SN644 – Langkah Dubai Membuka Pekung Demokrasi – Hanya Dengan Sistem Islam Kestabilan Sebenar Dapat Dicapai

Bil: SN644 (PDF/Print) – 15 Rejab 1445/ 27 Januari 2024

Sejak timbul desas-desus bahawa akan berlaku pertukaran kerajaan melalui apa yang disebut sebagai ‘Langkah Dubai’, pihak polis sudah pun menerima 145 laporan daripada pelbagai pihak di seluruh negara. Berikutan itu, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan berhubung terdapatnya cubaan dari pihak tertentu untuk melakukan aktiviti yang boleh memudaratkan demokrasi berparlimen. Menurut pihak polis lagi, semua aktiviti yang terkait dengan ‘Langkah Dubai’ boleh disimpulkan sebagai aktiviti yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan menimbulkan keresahan[Utusan Malaysia Online, 12/1/2024].

              Apakah sebenarnya ‘Langkah Dubai’ ini? Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop di dalam satu kenyataannya  mendakwa wujud satu gerakan yang dikenali sebagai ‘Langkah Dubai’ yang bertujuan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan. Ismail mendakwa bahawa satu pertemuan yang melibatkan para pemimpin Perikatan Nasional (PN) dengan beberapa pihak dalam kerajaan telah diadakan di Dubai bagi membincangkan bilangan Ahli Parlimen yang berpotensi mengalih sokongan mereka kepada pembangkang [Kosmo Online, 13/1/2024]. Namun, perkara tersebut telah dinafikan oleh Ahli Parlimen Arau. Menurut ahli parlimen itu, hal ini sengaja dijadikan isu oleh jentera propaganda Kerajaan Perpaduan yang bertujuan untuk mengalihkan isu moral yang membelenggu J-KOM sebelum ini [Sinar Harian Online, 01/01/2024].

              Samada dakwaan ini benar atau tidak, sudah ada dari kalangan pengamal sosial media yang  begitu yakin dan percaya bahawa kerajaan pimpinan PMX secara tidak rasminya telah pun tumbang dan inilah juga yang diinginkan oleh para penyokong Perikatan Nasional. Datuk Ismail Yusop menganggap usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan melalui ‘Langkah Dubai’ ini sebagai satu gerakan pengkhianatan. Namun, Datuk Shamsuddin Nawawi, seorang pengamal undang-undang mengatakan bahawa usaha menukar Perdana Menteri sebelum mandatnya berakhir bukan bererti menggulingkan kerajaan Yang di-Pertuan Agong kerana ia adalah salah satu amalan demokrasi dan dibenarkan oleh Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan [Berita Harian 31/12/2024].

              Datuk Dr Chamil Wariya, seorang tokoh kewartawanan juga menegaskan bahawa di dalam sistem demokrasi ala-Westminster yang mirip diamalkan di Malaysia, seorang Perdana Menteri boleh bertukar sebelum mandatnya berakhir apabila dia telah hilang sokongan majoriti ahli parlimen samada dari kalangan partinya sendiri atau parti pakatan [Sinar Harian Online, 7/1/2024].

              Senario terkini di mana cadangan mewujudkan akta baru bagi menghalang pertukaran Perdana Menteri sehinggalah pilihanraya seterusnya diadakan (Akta Parlimen Berpenggal Tetap) menggambarkan seolah-olah dakwaan ‘Langkah Dubai’ ini bertujuan untuk memainkan emosi rakyat. Langkah seperti ini boleh menyebabkan ketidakstabilan dan kekacauan dalam pentadbiran negara dan boleh menggugat segala perancangan yang sedang diusahakan oleh Kerajaan pada ketika ini. Lantas, adalah amat perlu bagi ahli parlimen dan rakyat menyokong akta baru yang dicadangkan itu! Mungkin saja gembar-gembur gerakan ‘Langkah Dubai’ itu ada muslihat seperti ini disebaliknya – ada udang di sebalik batu!

