SN679 – Ilusi Kemerdekaan Warisan Penjajah
Bil: SN679 (PDF/Print) – 6 Rabi’ al-awwal 1447 / 29 Ogos 2025
Tahun ini Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan dengan tema “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni”. Sejak mencapai kemerdekaan, negara ini telah melalui pelbagai perubahan, mengejar kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan serta bersaing di pentas dunia demi memastikan kelangsungan dan kesejahteraan rakyat. Sebagai rakyat yang merdeka, adalah wajar untuk kita bersyukur atas segala nikmat yang telah dikecapi. Setiap usaha membangunkan negara merupakan tanggungjawab bersama, khususnya para pemimpin yang telah diberikan amanah untuk mengurus dan menentukan hala tuju negara.
Namun begitu, di sebalik kemerdekaan yang sedang kita raikan, kita dituntut untuk sentiasa bermuhasabah dan menilai erti kemerdekaan dalam konteks yang lebih luas. Kemerdekaan tidak seharusnya difahami hanya dari sudut kebebasan fizikal semata-mata, tetapi juga mencakupi kebebasan jiwa dan pemikiran. Mengimbau kembali detik kemerdekaan tanah air selepas lebih 400 tahun dijajah oleh pelbagai negara kolonial, kita tidak boleh melupakan hakikat bahawa penjajahan British merupakan penjajahan yang paling lama dan meninggalkan kesan mendalam terhadap negara ini.
Sebagai sebuah kuasa kolonial berideologi kapitalisme dan bersikap memusuhi dunia Islam, tujuan British menjajah bukan sekadar untuk mengaut kekayaan dan menguasai sumber ekonomi negara yang dijajah, tetapi lebih jauh daripada itu. Mereka berusaha menguasai pemikiran dan cara hidup umat Islam melalui penyebaran pelbagai doktrin seperti sekularisme, liberalisme, dan nasionalisme. Inilah hakikat sebenar tujuan penjajahan mereka.
Sosial
Budaya Barat yang diwarisi sejak era penjajahan, seperti nilai-nilai sekular, individualistik, dan materialistik, kini seperti kudis yang menjadi nanah, mencengkam kehidupan masyarakat. Pengaruh ini bukan sahaja melemahkan institusi kekeluargaan, bahkan memporak-perandakan perpaduan masyarakat serta menghakis jati diri umat. Akibatnya, gejala sosial terus meningkat, termasuk pergaulan bebas, budaya songsang, keruntuhan akhlak, dan banyak lagi.
Nilai kekeluargaan juga semakin merosot dan institusi keluarga kian rapuh. Ini dapat dilihat melalui peningkatan kadar perceraian dan perpecahan keluarga. Dalam masa yang sama, masalah kesihatan mental semakin serius, terutama dalam kalangan belia, yang berhadapan dengan tekanan hidup. Fenomena ini turut diperburuk oleh budaya “cancel culture” dan ketoksikan media sosial yang menggalakkan sikap permusuhan, penghinaan, dan perbalahan tanpa batas.
Selain itu, kes buli khususnya di institusi pendidikan masih belum menemui penyelesaian konkrit dan hanya menjadi tumpuan ketika menjadi viral. Isu berkaitan arak juga tidak pernah selesai, malah sering mengorbankan nyawa orang yang tidak bersalah. Semua ini menunjukkan bahawa cabaran sosial yang dihadapi negara bukanlah isu kecil, tetapi sesuatu yang mampu menggugat masa depan masyarakat di negara ini jika tidak ditangani secara menyeluruh.
Ekonomi
Salah satu kesan paling ketara akibat kolonialisme Barat ialah penerapan ideologi kapitalisme yang menjadi asas kepada struktur ekonomi moden kita. Dasar ekonomi negara sering menjadi alat kepada tuntutan politik, sehingga melahirkan amalan politik populis yang membebankan negara dalam jangka panjang. Selain itu, amalan riba terus berleluasa dalam sistem kewangan walaupun diselaputi dengan penjenamaan Islam. Kadar hutang negara berada pada tahap yang membimbangkan, manakala hutang isi rumah juga semakin meningkat. Walaupun angka ekonomi seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan pertumbuhan, hakikatnya rakyat tidak benar-benar merasai manfaatnya. Kuasa beli semakin menurun, manakala kos sara hidup meningkat akibat kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Jurang pendapatan juga semakin melebar; golongan kaya bertambah kaya, manakala golongan miskin terus tertekan. Mobiliti sosial menjadi sukar dicapai, menyebabkan wujudnya ketidakseimbangan dalam peluang kehidupan. Sistem cukai yang bersifat regresif turut menambah beban kepada rakyat marhaen, sementara masalah pengangguran dan pekerjaan di bawah kelayakan (underemployment) masih membelenggu golongan muda. Ketidakmampuan memiliki rumah akibat harga rumah yang melambung tinggi menjadi satu lagi masalah serius. Nilai mata wang yang tidak menentu turut dipengaruhi oleh faktor global, termasuk sistem monetari antarabangsa yang berpaksikan dolar Amerika Syarikat (AS). Dominasi ekonomi AS melalui perang tarif dan tekanan ekonomi membuktikan bahawa negara kecil seperti Malaysia masih terdedah kepada permainan kuasa dunia.
