Perang Perdagangan Amerika Syarikat Dan China – Pelajaran Bagi Umat Islam

Sepintas lalu

Peperangan Perdagangan (Trade War) di antara dua kuasa dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China telah hangat diperkatakan semenjak 2017 apabila Donald Trump memulakan satu penyiasatan ke atas polisi dagangan China terutamanya berkaitan harta intelek. China dikatakan telah banyak melanggar undang-undang berkaitan hak cipta dengan menghasilkan produk-produk ‘counterfeit’ iaitu produk tiruan kepada jenama-jenama yang dihasilkan di AS dan dijual dengan harga yang lebih murah kerana kualitinya yang lebih rendah [1]. Selain itu, Trump juga turut tidak berpuas hati dengan ‘kebanjiran’ barangan import China ke US yang mengakibatkan berlakunya lebihan (surplus) import sebanyak 375 bilion USD pada tahun 2017 berbanding barangan eksport AS ke China. Presiden China Xi Jinping ketika itu dilihat tidak melakukan apa-apa untuk merendahkan lebihan barangannya yang masuk ke AS [2]. Dalam sistem kapitalisme, sebahagian pakar ekonomi berpendapat lebihan import berbanding eksport ialah indikasi bahawa ekonomi sesuatu negara itu berada dalam masalah, namun sebahagian yang lainnya berpendapat sebaliknya [3].

Realiti yang berlaku

Trump mula menyuarakan hasratnya untuk melihat kembali hubungan dagangan antara AS dan China sejak kempennya untuk memenangi pilihan raya presiden yang lepas. Ia merupakan sebahagian daripada agenda Trump untuk kembali memperkasakan AS dalam dunia dagangan (dengan motonya making America great again). Trump bukan sahaja melihat China sebagai ancaman kepada ekonomi AS, malahan negara-negara lain yang mengeksport barangan yang tinggi seperti Kanada yang mengeksport besi turut termasuk dalam agenda ini [4]. Atas alasan ‘Protectionism’ iaitu melindungi ekonomi negara dengan meningkatkan penggunaan sumber tempatan berbanding sumber luar untuk menjana ekonomi, Trump mengatakan ini langkah yang perlu, malahan turut berpendapat Trade War yang ingin dilancarkannya merupakan sesuatu yang mudah untuk dimenangi [5].

Selepas mengeluarkan kenyataan di twitternya, “Maaf, kami tidak akan membiarkan kawan atau lawan mengambil kesempatan ke atas hal dagangan kami. Kita hendaklah mengutamakan pekerja Amerika!”, Trump terlebih dahulu telah melancarkan perang perdagangannya terhadap negara-negara lain. Trump telah menaikkan tarif import besi sebanyak 25% dan aluminium sebanyak 10% terhadap negara-negara yang berkaitan seperti European Union (EU), Kanada dan negara-negara yang menyokongnya (allies) termasuk India [6].

Pada September 2018, AS dan China telah mula melancarkan ‘tembakan’ masing-masing melalui kenaikan tarif import terhadap barang-barang daripada kedua-dua negara tersebut. AS selaku negara yang mengaku bahawa mereka mangsa penindasan ekonomi China, telah memulakan perang tersebut secara rasmi pada 24 September 2018 dengan menaikkan tarif import barangan China sebanyak 277% daripada tarif asal (53 bilion USD pada awal tahun 2018), menjadikan tarif terbaru yang dikenakan terhadap barangan import China setinggi 253 bilion USD. Sebagai tindak balas terhadap kenaikan tarif yang dikenakan terhadap barang eksportnya, China membalas kembali (baca: retaliation) dengan menaikkan tarif kepada barangan import AS daripada 50 bilion USD kepada 110 bilion USD, iaitu dengan penambahan 60 bilion USD daripada tarif asal 2018 sambil mengeluarkan kenyataan bahawa AS telah melancarkan Perang Perdagangan yang paling besar dalam sejarah peradaban manusia. Melihat kepada tindakan Xi yang membalas kembali serangan tarif AS, Trump mengugut untuk menaikkan lagi tarif sebanyak 267 bilion USD yang akan melibatkan keseluruhan barangan dagangan China ke AS [7]. Pada 2 Disember 2018, kedua-dua negara ini telah melakukan ‘gencatan senjata’ bagi peperangan perdagangan mereka selama 90 hari demi mencari jalan penyelesaian antara keduanya [8].

Implikasi ke atas ekonomi Malaysia

Malaysia, sebagai sebuah negara yang kecil berbanding gergasi-gergasi ekonomi dunia, bergantung kepada hasil eksport yang tinggi untuk menjana ekonomi negara dengan hasil eksport negara pada tahun 2017 ialah sebanyak 71.47% daripada jumlah KDNK [9]. Sebanyak 20.6% daripada jumlah peratus tersebut ialah hasil eksport kepada China manakala hasil eksport kepada negara AS pula ialah 16.3% [10]. Pakar ekonomi Malaysia meramalkan kejatuhan 10-20% daripada hasil eksport sekiranya perang perdagangan ini berterusan dan boleh meletakkan kadar perkembangan KDNK negara di bawah 4% pada tahun ini (nota: kadar perkembangan KDNK Malaysia pada tahun 2017 ialah 5.9%, meletakkan perkembangan KDNK Malaysia yang paling tinggi berbanding Singapura dan Indonesia)[11].

Walau bagaimanapun terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa perang perdagangan yang berlaku ini dapat memberi peluang bagi negara seperti Malaysia untuk menonjolkan diri sebagai alternatif kepada negara-negara tersebut dan mereka boleh mendapatkan bekalan dengan harga yang lebih rendah. Sebagai contoh minyak sawit yang boleh menggantikan minyak soya yang digunakan di negara China yang diimport daripada AS. Namun pakar berpendapat bahawa walaupun adanya sedikit peluang, kemudaratan yang dibawa oleh peperangan ini lebih besar dalam jangka masa yang panjang [12].

