SN655 – Ibrah Rejab (Siri 1): Kebangkitan Dan Kejatuhan Islam Di Nusantara

Bil: SN665 (PDF/Print) – 15 Rajab 1446 / 14 Jan 2025

Bulan Rejab mencatatkan satu peristiwa bersejarah yang amat signifikan kepada dunia Islam, iaitu kejatuhan Khilafah Uthmaniyah pada  28 Rejab 1342H (3 Mac 1924) yang lalu. Peristiwa ini menandakan berakhirnya sistem Khilafah Islam yang menjadi pelindung umat selama lebih tiga belas abad. Sejarah membuktikan bahawa sebaik sahaja diumumkan keruntuhan institusi Pemerintahan Islam pada tarikh tersebut, ia juga turut menggemakan kesannya kepada masyarakat Melayu di Nusantara pada ketika itu. Ini adalah kerana, orang-orang Melayu yang menerima Islam semasa era zaman Khilafah Abassiyah dan Khilafah Uthamniyah telah menjadikan Islam sebagai teras identiti didalam urusan kesultanan mereka. Mereka telah menjadikan Institusi Khilafah sebagai asas perpaduan umat dan kekuatan agama. Zaman kegemilangan pemerintahan kesultanan melayu nusantara ketika itu seharusnya membuka mata kita tentang pentingnya berpegang kepada ajaran Islam dan dijadikan asas kepada kebangkitan bangsa, seperti yang pernah dilakukan oleh kesultanan-kesultanan Melayu pada masa lalu. Sejarah ini mengingatkan kita bahawa kekuatan dan kegemilangan orang Melayu tidak terpisah daripada penerapan hukum dan syariat Islam, yang menjadi pendorong utama kepada kejayaan mereka dalam membangun tamadun yang unggul di rantau ini suatu ketika dahulu.

Orang Melayu sebelum Islam

Sebelum kedatangan Islam, orang-orang Melayu menganut agama Hindu-Buddha dan animisme semasa di bawah kerajaan Srivijaya sejak abad ke-7 Masihi. Mereka hidup didalam kejahilan dengan mengamalkan penyembahan berhala, memuja semangat roh dan mereka percaya bahawa Raja sebagai penjelmaan Tuhan dengan konsep Devaraja iaitu Raja sebagai Dewa. Sejak keruntuhan Srivijaya pada abad ke-11M akibat serangan Kerajaan Tamil Chola dari India, orang-orang Melayu hidup berpecah-belah membentuk kerajaan-kerajaan kecil seperti Kedah, Langkasuka, Beruas, Manjung, Muar, Temasik, Chermin(kini Kelantan), Aru, Siak, Kampar dan banyak lagi kerajaan kecil yang lain.  Kerajaan-kerajaan kecil ini selalu berperang sesama sendiri untuk merebut kawasan-kawasan dan pelabuhan-pelabuhan strategik di sekitar Selat Melaka yang sibuk dengan para pedagang.

Kemunculan Kesultanan-Kesultanan Melayu dan Penerapan Syariat Islam

Kesultanan Melaka memainkan peranan yang amat penting dalam sejarah penyebaran Islam di Nusantara. Walaupun Islam telah hadir di kawasan ini sejak abad ke-8, kesultanan pertama yang secara rasmi menerapkan Islam sebagai asas pemerintahan ialah Kesultanan Samudera-Pasai pada tahun 1267. Pasai menjadi pelabuhan utama yang menghubungkan dunia Islam dengan Nusantara. Namun, setelah diserang berulang kali oleh Kerajaan Hindu Majapahit, Pasai akhirnya mengalami kemerosotan.

Dengan kemerosotan Pasai, Kesultanan Melaka muncul pada abad ke-15 sebagai peneraju baru dalam penyebaran Islam. Melaka bukan sahaja menerapkan syariat Islam secara sistematik, tetapi juga menjadikan undang-undang Islam sebagai teras pentadbiran negeri melalui Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka. Hukum-hukum ini mencakupi pelbagai aspek kehidupan, termasuk hudud, jinayat, muamalat, dan kekeluargaan seperti hukum perkahwinan dan faraid. Larangan terhadap perbuatan haram seperti ribawi, arak, zina, dan murtad juga ditegakkan dengan ketat dalam masyarakat Melaka.

