Ulang tahun ke-69: Apa yang UMNO kena ingat?

Gambar UL1205152Semalam (11 Mei), UMNO menyambut hari jadinya yang ke-69 di PWTC yang kelihatannya disambut dengan gembira, di sebalik tubuhnya yang sedang sakit tenat sekarang ini. Ramai pembesar UMNO yang tidak melepaskan peluang atau mungkin sahaja dipaksa datang ke majlis yang penuh meriah ini. 69 tahun bukanlah usia yang muda, jika dinisbahkan kepada manusia sudah semakin mendekati alam barzakh.

Di sebalik pelbagai amanat untuk mengukuhkan parti yang disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada pengangguk-pengangguknya dalam majlis tersebut, barah yang melanda parti Melayu terbesar itu sebenarnya sudah tidak terubat. Kesakitan yang ditanggung oleh Najib dan UMNO diperparah dengan serangan yang bertubi-tubi yang datangnya dari bekas Presiden UMNO sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang kini sudah berpatah arang berkerat rotan dengan Najib.

Mahathir pernah berkata bahawa Melayu mudah lupa. Ungkapan ini amat tepat jika ditujukan kepada orang-orang UMNO sendiri sebenarnya. Secara teknikalnya, UMNO tidak sepatutnya menyambut hari jadi ke-69 kerana UMNO yang ada sekarang bukanlah UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946. UMNO (asal) hakikatnya telah terkubur pada 4 Februari 1988 setelah diharamkan oleh Mahkamah. UMNO yang ada sekarang merupakan UMNO (baru) yang ditubuhkan oleh Mahathir pada 13 Februari 1988. Nampaknya pemimpin dan ahli UMNO sudah lupa atau sengaja melupakan hakikat ini.

Apa pun, sempena sambutan ‘hari lahir’ yang dilakukan oleh UMNO ini, UMNO seharusnya ingat kepada Allah SWT dan kembali kepada ajaran Islam, apatah lagi dalam keadaan tubuh parti yang sudah hampir lumpuh ini. UMNO kena ingat bahawa ia ditubuhkan atas dasar memperjuangkan Melayu, sebuah perjuangan assabiyyah (perkauman) yang diharamkan oleh Islam dengan cukup-cukup jelas. Sabda Rasulullah SAW,

ليس منا من دعا الى عصبيه.وليس من قاتل على عصبيه.وليس منا من مات على عصبية (رواه ابو داود(

“Bukan termasuk umatku orang yang mengajak kepada assabiyyah dan bukan termasuk umatku orang yang berperang atas dasar assabiyyah dan bukan termasuk umatku orang yang mati atas dasar assabiyyah” [HR Abu Daud].

Bukan sekadar haram, malah assabiyyah (nasionalisme) dalam sejarah umat Islam hingga kini terbukti telah menjadi racun yang berbahaya dan melumpuhkan umat yang mulia ini. Dalam sejarah gelap umat Islam, nasionalisme memainkan peranan penting untuk meruntuhkan Daulah Khilafah yang telah berdiri teguh selama lebih 10 abad. Akibat nasionalisme, Negara Islam (Khilafah) yang sebelumnya merupakan super power dunia yang bernaung di bawah panji tauhid, akhirnya terpecah belah menjadi lebih daripada 50 negeri-negeri kecil yang lemah, bahkan bersengketa antara satu sama lainnya.

Nasionalisme juga terbukti telah menghilangkan kepedulian sesama umat Islam sehingga tatkala negeri-negeri Islam menjadi santapan enak bangsa-bangsa kuffar imperialis, negeri lainnya tidak mempedulikannya sedikit pun. Semuanya atas alasan bahawa itu bukan masalah negara kita, bukan masalah kepentingan nasional kita. Umat Islam menjadi tidak peduli terhadap nasib saudaranya yang lain hanya kerana berlainan bangsa dengannya. Lebih buruk, ketika krisis Teluk satu waktu dahulu, Arab Saudi malah memberikan pangkalan militernya kepada Amerika untuk menyerang umat Islam di Iraq. Aljazair memberikan ruang udaranya untuk pesawat Perancis mengebom Mali dan membunuh umat Islam di sana. Semua ini atas alasan kepentingan nasional. Begitu juga nasib Palestine yang sehingga kini tidak dibebaskan atas alasan ia bukan negara kita.

Hasil dari perjuangan nasionalisme UMNO inilah, British menghadiahkan kemerdekaan kepada Tanah Melayu kerana penjajah kuffar ini tahu yang nasionalisme yang diperjuangkan oleh orang-orang Melayu inilah yang akan menjadi halangan terbesar kepada penyatuan kembali umat Islam dan negeri-negeri Islam.

Kerana itu, UMNO yang rata-rata ahlinya beragama Islam, sepatutnya sedar akan hakikat ini dan menjadikan majlis sambutan hari lahirnya ini sebagai peringatan untuknya kembali kepada Islam, bukan kekal dengan perjuangan Melayu yang diharamkan oleh Islam, apatah lagi di saat UMNO yang kini sudah melangkah ke alam perkuburan dengan pelbagai penyakit yang sedang dideritainya.

Wallahu a’lam.