SN633 – Topeng dan Sandiwara Pentas Politik Demokrasi

Bil: SN633 (PDF) – 7 Zulhijjah 1444/ 26 Jun 2023

Perhimpunan Agung UMNO yang tamat pada 11hb Jun 2023 yang lepas telah mencatat satu lagi sejarah landskap politik demokrasi negara dengan kehadiran para pemimpin DAP di majlis tersebut. DAP telah sejak sekian lama menjadi seteru politik utama dan mempunyai pemikiran yang sangat bertentangan dengan UMNO. UMNO memperjuangkan agenda keistimewaan bangsa Melayu manakala DAP memperjuangkan kesamarataan semua kaum meskipun secara dominan, ia  dikuasai oleh bangsa Cina. DAP juga dilihat sangat menentang sebarang usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam. Oleh itu tidak hairanlah di dalam PAU UMNO sebelum ini, ahli-ahli UMNO telah sepakat untuk menolak DAP. Namun semuanya berubah setelah PRU15, tatkala semua parti gagal mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, maka kedua-dua parti tersebut telah bersetuju untuk berpakat untuk membentuk kerajaan. Pelbagai justifikasi diberikan kepada penyokong masing-masing dalam menyokong penubuhan pakatan ini. Apapun, pada hakikatnya, ia hanyalah sekadar alasan agar mereka dapat sama-sama berkongsi kuasa.

Pragmatisme dalam Politik 

        Perkongsian kuasa dari kalangan parti-parti politik yang berbeza pemikiran ini berlaku hampir di semua negara yang mengamalkan politik demokrasi. Walaupun mungkin pada awalnya terdapat parti yang dominan, namun kemudiannya tiada lagi dominasi mutlak dan mereka akhirnya berkongsi kuasa dengan musuh politik masing-masing di dalam kerajaan. Ketika itu, perbezaan prinsip dan ideologi tidak lagi diperkirakan. Apa yang penting, mereka dapat meraih kekuasaan.

        Inilah yang dinamakan pragmatisme di dalam amalan politik demokrasi. Istilah pragmatisme berasal dari bahasa Greek;  pragma bererti perbuatan (action) atau tindakan (practice) dan isme di sini bererti aliran atau ajaran atau fahaman. Pragmatisme membawa maksud fahaman yang menekankan bahawa pemikiran itu menuruti suatu tindakan. Pragmatisme memandang bahawa kriteria kebenaran sesuatu fahaman/tindakan itu adalah ‘faedah’ atau ‘manfaat’. Suatu teori atau hipotesis hanya akan dianggap benar sekiranya ia membawa suatu hasil yang memberikan manfaat. Dengan kata lain, suatu teori itu layak dikatakan benar sekiranya ia berfungsi dalam mewujudkan manfaat pada realitinya.

        Jika kita telusuri sejarah, pemikiran pragmatisme tumbuh subur di zaman Renaissance Eropah dan bukanlah berasal daripada Islam. Asas pemikirannya adalah berlandaskan idea pemisahan agama daripada kehidupan yang lebih dikenali sebagai akidah sekularisme. Dari sekularisme, akal manusia kemudian dijadikan sumber pemikiran lain dalam bidang ekonomi, sosial dan politik.

        Akidah sekularisme itu sendiri bukanlah suatu pemikiran yang benar dan rasional kerana ia dicapai melalui jalan tengah atau kompromi antara pihak gereja dengan para cendekiawan Barat.  Dalam akidah sekularisme, ukuran baik atau buruk, benar atau salah sesuatu perkara disandarkan kepada manfaat. Jika perkara itu membawa manfaat pada persepsi manusia maka ia adalah benar dan baik, sedangkan jika membawa kepada kerugian pada persepsi manusia, maka ia adalah salah dan buruk. Jalan kompromi antara dua pemikiran yang bertentangan merupakan suatu yang lumrah dalam akidah ini dalam mencapai pelbagai objektifnya.

        Amalan pragmatisme dalam politik lebih mudah difahami dari apa yang diungkapkan oleh Lord Palmerson, bekas Perdana Menteri Britain pada abad ke-19 yang menyatakan; “kita tidak mempunyai kawan atau lawan yang kekal. Hanya kepentingan kita sahaja yang kekal dan kita wajib untuk mengikutinya.” Apa yang beliau maksudkan sangat mudah dilihat pada hari ini. Parti-parti yang dahulunya berseteru, kini telah menjadi ‘sahabat’ dan boleh duduk semeja, berkongsi kuasa di dalam kerajaan. Mereka mengabaikan prinsip-prinsip mereka yang saling bertentangan melalui kompromi demi mencapai manfaat bersama iaitu kekuasaan.

        Manakala ‘sahabat’ mereka yang dulunya bersama, apabila dilihat tidak lagi membawa sebarang manfaat, berubah menjadi musuh. Tindakan mengubah-ubah pemikiran seperti ini dilakukan tanpa rasa bersalah sedikit pun kerana akidah sekularisme dan pemikiran pragmatisme merupakan asas dan landasan mereka dalam berpolitik demi mencapai tampuk kekuasaan.