Selain itu, Melaka juga berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara, menggantikan Samudera-Pasai. Pusat perdagangan Melaka menarik pedagang Islam dari seluruh dunia, terutama kerana sistem ekonomi yang bebas daripada riba dan penerapan hukum Islam dalam urusan perdagangan dan sosial. Melaka menjadi titik penyatuan bagi kerajaan-kerajaan kecil di sekitar Selat Melaka dan Semenanjung Tanah Melayu. Dakwah Islam disebarkan melalui pelbagai cara, termasuk perkahwinan antara kerabat kerajaan, utusan diplomatik, dan juga futuhat (jihad).

Sebagai contoh, Melaka menyatukan kerajaan-kerajaan seperti Muar, Perak, dan Temasik melalui perkahwinan antara Sultan Melaka dengan puteri-puteri raja tempatan. Selain itu, Melaka telah membebaskan Pahang dan Kelantan, yang sebelumnya berada di bawah penguasaan Kerajaan Siam. Pada tahun 1456, Pahang dibebaskan oleh Sultan Muzaffar Syah, manakala Kelantan dibebaskan pada tahun 1499 oleh Sultan Mahmud Syah. Dengan cara ini, Kesultanan Melaka berjaya menyatukan kerajaan-kerajaan Melayu dan melindungi mereka daripada ancaman kuasa kuffar seperti Siam dan Majapahit.

Kejayaan Melaka dalam menyatukan umat Melayu di bawah satu payung Islam memberi kesan yang mendalam terhadap perkembangan Islam di seluruh Nusantara, sekaligus membuktikan betapa pentingnya kesatuan umat Islam dalam mencapai kejayaan dan ketahanan dalam menghadapi ancaman luar.

Kejatuhan Kesultanan Melaka dan Kemunculan Kesultanan Johor, Aceh dan Brunei

Perkembangan Kesultanan Johor, Aceh, dan Brunei selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis menunjukkan bagaimana Islam terus berkembang dan mempengaruhi dunia Melayu, terutamanya di kawasan sekitar Selat Melaka dan Kepulauan Borneo.

Kesultanan Johor yang muncul setelah Portugis menduduki Melaka pada 1511, telah meneruskan legasi Kesultanan Melaka dengan menerapkan Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka. Kesultanan ini memainkan peranan penting dalam menentang Portugis, dan menjadi pusat Islam berpengaruh yang baru di Semenanjung Tanah Melayu. Johor juga berperanan dalam menyatukan kerajaan-kerajaan Melayu di rantau tersebut melalui operasi serangan bersama dengan Perak, Pahang, Patani, Lingga, dan Bintan untuk menggulingkan Portugis dari Melaka. Akhirnya, Johor berjaya mengalahkan Portugis dengan bantuan Belanda pada tahun 1641.

Kesultanan Aceh, yang muncul di utara Sumatera, telah dianggap sebagai pengganti kepada Kesultanan Pasai dan turut memperkenalkan sistem perundangan Islam bertulis iaitu Qanun Mahkota Alam yang disusun oleh Sultan Alaudin Riayat Syah pada 1537. Qanun ini merangkumi hukum pemerintahan, ekonomi, sosial, dan uqubat. Kesultanan Aceh berusaha untuk mengusir Portugis dari Melaka melalui lebih 20 kali serangan dari tahun 1528 hingga 1638. Walaupun mereka tidak berjaya mengusir Portugis, peranan Aceh dalam memelihara Islam dan menghalang pengaruh kolonial Eropah dari terus berkembang  akan terus dikenang. Salah satu serangan terbesar Aceh adalah pada tahun 1568, di mana Sultan Alaudin Riayat Syah, dengan bantuan tentera Khilafah Uthmaniyah, memimpin serangan besar-besaran ke atas Portugis, tetapi tetap gagal.

Kesultanan Brunei di Kepulauan Borneo turut memainkan peranan penting dalam menyebarkan Islam. Sultan Syarif Ali, yang memerintah pada abad ke-15, telah melaksanakan penerapan hukum syarak di Brunei, dan warisannya diteruskan oleh Sultan Muhammad Hassan, yang mengkodifikasikan hukum-hukum syarak dalam Hukum Kanun Brunei. Kesultanan Brunei berjaya mengembangkan pengaruhnya di seluruh kepulauan Borneo dan wilayah sekitarnya, termasuk Filipina dan Sulu, melalui dakwah dan jihad. Sultan Bolkiah (memerintah 1485-1524) membawa Brunei ke puncak kegemilangan dengan melakukan futuhat ke atas wilayah Luzon dan kawasan sekitar. Pada 1578, ketika Sepanyol menyerang Brunei, Brunei berjaya bertahan dengan bantuan dari Khilafah Uthmaniyyah dan Aceh. Brunei yang menjadi pelabuhan utama perdagangan selepas kejatuhan Melaka telah berjaya menarik pedagang dari China, India, dan Arab untuk berlabuh. Penerapan hukum syarak di Brunei juga memainkan peranan penting  dalam menegakkan kedudukan Islam di kawasan tersebut.

