Merdeka: Bebas dari belenggu sistem warisan penjajah menuju sistem Islam

Kemerdekaan hakiki akan hanya tercapai apabila umat Islam kembali mengamalkan Islam secara kaffah (sempurna), dan sesungguhnya Islam tidak akan dapat diterapkan secara kaffah tanpa adanya Khilafah.

Sehubungan itu, pada 30 Ogos, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) tampil menyeru umat Islam agar melakukan perubahan secara hakiki, iaitu dengan meninggalkan sistem warisan penjajah yang diterapkan hari ini kepada sistem kehidupan Islam yang berpandukan al-Quran & as-Sunnah.

Dalam siri seruan yang disampaikan secara serentak di beberapa lokasi di seluruh negara sejurus selepas solat Jumaat tadi, HTM mengingatkan umat Islam mengenai pengertian sebenar kemerdekaan yang hakiki, iaitu memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia dan menuju kepada perhambaan kepada Allah SWT semata-mata.

Hadirin yang mendengar turut diingatkan dengan dialog antara panglima tentera Muslimin, Rabi’ bin Amir dengan panglima Parsi, Rustum yang antara lain menjelaskan misi sebenar umat Islam di dunia ini.

Ketika ditanya mengenai tujuan kedatangan tentera Muslimin ke Parsi, Rabi’ dengan tegas menjawab, “Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan kepada Allah semata-mata, daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat dan daripada kezaliman agama-agama selain Islam, kepada keadilan Islam”.

Justeru, HTM tanpa rasa jemu menegaskan bahawa, solusi yang paling tuntas kepada segala masalah yang melanda umat Islam hari ini akan hanya dicapai melalui perjuangan menerapkan syariat Islam secara kaffah di bawah naungan Daulah Khilafah. Demikianlah bagaimana makna dan tuntutan kemerdekaan yang hakiki dapat diraih dan dipenuhi.

Seruan yang berlangsung sekitar 20 minit itu berakhir secara aman dan ditutup dengan bacaan doa memohon kejayaan dan kemuliaan buat umat ini. Beberapa anggota HTM turut mengedarkan risalah Sautun Nahdhah berjudul “Hijrah Menuju Penerapan Islam Kaffah” kepada jemaah yang hadir bersempena ketibaan tahun baru 1441H.