28 Rejab 1439H: Seruan HTM Memperingati Keruntuhan Khilafah dan Kewajipan Mengembalikannya

Tanggal 28 Rejab pada tahun ini menandakan genap 97 tahun umat Islam kehilangan institusi agung Khilafah yang suatu ketika dahulu pernah memayungi dan melindunginya. Pada 28 Rejab 1342H, Khilafah Islam yang pernah menaungi umat Islam telah dihapuskan secara rasminya. Kekhilafahan Uthmaniyah telah digantikan dengan republik Turki yang berasaskan sekularisme dan bertunjangkan konsep negara bangsa menurut acuan kuffar Barat.

Sehubungan itu, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menganjurkan siri demonstrasi aman sesudah solat Jumaat secara serentak di beberapa tempat di seluruh negara, iaitu di Masjid Wilayah Kuala Lumpur, Masjid Teras Jernang Bangi, Masjid Al-I’tisam Shah Alam, Masjid Bandar Utama Batang Kali, Masjid Al-Gufran Batu 2 Lama Kangar, Masjid Umar Ibnu Al-Khattab Bayan Baru Pulau Pinang, Masjid Muhibbuddin Shah Ipoh, Masjid At-Taqwa Taman Kota Masai Pasir Gudang, Masjid Masjid Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Masjid Al-Falah Kg Karamunting Sandakan.

Dalam demonstrasi tersebut, HTM telah mengungkap tiga peristiwa besar dalam sejarah Islam, iaitu peristiwa Isra’ dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab, pembebasan Baitulmaqdis daripada tentera Salib oleh Salahuddin Al-Ayyubi pada 27 Rejab 583H, dan juga detik hitam keruntuhan Khilafah Islam terakhir yang berpusat di Istanbul pada 28 Rejab 1439H bersamaan 3 Mac 1924.

HTM turut menjelaskan realiti yang terjadi ke atas umat ini serta mengingatkan mereka akan kewajipan dalam mengembalikan semula Khilafah yang telah sekian lama diabaikan oleh sebahagian umat Islam.

Semenjak kehilangan perisai yang melindungi selama lebih 13 abad lamanya, kini keadaan umat Islam menjadi semakin buruk dan terjerumus dalam lembah kehinaan. Islam tidak lagi diamalkan secara kaffah, manakala hukum-hukum kufur diamalkan secara meluas dalam negara-negara Muslimin pada hari ini. Dalam pada itu, umat Islam juga berhadapan dengan pelbagai bentuk penindasan dan diskriminasi di seluruh dunia. Bahkan sebahagian daripada umat ini turut diancam pembunuhan serta penghapusan secara sistematik di Syria, Iraq, Kashmir, Arakan, dan Xinjiang.

Demikian juga nasib yang menimpa umat Islam di Palestin, tanah Muslimin yang dijajah secara haram oleh entiti Yahudi semenjak 1948. Bumi yang menempatkan Masjidil Aqsa, tanah suci ketiga buat umat Islam ini telah menjadi saksi kezaliman yang diperlakukan ke atas umat Islam di sana. Tanah ini jugalah yang pernah menjadi saksi peristiwa Isra’ dan Mikraj Rasulullah SAW 13 abad yang lalu. Baitulmaqdis yang dibuka pada zaman Saidina Umar r.a., dan dibebaskan semula oleh Salahuddin Al-Ayyubi, kini kembali terjajah dan dikepung oleh rejim Yahudi.

HTM turut menyeru umat Islam untuk bersama-sama mendokong perjuangan global bagi mengembalikan semula Khilafah, agar dengannya umat ini kembali menjadi umat yang mulia, terbaik, dan akan memerintah dunia berasaskan aqidah Islam buat kali kedua, insya Allah.