HTM anjur seminar memperingati keruntuhan Khilafah Islam, natijah keruntuhan dan seru umat Islam bersatu mengembalikannya

Bersempena memperingati detik keruntuhan Khilafah Islamiyyah pada tanggal 3 Mac 1924, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menganjurkan siri seminar bagi meningkatkan kesedaran umat terhadap peristiwa hitam dalam lipatan sejarah Islam tersebut. Dalam pada itu, HTM juga mengingatkan bahawa tragedi keruntuhan institusi Khilafah bukanlah sekadar peristiwa yang perlu diratapi, bahkan menjadi kewajipan yang tertanggung secara kolektif ke atas umat Islam keseluruhannya.

Sesi pembentangan seminar dimulakan dengan sorotan peristiwa dalam lipatan sejarah yang menyaksikan musuh-musuh Islam menjalankan pelbagai muslihat licik selama berkurun-kurun lamanya untuk meruntuhkan institusi agung umat Islam ini. Di samping itu, faktor-faktor yang menyumbang kepada keruntuhan Khilafah Islamiyyah turut dikupas satu persatu. Kemunduran taraf berfikir akibat penutupan pintu ijtihad, pengabaian terhadap bahasa Arab, kemasukan pemikiran asing yang meracuni pemikiran umat Islam dan merebaknya barah nasionalisme dalam dunia Islam merupakan antara faktor utama yang menjerumuskan umat ini ke dalam malapetaka akibat ketiadaan Khilafah.

Hadirin turut dibentangkan dengan dalil kewajipan mendirikan Khilafah Islamiyyah berdasarkan Al-Quran, Sunnah, Ijma’ para Sahabat, dan Qiyas. Kembalinya Khilafah juga merupakan janji Allah melalui lisan mulia Rasulullah SAW yang pasti akan terjadi. Justeru, umat Islam diseru untuk meraih kemuliaan dengan bersama-sama menyertai usaha murni yang diperjuangkan oleh Hizbut Tahrir ke arah mengembalikan semula institusi Khilafah Islamiyyah kali kedua ini.

Seminar “3 Mac 1924: Keruntuhan Khilafah, Keruntuhan Politik Islam” telah dianjurkan pada 3 dan 4 Mac lalu di enam lokasi iaitu di Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang, Muar, Johor Bharu dan Sandakan.