Keunggulan siyasah Rasulullah dalam mengemudi Daulah (Siri 2/2)

Setelah Rasulullah (saw) berjaya mengikat musyrikin Quraisy di Hudaibiyah dengan perjanjian gencatan sejata, tindakan seterusnya adalah membentuk pengaruh politik melalui penghantaran utusan-utusan ke beberapa pemerintahan di sekitar Madinah, baik yang dekat mahu pun jauh. Ini adalah langkah Rasulullah (saw) sebagai ketua negara sekali gus ahli politik hebat, untuk membawa Daulah Islam menjadi kuasa besar yang bukan sahaja boleh menyaingi empayar Rom dan Parsi, malah boleh mengalahkan mereka.

Tindakan sedemikian telah membuka minda para sahabat setelah berjaya meraih kemenangan dengan Yahudi Khaibar. Rasulullah (saw) telah menunjukkan kepada para sahabat agar melakukan tanggungjawab penyebaran Islam ke kawasan luar dengan penuh keberanian, keikhlasan dan kerelaan. Para sahabat memahami bahawa tindakan ini akan menjadi langkah yang akan membawa Islam sebagai rahmat ke seluruh alam, seperti mana yang dinyatakan oleh Rasulullah (saw) sekembali baginda dari Khaibar:

“Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah mengutusku sebagai rahmat untuk seluruh alam. Janganlah kalian menyalahiku sebagaimana Hawariyyun yang telah menyalahi ‘Isa bin Maryam”.

Para sahabat bertanya: “Bagaimanakah Hawariyyin telah menyimpang, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Dia (Isa bin Mariam) mengajak mereka kepada Zat yang aku juga mengajak kalian kepada-Nya, redha dan pasrah kepada-Nya. Adapun siapa sahaja yang dia (Isa) utus ke tempat yang jauh, maka dia memperlihatkan wajah tidak suka dan berat” [An-Nabhani, Daulah Islam].

Keputusan ini telah membentuk kecenderungan diplomatik jazirah Arab kepada kepimpinan Rasulullah (saw), yang menyaksikan sebahagian daripada penguasa yang didatangi oleh utusan Rasulullah (saw) tersebut memeluk Islam atau tunduk kepada pemerintahan Islam walaupun sebahagiannya memilih untuk berkonfrontasi dengan baginda (saw). Dengan pengutusan delegasi ini telah menjadikan kepimpinan Rasulullah (saw) dan Daulah Madinah mula memasuki fasa kuasa besar yang dapat mempengaruhi kedudukan politik dunia.

Hasil penghantaran utusan-utusan ini telah membawa kepada perkembangan sempadan dakwah Daulah Islam keluar dari Jazirah Arab. Ini juga telah mengakibatkan penghantaran bala tentera sebanyak 3,000 orang melawan 100,000 tentera Rom untuk menggoncang pintu kerajaan Rom bertempat di Mu’tah.

Rasulullah (saw) mengetahui bahawa pengiriman pasukannya itu merupakan suatu yang sangat mengkhuatirkan dan penuh bahaya. Akan tetapi, kekhuatiran dan bahaya ini mesti tetap dilakukan demi menimbulkan rasa takut pada pasukan Rom, ketika mereka melihat semangat tempur pasukan kaum Muslimin dan semangatnya mencari mati, meskipun jumlah mereka jauh lebih sedikit berbanding pasukan Rom. Kekhuatiran ini telah membuka jalan baru bagi kaum Muslimin untuk terus berjihad menyebarkan Islam dan menerapkan Islam di wilayah-wilayah yang belum dimasuki oleh mereka. Kekhuatiran dan bahaya ini lantas menguntungkan kaum Muslimin kerana akhirnya berjaya menewaskan tentera Rom dan membawa kemenangan kepada tentera Islam di Perang Tabuk, di samping keberhasilan yang membawa kepada pembebasan wilayah Syam dari cengkaman Rom. Seterusnya semakin banyak wilayah-wilayah baru yang berjaya dibuka dan dibebaskan yang membawa kepada perluasan medan dakwah Rasullullah (saw).

Kegemilangan dan keunggulan kepemimpinan Rasulullah (saw) yang telah dinukilkan dalam lipatan sirah sungguh jauh berbeza, malah sungguh bertentangan dengan pemimpin umat Islam pada hari ini. Mereka bukan sahaja tidak mengambil Rasulullah (saw) sebagai suri teladan, sebaliknya mereka “memerangi” Sunnah Rasulullah (saw) dengan mengambil sistem dan undang-undang kufur, serta menjadikan kuffar Barat sebagai ikutan.

Sejak kejatuhan Khilafah, kebanyakan pemimpin pada hari ini mengambil demokrasi yang berasal dari Barat sebagai sistem pemerintahan di negara mereka. Rata-rata penguasa ini merupakan ejen Barat atau tunduk kepada Barat dan memusuhi kaum Muslimin yang berjuang untuk mengembalikan Islam dan sistem Khilafah. Padahal mereka diperintahkan untuk menjadikan Rasulullah (saw) sebagai ikutan dalam segenap aspek, apatah lagi pemerintahan. Firman Allah (swt):

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُوْنَ حَتّٰى يُحَكِّمُوْكَ فِيْمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوْا فِيْٓ اَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا

“Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sebelum mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, (sehingga) kemudian tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang engkau berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya” [An-Nisa’ (4): 65].

Justeru, tidak seorang pun penguasa umat Islam pada hari ini yang layak bergelar negarawan, malah mereka langsung tidak layak untuk bergelar pemimpin pun. Mereka lebih layak untuk digelar sebagai pengkhianat Islam kerana telah mengkhianati amanah yang Allah (swt) letakkan di bahu mereka sebagai pemimpin.

Umat Islam memerlukan seorang Khalifah, yang akan mencontohi kepimpinan Rasulullah (saw) dan akan muncul sebagai negarawan yang disegani kawan dan lawan, yang akan mengembalikan semula penerapan hukum Allah (swt) secara kaffah dan seterusnya membawa risalah Islam ke seluruh dunia sebagai rahmatan lil alamin.

Dengan adanya Khilafah, bukan sahaja Khalifah yang akan zahir sebagai negarawan, bahkan ramai dalam kalangan umat ini yang akan turut terserlah sebagai negarawan, kerana Khilafah bukan sahaja menjadi tempat penerapan hukum Allah (swt), tetapi menjadi tempat lahirnya negarawan-negarawan hebat sebagaimana telah terpahat dalam tinta emas sejarah Islam.

Wallahu a’lam.