Politik
Penjajahan British bukan sahaja menguasai tanah dan kekayaan, tetapi turut mengubah landskap sistem pemerintahan dan perundangan negara. Mereka memaksa serta menerapkan doktrin sekularisme dan liberalisme melalui amalan demokrasi dan kapitalisme. Akibatnya, sejak mencapai kemerdekaan, sistem peninggalan penjajah ini terus menjadi duri dalam daging, mempengaruhi hala tuju politik negara sehingga hari ini. Pengaruh oligarki dan kronisme masih berakar umbi dalam amalan politik dan pentadbiran. Rasuah dan salah guna kuasa terus subur, dari peringkat pemimpin sehingga dalam kalangan masyarakat biasa. Budaya politik kepartian yang sempit pula lebih mengutamakan kepentingan parti daripada kebajikan rakyat. Demi meraih kuasa, ada yang sanggup bersikap pragmatik sehingga melanggar prinsip asas moral dan etika.
Perebutan kuasa dan dendam politik yang berterusan juga menjejaskan kestabilan kerajaan. Keadaan ini mengakibatkan pembangunan negara terbantut dan pelbagai krisis gagal ditangani dengan berkesan. Dasar yang dirangka pula kurang memberi tumpuan kepada kepentingan jangka panjang, sebaliknya lebih bersifat populis demi kepentingan politik semasa. Budaya “politik wang” juga terus menjadi racun dalam amalan politik negara. Selain itu, institusi awam kadangkala dilihat tidak bebas, termasuk badan kehakiman dan agensi penguat kuasa, terutama apabila wujud campur tangan politik. Lebih mendukacitakan, penerapan hukum-hakam Islam yang merupakan perintah Allah diabaikan, sedangkan hukum itulah yang mampu menjamin keadilan dan kesejahteraan sejati.
Dunia Islam
Apa yang jelas, penjajahan British meninggalkan warisan yang penuh dengan konflik dan ketidakstabilan, khususnya di wilayah Asia dan Afrika. Melalui strategi “Pecah dan Perintah”, British membahagikan masyarakat mengikut garis kaum, etnik, dan agama untuk memudahkan pentadbiran serta melemahkan sebarang penentangan, terutamanya di negara-negara umat Islam. Kesannya terus dirasai sehingga kini; akibat perpecahan di kalangan dunia Islam kerana doktrin nasionalisme yang sempit, umat berada dalam keadaan yang hina dan lemah, baik dari sudut politik, ekonomi mahupun pertahanan. Genosid di Palestin, krisis kebuluran, pelarian, kemusnahan dan pembunuhan terus berlaku di Syria, Yemen, Myanmar, Xinjiang, Sudan dan lain-lain menjadi bukti yang jelas, dunia Islam sering dimanipulasi oleh kuasa luar demi kepentingan mereka.
Malangnya, pemimpin umat Islam dilihat lemah dan bacul, seolah-olah menjadi boneka kepada kuasa besar, dengan kebergantungan tinggi terhadap mereka dalam pelbagai aspek kehidupan. Lebih mengecewakan, pertubuhan antarabangsa seperti OIC gagal memainkan peranan bermakna dalam mempertahankan maruah dan hak umat Islam. Model kerjasama serantau seperti ASEAN yang terlalu mementingkan sikap neutral dan konsensus juga gagal menghentikan kezaliman (seperti yang dihadapi oleh etnik Rohingya di Myanmar) apatah lagi berhadapan kuasa besar AS & China. Ini menimbulkan persoalan tentang keperluan kepada model politik dan pemerintahan yang lebih berkesan dan berani.
Kesimpulan
Persoalan yang perlu kita renungi dengan mendalam, mengapa kita terus terperangkap dalam doktrin pemikiran dan sistem daripada Barat? Bukankah segala hipokrasi Barat sudah terdedah saat ini dan terbukti gagal memberikan keadilan dan kesejahteraan kepada dunia?
Kita wajar merenung kembali jawapan penuh makna yang diberikan oleh Rab‘i bin ‘Amir kepada Jeneral Parsi, Rustum, apabila ditanya, “Apa yang membawa kalian ke sini?”, Rab‘i menjawab:
“Allah telah mengutus kami. Demi Allah, Dia telah mengutus kami agar kami mengeluarkan manusia daripada penghambaan kepada sesama manusia kepada penghambaan hanya kepada Allah, daripada kesempitan dunia menuju kelapangannya dan daripada kezaliman agama-agama (selain Islam) menuju keadilan Islam” (Tārīkh al-Ṭabarī).
