SN660 – Bahaya Menjadikan Negara Bermazhab Aqidah
Bil: SN660 (PDF/Print) – 12 Jumada al-awwal 1446 / 14 November 2024
Di kala umat Islam di Palestin dan Lubnan dibantai oleh tentera entiti haram Yahudi, para pemimpin, ulama, dan ilmuwan agama di Malaysia pula sibuk membincangkan perihal RUU Mufti (Wilayah Persekutuan). Antara kandungan RUU tersebut merujuk kepada cadangan untuk menjadikan aliran al-Asy’ariyah dan al-Maturidiyah sebagai satu-satunya bentuk pegangan aqidah yang diterima di peringkat Wilayah Persekutuan. Ini bermaksud, fahaman selain aliran tersebut tidak diterima dan boleh dianggap sesat atau tertolak. Meskipun RUU ini, jika diluluskan, hanya akan diterapkan di peringkat Wilayah Persekutuan, ia dilihat sebagai satu usaha permulaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengadopsi mazhab aqidah tertentu.
Hal ini ditentang oleh kelompok aliran yang lain, khususnya Salafi, iaitu satu lagi aliran aqidah dalam Islam yang menekankan pentingnya kembali kepada ajaran dan amalan para sahabat Nabi Muhammad SAW serta generasi awal umat Islam (salaf). Aliran ini percaya bahawa cara hidup dan pemikiran kaum Muslimin yang terawal adalah contoh terbaik dan paling tulen bagi umat Islam.
Hakikatnya, belum pun dilaksanakan, kita dapat melihat RUU ini tidak akan menghasilkan penyatuan umat Islam, bahkan, sudah mula tampak perpecahan umat Islam disebabkan isu aqidah ini. Perkara ini boleh difahami kerana aqidah adalah perkara paling mendasar di dalam agama Islam, mengapa harus ada perselisihan di dalam hal ini? Penyimpangan dari landasan aqidah, walaupun hanya sebesar zarah, berkemungkinan boleh menjadikan keimanan seseorang terjejas. Dengan RUU ini, jika ia diluluskan, pihak berkuasa memiliki alasan untuk menghalang malah menangkap sesiapa sahaja yang melakukan sesuatu yang dianggap bertentangan dengan aqidah yang ‘dianuti’.
Menjadikan negara ini sebagai negara mazhab aqidah sebenarnya akan meletakkan umat Islam dalam keadaan bahaya. Sejarah peradaban Islam telah membuktikan hal tersebut. Sejarah yang dimaksudkan merujuk kepada kisah yang masyhur di zaman Khilafah Bani Abbasiyah yang menimpa ulama terkenal, Imam Ahmad bin Hanbal, di mana beliau telah ditangkap dan diseksa semata-mata kerana tidak bersetuju dengan pegangan khalifah ketika itu yang jelas tidak lagi mengikuti aqidah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Khalifah pada ketika itu, iaitu Al-Makmum, telah memilih aliran Muktazilah sebagai pegangan rasmi negara. Ini menyebabkan ramai ilmuwan Islam ketika itu tidak bersetuju, sehingga ramai yang mendiamkan diri, dizalimi atau berhijrah ke tempat lain agar tidak terlibat dengan hal tersebut. Bagi Imam Ahmad, beliau tetap teguh untuk menasihati khalifah pada ketika itu sehingga Imam Ahmad dianggap telah mengancam kedudukan dan kestabilan kepercayaan yang menjadi pegangan negara dan beliau kemudiannya telah dipenjara selama bertahun-tahun.
Kekejaman tersebut dilakukan oleh Al-Makmun kerana kegagalan para ulama yang menyokongnya menangkis hujah-hujah yang dibentangkan oleh Imam Ahmad. Mereka mendakwa bahawa sekiranya Imam Ahmad dibiarkan bebas, ini pasti akan menjadikannya berpengaruh sehingga ramai yang akan menentang khalifah. Inilah akibat apabila negara mengadopsi mazhab aqidah tertentu – pandangan berbeza akan didakwa sebagai sesat dan mereka yang berpegang kepada pandangan yang berbeza ini akan dizalimi.
