SN649 – Disebalik Persidangan Ulama Sedunia 2024

Bil: SN649 (PDF/Print) – 14 Zulkaedah 1445 / 23 Mei 2024

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Liga Dunia Islam (MWL), Arab Saudi, telah menganjurkan Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia 2024 dan Majlis Ulama Asia 2024 di Kuala Lumpur baru-baru ini.  Persidangan ini dikatakan bertujuan untuk membangunkan wawasan tamadun bersama bagi menyatukan nilai kesederhanaan dan perpaduan, menangani ancaman pemikiran ekstremis dan mengubah konflik kepada persefahaman, kerjasama dan perpaduan. Dalam kenyataannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengharapkan penganjuran persidangan ini dapat memupuk semangat keharmonian di kalangan penganut pelbagai agama dan memupuk asas yang kukuh berpaksikan teras MADANI agar bersesuaian dengan realiti semasa masyarakat berbilang agama, agar dapat berinteraksi dengan harmoni bagi mengekalkan kerukunan dan perpaduan hidup.

Meneliti Peranan dan Agenda MWL

            MWL telah memainkan peranan yang aktif dan signifikan sejak beberapa tahun yang lalu dalam mempromosi mesej moderat di dunia Islam. Untuk memahami agenda di sebalik mesej ini, kita perlu melihat bagaimana inisiatif ini bermula.

            Pada tahun 2016, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan pada May 2016 di Washington bagi merancang kerjasama dengan Arab Saudi sebagai pusat menangani ekstremisme. Sejurus itu, Pusat Memerangi Ideologi Ekstremis Global (GCCEI) telah diasaskan pada Mei 2017 dan dilancarkan ketika lawatan Presiden Donald Trump ke Riyadh, Arab Saudi. MWL telah memainkan peranan yang penting dalam memperkasa agenda ini.

            Tambahan pula semasa sesi Permohonan Bajet Jabatan Negara 2018, Setiausaha Negara AS Rex Tillerson membuat pendedahan tentang peranan Riyadh sebagai pusat menentang keganasan Muslim yang beroperasi secara langsung dari AS. Antara ucapannya, “..salah satu langkah yang sedang diambil adalah dengan menerbitkan buku teks baru yang akan digunakan di sekolah-sekolah dan di masjid-masjid di seluruh dunia. Buku teks ini bertujuan menggantikan buku teks yang sedia ada yang didakwa menyokong pandangan ekstrem yang membenarkan keganasan”. Arab Saudi diminta untuk menerbitkan buku teks baru dan menarik kembali buku teks sedia ada.

            Untuk mencapai objektif ini, Arab Saudi, melalui MWL di bawah pimpinan Muhammad bin Abdulkarim Al-Issa telah mengasaskan “Piagam Mekah” pada Mei 2019 dan telah disokong oleh sekumpulan ulama Muslim terkemuka di dunia, yang berkumpul di Kota Suci untuk mempromosikan naratif Islam moderat. “Penerimaan dokumen ini bertujuan untuk mencapai keamanan dan keharmonian dalam komuniti kemanusiaan. Piagam Mekah mengesahkan semula peranan asas yang dimainkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk mempromosikan ideologi moderat dan nilai moralnya, mengukuhkannya dalam masyarakat Muslim, dan memperkenalkannya sebagai kerangka utama untuk berurusan dengan pihak lain.” (Muslim League Journal vol.47, June 2019)

            Al-Issa sebelum ini telah dikritik hebat dan digelar “Sheikh Zionis” kerana dilihat sebagai orang penting dalam menjayakan pelan normalisasi hubungan dengan Riyadh. Normalisasi hubungan Arab Saudi dan Israel adalah sebahagian daripada Perjanjian Abraham yang ditaja oleh AS, dengan matlamat supaya regim Arab mengiktiraf entiti haram Yahudi. Al-Issa, yang juga bekas menteri kehakiman Arab Saudi, pernah menyertai lawatan bersama organisasi pro-Zionis dari AS, American Jewish Committee (AJC), ke Auschwitz, Poland. Lawatan ini merupakan elemen utama dalam Memorandum Persefahaman antara AJC dan MWL, yang ditandatangani oleh Al-Issa di ibu pejabat AJC, di New York, pada April 2019. Pada 2022, media entiti haram Yahudi menyambut baik keputusan Mohammed bin Salman melantik Al-Issa untuk menyampaikan khutbah semasa musim Haji dan menyifatkannya sebagai “isyarat penting” dari Riyadh terhadap usaha normalisasi dengan entiti haram Yahudi.

