SN656 – Rasulullah sebagai Suri Teladan dalam Hubungan Antarabangsa

Bil: SN656 (PDF/Print) – 18 Rabi’ al-awwal 1446 / 21 September 2024

Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menemui Presiden Rusia Vladimir Putin pada Forum Ekonomi Timur di Rusia pada 4 September 2024. Dalam pertemuan tersebut, Anwar mengulangi pendirian Malaysia untuk menyertai kumpulan kerjasama ekonomi BRICS (Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, dan negara-negara membangun lain). Matlamat utama penubuhan BRICS adalah untuk menyatukan negara-negara membangun, mengurangkan dominasi Amerika Syarikat dan negara-negara Barat (G7), serta memberi saingan terhadap kuasa politik dan ekonomi Barat. Anwar juga pernah menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang neutral dan tidak akan menjadi sebahagian daripada ‘Perang Dingin’ di sebalik ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China (BH 23/5/2024). Apa yang dilakukan oleh Anwar merupakan  contoh bagaimana pemimpin Muslim masa kini melibatkan diri dalam hubungan antarabangsa menurut ideologi kapitalisme.

Hubungan Antarabangsa dalam Perspektif Islam

              Rasulullah SAW telah memberikan kita panduan yang jelas mengenai cara mengatur hubungan antarabangsa, termasuk dengan kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi pada ketika itu. Panduan inilah yang sepatutnya kita ikuti dalam menangani hubungan antarabangsa, termasuk dengan kuasa-kuasa besar seperti Amerika, Rusia, dan China. Kehinaan yang menimpa umat Islam hari ini ketika berhadapan dengan kuasa-kuasa besar adalah kerana kaum Muslimin rata-rata mengabaikan pedoman yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW dan menggunakan acuan sekularisme dalam menangani politik antarabangsa. Hakikatnya, panduan Islam dalam perkara ini bukanlah perkara baharu kerana ia telah dihuraikan dengan jelas dan terperinci dalam buku-buku sirah dan karya-karya lain yang disusun oleh para ulama.

              Umat Islam perlu memahami apa yang dimaksudkan dengan hubungan antarabangsa atau politik luar negeri. Politik luar negeri Negara Islam adalah bentuk hubungannya dengan negara, bangsa, dan umat lain. Politik luar negeri ini berdiri di atas pemikiran yang tetap dan tidak akan berubah, iaitu penyebarluasan Islam ke seluruh dunia kepada setiap umat dan bangsa. Inilah asas politik luar negeri Negara Islam. Asas ini tidak pernah berubah selamanya. Asas ini juga tidak berubah walaupun para pemegang kekuasaan berbeza-beza. Asas ini senantiasa ada dan tidak pernah berubah sepanjang masa sejak Rasulullah SAW menetap di Madinah sehinggalah zaman Khilafah Uthmaniyah sebagai Daulah Islam yang terakhir. Sejak Rasulullah SAW mendirikan negara di Madinah, baginda telah mengadakan hubungan dengan negara lain berlandaskan prinsip penyebaran Islam.

              Sebagai ketua negara, Rasulullah SAW menjalin perjanjian dengan Yahudi dalam usaha untuk memperhebat penyebaran dakwah di Hijaz. Kemudian, baginda melakukan Perjanjian Hudaibiyah dengan kaum Quraisy supaya dapat memantapkan penyebaran dakwah di Jazirah Arab. Baginda juga mengirim surat ke negara-negara di dalam dan luar Jazirah Arab untuk mengadakan hubungan dengan mereka berasaskan prinsip penyebaran Islam dan mengajak mereka memeluknya.

              Kemudian datang para khalifah selepas baginda dan mereka juga menjalinkan hubungan dengan negara-negara lain berlandaskan prinsip penyebaran Islam dan mengembangkan dakwah Islam ke seluruh dunia. Walaubagaimanapun, setiap  penguasa melalui jalan yang berbeza-beza dalam usaha mereka. Para penguasa Daulah Islam dari Khilafah Umayyah lebih banyak melakukan pembebasan dan penyebaran Islam di luar negeri berbanding dengan para penguasa Khilafah Abbasiyah. Para penguasa Khilafah Uthmaniyah pula lebih banyak melakukan pembebasan wilayah sekaligus penyebaran Islam ke luar negeri berbanding penguasa Mamalik. Namun, perbezaan ini hanyalah berlandaskan kaedah negara dalam menjalankan politik luar negerinya. Penyebaran Islam tetap menjadi asas yang mendasari hubungan Daulah Islam dengan mana-mana negara, bangsa dan umat lain dan tidak pernah mengalami sebarang perubahan.

              Penyebaran Islam merupakan landasan politik luar negeri kerana risalah Muhammad SAW datang untuk seluruh manusia. Allah berfirman:

“Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan peringatan keras”

[Saba’ (34): 28]

              Dengan demikian, konsep politik yang mendasari hubungan Daulah Islam dengan negara, bangsa dan umat lain adalah penyebaran Islam melalui dakwah dan jihad.