Sejarah perselisihan dan perbezaan dalam perkara aqidah ini mula muncul dengan drastik selepas zaman sahabat dan tabi’in, iaitu setelah penyebaran Islam ke pelbagai wilayah lain semakin meluas. Ia bermula pada abad ke-8 Masehi semasa Khilafah masih melaksanakan jihad dan membuka banyak kota serta wilayah baru. Ramai ulama dan ilmuwan Islam terdedah dengan pelbagai ilmu asing dan perdebatan mula meluas dalam dakwah mereka.
Di antara ilmu asing yang memberi pengaruh kepada ulama Islam adalah Falsafah Yunani, khususnya ilmu mantik. Salah satu aliran aqidah yang awal muncul adalah aliran Muktazilah. Aliran ini menekankan penggunaan akal dalam memahami wahyu dan percaya kepada prinsip keadilan Tuhan, kebebasan manusia, serta penolakan terhadap sifat-sifat yang terlalu literal dalam menggambarkan Allah. Mereka juga terkenal dengan pandangan rasionalis mengenai masalah takdir dan dosa.
Kemudian, muncul pula aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, iaitu kelompok yang menekankan pentingnya berpegang teguh kepada ajaran al-Qur’an dan Sunnah Nabi Muhammad SAW. Dalam konteks sejarah, aliran ini muncul sebagai reaksi terhadap pemikiran ekstrim yang timbul selepas era Muktazilah.
Aqidah Islam yang Agung
Perbezaan dan perselisihan di dalam perkara aqidah ini tidak pernah wujud di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Mereka hanya mengambil pandangan yang ringkas dan jelas tanpa ada perselisihan langsung dalam isu aqidah. Oleh kerana itu, kesatuan umat Islam pada ketika itu sangat utuh dan kuat. Para sahabat tidak pernah membahaskan secara rinci sifat-sifat dan zat Allah sehingga boleh menimbulkan perselisihan dan perbezaan pendapat.
Islam menetapkan bahawa aqidah adalah perkara paling asas yang sangat penting kerana ia menentukan kekuatan sebenar umat Islam berbanding dengan kepercayaan lain. Sejak dahulu lagi, Rasulullah SAW dan para sahabat sentiasa menjaga kemurnian aqidah. Hanya dengan menerima bukti-bukti kewujudan Allah sudah memadai untuk mereka meyakini ke-Esaan dan kebesaran Allah SWT, tanpa perlu melampaui batasan dan kemampuan akal untuk mendalami zat Allah SWT.
Peranan akal adalah untuk mencari bukti dan petunjuk melalui apa yang dapat diindera agar dapat memperkuat keyakinan mereka terhadap kewujudan Allah SWT melalui ciptaanNya. Ini amat selari dengan isi kandungan Al-Qur’an yang banyak mengajak manusia untuk merenung, berfikir dan menggunakan akal dalam memahami ciptaan Allah SWT serta tanda-tanda kekuasaanNya di alam semesta sebagaimana firmanNya:
“Apakah mereka tidak memperhatikan langit dan bumi, dan segala sesuatu yang Allah ciptakan?” [Al-A’raf: 185]
“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, serta pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal.” [Al-Imran: 190]
Islam mengakui pentingnya pemikiran rasional sebagai kaedah berfikir untuk memperkuat keimanan dan aqidah. Rasulullah SAW mengajarkan agar umatnya berpikir secara rasional dalam batasan yang ditentukan oleh wahyu. Sebagai contoh, Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Barang siapa yang ingin mengetahui kekuasaan Allah, hendaklah dia melihat ciptaan-Nya.” [HR Tirmidzi]
Rasulullah SAW sentiasa mendorong umatnya untuk mengamati alam semesta dan menggunakan akal untuk mengenal lebih dekat penciptaan dan kekuasaan Allah. Inilah yang dikatakan sebagai kaedah rasional untuk mengembangkan keimanan. Berikut adalah pembahagian konsep di dalam Islam yang dapat menjelaskan lagi bagaimana aqidah itu dibina;
Pertama: Akal yang sihat akan dapat melihat bahawa segala sesuatu yang ada di alam semesta ini pasti memiliki Sang Pencipta, dan Tuhan yang Maha Kuasa itu hanya satu, iaitu Allah SWT. Pemikiran rasional ini selari dengan ajaran tauhid yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Kedua: Alam semesta yang teratur, makhluk hidup yang saling bergantung dan hukum alam yang berlaku di dunia ini semuanya menunjukkan kekuasaan Allah yang Maha Agung. Ini adalah contoh di mana akal dan iman saling menyokong.
