SN641 – Sudah Berkali-kali Negara Kaum Muslimin Mengkhianati Palestin, Sampai Bila Harus Dibiarkan Begini?

Bil: SN641 (PDF/Print) – 5 Jamadilawwal 1445 / 19 November 2023

            Konflik terbaru Palestin bermula pada 7 Oktober 2023 apabila pihak mujahidin Hamas telah melancarkan sejumlah peluru berpandu ke arah entiti haram Yahudi dan melakukan serangan darat di beberapa tempat. Konflik ini telah mempersaksikan bahawa umat Islam di Malaysia sememangnya cakna dengan situasi di Palestin dan telah melibatkan diri dalam berbagai perbincangan politik (siyasah) di berbagai peringkat. Perkara ini harus diberi pujian kerana  umat Islam di Malaysia begitu prihatin terhadap hal-hal berkaitan umat Islam di seluruh dunia dan cuba memposisikan diri mereka sebaik mungkin dalam perkara ini. Sebahagian ulama yang ikhlas juga telah dilihat pro-aktif dalam memuhasabah pemimpin umat Islam akan tanggungjawab mereka dalam konflik ini. Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa di Doha, Qatar telah mengeluarkan fatwa mewajibkan jihad untuk membebaskan Palestin khususnya terhadap negara umat Islam di sekitar kawasan konflik. Dalam konflik ini entiti haram Yahudi dengan sokongan sekutunya seperti Amerika, UK dan Jerman terus membantai umat Islam tanpa menghirau gesaan untuk gencatan senjata dari majoriti masyarakat dunia. Darah kanak-kanak, kaum wanita, dan orang awam terus mengalir di celah-celah runtuhan bangunan tanpa sebarang pembelaan!

            Realitinya, tentera entiti haram Yahudi adalah pasukan tentera yang mempunyai kelengkapan tentera yang canggih dan sedang berperang dengan Hamas yang tidak memiliki kekuatan seperti itu. Jelas sekali ini bukan satu peperangan yang adil. Dengan alasan untuk membalas serangan Hamas, entiti haram Yahudi telah melakukan pengeboman besar-besaran ke atas Gaza. Setiap hari, dunia menyaksikan kezaliman Yahudi ke atas Palestin namun tiada sesiapun yang bergerak untuk membela umat Islam di sana. Sepatutnya, tugas ini wajib digalas oleh pasukan tentera kaum Muslimin di negara yang berdekatan. Namun apa yang diharapkan tidak berlaku. Di manakah mereka? Hakikatnya mereka ada dan menyaksikan apa yang berlaku dengan mata kepala mereka sendiri. Mereka tidak bergerak untuk membela saudara se-aqidah mereka kerana para pemimpin mereka tidak memberikan arahan dan memilih untuk tidak bertindak demi menjaga kepentingan masing-masing. Pengkhianatan mereka terhadap umat Islam, khususnya yang melibatkan isu Palestin sudah tercatat berulang kali dalam sejarah dunia selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924.

            Pengkhianatan berterusan para pemimpin kaum Muslimin ini dapat dilihat dalam sejarah melalui beberapa siri perjanjian dan peristiwa penting yang telah berlaku. Antaranya adalah peristiwa Perang Enam Hari yang berlaku antara entiti haram Yahudi, Jordan, Syria dan Mesir pada tahun 1967. Peperangan ini telah mengubah struktur geopolitik di Timur Tengah. Akibat dari peperangan ini, entiti haram Yahudi telah berjaya merebut Semenanjung Sinai, jalur Gaza, tebing barat, Jordan dan  dataran tinggi Golan. Para pengkhianat ini juga telah menandatangani beberapa perjanjian dengan entiti haram Yahudi seperti perjanjian Camp David yang persetujui oleh entiti haram Yahudi dan Mesir pada tahun 1978. Perjanjian terbaru yang ditandatangani adalah Abraham Accord pada 2020. Ia merupakan perjanjian yang melibatkan lebih banyak negara Arab dalam usaha untuk menormalisasikan hubungan diplomatik dengan entiti haram tersebut. Bukan itu sahaja, kebelakangan ini banyak pelan kerjasama antara berbagai negara kaum Muslimin dengan entiti haram Yahudi telah dirancang untuk mengukuhkan hubungan dalam bidang perdagangan, ketenteraan, ekonomi dan sebagainya. Semua kerjasama ini diwujudkan bagi membina hubungan strategik dengan entiti haram Yahudi, AS dan sekutu-kutunya.

