SN550 – [Siri Khas Rejab] Keruntuhan Khilafah: Malapetaka Yang Bukan Sekadar Untuk Diratapi

Bil: SN550 – 08 Rejab 1440 / 15 Mac 2019

SN550 - [Siri Khas Rejab] Keruntuhan Khilafah: Malapetaka Yang Bukan Sekadar Untuk Diratapi!

Ketibaan bulan Rejab seringkali mengimbau semangat ruhiyah dalam kalangan umat Islam kerana menandakan bahawa kita sudah semakin menghampiri bulan Ramadan. Namun mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa pada bulan ini juga berlakunya detik hitam dalam sejarah umat Islam dengan runtuhnya institusi Khilafah Islam secara rasminya kira-kira 98 tahun lalu. Institusi ini merupakan kesinambungan daripada Daulah Islam yang diasaskan oleh junjungan mulia Rasulullah SAW dan pernah menaungi hampir dua pertiga dunia dengan rahmat dan kemakmuran. Meskipun disulami pelbagai konflik sepanjang kewujudannya, namun secara keseluruhannya urusan umat tetap diatur dengan syariat dan Islam tetap dijadikan sebagai sumber rujukan utama.

Syariat Islam yang diterapkan juga telah memberikan ke­makmuran dan keamanan bukan sahaja kepada umat Islam, bahkan kepada ahlu zimmah. Perbezaan latarbelakang bangsa, budaya, dan agama tidak sama sekali mencetuskan perpecahan, di saat hukum Islam menjadi landasan bagi menegakkan keadilan dalam masyarakat. Maka timbul per­soalan, bagaimana sebuah negara sedemikian boleh diruntuh­kan?

Serangan Merosakkan Pemikiran Generasi Muda

Pelbagai rencana jahat telah dirancang dan dilaksanakan bagi menghancurkan Islam dan menundukkan umat ini, namun selama beratus-ratus tahun lamanya usaha tersebut menemui kegagalan. Musuh-musuh Islam kemudiannya mengubah strategi untuk masuk ke dalam umat Islam dengan berselindung di sebalik agenda pendidikan dan ke­bajikan. Gerakan terancang ini dipelopori golongan misionaris yang masuk ke dalam wilayah Islam dengan membuka sekolah-sekolah dan institusi pendidikan. Melalui gerakan sebegini, idea-idea pemikiran Barat mulai tersebar dalam kalangan umat Islam. Idea-idea yang dibawa oleh golongan Misionaris berhasil mempengaruhi sebilangan pelajar Muslim. Mereka inilah yang kemudiannya menyambung tugas-tugas menyebarkan idea Barat ke dalam tubuh umat Islam, sehinggakan pemikiran tersebut menjadi darah daging dalam kalangan segelintir umat Islam [Hizbut Tahrir, Daulah Islam].

Dalam masa yang sama, idea-idea rosak Barat turut ter­sebar melalui pelajar-pelajar Muslim yang dihantar ke Eropah. Kelompok terpelajar daripada bangsa Arab dan Turki masing-masing kemudiannya terpengaruh dengan idea negara bangsa yang berasaskan sentimen nasionalisme (baca: assobiyyah) serta menyanjung tinggi peradaban Barat. Sehingga akhirnya perpecahan mula ber­putik tatkala golongan terpelajar berbangsa Arab melihat bangsa Turki sebagai penjajah bangsa Arab. Manakala golongan terpelajar Turki yang dikenali sebagai “Kaum Muda” (Young Turks) melihat bangsa lain sebagai beban yang ditanggung oleh bangsa Turki. Kelahiran “Kaum Muda” ini merupakan permulaan kepada sebuah malapetaka yang menjadi tulang belakang kepada proses kemusnahan Daulah Islam. Dengan ‘berbekalkan’ ilmu dan pengalaman berguru di Eropah, mereka telah menyusun pelbagai strategi untuk melakukan usaha modernisasi negara Turki berasaskan kepada semangat Nasionalisme Turki.

