SN551 – [Siri Khas Rejab] Kebangkitan Khilafah: Manifestasi Islam Rahmatan Lil Alamin

Bil: SN551 – 29 Rejab 1440 / 05 April 2019

SN551 - [Siri Khas Rejab] Kebangkitan Khilafah: Manifestasi Islam Rahmatan Lil Alamin

Semenjak keruntuhan Khilafah Islam yang terakhir di Istanbul secara rasminya pada tanggal 28 Rejab 1342H (bersamaan 3 Mac 1924), umat Islam di seluruh dunia berhadapan dengan pelbagai bentuk penderitaan dan kemunduran dalam segenap aspek ke­hidupan. Di sebahagian wilayah umat Islam ketika ini, per­golakan dan peperangan akibat campur tangan asing serta penindasan oleh rejim penguasa yang zalim terus ber­larutan. Setelah Khilafah diruntuhkan, Islam tidak lagi menjadi sistem kehidupan umat Islam hari ini. Sebaliknya, sistem ke­hidupan yang wujud dalam dunia Islam ketika ini semuanya meletakkan nilai dan norma menurut sudut pandang Barat. Sistem demokrasi kapitalis yang diterapkan hari ini merupa­kan warisan penjajah yang berlandaskan prinsip-prinsip kebebasan menurut acuan mereka. Natijahnya, bukan sahaja akidah umat Islam semakin terancam, bahkan Islam juga dihina oleh pihak yang tidak bertanggungjawab atas nama kebebasan berpendapat dan bersuara. Di samping itu, gejala sosial turut berleluasa lantaran tiadanya penekanan terhadap penerapan aturan sosial dan per­gaulan mengikut panduan syarak. Keadaan ekonomi umat Islam turut meruncing akibat dibelenggu sistem kapitalis. Peningkatan kos sara hidup, serta melebarnya jurang perbezaan antara yang kaya dan miskin merupakan antara kesan daripada penerapan ekonomi kapitalis yang berasas­kan riba dan akad-akad yang batil.

Demikianlah realiti umat Islam pada hari ini yang menjadi semakin parah semenjak ketiadaan Khilafah lebih 98 tahun lalu. Kini, Khilafah bukan sekadar keperluan yang mendesak, bahkan merupakan satu kewajipan yang telah sekian lama tertangguh. Khilafah inilah yang akan melindungi umat Islam daripada terus diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa besar dalam percaturan politik dunia, serta menggarap potensi umat ini sepenuhnya demi mengembalikan semula kegemilangannya sepertimana yang pernah dikecapi suatu ketika dahulu.

Islam Rahmatan Lil ‘Alamin

Sheikh Taqiyuddin an-Nabhani di dalam kitabnya Asy-Syakhsiyah al-Islamiyah jilid III, menjelaskan bahawa seluruh syariat Islam merupakan rahmat bagi hamba-Nya. Rahmat tersebut merupakan natiijah (hasil) daripada penerapan syariat Islam. Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin akan terwujud hanya dengan penerapan syariat Islam, bukan selainnya.  Penerapan syariat Islam yang dimaksudkan tentu sahaja perlu dalam konteks yang menyeluruh (kaffah), bukan memilih-milih. Dalam usaha merealisasikan penerapan syariat secara kaffah, maka negara menjadi sebuah institusi yang penting. Maka dalam konteks ini, keberadaan Khilafah yang akan menerapkan syariat Islam secara kaffah menjadi penting dan tanpanya, Islam sebagai rahmatan lil  ‘alamin tidak akan mungkin dapat direalisasikan.

Para ulama dan cendekiawan Islam yang soleh memahami bahawa Khilafah ialah kewajipan mendasar di antara pel­bagai kewajipan agung dalam agama Islam. Kewajipan ini bahkan menjadi kewajipan terbesar (al-fardh al-akbar) kerana ia merupakan tumpuan bagi perlaksanaan seluruh kewajipan lain. Sebab, banyak hukum-hakam yang tidak mampu ditegakkan tanpa adanya Khilafah seperti hukum-hakam yang terkait dengan sistem ekonomi, pendidikan, sosial, hukuman, keamanan, politik dan dasar luar negara.

