SN662 – Kemenangan Trump Terus Memburukkan Keadaan Yang Sudahpun Buruk
Bil: SN662 (PDF/Print) – 4 Jumada al-thani 1446 / 6 Disember 2024
Kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat telah mencetuskan pelbagai reaksi di peringkat domestik dan antarabangsa. Dengan kemenangan ini, kes jenayah terhadap Trump digantung dan perbicaraan tidak akan diteruskan, memberikannya ruang untuk fokus sepenuhnya kepada agenda politiknya. Antara elemen penting dalam strategi politik Trump ialah hubungan rapatnya dengan Perdana Menteri Entiti Haram Yahudi, Benjamin Netanyahu. Kerjasama ini tidak hanya berasaskan hubungan peribadi, tetapi juga berkait rapat dengan strategi geopolitik, khususnya dalam konteks konflik berterusan di Gaza dan terkini dengan Hizbullah di Selatan Lebanon.
Netanyahu telah lama berusaha memperkukuh hubungan dengan AS sebagai sebahagian strateginya untuk menangani konflik di Gaza. Dengan kembalinya Trump ke tampuk kuasa, Netanyahu melihat peluang untuk mendapatkan sokongan AS bagi mencapai matlamatnya. Netanyahu bahkan mengucapkan tahniah kepada Trump atas apa yang disebutnya sebagai “kemunculan semula terbesar dalam sejarah” [Forward.com, 26/11/2024]. Trump telah berjanji untuk menghentikan peperangan di Ukraine dan Gaza, dan ramai percaya Netanyahu akan memanfaatkan peluang ini untuk kepentingan politiknya. Penghentian peperangan di Gaza dilihat sesetengah pihak bukan sebagai inisiatif keamanan, tetapi lebih kepada kesan langsung kemenangan Trump yang memberikan Netanyahu sokongan politik dalaman dan luaran.
Hubungan Rapat Trump dan Netanyahu
Sepanjang penggal presidennya sebelum ini, Trump dan Netanyahu membina hubungan erat yang memberi kesan kepada pelbagai aspek geopolitik, termasuk konflik di Gaza. Trump memberikan sokongan politik dan diplomatik yang kuat kepada Entiti Haram Yahudi, termasuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota dan memindahkan kedutaan AS ke sana. Sokongan ini mengukuhkan kedudukan Netanyahu dan membolehkan dasar ketenteraan agresif diteruskan.
Trump dan Netanyahu berkongsi pandangan yang sama mengenai ancaman Iran dan Hamas di Gaza. Kerjasama ini mendorong Trump mengambil tindakan tegas terhadap Iran, yang secara tidak langsung mempengaruhi dinamika kuasa dalam konflik di Palestin. Ini memberi Netanyahu keyakinan untuk bertindak lebih berani di Gaza dengan sokongan diplomatik dari AS.
Di bawah pentadbiran Trump, beberapa negara Arab menormalkan hubungan dengan Entiti Haram Yahudi melalui Abraham Accords, memperkukuhkan kedudukan Entiti Haram Yahudi di Timur Tengah. Ini memberi tekanan tambahan kepada Hamas dan pihak berkuasa Palestin untuk menerima syarat lebih keras dalam rundingan damai. Dalam konflik di Gaza, Trump sering menyokong hak Entiti Haram Yahudi untuk mempertahankan diri sambil meminimakan kritikan terhadap tindak balas ketenteraannya, yang telah menyebabkan lebih 44,000 kematian di Gaza setakat ini [apnews.com, 22/11/2024].
Isu Dalaman AS
Di peringkat domestik, kemenangan Trump membawa perubahan yang ketara dalam landskap politik AS. Salah satu kesan terbesar adalah terhadap Parti Demokrat, yang kehilangan pengaruh akibat perang yang berlarutan di Gaza. Konflik ini telah menjadi titik tumpuan kontroversi dan kritikan terhadap kepimpinan Demokrat, terutamanya mengenai pengurusan dasar luar mereka. AS terus menyumbang dana dan membela Entiti Haram Yahudi untuk terus membunuh rakyat di Gaza dan menghancurkan sehancurnya bumi Gaza.