Sementara itu di Istanbul pula, sedikit demi sedikit sistem pemerintahan dan perundangan Barat mengikut model Perancis diserap masuk melalui gerakan pembaharuan yang dikenali sebagai Tanzimat pada zaman Sultan Abdul Majid I [Dr. Mohd Roslan, Baldatun Tayyibah: Model Uthmaniyyah]. Kaum Muda mula mendapat tempat dalam sektor pemerintahan dan ketenteraan yang merupakan struktur kritikal dalam Daulah pada ketika itu. Dalam masa yang sama, Daulah turut menghadapi ancaman dari luar terutama daripada British dan Rusia yang saling bersaing untuk berusaha menguasai rantau Asia Tengah.

Serangan Politik

Sultan Abdul Hamid II (SAH II) yang memerintah dari 1876 sehingga 1908 telah berusaha untuk membaiki keadaan tersebut meskipun berhadapan dengan tekanan daripada Kaum Muda Turki. Kewibawaan beliau dapat dilihat melalui usaha-usaha gigih dalam mempertahankan Islam dan melindungi umatnya. Ketegasan beliau dalam mendaulat­kan Islam dapat dilihat ketika beliau mengancam untuk melancarkan jihad terhadap Perancis dan British sekiranya membenarkan penganjuran teater yang menghina Rasulullah SAW, walaupun pada waktu itu kedua-dua negara tersebut merupakan kuasa-kuasa besar dunia yang kuat. Beliau juga bertegas enggan menjual tanah Palestin kepada gerakan Zionis walaupun ditawarkan imbalan bagi melunaskan hutang daulah ketika itu. Kepemimpinan sebegini jauh berbeza dengan sikap para penguasa umat Islam hari ini yang tunduk akur kepada kuasa-kuasa besar serta gagal melindungi umat Islam daripada terus menjadi mangsa penindasan dan kezaliman musuh-musuh Islam. Namun, akibat tekanan daripada anasir luar dan Kaum Muda Turki, SAH II telah dipecat lalu dibuang negeri setelah tercetusnya Revolusi Kaum Muda pada 1908. Khalifah-khalifah yang diangkat selepas beliau tidak mempunyai kuasa penuh, sebaliknya kuasa parlimen dikembalikan semula. Ketika Perang Dunia Pertama (PD1) tercetus di Eropah, Khilafah Uthmaniyah telah menyertai perang di pihak Kuasa Tengah bersama Jerman dan Austria-Hungary  tanpa mendapat persetujuan Khalifah.

Sewaktu PD1, British mengambil kesempatan dengan mengapi-apikan sentiment kebangsaan sehingga berjaya mencetuskan Pemberontakan Arab ke atas Khilafah. Syarif Husein, seorang tokoh berpengaruh kalangan orang-orang Arab ketika itu telah dijanjikan kekuasaan oleh British sekiranya memberontak terhadap Uthmaniyah. Sedangkan hakikatnya, British bersama-sama Perancis dan Rusia secara senyap-senyap telahpun memeterai Perjanjian Rahsia Sykes-Picott pada 1917 yang membahagikan wilayah-wilayah Uthmaniyah antara kuasa-kuasa tersebut. Pada tahun yang sama juga, British telah menjanjikan Palestin kepada gerakan Zionis melalui Deklarasi Balfour, sekali gus mem­buka ruang kepada penghijrahan besar-besaran orang-orang Yahudi ke tanah Palestin sehingga menimbulkan konflik berpanjangan seperti yang disaksikan hari ini.

Akhirnya, setelah PD1 tamat, tentera Berikat buat pertama kalinya telah berarak memasuki kota Istanbul buat pertama kalinya semenjak kota tersebut dibuka oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada 1453. Mustafa Kemal, pemimpin kepada Turki Muda akhirnya berjaya mendapatkan kekuasaan dan memerintah Turki. Kemal kemudiannya me­mansuhkan Kesultanan Uthmaniyyah pada 1922 sebelum menghapuskan institusi Khilafah secara rasminya pada 3 Mac 1924. Turki kemudiannya diisytiharkan sebagai sebuah republik yang sekular yang berasaskan kepada semangat kebangsaan Turki. Islam sudah tidak lagi menjadi panduan dalam kehidupan, sebaliknya hanya dihadkan kepada amalan ritual dan kepercayaan peribadi semata-mata.

