SN670 – Syawal 1446H: 101 Tahun Tanpa Khilafah dan Kekuasaan Islam

Bil: SN670 (PDF/Print) – 25 Ramadan 1446 / 25 Mac 2025

Tahun ini menandakan genap 101 tahun umat Islam menyambut Hari Raya dengan bertakbir tanpa kewujudan Sistem Khilafah – sistem pemerintahan Islam yang hakiki. Sepanjang tempoh ini, umat Islam melafazkan takbir dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan atas kejayaan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan. Namun begitu, dalam kalangan umat Islam, ada yang tidak menyedari bahawa pada masa yang sama, ramai saudara seagama mereka terus hidup dalam penindasan, penganiayaan, malah dibunuh dengan kejam. Situasi ini dapat disaksikan secara jelas di beberapa wilayah bergolak seperti Gaza, Kashmir, dan Myanmar – khususnya terhadap umat Islam Rohingya.

              Sistem Khilafah yang dahulunya menjadi pelindung dan perisai umat Islam telah dimusnahkan pada 3 Mac 1924 oleh rejim Mustafa Kemal Atatürk dengan sokongan musuh-musuh Allah SWT. Sejak detik itu, laungan takbir umat Islam seakan-akan menjadi sekadar lafaz spiritual, sedangkan hakikat takbir Aidilfitri adalah lambang kesyukuran dan sanjungan kepada Allah SWT atas kemenangan umat Islam mengatasi golongan kafir.

              Namun kini, kita perlu bertanya – di manakah terletaknya kemenangan dan kekuasaan umat Islam sebagaimana yang dilafazkan dalam kalimah-kalimah takbir tersebut?

              Kini, bukan sahaja umat Islam kehilangan kekuasaan ke atas kaum kafir, malah kita turut menyaksikan betapa jauhnya umat ini ketinggalan, khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan, sains, dan teknologi. Lebih membimbangkan, umat Islam bersama para pemimpinnya terpaksa tunduk dan menurut telunjuk kuasa-kuasa besar dunia – sama ada dari Barat mahupun Timur. Akibatnya, cara hidup umat Islam hari ini semakin dipengaruhi oleh budaya dan pemikiran kaum kafir. Gaya berfikir, nilai hidup dan tingkah laku sebahagian besar umat Islam semakin terpisah daripada ajaran Islam yang sebenar.

              Ramai yang tidak lagi melihat Islam sebagai suatu sistem hidup yang menyeluruh dan relevan dalam urusan masyarakat serta pemerintahan. Mereka hanya mengamalkan sebahagian kecil daripada ajaran Islam yang dianggap mudah dan bersifat peribadi, sedangkan aspek-aspek penting lain seperti sistem politik, ekonomi, dan perundangan Islam – termasuk hudud dan jinayat – ditinggalkan, diabaikan, atau dielakkan. Ini berlaku kerana kecenderungan yang kuat terhadap kehidupan duniawi, mengakibatkan umat Islam kehilangan maruah dan kekuatan.

              Hari ini, kaum kafir tidak lagi gentar terhadap umat Islam. Sebaliknya, mereka melihat umat ini sebagai lemah dan mudah diperkotak-katikkan. Dengan sewenang-wenangnya, mereka melakukan pelbagai bentuk kekejaman, pencerobohan, penghinaan, dan penindasan terhadap umat Islam tanpa rasa takut atau segan. Kegagalan umat Islam untuk menegakkan syariat Islam secara menyeluruh merupakan punca utama mengapa mereka terus dihina, ditindas, dan gagal memperoleh kemenangan yang sebenar-benarnya.

              Keadaan umat Islam hari ini telah pun digambarkan dalam sebuah hadis sahih. Daripada Tsauban r.a, beliau berkata:

Rasulullah SAW bersabda: “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu sebagaimana orang yang hendak makan mengerumuni hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya: “Adakah kerana bilangan kami sedikit pada waktu itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Bahkan, pada waktu itu kamu sangat ramai, tetapi kamu seperti buih di permukaan banjir. Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Dia akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’.” Seorang sahabat bertanya lagi: “Apakah itu ‘wahan’, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Cinta dunia dan takut mati.”