            Retorika pengkhianatan mereka juga jelas dapat dilihat daripada beberapa langkah lain yang sebenarnya merupakan bentuk pengkhianatan ke atas Palestin dan juga umat Islam secara umum. Antaranya adalah usaha ke arah penyelesaian dua negara (Two State Solution) dan juga persempadanan tahun 1967. Hal ini jelas sekali mencabuli hak umat Islam di Palestin. Langkah tersebut disokong oleh para pengkhianat ini meskipun jelas sekali ia merupakan satu ketidakadilan ke atas kaum Muslimin di Palestin. Rundingan penyelesaian untuk isu ini pada hakikatnya adalah strategi jahat kaum Yahudi. Mereka akan terus memperpanjangkan masa rundingan supaya lebih banyak tanah Palestin dapat dirampas. Hakikatnya sejak awal lagi golongan Zionis memang telah meletakkan objektif mereka untuk merampas keseluruhan tanah Palestin, tidak kiralah melalui kerelaan para pengkhianat kaum Muslimin mahupun secara paksaan. Usaha untuk mencari jalan penyelesaian melalui rundingan aman adalah retorika yang dilakukan untuk terus mengaburi pandangan umum dunia agar pelbagai penipuan yang dilakukan dapat ditutup di sebalik usaha licik ini. Naratif palsu ini terus dicanang agar pengkhianatan para pemimpin Arab ini tidak nampak ketara dan di’halal’kan oleh umat Islam di seluruh dunia.

            Satu-satunya penyelesaian Islam untuk isu Palestin ini adalah melalui usaha jihad oleh seluruh dunia Islam. Pasukan tentera kaum Muslimin wajib dikerah untuk membantu umat Islam di Palestin terutamanya bagi negara kaum Muslimin yang mengelilingi entiti haram Yahudi. Namun, para pemimpin yang khianat ini malah menjadi penghalang utama bagi umat Islam dalam pelaksanaan jihad. Hakikatnya, para pengkhianat ini akan terus menjadi penghalang kepada sebarang usaha untuk menggerak tentera kaum Muslimin bagi melaksanakan jihad di Palestin. Tiada apa yang boleh diharapkan dari para pemimpin kaum Muslimin hari kecuali pengkhianatan demi pengkhianatan. Sudah tentu, sekiranya seluruh dunia Islam bersatu di bawah payung kekhilafahan, dengan seorang Khalifah sebagai pemimpin umum umat Islam, jihad sudah pastinya akan dengan segera dideklarasi oleh pemimpin kaum Muslimin tersebut. Bagi merealisasikan situasi ini, perubahan kepimpinan perlu dilakukan oleh umat Islam agar pemimpin yang dipilih akan menerapkan Islam sepenuhnya, bukannya menjadi boneka pihak tertentu. Oleh itu, umat Islam harus mula menggerakkan usaha dakwah bagi menjelaskan hakikat sistem pemerintahan Islam yang sebenarnya, iaitu sistem Khilafah yang sudah terbukti memayungi bumi ini selama 14 dekad dan membawa keamanan dan kesejahteraan kepada umat manusia. Selain itu, umat Islam juga harus terus menyuarakan penyelesaian Islam bagi konflik di Palestin, iaitu jihad dan tanpa lelah terus memuhasabah para pemimpin kaum Muslimin yang memegang kekuasaan. Hakikatnya, para pemimpin khianat ini tidak memiliki kekuasaan. Umat Islam sendirilah yang memiliki kekuasaan untuk melakukan perubahan. Dengan usaha yang dilakukan oleh kaum Muslimin melalui jalan dakwah dan talabun nusrah, dengan izin Allah SWT, para pengkhianat ini akan dapat diganti dengan seorang pemimpin yang bertaqwa yang akan memastikan penerapan hukum Allah SWT secara total.

            Sesungguhnya, kewujudan entiti haram Yahudi adalah merupakan bayang-bayang pengkhianatan para pemimpin negara Arab yang mementingkan habuan dunia berbanding kehidupan di akhirat. Hakikatnya, teka-teki isu Palestin ini dapat diselesaikan dengan jawapan yang cukup mudah – menghapuskan entiti haram Yahudi dan menghalang sekutunya dari terus membuat onar. Hanya dengan jalan ini, Palestin akan bebas dan tiada lagi pihak yang boleh mengganggu mereka lagi. Tentera umat Islam di seluruh dunia adalah ibarat cebisan ‘jigsaw puzzle’ yang bila digabungkan satu persatu akan menjadi besar, gagah dan berkemampuan untuk menghadapi sebarang ancaman. Mereka hanya perlu dihimpunkan dan disusun menjadi satu entiti kesatuan yang mewakili suara sebenar umat Islam di seluruh dunia. Para ulama yang ikhlas sudahpun mengingatkan para pemimpin dunia Islam akan tanggungjawab mereka. Umat Islam juga sudah faham bahawa para pemimpin yang khianat ini merupakan halangan terakhir dalam usaha untuk membebaskan Palestin dan menghapuskan golongan zionis. Para pemimpin khianat ini lebih rela menjaga status quo dan sempadan yang digariskan oleh imperialis Barat untuk terus hidup selesa tanpa menghiraukan perintah Allah SWT. Sesungguhnya, pertolongan Allah itu sangat dekat, kemenangan Islam itu sangat hampir dan para pemimpin yang khianat ini akan lenyap dan digantikan dengan pemimpin baru yang beriman, bertaqwa dan akan menerapkan Islam secara kaffah sedikit masa lagi, dengan izin Allah SWT.