Waspada Terhadap Doktrin Islam Moderat

            Kita tidak dapat menolak bahawa usaha MWL untuk mempromosi idea Islam moderat dan toleransi ini ada kaitannya dengan agenda AS melalui Pusat GCCEI untuk melawan idea yang dilabel oleh AS sebagai Islam “radikal” sejak dahulu. Untuk tujuan ini, Arab Saudi dan MWL bertanggungjawab sebagai platform menyebarkan agenda tersebut ke negara-negara umat Islam lain melalui pelbagai persidangan dan majlis ulama serta memberikan tumpuan kepada membina generasi belia Muslim di rantau ini berlandaskan “Piagam Mekah” yang dicipta.

            Di sebalik tumpuan AS ke atas negara-negara di Timur Tengah, Asia Tenggara juga dianggap penting bagi AS yang melabelnya sebagai “second front” dalam usaha memerangi keganasan, terutamanya selepas Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin, di mana kawasan ini menjadi penting dalam strategi penentangan terhadap penyebaran pengaruh komunis di rantau ini. Pasca tragedi 11 September 2001, istilah “terrorisme” sering dinisbahkan kepada ajaran Islam serta kelompok yang dilabel sebagai Islamis. Sudah diketahui umum bahawa AS membahagikan umat Islam kepada beberapa kelompok seperti Fundamentalis, Tradisionalis, Modernis dan Liberalis dalam merangka strategi untuk mengenengahkan idea Islam moderat. Islam moderat merupakan aliran pemikiran yang ditaja oleh Barat yang menggabungkan ajaran Islam dengan prinsip-prinsip sekular dan keterbukaan, mendorong tafsiran yang fleksibel dan kerap menyimpang dari kelurusan dan kebenaran Islam. Dengan kata lain, bagi Barat, Islam harus disesuaikan dengan keadaan, bukannya keadaan yang mesti disesuaikan dengan Islam. Dan bagi kaum Muslimin yang mahukan pelaksanaan Islam yang lurus dan benar secara sempurna dan menyeluruh, mereka seringkali dilabel sebagai golongan Islamis, malah tidak kurang yang dilabel sebagai ekstremis dan radikal!

            Sesungguhnya, umat Islam tidak memerlukan gagasan pemikiran Islam moderat dan haluan toleransi yang dijaja dan dipelopori oleh AS ini. Sejak 1400 tahun yang lalu, umat Islam telah hidup secara harmoni dengan pelbagai kaum dan agama. Ini banyak tercatat dalam lipatan sejarah dan banyak buku yang telah ditulis, hatta oleh sejarawan bukan Islam mengakui hakikat ini. Sebagai contoh, seorang sarjana dan ahli akademik AS dalam bukunya “The Ornament of the World” telah membentangkan fakta kepelbagaian budaya yang begitu kaya ketika kaum Muslimin memerintah di Al-Andalus (Sepanyol) dengan syariat Islam.  Ketika itu, kaum Muslimin, Yahudi, dan Kristian tidak hanya hidup bersama malah memupuk budaya toleransi yang cukup tinggi. Bahkan zaman itu disebutkan sebagai zaman keemasan bagi kaum Yahudi! Sebaliknya, penyebaran berbagai bentuk pemikiran dari Barat, termasuklah idea Islam liberal dan Islam moderat inilah yang membawa berbagai bencana terhadap keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat. Hakikatnya, pelbagai doktrin Barat seperti liberalisme, sekularisme, kapitalisme dan nasionalisme inilah yang banyak menimbulkan permusuhan, ketidakadilan, kezaliman dan peperangan di kalangan umat manusia.