[Hadis riwayat Abu Dawud]

              Inilah hakikat yang sedang melanda umat Islam di era moden ini. Sebahagian besar usaha dan perhatian umat ini tertumpu kepada mengejar kemewahan dunia – masing-masing berlumba-lumba untuk mengumpul harta dan mencapai kekayaan. Golongan yang kaya-raya dipuja dan diberi layanan istimewa dalam masyarakat, manakala golongan miskin, lemah, dan kurang upaya sering dipandang rendah, dipinggirkan, bahkan ada yang ditindas dan diperlakukan sesuka hati. Kecintaan yang berlebihan terhadap dunia dan ketakutan terhadap kematian telah melemahkan kekuatan umat, menjadikan mereka tidak lagi digeruni musuh, serta kehilangan arah dalam memperjuangkan Deen dan maruah mereka sendiri.

Makna Kemenangan Islam

              Berbanding dengan hari ini, selama lebih 1300 tahun, umat Islam dahulu bertakbir bukan sekadar untuk menyambut hari raya, tetapi sebagai luahan kesyukuran dan puji-pujian kepada Allah SWT atas kemenangan demi kemenangan yang telah mereka capai. Oleh itu, takbir raya seharusnya menjadi seruan untuk mengingatkan umat Islam hari ini tentang kemenangan yang pernah dicapai oleh generasi terdahulu dan kewajiban untuk mengembalikan kekuasaan Islam, khususnya seperti pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.

              Untuk memahami makna sebenar kemenangan di sebalik takbir raya, kita perlu menelusuri kembali sejarah kemenangan umat Islam pada masa lalu. Salah satu peristiwa penting yang sering dikaitkan dengan kemenangan umat Islam adalah Perang Ahzab (Perang Khandaq), di mana Rasulullah SAW dan para sahabat berjaya menewaskan pakatan musuh yang menyerang Madinah. Kemenangan dalam peristiwa ini bukan sekadar kemenangan fizikal, tetapi juga kemenangan dalam mengharungi dugaan dan cabaran semasa pengepungan yang dilakukan oleh tentera kafir.

              Takbir yang diucapkan oleh umat Islam pada hari raya juga mengingatkan kita kepada kemenangan Rasulullah SAW dalam Pembukaan Kota Mekah, setelah lebih dua dekad berperang melawan ancaman kaum kafir Mekah. Kemenangan ini adalah kemenangan yang besar, yang menunjukkan kebesaran dan kemuliaan Islam.

              Begitu juga pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, di mana beliau berjaya menakluk wilayah Syam dan Parsi, membuktikan bahawa umat Islam mampu mengalahkan dua kuasa besar dunia ketika itu. Kemenangan tersebut bukan hanya dilihat dari aspek ketenteraan, tetapi yang paling utama adalah untuk menyebarkan keadilan Islam ke seluruh wilayah yang dikuasai dengan melaksanakan syariat Islam di wilayah-wilayah yang telah dibuka.

              Satu lagi pencapaian terbesar dalam sejarah Islam adalah ketika Sultan Muhammad al-Fatih menakluk Konstantinopel pada tahun 1453, mengakhiri kekuasaan Empayar Byzantine yang telah bertahan selama ribuan tahun. Kejayaan ini mengukuhkan lagi kedudukan Islam sebagai bukan sekadar agama ritual, tetapi sebagai sebuah sistem kehidupan yang membawa keadilan dan rahmat ke seluruh alam.

              Catatan sejarah kemenangan umat Islam pada masa lalu bukanlah sekadar kisah inspirasi semata-mata, sebaliknya ia mengandungi ibrah yang sangat besar untuk direnungi. Ibrah utama yang dapat diambil adalah bahawa kunci kemenangan umat Islam terletak pada pelaksanaan Islam secara kaffah (menyeluruh). Tujuan kemenangan tersebut bukanlah demi kemegahan duniawi, tetapi untuk memperluas pelaksanaan syariat Islam ke seluruh pelusuk dunia. Inilah rahsia sebenar kejayaan umat terdahulu – mereka meletakkan syariat Allah SWT sebagai asas dalam segala aspek kehidupan. Setiap nikmat yang wujud di dunia ini adalah milik Allah, dan hanya hukum Allah sah untuk dilaksanakan di atas muka bumi-Nya, bukan hukum ciptaan manusia atau deen selain Islam.