Jawapan ini bertepatan dengan firmanNya di dalam al-Baqarah (2): 257.
Namun, pelaksanaan seluruh syariat Allah, keadilan dan kesejahteraan umat manusia tidak mungkin tercapai tanpa wujudnya sebuah institusi Khilafah yang akan menerapkan hukum syara’ secara kaedah dan merealisasikan segala maqasid syar’i secara hakiki. Perjuangan untuk mengembalikan mahkota kewajipan – Khilafah – perlu digalas oleh umat Islam melalui perjuangan politik dan pemikiran yang berlandaskan syarak. Para ulama alam Melayu seperti Sheikh Ahmad al-Fathani telah memberi sumbangan besar dalam membentuk kesedaran politik Islam, menyusun dan melahirkan gerakan menuntut kemerdekaan serta mempertahankan institusi Khilafah yang sedang digugat oleh musuh-musuh Islam saat itu. Inilah pemahaman nenek moyang kita lebih seratus tahun lalu. Inilah hakikat perjuangan yang perlu kita sedari dan hayati. Jika kita ingin benar-benar merdeka, bukan sahaja dari sudut fizikal tetapi juga dari segi jiwa dan pemikiran agar tidak terus terperangkap dalam ilusi kemerdekaan yang dijaja oleh penjajah.
PEDULI PALESTIN
Penduduk Gaza bakal dihalau, rancangan ‘Israel Raya’ akan bermula
Perdana Menteri entiti haram Yahudi secara terbuka menyatakan hasrat untuk mengambil alih Gaza melalui tindakan ketenteraan serta mengusir penduduk Muslim yang tinggal di wilayah tersebut, tanpa menghiraukan sebarang tekanan antarabangsa. Misi ini selaras dengan cita-cita asal penubuhan entiti haram Yahudi yang bertujuan menguasai sebahagian besar tanah di rantau berkenaan, termasuk Mesir, Jordan, Syria, Arab Saudi, Palestin dan Lubnan. Niat tersebut turut ditegaskan oleh Benjamin Netanyahu dalam satu wawancara bersama i24 TV News, apabila beliau menyatakan bahawa dirinya kini berada dalam sebuah misi bersejarah dan dianggap “suci” untuk menubuhkan ‘Israel Raya’ di atas tanah yang didakwa sebagai janji ketuhanan kepada mereka (www.thetimesisrael.com).
Kenyataan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, sebaliknya membuktikan bahawa entiti haram tersebut sejak awal tidak pernah bersetuju dengan sebarang cadangan untuk menubuhkan penyelesaian dua negara. Hanya kuasa Barat yang mendominasi pertubuhan antarabangsa serta segelintir pemimpin Muslim yang merupakan boneka Barat sahaja yang beria-ia berusaha menjayakan cadangan tersebut. Walaupun perbincangan untuk mencari penyelesaian antara kedua-dua pihak masih berlangsung, entiti Yahudi sehingga kini terus merampas tanah penduduk Palestin, sama ada di Tebing Barat mahupun di Gaza, yang kini sudah hancur luluh menjadi padang jarak padang tekukur.
Apa yang berlaku di Gaza ini sememangnya mendapat reaksi keras daripada seluruh dunia Islam. Namun demikian, perlu diingat bahawa para pemimpin kaum Muslimin hari ini sudah terkenal sebagai pengkhianat umat dan pengikut setia Barat, khususnya Amerika Syarikat. Tampak mustahil bagi mereka untuk menolak arahan daripada “tuan” mereka sekiranya diarahkan. Hal ini kerana kebanyakan negara tersebut sangat bergantung kepada kuasa Barat dalam kelangsungan hidup dalam pelbagai aspek – ketenteraan, ekonomi, kuasa politik dan sebagainya. Justeru, nyawa penduduk Islam di Gaza seolah-olah tidak bernilai jika dibandingkan dengan keselesaan yang mereka kecapi pada masa kini.
Umat Islam harus menyedari dengan jelas bahawa tiada penyelesaian yang benar-benar tuntas dalam membendung permasalahan ini kecuali entiti haram Yahudi ini dilenyapkan bersama para pemimpin yang terus mengkhianati Allah SWT dan RasulNya. Justeru, umat Islam perlu bersatu, menolak sempadan ciptaan palsu yang dicipta Barat dan bergabung di bawah payung kekhilafahan Islam. Hanya dengan cara inilah kaum Muslimin yang ditindas dapat dibela dan penindas dihancurkan.