Sistem Pemerintahan Islam yang Stabil

              Sistem Pemerintahan Islam sangat berbeza dengan sistem pemerintahan ciptaan manusia seperti yang dilaksanakan di Malaysia yang mengamalkan Sistem Demokrasi ala-Westminster. Tidak kiralah samada ia serupa persis seperti di UK atau tidak sepenuhnya sama, ia tetap berada di dalam kerangka Demokrasi dan bukan Sistem Pemerintahan Islam. Di dalam Sistem Pemerintahan Islam, bilangan parti politik tidak dihadkan tetapi hanya parti politik yang mempunyai matlamat dan pemikiran Islam sahaja dibenarkan wujud. Ini adalah kerana,  penubuhan parti di dalam Islam adalah untuk tujuan dakwah dan memuhasabah sang khalifah dan para penguasa di bawahnya di dalam  struktur pemerintahan Khilafah. Sesiapa pun tidak dibenarkan menubuhkan parti yang bertentangan dengan Islam.

              Justeru, sekiranya seorang Khalifah telah dilantik, ia tidak akan mewakili mana-mana parti kerana ideologi semua parti adalah sama dengan ideologi yang dipegang oleh Khalifah, iaitu Mabda Islam (Ideologi Islam). Apa yang diputuskan oleh Khalifah wajib merujuk kepada Islam dan tidak boleh berlandaskan sumber yang lain. Khalifah akan melaksanakan hukum syara’ dengan adil ke atas seluruh kaum Muslimin dan bukan Muslim. Golongan bukan Muslim akan mendapat hak mereka dalam semua aspek kehidupan yang telah ditetapkan oleh syara’ selama mana mereka patuh kepada perlaksanaan sistem Islam ke atas mereka.

              Oleh itu, selagi mana Khalifah melaksanakan seluruh hukum syara’, maka selagi itulah semua parti yang ada termasuk seluruh rakyat, terutamanya kaum Muslimin Negara Islam wajib taat  kepadanya. Ini berdasarkan kepada dalil di dalam Al Quran:

 “Wahai orang-orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulil Amri (pemimpin) di antara kamu…”

[An-Nisa’ (4): 59]

              Berdasarkan pandangan jumhur ‘ulama: Abu Hurairah, Ibn ‘Abbas, Ibnu Zaid dan lain-lain, yang dimaksudkan dengan pemimpin di dalam ayat tersebut adalah Khalifah atau Imam dan mereka berhukum dengan hukum Allah, bukan selainnya. Ayat ini juga merupakan perintah untuk mentaati penguasa Mukmin iaitu Khalifah yang berpegang teguh kepada syariat Islam. Ini adalah kerana di dalam Islam, tidak ada ketaatan kepada makhluk yang memaksiati Allah SWT. Pandangan ini diperkukuhkan lagi dengan ayat berikut:

 “Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu”

[Al-Baqarah (2): 208]

              Imam Thabari di dalam kitabnya (Tafsir Thabari) menyatakan bahawa:  “Ayat di atas merupakan perintah kepada orang-orang beriman untuk menolak selain hukum Islam; perintah untuk menjalankan syariat Islam secara menyeluruh; dan larangan mengingkari walau satu pun hukum yang merupakan sebahagian daripada hukum Islam.”

              Ini bermakna, selagi Khalifah melaksanakan hukum syara’, dia tidak boleh digulingkan semata-mata kerana perselisihan pendapat atau telah melakukan kesilapan yang bersifat peribadi kerana seorang Khalifah itu tidak maksum(bebas dari dosa). Namun begitu, dia masih boleh didakwa di Mahkamah Madzalim sekira Sang Khalifah telah melakukan kezaliman ke atas rakyat. Inilah yang menjadikan Sistem Pemerintahan Islam kekal stabil, kukuh dan tidak tergugat selagi Khalifah tetap istiqamah melaksanakan Syariat Islam secara menyeluruh ke atas seluruh umat Islam.