Secara keseluruhan, tindakan dan kebijakan Kesultanan Johor, Aceh, dan Brunei dalam menerapkan undang-undang Islam dan menentang kekuasaan kolonial Portugis dan Sepanyol memperlihatkan bagaimana Islam menjadi penggerak utama dalam politik, ekonomi, dan sosial di kawasan Asia Tenggara. Keberanian mereka dalam melakukan jihad dan menjaga tanah air dari ancaman luar juga menunjukkan keteguhan prinsip Islam dalam mempertahankan kedaulatan dan kemuliaan umat Islam di rantau ini.

Kesimpulan

Fakta sejarah yang dijelaskan menggambarkan betapa besar peranan Islam dalam mempengaruhi kegemilangan kesultanan-kesultanan Melayu di Nusantara. Penerapan hukum-hukum Islam dalam aspek pemerintahan, ekonomi, sosial, dan hubungan antarabangsa membuktikan bahawa umat Melayu ketika itu tidak hanya mengamalkan Islam sebagai ritual kerohanian, kekeluargaan dan secara individu, tetapi menjadikannya sebagai asas utama dalam pembangunan dan pengurusan negara. Kesultanan-kesultanan seperti Melaka, Johor-Riau, Aceh, dan Brunei menyusun undang-undang bertulis yang mencerminkan penerapan syariat Islam secara sistematik dalam kehidupan seharian mereka.

Sebagai contoh, Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka di Kesultanan Melaka, Kanun Mahkota Alam di Aceh, dan Hukum Kanun Brunei di Brunei, semuanya menunjukkan bagaimana hukum Islam diterapkan dalam pelbagai aspek kehidupan, daripada perlaksanaan hukuman hudud, jinayat, hingga sistem ekonomi berasaskan muamalat Islam. Hukum-hukum seperti pengharaman riba, arak, dan zina, serta larangan tunduk kepada penjajah kafir juga menunjukkan bahawa kesultanan-kesultanan Melayu pada masa itu berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Islam yang telah membimbing mereka dalam menghadapi cabaran zaman.

Selain itu, penerapan Islam turut membawa kepada kesatuan orang Melayu di sekitar Selat Melaka. Melalui kesultanan-kesultanan ini, orang-orang Melayu dapat bersatu dan membentuk satu kekuatan untuk melawan kuasa-kuasa kafir serantau seperti Siam dan Majapahit serta kuasa Eropah seperti Portugis dan Sepanyol. Kekuatan umat Islam ketika itu telah disokong oleh Khilafah Uthmaniyyah yang turut menghantar bantuan dan bergabung dengan kesultanan-kesultanan Melayu dalam perjuangan melawan penjajah, yang mengukuhkan lagi kedudukan Islam sebagai sumber kekuatan dan kebangkitan umat Melayu.

Kegemilangan ini membuktikan bahawa apabila orang Melayu berpegang teguh kepada Islam dan syariat-Nya sehingga mereka mampu membentuk tamadun yang unggul dan berdaya saing di rantau ini. Islam memberikan mereka kemuliaan dan keberkatan dalam kehidupan mereka, seperti yang dinyatakan oleh Khalifah Umar al-Khattab: “Kita adalah golongan yang diberi kemuliaan oleh Allah SWT dengan Islam. Sesiapa yang mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan maka ia telah dihina oleh Allah.”

Namun, seperti yang ditegaskan dalam tulisan ini, apabila orang Melayu berpaling dari ajaran Islam dan mencari kemuliaan dari sekutu-sekutu asing, termasuk penjajah kafir, maka kemuliaan itu akan hilang dan digantikan dengan kehinaan. Inilah yang menjadi peringatan untuk generasi kini agar tidak lupa kepada sumber kekuatan sebenar mereka, iaitu Islam.

 

(Bersambung)