Islam rahmatan  lil ‘alamin bukanlah Islam yang melaksanakan syariat Islam hanya dalam aspek individu. Bukan pula Islam yang memilih untuk tunduk kepada doktrin dan tekanan daripada Barat seperti sekularisme, pluralisme, dan liberalisme. Bukan juga Islam yang diam tatkala negara-negara imperialis menjajah negeri umat Islam dengan ideologi kapitalisme bahkan sehingga menceroboh dan mengorbankan nyawa dan harta umat Islam.

Justeru, merupakan suatu kekeliruan fatal apabila me­mahami Islam rahmatan  lil alamin boleh direalisasikan tanpa Khilafah. Malah, anggapan penerapan syariah oleh negara sebagai suatu ancaman juga merupakan satu kesalahan yang nyata.

SebagaiDeenyang diturunkan oleh Dzat Yang Maha Sempurna, Islam memiliki ciri-ciri yang terbaik. Allah SWT menegaskan dalam kitabNya, “Kami tidak mengutus engkau [Muhammad], melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam[TMQ al-Anbiya’ (21): 107].

Secara dasarnya, penerapan utama dalam konteks Khilafah Islam memanifestasikan syariat Islam dapat dilihat sebagai berikut;

Penerapan sistem uqubat (hukuman) dalam Islam me­rangkumi aspek jawabir (penebus) dan zawajir (pencegahan), serta tidak membezakan bentuk hukuman berdasarkan status. Bahkan dalam sistem Islam, Khalifah serta seluruh barisan pemerintah (waliyul ‘amr) turut boleh dibawa ke muka pengadilan melalui Mahkamah Mazhalim sekiranya wujud pertikaian. Keadilan Islam juga dapat dilihat berdasarkan kaedah fiqh “al-aslu bara’atu zimmah” (tidak bersalah sehingga disabitkan bersalah – setelah dibicarakan) yang menjadi asas proses penghakiman. Khilafah juga ber­tanggungjawab dalam memastikan keadilan, keamanan dan keselamatan warganya daripada ancaman dalam dan luar negara.

Dari sudut perekonomian, Islam mempunyai penyelesaian terhadap setiap permasalahan asas manusia dan mem­berikan penekanan terhadap jaminan hak-hak setiap manusia. Dasar-dasar dalam sistem ekonomi Islam menjelas­kan dengan begitu terperinci aspek pemilikan (al-milkiyah), pemanfaatan pemilikan (at-tashoruf fil milkiyah), serta pengagihan kekayaan (tauzi’u tsarwah bayna an-nas). Pengunaan mata wang dinar dan dirham (emas dan perak) sudah pasti akan mampu menjamin kestabilan dan ke­langsungan ekonomi negara, tidak seperti mata wang fiat tanpa sandaran emas/perak yang membawa kepada ketidakstabilan akibat transaksi ribawi dan spekulasi serta menjadi antara punca utama inflasi.

Bagi menangani masalah kemiskinan, Islam menjamin keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal untuk dipenuhi oleh negara. Negara ber­tanggungjawab mencipta dan membuka peluang pekerjaan lalu mewajibkan setiap lelaki untuk bekerja sehingga dia mampu memenuhi keperluan-keperluan asas dirinya sendiri, seterusnya memenuhi keperluan nafkah orang-orang yang menjadi tanggungannya. Jika individu tersebut tidak mampu bekerja, maka Islam juga telah menjelaskan peranan dan tanggungjawab ahli warisnya sehingga jiran tetangganya untuk memenuhi keperluan primernya jika mampu. Jika tiada yang mampu, maka negaralah yang wajib memenuhinya melalui peruntukan daripada baitul mal. Sejarah menukilkan bagaimana pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz tidak ditemukan siapa pun yang layak untuk menerima zakat. Hal ini membuktikan bahawa ke­makmuran dapat tercapai melalui penerapan sistem Islam secara kaffah.

