SN674 – Isu Tarif Perdagangan Amerika Syarikat : Strategi Khilafah

Bil: SN674 (PDF/Print) – 20 Zulhijjah 1446 / 16 Jun 2025

Dalam konteks ketidaktentuan ekonomi global dan pergolakan geopolitik yang semakin meningkat, tindakan terbaharu Amerika Syarikat (AS) di bawah kepimpinan Presiden Donald J. Trump telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa. Pada 2 April 2025, AS secara rasmi melaksanakan dasar perdagangan baharu yang dikenali sebagai “Tarif Timbal Balik”, yang menetapkan tarif minimum sebanyak 10% ke atas semua produk import. Tambahan pula, kadar tarif yang lebih tinggi dikenakan terhadap 57 negara dan wilayah terpilih — termasuk Malaysia — atas alasan ketidakseimbangan perdagangan dan keperluan untuk “menegakkan prinsip keadilan timbal balik” dalam hubungan dagangan.

            Tarif perdagangan merupakan salah satu instrumen penting dalam hubungan ekonomi antarabangsa. Dalam konteks Malaysia, isu tarif perdagangan menjadi semakin relevan susulan peningkatan ketegangan perdagangan global, khususnya melibatkan Amerika Syarikat. Ketegangan ini sering kali berpunca daripada dasar perlindungan yang dilaksanakan oleh kuasa-kuasa besar, yang boleh memberi kesan negatif kepada negara-negara kecil seperti Malaysia. Sebagai sebuah negara yang aktif dalam perdagangan antarabangsa, Malaysia dengan pelbagai sektor ekonominya banyak bergantung secara langsung kepada eksport. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia telah berusaha memperkukuh kedudukannya dalam arena perdagangan global melalui peluasan hubungan dagang dengan pelbagai negara, termasuk rakan serantau seperti negara-negara ASEAN, China, serta negara-negara di Timur Tengah.

Tindakan Malaysia

            Dalam Sidang Parlimen Khas pada 5 Mei lalu, Perdana Menteri Malaysia (PMX) menjelaskan bahawa tarif Malaysia ke atas AS sebenarnya hanyalah 5.6% dan bukan 47% seperti yang didakwa. Ini menggambarkan Malaysia bersedia untuk melakukan rundingan semula untuk memastikan wujud “keadilan dalam perdagangan”. Dalam masa yang sama, Malaysia telah juga berusaha untuk mencari rakan dagang baru, termasuk negara-negara Gulf Cooperation Council (GCC), China, BRICS, Jepun, dan Korea Selatan. Usaha ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran dan memperluaskan peluang perdagangan yang lebih baik. Dengan menjalin kerjasama dengan pelbagai negara, Malaysia cuba meningkatkan daya saingnya di peringkat global dan mengurangkan risiko dari ketegangan perdagangan dengan negara tertentu.

            Menteri MITI, Tengku Zafrul, menyatakan beberapa isu perlu ditangani berkaitan tuntutan AS, termasuk defisit perdagangan sebanyak USD 25 bilion. Malaysia telah mengambil langkah seperti mewajibkan sijil NPCO melalui MITI bagi mengelakkan negara ini dijadikan hub transit produk China, serta menjalankan siasatan anti-lambakan bagi melindungi pengeluar tempatan. Langkah ini menggambarkan komitmen Malaysia terhadap perdagangan adil dan perlindungan industri domestik, sambil mengharapkan tindakan ini dapat melembutkan pendirian Trump terhadap tarif tambahan. Namun, ketidaktentuan dasar AS menimbulkan persoalan tentang keperluan langkah yang lebih lestari untuk jangka Panjang.