Perang di Gaza ini telah menyebabkan ramai pengundi dan pemerhati politik mempersoalkan kecekapan parti Demokrat dalam menangani isu-isu antarabangsa. Keadaan menjadi lebih buruk dengan krisis kemanusiaan yang berlaku akibat konflik ini, yang menarik perhatian dan kritikan meluas dari masyarakat antarabangsa serta dalam negeri. Media seperti The New York Times dan The Washington Post telah melaporkan tentang tekanan yang dihadapi oleh pentadbiran Demokrat dalam menguruskan situasi ini, yang menjadi salah satu faktor penyumbang kepada kemerosotan sokongan terhadap mereka.
Dalam situasi ini, Trump dan parti Republikan berjaya memanfaatkan keadaan dengan mengemukakan janji-janji untuk menangani isu-isu ekonomi dan sosial yang menjadi keprihatinan ramai pengundi. Kempen Trump menekankan kepentingan pemulihan ekonomi, reformasi kesihatan dan pengukuhan undang-undang serta ketenteraman. Ini telah menarik sokongan daripada pengundi yang merasa terpinggir oleh dasar-dasar Demokrat, terutamanya di kawasan-kawasan yang terjejas oleh kemerosotan ekonomi dan ketidaktentuan sosial.
Isu Luaran AS
Trump dijangka akan menghidupkan semula usaha untuk menormalisasikan hubungan antara AS dan negara-negara Timur Tengah. Ini adalah agenda yang telah memperoleh momentum semasa penggal pertamanya tetapi terhenti di bawah kepimpinan Biden. Pada penggal pertamanya, Trump berjaya merintis beberapa perjanjian normalisasi antara Entiti Haram Yahudi dan negara-negara timur tengah seperti Emiriah Arab Bersatu (UEA), Bahrain, Sudan, dan Maghribi. Perjanjian ini mewakili peralihan pragmatik dalam geopolitik Timur Tengah, menekankan kerjasama ekonomi dan kepentingan keselamatan bersama. Namun hakikatnya, perjanjian ini menggambarkan pengkhianatan pemimpin negara Arab terhadap Gaza dan Palestin yang berterusan!
Trump dijangka akan meneruskan dan memperluaskan usaha-usaha meletakkan dirinya sebagai arkitek utama keamanan dan kestabilan di Timur Tengah namun hakikatnya keburukan pasti lebih banyak berlaku. The Wall Street Journal melaporkan bahawa pentadbiran Trump berhasrat untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan pengaturan keselamatan dengan negara-negara utama di Timur Tengah.
Ini termasuk usaha untuk memupuk kerjasama dalam menangani cabaran keselamatan serantau dan meningkatkan perdagangan antara AS dan negara-negara ini. Namun, usaha ini menghadapi cabaran, terutama dalam mengimbangkan hubungan dengan ketegangan yang berterusan di Gaza dan dengan negara seperti Iran. Trump dilihat akan merentasi pendekatan diplomatik yang berhati-hati bagi memastikan kepentingan AS terpelihara sambil mengurangkan risiko konflik yang lebih besar di rantau ini. Hakikatnya, siapapun yang menjadi presiden, sebagai kuasa besar, AS akan terus mempercaturkan dunia ini menurut kehendaknya semata-mata.
Tindakan AS Terhadap Umat Islam
Salah satu persoalan penting adalah bagaimana AS akan bertindak terhadap umat Islam dan negara-negara majoriti Muslim di bawah kepimpinan baru Trump. Kepimpinan ini dijangka akan mengurus hubungan antarabangsa yang rumit dengan negara-negara majoriti Muslim dengan mencari keseimbangan antara keperluan keselamatan negara dan usaha membentuk dasar inklusif yang menghormati kepelbagaian agama.. Tambahan pula, komitmen Trump untuk menghentikan konflik di rantau seperti Gaza dan Ukraine menawarkan peluang untuk memperbaiki semula hubungan dengan komuniti Muslim global. Namun hakikatnya, pesimisme terhadap keikhlasan AS akan terus wujud! Majalah The Economist mencatat bahawa pentadbiran Trump mungkin akan terlibat dalam dialog dengan negara-negara Muslim utama untuk menangani cabaran keselamatan bersama dan mempromosikan kerjasama ekonomi. Tentunya usaha ini dilihat sebagai satu cabaran terhadap blok BRICS teruatama apabila Trump mengeluarkan amaran bahawa AS akan mengenakan tarif perdagangan yang cukup tinggi terutamanya terhadap China.