              Apabila Allah SWT mengurniakan kemenangan kepada kaum Muslimin terdahulu, mereka telah melaksanakan Islam secara menyeluruh – bukan sahaja dalam aspek ibadah dan kekeluargaan, tetapi juga dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan, perundangan, dan sosial. Allah mengurniakan kekuasaan kepada mereka sesuai dengan tahap ketakwaan dan kesungguhan mereka dalam meninggikan Deen-Nya. Inilah contoh teladan tertinggi yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat, yang sepatutnya dijadikan panduan oleh umat Islam hari ini. Sebagaimana firman Allah SWT:

“Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan Deen yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala deen yang lain, dan cukuplah Allah sebagai Saksi.”

[Surah Al-Fath (48): 28]

“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan petunjuk dan Deen yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala deen yang lain, walaupun orang-orang musyrik membencinya.”

[Surah As-Saff (61): 9]

              Pengulangan dalam ayat-ayat suci tersebut merupakan satu bentuk penegasan dan pengukuhan terhadap maknanya. Ia menunjukkan betapa pentingnya untuk difahami bahawa Islam bukan sekadar agama yang membawa petunjuk, tetapi turut membawa bersama kewajiban untuk dimenangkan ke atas segala agama dan ideologi lain – walaupun ia dibenci oleh golongan kafir.

              Kemenangan Islam dalam konteks ini bermaksud pelaksanaan syariat Allah secara menyeluruh dalam seluruh aspek kehidupan, serta memastikan bahawa sistem dan hukum Allah SWT menjadi rujukan utama dalam mengatur urusan manusia – sama ada dalam kalangan umat Islam mahupun bukan Islam. Islam tidak hanya perlu ditegakkan di peringkat individu, tetapi juga di peringkat masyarakat, negara, dan global.

              Namun begitu, realiti umat Islam pada hari ini amat jauh daripada gambaran yang disebut dalam ayat-ayat tersebut. Islam tidak lagi berada di tempat yang mulia. Ia bukan sahaja tidak dijadikan sumber petunjuk, bahkan sering dihina dan diperlekehkan. Al-Quran dicemari dan dibakar secara terbuka, manakala penghinaan terhadap Deen ini semakin berleluasa – tanpa sebarang pembelaan tegas daripada para pemimpin umat Islam.

              Situasi ini menuntut kesedaran dan tanggungjawab besar daripada umat Islam hari ini. Adalah menjadi kewajiban kita semua untuk berusaha mengembalikan kedudukan Islam sebagai Deen yang memimpin dan mentadbir dunia – dengan cara melaksanakan seluruh syariat-Nya dan memperjuangkan kemuliaannya sehingga kembali tegak sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan generasi terdahulu.

Kesimpulan

              Takbir raya bukanlah sekadar ungkapan kesyukuran dan puji-pujian yang dilafazkan dalam suasana kegembiraan menyambut Hari Raya. Ia juga bukan semata-mata selingan atau persaingan dalam melagukan kelunakan suara. Meskipun tiada salahnya untuk mengucapkan takbir pada bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan, yang lebih utama adalah memahami makna yang terkandung di sebalik kalimah-kalimah agung tersebut – iaitu simbol kemenangan hakiki yang seharusnya dicapai oleh umat Islam.

              Kemenangan hakiki bukanlah sekadar pencapaian material atau kejayaan sementara, tetapi kejayaan dalam melaksanakan syariat Allah SWT secara kaffah (menyeluruh) di muka bumi ini. Hanya dengan pelaksanaan syariat secara menyeluruh, keadilan Islam dapat ditegakkan dan rahmatnya dapat dirasai oleh seluruh manusia.

              Oleh itu, tugas paling mendesak bagi umat Islam hari ini adalah melakukan perubahan dalam cara berfikir dan gaya hidup mereka. Perubahan ini harus disusuli dengan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menyatukan seluruh umat Islam di bawah satu sistem pemerintahan Islam yang sah – iaitu Sistem Khilafah.

              Penyatuan ini hanya dapat dicapai dengan melantik seorang khalifah yang akan memimpin umat Islam dalam menegakkan kembali syariat Allah dalam seluruh aspek kehidupan. Apabila umat Islam bersatu di bawah kepimpinan yang berlandaskan Islam, barulah mereka mampu menimbulkan rasa gerun di hati musuh-musuh Allah, seperti yang pernah berlaku dalam sejarah kegemilangan Islam. Pada saat itulah, kemenangan hakiki akan dapat direalisasikan – bukan hanya dalam lafaz takbir, tetapi dalam kenyataan hidup umat ini.