Iktibar dan Hala Tuju Umat Islam

Walaupun umat Islam mulai bebas daripada cengkaman kolonialis Barat terutamanya sesudah Perang Dunia Kedua, namun keadaan ini tidak sama sekali mengembalikan kemuliaan terhadap umat ini. Hal ini kerana walaupun pen­jajah sudah meninggalkan bumi kaum Muslimin, namun mereka telah berjaya melahirkan golongan pemerintah elit tempatan yang berkiblatkan Barat. Di samping itu, mereka juga telah mewariskan sistem pemerintahan dan perundangan yang masih mencengkam umat Islam sehingga ke saat ini.

Di peringkat antarabangsa pula hegemoni kuasa besar diteruskan melalui badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bertindak selari dengan agenda licik kuasa-kuasa tersebut. Bagi memastikan umat Islam terus selesa dengan tatacara dunia sebegini, mereka dihidangkan dengan ilusi seolah-olah mempunyai ruang untuk menuntut hak mereka melalui PBB dan konvensyen antarabangsa. Sedangkan hakikatnya, badan dunia dan konvensyen tersebut diwujudkan bagi menjamin keberlangsungan status quo kuasa-kuasa besar dunia yang kini diterajui oleh Amerika Syarikat serta sekutunya. Dalam masa yang sama, tatacara dunia ini dilaksanakan melalui PBB demi memastikan umat Islam terus berpecah-belah kepada negara-negara kecil yang lemah dan tunduk mengikut telunjuk kuasa-kuasa besar.

Pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengeluarkan umat Islam daripada kemelut yang melanda, namun sehingga kini tidak mendatangkan hasil. Sebahagian daripada umat Islam mengambil langkah untuk melakukan perubahan dengan membawa slogan menurut acuan Barat, termasuklah seperti yang disaksikan semasa Revolusi Arab Spring. Di samping itu, perubahan turut cuba dilakukan melalui proses pilihanraya demokrasi di beberapa buah negara Muslimin termasuk Malaysia. Perubahan-perubahan tersebut pada awalnya kelihatan menjanjikan sinar buat umat ini, namun kini ternyata menemui kebuntuan. Hal ini terjadi kerana perubahan ter­sebut masih berpaksikan tatacara dunia yang dicorakkan oleh kuasa-kuasa kuffar serta mengikut sistem demokrasi yang diwariskan penjajah kepada umat Islam. Selagimana umat ini masih berpegang teguh kepada sistem demokrasi kapitalis sekular ini, maka selagi itulah sebarang usaha untuk melakukan perubahan tidak akan membawa kepada kebangkitan hakiki. Hal ini kerana sistem yang ada pada hari ini sememangnya bertujuan untuk memastikan umat Islam terus kekal dalam keadaan lemah dan berpecah-belah. Dalam masa yang sama, mereka telah dimomokkan bahawa sebarang usaha yang dilakukan di luar daripada sistem demokrasi pastinya menjerumuskan umat ini ke kancah pergolakan, keganasan, dan pertumpahan darah. Sedangkan hakikatnya, dalam sistem hari ini, kita hanya melihat perubahan wajah para penguasa namun dalam masa yang sama tidak menjurus kepada perubahan sepertimana yang didambakan.

Demikianlah yang terjadi apabila umat ini tidak mengambil pengajaran daripada peristiwa yang terjadi, serta enggan kembali merujuk kepada thariqah (metode) yang ditunjuk­kan oleh Rasulullah SAW dalam menuju kebangkitan hakiki. Mereka gagal menyedari bahawa umat Islam mulai lemah dan ke­hilangan kemuliaannya tatkala mereka menerima produk pemikiran Barat serta mengamalkan sistem pemerintahan dan perundangannya. Kisah dan sejarah ke­merosotan, kelemahan dan kejatuhan Daulah Islam bukan sekadar dinukil untuk diratapi. Sebaliknya kisah ini dinukil­kan untuk mengingatkan semula bahawa, disebalik ketiadaan Daulah Islam, wujudnya kewajiban untuk mendiri­kan semula Daulah Islam agar hukum Islam dapat dilaksanakan. Semoga melalui usaha merealisasikan kewajipan tersebut, kemuliaan dikembalikan semula kepada umat ini setelah syariat Islam diterapkan dalam segenap aspek kehidupan di bawah naungan Khilafah Rasyidah yang menyatukan semula umat Islam di seluruh dunia.

Download PDF