Sejarah Perdagangan Khilafah

            Masalah tarif ini bukanlah perkara baru dan Islam telah memberikan solusi bagaimana ianya dapat diselesaikan dan ditangani secara berkesan. Khalifah Umar sebagai contoh, pernah membalas tarif import (usyur) yang dikenakan oleh Byzantium ke atas pedagang Muslim dengan kadar yang sama. Di samping itu, melalui futuhat yang dilakukan di Mesir, umat Islam telah menguasai jalur-jalur perdagangan dan memencilkan Byzantium dan Rom daripada ekonomi dunia. Futuhat ini bukan sahaja memperluas wilayah Islam dengan dasar dakwah dan jihad tetapi juga meningkatkan pasaran ekonomi umat Islam. Dengan penguasaan terhadap jalur perdagangan, umat Islam dapat mengawal aliran barang dan sumber, yang seterusnya memperkukuhkan kedudukan ekonomi mereka. Jelas sekali penerapan hukum Islam dalam perdagangan mempunyai pengaruh yang besar terhadap perkembangan ekonomi umat Islam dan bagaimana mereka berinteraksi dengan dunia luar.

Prinsip Ekonomi Islam

            Pelaksanaan ekonomi Islam berlandaskan hukum syarak menekankan keadilan, kesejahteraan, dan kelestarian. Abdurrahman al-Maliki dalam bukunya, Politik Ekonomi Islam, mengatakan “Semestinya, hubungan dagang antarabangsa dijalankan dengan menggunakan sistem ekonomi syariah sebagai acuan yang tidak terfokus kepada peningkatan kekayaan”. Strategi perdagangan ini harus memastikan kemandirian ekonomi, perluasan pasaran, dan membangun kerjasama yang saling menguntungkan. Oleh itu, strategi yang efektif harus dirumuskan untuk melindungi kepentingan ekonomi umat Islam dan meningkatkan daya saing di pasaran global. Lantas, antara strategi yang harus ditekankan adalah:

i) Kemandirian Ekonomi

            Kemandirian ekonomi adalah kemampuan negara untuk memenuhi keperluan dalamannya tanpa bergantung kepada import, terutama dari negara-negara yang mengenakan tarif tinggi.

Untuk mencapai kemandirian ekonomi, pemerintah perlu:

  • Meningkatkan produksi tempatan melalui pelaburan dalam sektor pertanian, industri, dan teknologi.
  • Mencari sumber alternatif untuk bahan mentah, termasuk kerjasama dengan negara-negara sahabat.
  • Menggalakkan inovasi dan pengembangan produk tempatan yang berkualiti tinggi.

ii) Kepelbagaian Pasaran

            Ketergantungan hubungan ekonomi kepada satu atau dua negara sahaja harus dielakkan, dan jaringan pasaran perdagangan perlu diperluaskan ke negara-negara lain. Ini termasuk menjalin hubungan dagang dengan negara yang mempunyai nilai dan prinsip yang seiring. Kepelbagaian pasaran dapat mengurangkan risiko ekonomi dan meningkatkan peluang pertumbuhan. Dengan demikian, kesan turun naik ekonomi yang mungkin timbul akibat polisi perdagangan negara lain dapat diatasi.

iii) Perjanjian Dagang dengan Negara Kafir Mu’ahid

            Perjanjian dagang dengan negara kafir mu’ahid merujuk kepada kesepakatan antara negara-negara yang mempunyai persamaan prinsip dan berteraskan nilai-nilai Islam. Tujuannya adalah untuk mewujudkan hubungan perdagangan yang adil serta saling menguntungkan. Contoh perjanjian ini termasuk penghapusan tarif dua hala dan pembentukan blok perdagangan dalam kalangan negara-negara kafir mu’ahid. Implikasi daripada perjanjian ini merangkumi peningkatan aliran barangan dan perkhidmatan serta pengurangan kos perdagangan.

iv) Pengawasan Terhadap Eksport Strategik

            Pengawasan terhadap eksport barangan strategik adalah penting bagi menjaga kepentingan, kelestarian pemerintahan, dan kestabilan ekonomi umat Islam. Ini merangkumi kawalan terhadap eksport barangan yang berpotensi memperkukuh pihak musuh atau menjejaskan kepentingan umat Islam dan negara. Strategi pengawasan yang berkesan melibatkan pelaksanaan peraturan serta undang-undang yang ketat ke atas eksport barangan strategik. Di samping itu, kerjasama dengan negara-negara lain amat penting bagi memastikan eksport tidak jatuh ke tangan pihak musuh.

v) Penggunaan Mata Wang Islam

            Mata wang Islam, seperti dinar dan dirham yang berasaskan standard emas dan perak, wajib dilaksanakan. Penggunaan mata wang ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada sistem kewangan antarabangsa yang dikuasai oleh dolar AS, sekaligus menghapuskan hegemoni serta eksploitasi kewangan Amerika Syarikat terhadap negara lain. Pemerintah bertanggungjawab untuk mempromosikan penggunaan mata wang yang bersandarkan kepada emas dan perak dalam transaksi antarabangsa, yang berpotensi meningkatkan kestabilan ekonomi serta memperkukuh kedudukan mata wang tersebut di pasaran global.

vi) Kemampanan Industri Dalaman

            Kemampanan industri dalaman merujuk kepada keupayaan sektor industri untuk beroperasi secara berterusan dan berdaya saing, yang penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada import serta meningkatkan kemandirian ekonomi. Strategi bagi memperkukuh kemampanan industri dalaman merangkumi pelaburan dalam teknologi dan inovasi, peningkatan kemahiran tenaga kerja melalui pendidikan dan latihan, serta galakan kolaborasi antara sektor swasta dan awam bagi mempertingkat daya saing.

vii) Pendekatan Diplomatik dan Ekonomi oleh Khilafah

            Perlu disedari bahawa kesemua strategi di atas hanya dapat dicapai sekiranya umat Islam dapat bersatu di bawah payung kekhilafahan sebagai adikuasa yang mampu menyaingi dan mengatasi dominasi Amerika Syarikat. Khilafah akan memimpin usaha untuk menyatukan negara-negara umat Islam di bawah kerangka kerjasama ekonomi dan penerapan syariah. Dengan memanfaatkan kesatuan umat, Khilafah dapat mempromosikan perjanjian perdagangan bebas dalam kalangan negara-negara Islam, yang akan membantu mengurangkan kos perdagangan dan meningkatkan aliran barangan serta perkhidmatan.

            Khilafah juga perlu mengaplikasikan diplomasi bagi menggalakkan perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara yang bersedia bekerjasama dalam kerangka hukum syarak, termasuk usaha menarik pelaburan asing secara langsung. Selain itu, Khilafah akan bekerjasama dengan negara-negara jiran untuk membentuk rantaian bekalan serantau yang kukuh, bagi mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan global yang terdedah kepada tarif atau sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

Khatimah

            Dalam menghadapi isu tarif perdagangan, Malaysia seharusnya mengambil pendekatan yang berprinsip dan terintegrasi selaras dengan hukum syarak. Namun hakikatnya, Malaysia tidak akan mampu menyelesaikan permasalahan ini secara menyeluruh selagi Khilafah belum ditegakkan dan pelaksanaan Islam belum dijalankan secara kaffah. Selagi umat Islam tidak memiliki Khilafah, maka selagi itulah umat akan terus berada dalam keadaan lemah, apatah lagi ketika berhadapan dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat. Para penguasa umat Islam pada hari ini gagal menangani isu tarif ini kerana keengganan mereka untuk berhukum dengan Islam. Justeru, umat Islam tidak mempunyai pilihan lain selain berusaha menegakkan Khilafah ala Minhaj Nubuwwah yang akan menaungi umat dengan rahmat serta keberkatan daripada Allah SWT. Sesungguhnya, mengabaikan perintah Allah SWT tidak akan membawa kepada penyelesaian yang sempurna.

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

[Surah Taha : 124]