Barangan Malaysia yang mendapat kesan secara terus terhadap perang perdagangan AS-China

Barangan eksport daripada Malaysia yang mendapat kesan secara terus ialah barangan yang bersifat ‘intermediary products’ (barangan perantara), iaitu barang komponen-komponen tertentu yang diperlukan dalam penghasilan suatu produk seperti komponen litar elektrik dan alat ganti mesin yang diperlukan untuk menghasilkan produk-produk elektrik atau automotif. Produk-produk akhir ini akan dieksport ke AS. Situasi ini malahan akan menjadi lebih teruk apabila China mula untuk memilih sumber bekalan yang lebih murah. Persaingan yang terbesar bagi Malaysia ialah Vietnam yang boleh menghasilkan barangan-barangan perantara dengan kos yang lebih murah, menjadikan harga eksportnya lebih kompetitif berbanding Malaysia [13].

Membangun ekonomi mandiri dengan Daulah Khilafah

Perang perdagangan yang dimulakan oleh AS pada hari ini bakal memberi impak kepada ekonomi dunia kerana kebergantungan kebanyakan negara-negara di dunia kepada pasaran yang ada di AS dan China serta terhadnya sumber yang ada di negara mereka. Melihat daripada perspektif ini, antara aspek penting yang perlu diperhatikan sejurus selepas negara Khilafah berjaya berdiri dengan kukuh ialah kemandirian ekonomi daulah tersebut secara berterusan. Hal ini demikian kerana usaha untuk menjatuhkan kekuasaan Khilafah pastinya akan dilakukan secara terus menerus kerana kebencian orang-orang kafir terhadap umat Islam dan ini termasuklah usaha-usaha mereka dari aspek ekonomi. Embargo atau perang perdagangan pasti akan dilancarkan secara bertubi-tubi demi melumpuhkan keupayaan Daulah Khilafah, maka kemandirian ekonomi ialah sesuatu yang wajib diusahakan oleh Khalifah demi memastikan Daulah Khilafah sentiasa berupaya menghadapi sebarang bentuk serangan perdagangan. Kemandirian di sini bermaksud keupayaan Daulah Khilafah untuk menjana ekonomi sendiri tanpa perlunya bergantung kepada negara-negara lain.

Antara asas kepada Daulah Khilafah untuk membangun ekonomi yang mandiri ialah:

  1. Khilafah perlu mempunyai sumbernya yang tersendiri
  2. Memanfaatkan dan sentiasa mengutamakan permintaan pasaran tempatan

Apabila kita menggunakan neraca ukur di atas untuk membentuk satu ekonomi mandiri namun masih tertakluk kepada negara bangsa yang dibentuk penjajah, maka umat Islam akan mengalami kesukaran malahan boleh menjadi mustahil untuk membentuk ekonomi tersebut kerana secara geografinya umat Islam terpecah kepada negara-negara kecil yang mengakibatkan berlakunya limitasi sumber dan permintaan. Namun apabila kita melihat keseluruhan umat Islam di dunia sebagai satu negara di bawah satu kesatuan politik, maka kita akan dapat perhatikan bahawa:

  • Negara khilafah akan mempunyai sumber yang sangat kaya, sama ada sumber galian seperti emas dan petroleum mahupun sumber tenaga manusia. Sumber-sumber bahan mentah dunia kebanyakannya berada dalam penguasaan umat Islam.
  • Jumlah umat Islam yang ramai mewujudkan permintaan kolektif dalam pasaran yang tinggi terhadap pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan
  • Permintaan dalam pasaran yang tinggi kerana ramainya penduduk akan menyebabkan negara-negara selain Khilafah akan mula memujuk Khalifah mengadakan rundingan ekonomi yang akan membuka peluang kepada mereka untuk mengeksport barangan dan perkhidmatan ke dalam negara Khilafah dan ini akan membantu menjana ekonomi negara mereka.

Apabila Khilafah mampu menggerakkan ekonominya secara mandiri, maka salah satu aspek daripada serangan yang boleh dilancarkan oleh orang kafir iaitu serangan melalui perang perdagangan akan dapat dilumpuhkan dari awal lagi. Hal ini akan menjadikan Daulah Khilafah kelak sebuah negara yang akan ditakuti oleh negara-negara besar yang lainnya. Malahan Khilafah juga mampu mengugut negara-negara yang lain kerana majoriti sumber di dunia ini di bawah kekuasaan kaum Muslimin. Wallahu a’lam.

 

Rujukan

[1] – https://www.bbc.com/news/business-40982032
[2] – https://www.bbc.com/news/world-43512098
[3] – ibid
[4] – https://www.bbc.com/news/business-44567636
[5] – https://www.bbc.com/news/world-43512098
[6] – https://www.bbc.com/news/business-44567636
[7] – https://www.bbc.com/news/business-45899310
[8] – https://www.bbc.com/news/world-latin-america-46413196
[9] – https://www.theglobaleconomy.com/Malaysia/Exports/
[10] – http://www.theedgemarkets.com/content/advertise/impact-of-the-trade-war-on-Malaysia
[11] – https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/08/07/experts-uschina-trade-war-may-have-negative-impact-on-malaysia/
[12] – https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2018/10/11/miti-official-trade-war-may-benefit-malaysia-at-first-but-not-in-long-run/
[13] – http://www.theedgemarkets.com/content/advertise/impact-of-the-trade-war-on-Malaysia

 

Shah Sinan

Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia