SN661 – Di Sebalik Kibaran Bendera

Bil: SN661 (PDF/Print) – 21 Jumada al-awwal 1446 / 23 November 2024

Baru-baru ini, isu pengibaran bendera negara China di Johor, Teluk Intan, dan Pulau Pinang tanpa izin mencetuskan pelbagai reaksi. Ada pihak yang lantang menyuarakan kebimbangan terhadap perkara ini, manakala segelintir pula memperkecilkan isu tersebut dengan pelbagai alasan. Tindakan itu dilihat melanggar Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949, yang melarang pemaparan lambang kebangsaan, termasuk bendera negara asing, di tempat awam atau sekolah tanpa kebenaran. Perbuatan mengibarkan bendera ini boleh dianggap sebagai provokasi yang mencabar kedaulatan serta keharmonian negara. (BH, 25/10/24)

Persaingan Amerika dan China

              Pengibaran bendera ini menimbulkan kebimbangan tatkala ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China semakin meningkat, dengan kedua-dua kuasa besar ini berebut untuk memperkukuhkan pengaruh mereka di Asia Pasifik, termasuk Malaysia. Tidak dapat dinafikan, AS dan China masing-masing ingin menunjukkan kekuatan mereka, memaksa negara-negara Asia Pasifik tunduk kepada kehendak mereka. Pesawat dan kapal tentera AS serta China, bersama sekutu masing-masing, kerap berlayar di kawasan ini sebagai demonstrasi kuasa. Malah, pesawat tentera China pernah memasuki ruang udara maritim Malaysia dan dipintas oleh tentera udara Malaysia. (BH, 1/6/2021)

              Dalam dekad terakhir, politik antarabangsa menyaksikan persaingan hebat antara AS dan China. Sebelum ini, tiada negara lain yang mampu menandingi dominasi AS secara global. Namun, kebangkitan China mula menggugat kedudukan itu, dengan banyak negara kini cenderung memilih kerjasama dengan China.  Kawasan Asia Pasifik kini menjadi medan utama persaingan kedua-dua kuasa besar ini. China giat melaksanakan projek Belt and Road Initiative (BRI), dengan menekankan kerjasama perdagangan dan pelaburan di rantau ini. Selain itu, China turut memperkukuhkan kehadirannya di Laut China Selatan melalui aktiviti ketenteraan, penyelidikan, dan penangkapan ikan, serta meningkatkan perbelanjaan ketenteraannya, menjadikannya negara dengan perbelanjaan ketenteraan kedua terbesar selepas AS.

Diaspora China 

              Diaspora merujuk kepada komuniti dengan budaya asal yang sama tetapi tersebar di pelbagai negara. Penyelidikan oleh German Institute for International and Security Affairs dalam SWP Research Paper 2022 bertajuk “Dasar Diaspora China di Bawah Presiden Xi Jinping” mendapati bahawa China telah lama memanfaatkan komuniti diaspora mereka. Beijing memulakan dasar diaspora pada akhir 1970-an untuk menghubungkan rakyat berketurunan Cina di luar negara dengan tanah air mereka.

              China menganggarkan terdapat 60 juta rakyat berketurunan Cina di luar negara, dan Beijing menganggap mereka semua sebagai warganegara China tanpa mengira kewarganegaraan sebenar mereka. Presiden Xi Jinping percaya bahawa diaspora China memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kedudukan China sebagai kuasa dunia. Strategi ini merangkumi pelbagai aspek termasuk ekonomi, teknologi, diplomasi, dan kuasa lembut (soft power).  Beijing berharap diaspora China dapat menyebarkan naratif pro-China, mempertahankan kepentingan teras China, dan memindahkan pengetahuan serta teknologi ke China.

              Usaha dijalankan oleh pemerintah China dan wakil masyarakat Cina tempatan untuk menggambarkan orang-orang Cina sebagai mangsa dan mengenengahkan naratif tentang penderitaan yang dirasai walaupun usaha ini kadangkala mendatangkan reaksi negatif daripada kerajaan negara lain, Xi Jinping terus berusaha memperkukuhkan ikatan emosional diaspora dengan tanah China, sambil mengelakkan usaha ini dari kelihatan sebagai aktiviti campur tangan langsung.

Kalau Bukan Khilafah, Siapa Yang Akan Melindungi Umat?

              Ketamakan AS dan China untuk menguasai negara-negara lain adalah hakikat yang tidak dapat dinafikan. Kuasa-kuasa besar dunia secara pasti akan melebarkan pengaruh dan penguasaan mereka dalam pelbagai aspek kehidupan manusia. Hari ini, tanpa penyatuan hakiki serta kekuasaan politik, ekonomi dan ketenteraan, umat Islam akan terus berhadapan dengan situasi seperti di Gaza dan Bosnia.

              Di Bosnia, umat Islam tidak menjangka bahawa jiran Serbia akan menyerang mereka. Bila serangan berlaku, siapakah yang dapat melindungi mereka? Begitu juga di Gaza, penduduknya diabaikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, malah pemimpin Arab dan Turki, yang tunduk kepada AS, memilih untuk bekerjasama dengan entiti haram Yahudi.  Akibatnya hanya pejuang Islam yang bersenjatakan peralatan primitif terpaksa menghadapi serangan entiti Yahudi yang dilengkapi teknologi canggih.

              Penyelesaian jelas hakikatnya telah diberikan oleh Islam; penyatuan di bawah panji Khilafah. Dengan segala sumber manusia dan alam di dunia kaum Muslimin hari ini, kita sepatutnya berada di tahap yang lebih tinggi dari AS dan China. AS dan China seharusnya tunduk kepada kekuasaan Islam di bawah payung kekhilafahan. Namun hari ini, tanpa perlindungan, tanpa pembelaan, tanpa perisai, kaum Muslimin pula yang terpaksa tunduk kepada mereka.

              Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya seorang imam itu [laksana] perisai. Dia akan dijadikan perisai, di mana orang akan berperang di belakangnya, dan berlindung dengannya” [HR Bukhari dan Muslim] 

              Makna hadis ini dijelaskan oleh Imam an-Nawawi:

“Maksudnya, imam itu ibarat pelindung kerana dia mencegah musuh menyerang umat Islam, melindungi keutuhan Islam, dan disegani oleh masyarakat.”

              Persaingan AS dan China menunjukkan betapa pentingnya penyatuan umat beserta kekuatan ketenteraan untuk melindungi kepentingan dalaman dan antarabangsa kaum Muslimin. Namun, apabila umat Islam berpecah menjadi lebih 50 negara, mereka menjadi lemah, bercerai berai, malah khianat mengkhianati! Umat Islam tidak seharusnya berpihak kepada AS atau China kerana kedua-duanya merupakan muka hadapan peradaban sekular yang bermasalah.

              Sebaliknya, sudah tiba masanya umat Islam menghidupkan semula agenda mereka berasaskan ajaran Islam yang telah membentuk peradaban gemilang selama 14 abad.  Peradaban Islam, di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW, telah berkembang ke Asia, Afrika dan Eropah, membawa keamanan serta memberi sumbangan yang sangat besar kepada dunia. Kini, menjadi tanggungjawab umat Islam untuk mengembalikan sejarah kegemilangan ini melalui penegakan semula negara Khilafah. Khilafah adalah kunci utama untuk memulihkan kejayaan masa lalu dan memastikan kesejahteraan masa depan umat Islam dan umat manusia secara umumnya.