        Di dalam politik pragmatik demokrasi, nilai dan hakikat kebenaran tidak memiliki harga. Yang ada hanyalah topeng dan muslihat berlandaskan prinsip Machiavelli iaitu matlamat menghalalkan cara.   Jika tidak wujud kebenaran yang hakiki, maka tidak wujud juga tindakan politik yang konsisten. Tindakan parti-parti politik hari ini tidak ubah seperti sesumpah bengkarung yang sentiasa berubah-ubah mengikut situasi asalkan dapat meraih kekuasaan dan manfaat.

        Malangnya, umat yang mempercayai mereka selalu tertipu dengan naratif dan sandiwara perjuangan mereka. Mana tidaknya, ada parti yang dulunya menentang perjuangan assabiyyah nasionalis Melayu, tiba-tiba mereka sendiri berkompromi dan menyokongnya dengan pelbagai alasan.

        Dahulu apa parti yang menyerukan perjuangan untuk menegakkan negara Islam dan hukum hudud, tiba-tiba mereka berubah dan naratif dahulu hilang di dalam kabus kompromi dan pragmatisme. Dahulu ada parti yang menyatakan mereka melawan keras golongan yang terlibat dengan rasuah, tiba-tiba orang-orang terlibat dengan rasuah menjadi kawan rapat.

        Dahulu ada yang menyatakan kebencian terhadap golongan yang dianggap memperjuangkan chauvinisme Cina, namun hari ini ini mereka sendiri yang mendakap golongan tersebut. Tindakan yang berubah-ubah seumpama ini menyebabkan umat menjadi keliru yang akhirnya wajarlah apabila umat mengalami defisit kepercayaan terhadap kerajaan serta parti-parti politik demokrasi hari ini.

Pandangan Islam

        Islam mengajarkan bahawa akidah yang benar hanya boleh dicapai melalui proses berfikir secara rasional dan bukan melalui jalan kompromi. Dengan berfikir secara rasional, kita dapati bahawa di sebalik alam semesta, manusia dan kehidupan wujud Al-Khaliq (Yang Maha Pencipta) iaitu Allah SWT. Allah SWT telah menurunkan Al-Quran melalui RasulNya SAW untuk memberikan panduan kepada manusia dalam semua aspek kehidupan termasuk dalam masalah politik. Keimanan kepada Allah SWT, Al-Quran dan RasulNya membolehkan setiap Muslim memahami hubungan dirinya dengan Allah pada saat melakukan sesuatu perbuatan, sehingga seluruh amal perbuatannya adalah selari dengan perintah dan laranganNya.

        Begitu juga dengan tolok ukur atau piawai kebenaran; ia datang hanya dari Allah SWT dan bukan didasarkan kepada manfaat. Sesuatu itu adalah benar apabila ia selari dengan perintah Allah SWT dan salah apabila ia melanggar laranganNya. Perintah dan larangan Allah SWT sentiasa konsisten tidak bercanggah antara satu dengan yang lain. Firman Allah SWT:

“Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran? Kalau sekiranya Al-Quran itu bukan daripada sisi Allah, tentulah mereka mendapati pertentangan yang banyak di dalamnya.”

[An-Nisa'(4): 82]

        Oleh yang demikian, sekiranya kaum Muslimin berpegang teguh kepada agama Islam dalam semua aspek kehidupan, pemikiran dan tindakannya akan sentiasa konsisten. Dalam menggapai kekuasaan sebagai contoh, Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita supaya sentiasa berpegang kepada tariqah dakwah baginda dan tidak berkompromi dengan hal-hal yang menyimpang daripadanya.

        Sebagai contoh, Rasulullah SAW menolak tawaran untuk menjadikan baginda sebagai salah seorang pemimpin di kalangan kaum Quraisy. Hadis yang dikeluarkan oleh Ibnu Ishaq dalam al-Maghazi (Sirah Ibnu Hisyam) dengan sanad dari Ya’qub bin Utbah bin al-Mughirah bin al-Akhnas mengisahkan, “Ketika kaum Quraisy mendatangi Abu Thalib untuk memprotes semua kegiatan dakwah Rasulullah SAW, maka Abu Thalib menegur Rasulullah SAW seperti berikut, “Wahai anak saudaraku, sesungguhnya kaummu datang kepadaku lalu memprotes begini dan begitu, kerana itu tetaplah denganku dan jagalah dirimu, serta janganlah engkau bebani aku sesuatu yang aku tidak mampu untuk menanggungnya,” Kemudian Rasulullah SAW  bersabda:

“Wahai bapa saudaraku, demi Allah, kalau pun matahari diletakkan di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, agar aku meninggalkan perkara ini (penyampaian dakwah), sehingga Allah memenangkannya atau aku binasa, pastilah tidak akan aku meninggalkannya.”