Dalam aspek sosial pula, Islam telah menggariskan hak dan tanggungjawab bagi lelaki dan wanita. Islam meletakkan kemuliaan kepada wanita pada tempatnya. Dalam masa yang sama, institusi kekeluargaan turut diatur ke arah membentuk suasana yang sakinah, mawaddah, dan rahmah. Pendidikan anak turut diberikan penekanan berasas­kan nilai ketakwaan dan akhlak Islamiyyah. Sementara itu, negara juga wajib menyediakan peluang pendidikan kepada setiap warganya secara percuma tanpa membebankan para penuntut ilmu dengan yuran pengajian yang tinggi seperti yang dilihat pada hari ini. Kehidupan bermasyarakat menurut Islam menekankan permuafakatan, saling membantu serta mengambil tahu kebajikan setiap anggota masyarakat. Amalan menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran (amar makruf, nahi mungkar) turut memainkan peranan penting sebagai mekanisme dalam membendung penularan kemaksiatan dan gejala sosial dalam masyarakat.

Lalu timbul persoalan, bagaimana pula dengan nasib dan hak orang bukan Islam? Apakah mereka akan berhadapan dengan diskriminasi dan dinafikan hak? Sudah tentu tidak, bahkan sistem Islam telah menggariskan jaminan hak bagi ahlu zimmah (warga Khilafah yang bukan beragama Islam) dalam urusan kepercayaan, ibadah, makan-minum, dan perkahwinan mereka. Mereka turut diberikan hak yang setara dengan warga negara Muslim, serta mempunyai wakil untuk menyuarakan pandangan dan saranan dalam Majlis Umat di bawah sistem Khilafah. Adapun jizyah yang dikenakan terhadap pula tidak membebankan, bahkan hanya dikenakan terhadap lelaki kafir dewasa yang berakal serta berkemampuan.

Di bawah naungan Khilafah Rasyidah, syariat Islam diterap­kan secara kaffah (menyeluruh) serta tidak dicampur-adukkan dengan hadharah kufur. Melalui penerapan yang menyeluruh, keindahan Islam terserlah sepertimana yang dapat dilihat dalam lipatan sejarah sewaktu zaman Rasulullah SAW serta para Khulafa’ ar-Rasyidin.

Meskipun berhadapan dengan pelbagai ujian dari dalam dan luar, namun semuanya dihadapi berlandaskan panduan wahyu, bukannya berlandaskan akal dan hawa nafsu semata-mata. Hasilnya, umat Islam bukan sahaja meraih kemuliaan dalam tempoh kurang daripada satu abad semenjak turunnya wahyu kepada Rasulullah SAW, malah Khilafah Islam turut berhasil menumbangkan dua kuasa besar dunia pada waktu itu iaitu Rom dan Parsi yang telah sekian lama menguasai geopolitik dunia dan seterusnya menguasai hampir dua pertiga dunia pada waktu itu.

Demikianlah gambaran secara umum tatkala penerapan syariah dilaksanakan secara kaffah dalam bingkai Khilafah Rasyidah. Hanya dengan penerapan keseluruhan sistem Islam barulah rahmat dan hikmahnya dapat direalisasikan, sejajar dengan maqasid syariah (objektif penerapan syariah). Sebaliknya penerapan secara juz’i dan bercampur-aduk dengan hadharah kufur tidak akan sama sekali membawa rahmat, bahkan boleh mendatangkan fitnah terhadap kesucian Islam itu sendiri.

Sesungguhnya Khilafah pasti akan kembali buat kali keduanya, sepertimana yang dikhabarkan melalui lisan Rasulullah SAW. Soalnya adakah kita akan berdiam diri dan terus leka dalam sistem kufur yang diterapkan hari ini? Atau kita turut sama menggembleng segenap upaya demi meraih kemuliaan dalam usaha murni untuk mengembalikannya? Semoga kita tidak menjadi sebahagian daripada pihak yang menentang kewajipan ini atas kejahilan dan kesombongan dalam diri, sepertimana golongan musyrik dan kafir yang enggan menerima Islam setelah di­datangkan wahyu serta peringatan. Akhir kalam, marilah bersama-sama dengan Hizbut Tahrir dalam melaksanakan tugas mulia ini mengikut thariqah (metode) yang ditunjuk­kan oleh Rasulullah SAW, iaitu dakwah melalui pendekatan politik secara intelektual tanpa kekerasan.

Download PDF