Ketiga: Ajaran tentang keadilan Allah dan kehidupan setelah mati (hari kiamat, syurga, neraka) merupakan ajaran yang datang dari sumber yang boleh dibuktikan kebenarannya (Al-Quran dan Sunnah), mengandung makna yang boleh difahami akal, meskipun tidak dapat dibuktikan secara saintifik. Akal manusia dapat memahami bahawa keadilan yang sempurna hanya dapat terjadi jika ada kehidupan setelah mati, di mana setiap amal perbuatan akan dihitung dan dibalas dengan adil.
Ketiga-tiga pendekatan ini banyak digunakan oleh Rasulullah SAW ketika berdialog secara rasional dengan orang-orang kafir atau yang skeptis terhadap ajaran Islam. Baginda menggunakan logik dan hujah yang jelas untuk menjelaskan keimanan kepada Allah dan kenabian beliau kepada orang-orang kafir. Dialog-dialog ini menunjukkan bahawa pemikiran rasional memang dapat digunakan untuk menjelaskan ajaran aqidah Islam terutama di dalam aspek pembuktian kewujudan Allah SWT.
Aqidah Islam dengan kaedah ini dapat melahirkan keyakinan di dalam diri seseorang bahawa Allah SWT merupakan Pencipta Yang Maha Esa, sekaligus menjadi wajib bagi manusia untuk melaksanakan seluruh perintah dan menjauhi sebarang larangan Allah SWT dalam kehidupannya. Manusia seterusnya akan dipertanggungjawabkan atas segala amal perbuatannya di dunia ketika di akhirat kelak dan diberikan ganjaran atau diseksa berdasarkan amalnya setelah dihakimi di hadapan Allah SWT.
Setelah keyakinan sedemikian lahir, maka aqidah tersebut akan menatijahkan manusia untuk terikat dengan syariat Allah SWT. Aqidah ini menjadi asas lahir dan tertegaknya sebuah sistem kehidupan yang mengatur hubungan manusia dengan Al-Khaliq (Pencipta), hubungan manusia dengan dirinya sendiri, serta hubungan manusia dengan manusia yang lain.
Kesimpulan
Dalam konteks sebuah negara, apakah wajar untuk menetapkan dan mengadopsi suatu mazhab atau aliran aqidah tertentu dalam pemerintahan? Pandangan yang kuat dan rasional menyatakan bahawa sebuah negara kaum Muslimin tidak wajar melakukan perkara ini. Dan apabila umat Islam disatukan di bawah Khilafah Islam nanti, adalah tidak wajar bagi khalifah untuk mengadopsi sesuatu aliran aqidah dalam pemerintahannya.
Negara Khilafah adalah negara yang berlandaskan kepada aqidah yang kukuh dan hanya menerima asas aqidah yang tepat, tiada keraguan dan tiada perselisihan, berupa apa yang diajarkan oleh Rasuluallah SAW dan para sahabat. Sejarah telah membuktikan bahawa aqidah ini telah membentuk asas sebuah tamadun dunia yang hebat. Justeru, pertembungan di antara aliran-aliran aqidah yang berlaku hari ini bukan sahaja memecah belahkan umat Islam, malah boleh memberikan peluang kepada seteru Islam untuk menusuk jarum permusuhan agar umat Islam terus bercakaran dan menjadi halangan kembalinya penyatuan umat Islam di bawah payung kekhilafahan.