Kesimpulan

              Sistem pemerintahan Islam adalah bersumberkan wahyu dari Allah SWT, Sang Pencipta Alam Semesta. Rasulullah SAW dan para sahabat, termasuk para tabiin telah menunjukkan bagaimana sistem ini tetap stabil sehingga mampu bertahan selama lebih 1000 tahun. Namun pada ketika ini, sistem pemerintahan di negara-negara kaum Muslimin penuh dengan ketidakstabilan dan kezaliman kerana mereka mewarisi sistem pemerintahan dari Barat – sistem yang penuh dengan kelompongan sehingga ia menjadi medan manipulasi para pemimpin hari ini mengikut kehendak dan kepentingan masing-masing demi merebut kuasa, pangkat dan harta tanpa menghiraukan kesannya kepada rakyat. Hanya dengan melaksanakan Sistem Pemerintahan Islam secara menyeluruh sahaja umat Islam akan dapat melihat kestabilan yang sebenar.


PEDULI PALESTIN

Amerika Terus Menipu di Palestin

              Kemusnahan di semenanjung Gaza berterusan sehingga ke hari ini. Korban di kalangan rakyat Gaza terus meningkat sehingga mencecah lebih 23,000 orang yang kebanyakannya merupakan kaum wanita dan kanak-kanak. Namun begitu para penguasa negara-negara arab terus menjadi penonton setia yang patuh dan taat dengan tuan mereka. Mereka  sanggup menghambakan diri kepada Amerika sehingga sanggup berbuat apa sahaja yang disuruh oleh tuan mereka.

              Di dalam lawatan terbarunya ke timur tengah, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, telah melawat Turkiye. Lawatan ini kononnya bertujuan untuk menyelesaikan krisis yang berterusan di Gaza. Di satu segi, beliau mengatakan bahawa jika usaha untuk menyelesaikan krisis itu gagal, ia dikhuatiri akan menjadi “kitaran keganasan yang tidak berkesudahan” dan menyebabkan kehidupan penduduk di rantau tersebut tidak selamat” [Reuters, 7/1/2024].

              Namun di sisi lain, beliau juga menjelaskan dengan terang dan nyata bahawa AS akan terus bersama Israel untuk menghentikan keganasan dan pembunuhan yang dimulakan oleh Hamas dan menegaskan hak entiti haram Yahudi untuk ‘mempertahankan diri’. Beliau berulang-kali menemplak Hamas kerana memiliki visi yang dikatakan ‘ganas’ untuk memusnah dan menghancurkan entiti haram Yahudi.  Beliau menyebut bahawa visi ini ‘bertentangan dengan kemanusiaan dan tidak disukai oleh masyarakat serantau yang mahukan keamanan’. Beliau menyebutkan azam AS yang bersungguh-sungguh dalam mengembalikan keamanan di negara haram Israel dan Palestin. [ABC news channel : https://www.youtube.com/watch?v=PHn-iEJMvNg]

              Tidak kiralah apapun yang cuba disampaikan oleh Blinken, kata-katanya menyerlahkan penipuan di pihak AS. Ini adalah kerana, pada satu sisi, dia menyatakan komitmen AS untuk menghentikan peperangan yang telah meragut puluhan ribu nyawa tetapi pada sisi lain, dia menyatakan kesungguhan pihak Amerika untuk terus menyokong entiti haram Yahudi. Amerika sebenarnya bukanlah mahu menyelesaikan isu ini kerana apa yang kita perhatikan berlaku adalah sebaliknya.

              Sejak dahulu, dengan penglibatan AS secara berterusan, krisis di Palestin tidak pernah reda. Apa yang jelas, AS akan sentiasa menyokong dan memastikan bahawa entiti haram Yahudi ini akan terus wujud sebagai justifikasi  kehadiran AS di rantau tersebut.