UMNO-65 Tahun: Hamba Penjajah?

altKUALA LUMPUR 10 Mei — Esok adalah ulang tahun ke-65 kelahiran UMNO yang bukan saja menyaksikan ia terus menjadi tunjang pemerintahan negara tetapi terpaksa berdepan banyak cabaran yang tidak kurang getirnya berbanding waktu penubuhannya.

Antara cabaran getir itu ialah Umno harus menangani perpecahan bangsa Melayu yang kini terbahagi tiga, selain terpaksa berdepan dengan cabaran demi cabaran luaran yang walaupun sedikit tetapi semakin jelas sehingga berani mempertikaikan ketuanan Melayu, Bumiputera dan Islam. Mengambil tema ‘Membela Rakyat’ pada sambutan kali ini, UMNO yang menjadi tunjang parti gabungan dalam Barisan Nasional dan tonggak kerajaan, juga harus menerajui negara dan rakyat berbilang kaum dalam mencapai Wawasan 2020 dan matlamat ekonomi berpendapatan tinggi. UMNO bukannya tidak pernah dilanda masalah malah pernah diharamkan pada 1988, gejolak pemecatan Timbalan Presidennya pada tahun 1998 dan tsunami politik pada pilihan raya umum 2008, tetapi masalah itulah yang menjadikannya bangkit dengan lebih gagah. Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mencapai usia 65 tahun menjadikan UMNO sebuah parti yang amat matang, lebih progresif, berpengalaman luas dan berani membuat perubahan dari semasa ke semasa.  “Saya yakin apa yang sudah dilalui selepas ia ditubuhkan, dengan pelbagai ranjau dan masalah sehingga Presiden pertama (Datuk Onn Jaafar) tinggalkan UMNO dan sebagainya, memberikan iktibar kepada kita untuk terus bergerak bukan sahaja untuk dahulu tapi juga untuk kini dan selamanya,” katanya. — Bernama

Sumber : Utusan Malaysia: 10/05/11


Berusia 65 Tahun, Namun  UMNO Masih Terus Mempertahankan Legasi Penjajah
Usia UMNO rupa-rupanya telah menjangkau usia emas jika ianya dinisbahkan dengan usia manusia. Namun dalam usia yang sedemikian, UMNO nampaknya tetap teguh dengan perjuangan asshobiyyah. Lebih menyedihkan, ia masih tetap mempertahankan perlembagaan yang diwarisi daripada penjajah. UMNO yang mewakili orang-orang melayu yang majoritinya beragama Islam seharusnya sedar bahawa perlembagaan yang sedang digunapakai dan dipertahankan sejak lebih 50 tahun dahulu adalah sesuatu yang amat jijik dan busuk.

Bahkan disebabkan perlembagaan ciptaan Lord Reid itulah yang menyebabkan kebanyakkan orang melayu terus ditimpa pelbagai masalah seperti ketinggalan di dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial. Hanya dengan menukar perjuangan mereka kepada perjuangan yang berlandaskan Islam dan mengembalikan penerapan syariat Islam secara menyeluruh akan dapat menjadikan umat Islam (yang majoritinya melayu) itu hebat, bukan sebagai melayu, tetapi sebagai umat Islam. Jika masih enggan, maka fahamilah firman Allah SWT yang bermaksud:

“ dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka Sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Thaahaa (20) :124].

Islam diturunkan adalah untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia. Jadi, jika UMNO tidak mahu dianggap sebagai hamba kepada penjajah, maka ia harus segera berubah sepenuhnya kepada sebuah parti yang berjuang berlandaskan Islam dan bermatlamatkan Islam.