahaja diberikan gaji yang tinggi kerana kemampuannya memberikan manfaat yang banyak kepada majikannya walaupun ia tidak mempunyai ijazah dari menara gading. Seseorang itu juga mungkin mendapat gaji yang rendah kerana dia tidak mampu memberikan manfaat yang diharapkan oleh majikannya walaupun mempunyai kelulusan dari universiti.

        Di sisi lain, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan amat bergantung kepada permintaan dan bekalannya di pasaran. Namun begitu, mengikut hukum Islam, pihak kerajaan tidak boleh melakukan penetapan harga barangan dan perkhidmatan. Apa yang wajib dilakukan oleh kerajaan adalah memastikan bekalan suatu barangan atau perkhidmatan adalah mencukupi bagi memastikan kestabilan harga. Dengan cara ini, harga barangan dan perkhidmatan dapat dikawal dengan lebih baik. Justeru, di dalam Islam, kenaikan gaji bukanlah kewajiban  ke atas para majikan dalam menangani isu kos sara hidup. Hakikatnya, negaralah yang wajib menyediakan jaminan makanan, perumahan dan perkhidmatan umum yang mencukupi bagi yang memerlukannya. Negaralah, secara asasnya bertanggungjawab memastikan kehidupan yang sejahtera bagi setiap warga.

Kesimpulan

        Melalui pengamatan yang mendalam, jelas bahawa di sebalik pelbagai insentif dan usaha yang dijalankan oleh kerajaan untuk mengurangkan kesusahan rakyat, sistem kapitalisme yang sedang dilaksanakan hari ini tidak akan mampu menyelesaikan masalah ini secara keseluruhan. Kerajaan seharusnya tidak masuk campur perihal urusan pembayaran gaji oleh majikan. Usaha kerajaan dalam membela kebajikan rakyat yang masih menerima gaji yang rendah melalui mekanisme yang melibatkan penglibatan majikan adalah jauh dari penyelesaian yang tepat. Selama mana gaji masih dilihat sebagai faktor utama kesejahteraan hidup, selama itulah segala penyelesaian yang bersandarkan persepsi ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah kos sara hidup secara tuntas.

        Islam sebagai Deen yang diturunkan oleh Sang Pencipta Alam telah memberikan penyelesaian kepada masalah ini secara tuntas. Dalam Islam, gaji merupakan akad antara pekerja dan majikan. Namun, kesejahteraan hidup warga adalah tanggungjawab negara. Benar, keselesaan hidup dapat diperoleh dengan gaji yang lumayan, namun keperluan asas manusia, yang merupakan sebab utama timbulnya masalah kos sara hidup adalah tanggungjawab negara. Penerapan Islam secara keseluruhan di bawah sistem Khilafah insya-Allah akan melahirkan masyarakat yang sejahtera tanpa keluh terhadap isu kos sara hidup.

 Wallahu a’lam


KOLUM EKONOMI

Kenaikan OPR, Siapa Yang Kejam?

        Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.0% yang sekaligus memberi kesan langsung terhadap kenaikan kadar interest (riba) sebahagian pinjaman (pembiayaan) rakyat. Kenaikan OPR ini membawa reaksi yang pelbagai. Ahli ekonomi sudah menjangkakannya, namun ada yang melihat kenaikan ini berlaku terlalu awal. Sekalipun gabenor bank mengatakan OPR tak akan menjadi penyebab orang muflis, namun rakyat yang terkesan meluahkan kekecewaan terhadap kenaikan ini yang dilihat tidak selari dengan idea ‘rahmah’. Lebih memburukkan keadaan, para politikus terus menerus menunggang isu OPR ini demi “political mileage” mereka.

        Meskipun umum mengetahui kuasa BNM dalam menentukan naik-turunnya OPR,  ia masih sering dijadikan polemik berkaitan kuasa eksekutif kerajaan dalam membantu rakyat. Dalam amalan kapitalis, dasar monetari berasaskan fiat dan ekonomi yang digerakkan oleh hutang ribawi adalah antara faktor nilai matawang mengalami ketidaktentuan. BNM pula bertanggungjawab terhadap turun-naiknya OPR untuk mengawal nilai matawang dan inflasi. Pada dasarnya, pertimbangan kenaikan OPR disandarkan pada faktor domestik dan luaran. Kenaikan OPR dalam konteks domestik bertujuan mengurangkan hutang isi rumah dan mengawal kadar inflasi. Faktor luaran pula amat bergantung kepada kenaikan nilai faedah Dolar Amerika (USD) dan kenaikan OPR dalam konteks ini bertujuan untuk menarik pelabur luar dan memelihara sentimen pelabur agar tidak berlepas diri akibat nilai Ringgit yang jatuh berbanding USD. Walaupun BNM merujuk kepada data ekonomi negara yang menunjukkan pertumbuhan yang positif, namun hasilnya tidaklah melimpah dan dinikmati oleh kebanyakan rakyat khususnya golongan B40. Inilah realiti pahit yang terpaksa ditelan. Ironisnya, apabila OPR diturunkan untuk mendorong pertumbuhan ekonomi maka inflasi akan meningkat dan apabila inflasi meningkat OPR dinaikan semula untuk mengawal jumlah wang yang beredar.

        Persoalannya, mengapakah kita seakan pasrah dengan kitaran ekonomi sebegini? Apakah tiada jalan keluar dari krisis ini? Hakikatnya, krisis ini berlaku akibat dasar monetari (kewangan) dan industri hutang ribawi dalam amalan ekonomi kapitalis saat ini. Islam memiliki sistem ekonomi yang berbeza dan merupakan satu-satunya solusi bagi seluruh umat manusia yang didasarkan pada model unik yang berbeza dari kapitalisme. Sistem ekonomi Islam menghapuskan amalan ribawi, spekulasi dan penimbunan harta, serta menggunakan matawang bersandarkan piawai emas dan perak yang mampu membatasi pencetakan matawang serta mampu mencegah terjadinya inflasi. Dan jika terjadi kenaikan harga, ia adalah disebabkan oleh faktor penawaran dan permintaan, bukan kerana dasar monetari Islam. Selain itu, piawai emas dan perak memberikan nilai tukar tetap antara matawang dan mencegah turun-naik nilai tukar yang mendadak. Pembiayaan perniagaan pula boleh dicapai tanpa melibatkan pinjaman riba. Ia boleh dilakukan melalui mekanisme syirkah (perkongsian) yang menepati syariat Islam. Demikian juga halnya dengan larangan penimbunan wang dan larangan monopoli – semuanya berfungsi untuk memastikan aktiviti ekonomi yang adil. Inilah antara gambaran umum sistem ekonomi Islam yang hanya dapat diterapkan dalam sistem Khilafah. Mengapa hanya dengan Khilafah? Kerana sistem ekonomi Islam perlu berjalan beriringan dengan sistem Islam yang lain sebagai manifestasi penerapan Islam yang kaffah!