        Begitulah dakwah dan politik Islam yang ditunjukkan oleh Nabi SAW yang mana ia dilaksanakan secara konsisten serta berpegang teguh dengan Islam. Seorang Muslim mestilah menjadikan Nabi SAW sebagai ikutan kerana hal ini merupakan sebuah kewajipan. Justeru,  tidak harus ada flip-flop atau U-turn seperti sesumpah dalam sebarang aktiviti dakwah dan politik di kalangan kaum Muslimin.

Kesimpulan

        Dengan penjelasan ringkas ini kita dapati politik demokrasi hari ini tidak berdiri di atas kebenaran yang hakiki. Umat Islam tidak seharusnya berpegang kepada sistem politik demokrasi yang wujud hari ini. Tiada parti yang akan istiqamah dengan prinsip Islam dan amalan Islam di dalam politik demokrasi. Pentas politik demokrasi secara alami berdiri atas pragmatisme dan kompromi. Segenap pergerakan politik demokrasi berjalan atas landasan prinsip-prinsip tersebut dan mereka yang cuba bergerak di atas landasan yang berbeza sudah pasti akan kalah, dimalukan dan ketinggalan. Tiada jalan lain untuk mengubah suasana ini kecuali mencabut sistem ini melalui sebuah perubahan intelektual yang mendasar dan menegakkan sistem politik Islam di atas debu-debu kehancuran politik demokrasi yang sekular dan pragmatik.


KOLUM SIYASAH

Politik Islam Melahirkan Kesatuan dan Perpaduan yang Hakiki

        Kemelut kesatuan dan perpaduan pada hari ini nampaknya terus berpanjangan. Para pemimpin dan parti-parti politik terus bersengketa antara satu sama lain dan berlumba-lumba mengetengahkan cara berfikir masing-masing demi memperolehi kekuasaan. Hakikatnya, sistem demokrasi, secara alami, melahirkan parti politik berasaskan sekularisme, nasionalisme, patriotisme, kebendaan dan parti yang lahir mendakwa ia berjuang atas dasar Islami pun, dasar-dasarnya adalah kabur dan tidak jelas. Secara hakikinya, ini merupakan bentuk-bentuk halangan dalam mencapai kesatuan dan perpaduan. Retorik dan kata-kata politik yang penuh tipu daya berasaskan konsep-konsep di atas tidak akan pernah membawa kepada apa jua bentuk penyatuan yang hakiki. Akhirnya kesatuan dan perpaduan hakiki yang didambakan hanya tinggal khayalan dan apa yang mampu dibentuk hanyalah pakatan kepentingan bersama bersifat sementara.

        Keadaan ini amat berbeza sama sekali dalam suasana kehidupan yang berasaskan hukum syarak. Islam membenarkan kepelbagaian parti politik namun harus memenuhi syarat-syarat di bawah:

1. Parti politik wajib berasaskan akidah Islam dan menjadikan amar makruf nahi mungkar sebagai fokus perjuangan. Kewajipan tersebut difahami dari firman Allah SWT:

“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Al Imran:104) 

Kefahaman yang mendalam terhadap ayat tersebut membawa kepada keberuntungan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Sikap sedemikian akhirnya membentuk kekuatan kesatuan dan perpaduan bersama melalui aktiviti yang seragam dan jelas, secara alami.

2. Parti politik wajib memuhasabah pemerintah dan segala agensi-agensinya. Mereka wajib peka dan prihatin terhadap sebarang bentuk kemungkaran. Allah SWT dan RasulNya memerintahkan setiap individu Muslim dan parti politik Islam agar mencegah kemungkaran seperti dalam sabda baginda SAW:

“Barang siapa yang melihat kemungkaran dari kalangan kamu, hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka (cegahlah) dengan lidahnya (perkataan), jika dia tidak mampu (juga), maka (cegahlah) dengan hatinya (membenci), demikian itulah selemah-lemah iman.” [HR Muslim]

Maka secara alami, tanggungjawab ini membentuk tugasan mulia berasaskan kepada kesatuan pemikiran dan pemahaman yang akan melahirkan tindakan yang konsisten dari kalangan parti-parti politik di dalam Islam.

3. Parti politik Islam tidak bertujuan untuk memiliki kekuasaan. Mereka memahami tanggungjawabnya sebagai entiti yang memastikan bahawa pemerintah menjalankan kewajipannya secara konsisten sesuai dengan hukum syarak dan memastikan penyatuan umat tidak diganggu gugat. Secara alami, parti-parti politik Islam akan sentiasa menjaga kesatuan dan perpaduan umat yang menjadi agenda utama aktiviti politik mereka dan konsistensi dalam penerapan hukum Islam oleh pemerintah.

        Di dalam Islam, parti-parti politik memiliki karakter dan objektif penubuhan yang sama. Tanggungjawab mereka juga tidak berbeza. Mungkin sahaja terdapat perbezaan dalam cara kerja parti namun tujuan utamanya adalah sama.  Kewujudan parti-parti politik di dalam Islam juga akan memastikan bahawa masyarakat kekal konsisten dalam menjadikan hukum syarak sebagai pengikat pemikiran, kesedaran dan peraturan hidup mereka. Insya-Allah di bawah pemerintah Khilafah ala minhaj nubuwah ini akan menjadi kenyataan.