Kesimpulan

            Seharusnya di saat ini seluruh dunia Islam khususnya para ulama menumpukan segenap usaha mereka untuk membina penyatuan dan kekuatan dunia Islam agar dapat membebaskan Palestin dan seluruh wilayah yang tertindas, dan tidak terperangkap dengan permainan hegemoni Barat. Sayangnya, Arab Saudi telah menjadi tangan dan lidah penyambung gagasan yang dibina oleh AS untuk menekan dunia Islam melalui pelbagai agenda. Sesungguhnya AS tidak layak dan tidak pernah memiliki landasan moral untuk mengajar apatah lagi memimpin masyarakat dunia mengenai erti kehidupan dan keamanan, sebaliknya, hari ini, yang paling layak mengajar dunia erti kemanusiaan adalah kaum Muslimin di Palestin. Cukuplah kita melihat penderitaan dan kezaliman yang menimpa umat Islam di sana, serta banyaknya pengkhianatan yang telah dilakukan oleh para pemimpin dunia Islam. Para ulama umat Islam harus menolak seruan Islam moderat yang ditaja oleh AS kerana ia bukan hanya menjauhkan umat Islam daripada Islam malah mengekalkan hegemoni Barat ke atas dunia Islam, dan mula menumpukan usaha untuk penyatuan umat di bawah payung kekhilafahan.


PEDULI PALESTIN

Israel Telah Pun Kalah Perang Moral

            Konflik di Gaza telah berlanjutan selama lebih 6 bulan dan kini, lebih 1.4 juta kaum Muslimin terkepung di Rafah, sebuah kawasan yang luasnya hanya sekitar 64 km persegi.  Entiti haram Yahudi mendakwa mereka mensasarkan para pejuang umat Islam, namun yang banyak terkorban adalah anak-anak kecil dan wanita serta para penduduk yang hanya mencari tempat berlindung. Kini, setelah entiti haram Yahudi terlaknat melakukan pengeboman demi pengeboman ke atas penduduk yang tidak berdosa, mereka memulakan operasi darat di Rafah dan kaum Muslimin sudah tiada lagi tempat untuk melarikan diri. Pemerintah Mesir pula masih menutup rapat pintu sempadan di Rafah. Nyata sekali ini merupakan satu pengkhianatan!

            Hakikatnya, genosid yang dilakukan oleh entiti haram Yahudi ini bukan lagi sebuah rahsia. Seluruh dunia menyaksikan kebiadaban mereka serta lakonan wayang yang dipentaskan oleh negara-negara Barat seperti Amerika, Britain, Jerman dan Perancis. Bantahan dan demonstrasi yang dilakukan oleh rakyat mereka sendiri, khususnya para pelajar sudah semakin meluas. Rakyat mereka sendiri merasa malu dengan apa yang dilakukan oleh pemerintah mereka ke atas rakyat Gaza. Ya, mungkin entiti haram Yahudi berjaya memusnahkan Gaza dengan bantuan kuasa-kuasa Barat namun yang pastinya mereka telah pun kalah secara moral dan  kemanusiaan di kaca mata dunia.

            Jelas sekali, segala slogan keamanan dan kebebasan yang dilaungkan oleh negara-negara Barat merupakan kepalsuan yang nyata. Sudah terserlah segala pembohongan dan propaganda palsu yang dibawa oleh entiti Yahudi dan negara-negara Barat yang menyokong mereka. Mereka mendakwa kononnya serangan yang dilakukan ke atas Gaza adalah sebahagian daripada usaha untuk menghapuskan para pejuang dan korban awam adalah sesuatu yang tidak dapat  dielakkan. Hakikatnya, entiti haram Yahudilah yang melakukan genosid dan membunuh tanpa peri kemanusiaan sedangkan para pejuang Islam berjuang untuk membela rakyat Gaza dan membebaskan bumi Palestin. Mereka dikurniakan Allah SWT  keberanian yang luar biasa sehingga mampu berjihad dengan bersungguh-sungguh walaupun mereka sedar tentera entiti haram dibantu oleh kuasa besar dunia. Para pejuang ini menyerahkan jiwa dan raga mereka kepada Allah SWT yang Maha Agung, bukan seperti para penguasa kaum Muslimin di sekitar Gaza dan belahan dunia Islam yang lainnya yang langsung tidak melakukan apa-apa untuk melindungi saudara seagama mereka. Sungguh mereka telah mengkhianati umat ini. Semoga Allah mengurniakan kemenangan kepada umat Islam dalam masa terdekat melalui penyatuan di bawah naungan Khilafah Islamiyyah!