              Namun begitu negara harus menetapkan strategi dan uslub tertentu untuk melaksanakannya – termasuk membuat perjanjian damai sehingga batas waktu tertentu dengan sebahagian negara musuh, sambil memerangi yang lain seperti yang telah dilakukan Rasulullah SAW pada awal baginda di Madinah. Boleh juga dengan cara mengumumkan perang kepada semua musuh negara, seperti yang telah dilakukan Abu Bakar ketika mengirimkan tentera ke Iraq dan Syam. Atau membentuk perjanjian dengan batas waktu tertentu, sehingga memberikan peluang yang besar untuk mewujudkan pandangan umum terhadap dakwah seperti yang telah dilakukan Rasulullah SAW pada Perjanjian Hudaibiyah. Kadang-kadang pertempuran berskala kecil boleh menjadi cara untuk menggentarkan musuh, seperti yang terjadi dalam pelbagai ekspedisi yang dikirim Rasulullah SAW sebelum Perang Badar.

              Setiap penguasa Muslim yang berdakwah kepada umat yang lain pasti menemukan rintangan fizikal dan dia dituntut untuk menghilangkannya dan mengajak mereka dengan bijak hingga mereka dapat melihat dan merasakan secara langsung keadilan, kesejahteraan dan ketenteraman hidup di bawah naungan Islam. Mereka diajak kepada Islam dengan cara yang terbaik tanpa paksaan dan tekanan.

              Jihad berlangsung semata-mata sebagai jalan untuk menghancurkan rintangan fizikal dalam penerapan Islam. Dengan jihad pelbagai wilayah dapat dibebaskan, membolehkan Islam diterapkan secara total sehingga ratusan juta umat manusia memeluknya setelah mereka hidup dalam pemerintahan Islam. Oleh itu, kaedah asas dalam pelaksanaan politik luar negeri adalah jihad yang bersifat tetap, tidak berubah, dan tidak akan pernah berubah untuk selamanya.

Realiti BRICS dan Ekonomi Islam

              BRICS, meskipun kewujudannya adalah sebagai antagonis hegemoni ekonomi Amerika dan Barat, ia tetap diasaskan kepada sistem ekonomi kapitalisme yang rapuh. Malah, anggota-anggota BRICS seperti China, Rusia dan India dikenali sebagai negara yang banyak menindas kaum Muslimin. Oleh itu, sudah tentu kita tidak boleh mengharapkan mereka untuk membantu umat Islam.

              Berbeza dengan kapitalisme, terdapat tiga rukun dalam sistem ekonomi Islam iaitu pemilikan harta, pengembangan harta dan pengagihan harta menurut tata cara syariat Islam. Ketiga-tiga tonggak ini akan memastikan ekonomi umat Islam diatur dengan efektif, adil dan mendatangkan kemakmuran. Standard wang Islam adalah berasaskan emas dan perak yang memastikan ekonomi sentiasa stabil. Sistem ini juga tidak mempunyai bank ribawi dan ciri-ciri kapitalisme lain dan inilah yang akan membangun kemandirian ekonomi.

              Jika seluruh umat Islam bersatu di bawah wadah Daulah Khilafah — yang jarang, bahkan tentu sekali tidak menjadi pilihan para penguasa kaum Muslimin yang dalam konteks politik-ekonomi dunia hari ini  —maka dunia Islam memiliki tiga potensi strategik.

  • Pertama, Khilafah merupakan negara yang memiliki wilayah yang luas dan strategik secara geopolitik, bahkan memiliki jumlah penduduk lebih dari 1.8 bilion yang akan menjadi sumber daya manusia yang sangat luar biasa.
  • Kedua, Khilafah akan menjadi negara kedua yang paling kuat tenteranya dan terbanyak pasukannya untuk menjaga dan menyampaikan misi jihad fi sabilillah dalam konteks melindungi umat dari “samseng-samseng” ekonomi.
  • Ketiga, Khilafah menjadi negara dengan kekuatan ekonomi ketiga terbesar di dunia, terbanyak sumber tenaganya dan ketiga terbesar dari segi output industri.

Kesimpulan

              Islam memiliki peraturan hidup yang lengkap, termasuk dalam hubungan antarabangsa. Para pemimpin kaum Muslimin hakikatnya wajib mencontohi Rasulullah SAW, bukannya mengangkat pandangan kapitalisme dalam perdagangan dan pragmatisme dalam hubungan antarabangsa. Dengan syariat Islam, umat akan dipersatukan di bawah kepemimpinan global Khilafah Islamiyyah. BRICS hanyalah kerjasama rapuh dalam melawan dominasi ekonomi Amerika. Sebaliknya, Islam memiliki sistem ekonomi yang dibangunkan menurut syariat Islam di bawah naungan Khilafah. Inilah yang akan menghentikan dominasi Amerika. Oleh itu, janganlah kita tertipu dengan BRICS. Umat Islam sepatutnya bersatu di bawah Daulah Khilafah Islamiyyah yang memiliki kekuatan mandiri berasaskan syariat Islam yang diterapkan secara menyeluruh.