Khatimah
Kemenangan Trump tidak akan membawa perubahan signifikan kepada situasi umat Islam. Hakikatnya, kuasa penjajah seperti AS bukanlah masalah utama kita. Masalah utama kita adalah ketiadaan kepimpinan yang ikhlas dan soleh yang akan mempersatukan umat Islam dan melaksanakan sistem Islam secara menyeluruh. Ketika ini, kita mempunyai rejim-rejim dan para pemimpin yang lemah dan korup, yang lebih rela merompak, menyeksa dan membunuh rakyat mereka sendiri daripada mempertahankannya dari musuh-musuh umat Islam. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya pemimpin itu adalah perisai yang di belakangnya mereka berperang dan dia melindungi mereka.” [HR Muslim]
Maka, menjadi keutamaan umat Islam untuk memperjuangkan kembalinya Khilafah ‘ala Minhaj Nubuwwah, sebagai perisai untuk melindungi Islam dan umatnya, menentang kezaliman, dan melaksanakan sistem Islam secara menyeluruh.
“Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada kamu.” [Al-Anfal: 24]
PEDULI PALESTIN
Bersetuju dengan Penyelesaian Dua Negara Merupakan Satu Bentuk Pengkhianatan Terhadap Palestin Yang Diberkati dan Islam
Merujuk kepada suatu wawancara bersama CNN baru-baru ini, PMX mengakui bahawa entiti Zionis ‘berhak’ untuk wujud di atas Tanah Palestin, meskipun hanya secara ‘de facto’, kerana mereka mempunyai hak untuk mempertahankan diri [Harian Metro, 21/11/2024]. Pandangan ini tidak mengejutkan, memandangkan dasar luar Malaysia yang telah lama menyatakan sokongannya terhadap penyelesaian dua negara.
Sejarah Palestin dalam Pemerintahan Islam
Dalam konteks hukum Islam, Palestin merupakan tanah Kharajiyah kerana ia telah diperolehi melalui peperangan dan perjanjian semasa kepimpinan Khalifah Umar al-Khattab. Ia bermaksud, setiap bidang tanah di Palestin dikenakan kharaj iaitu, bayaran tahunan ke atas tanah. Hasil kutipan kharaj ini dikelolakan oleh Baitul Mal (perbendaharaan negara Islam) dan dimiliki oleh umat Islam. Allah SWT berfirman:
“Harta rampasan (fai) apa saja yang Allah berikan kepada Rasul-Nya yang berasal dari penduduk suatu negeri adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, kaum miskin dan ibnu sabil. Agar harta tersebut jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kalian.”
[Al-Hasyr (59): 7]
Status Palestin: Milik Umat Islam hingga Hari Kiamat
Hukum Islam menetapkan bahawa status tanah Kharajiyah tidak berubah dan kekal milik umat Islam sehingga Hari Kiamat. Inilah yang ditunjukkan oleh Khalifah Abdul Hamid II yang menolak permintaan Zionis untuk membeli walau seinci tanah Palestin, kerana beliau memahami bahawa Palestin adalah milik umat Islam secara mutlak.
Memberikan pengiktirafan atau pemilikan tanah Palestin kepada orang asing, khususnya Zionis, adalah bertentangan dengan hukum Islam. Ia juga melanggar hak umat Islam ke atas tanah suci tersebut. Mana-mana individu atau pihak yang menyokong penyelesaian dua negara sebenarnya mengkhianati umat dan agama Islam. Pengkhianatan ini bukan sekadar soal politik, tetapi juga merupakan pelanggaran prinsip asas syariat Islam.
Sebagai umat Islam, kita perlu menolak sebarang penyelesaian yang memberikan legitimasi kepada penjajahan tanah Palestin. Palestin adalah amanah umat Islam dan akan kekal demikian hingga akhir zaman.