SN690 – Topeng Penyelesaian Dua-Negara Akhirnya Tersingkap

Bil: SN690 (PDF/Print) – 25 Sya’ban 1447 / 13 Februari 2026

Kegagalan Amerika dan entiti Yahudi mengalahkan perjuangan umat Islam sejak Taufan Al-Aqsa dua tahun lalu membawa kepada episod baru konspirasi. Pada 21 Januari lepas, Trump merasmikan pelancaran Lembaga Keamanan (Board of Peace) Gaza di dalam forum ekonomi dunia di Davos, Switzerland [BH- 22/01/2026]. Beliau berkata,” Kami komited untuk memastikan Gaza bebas daripada pasukan tentera, ditadbir dan dibangunkan sebaiknya.” Jika dahulu kita disogok dengan janji-janji penyelesaian dua-negara yang meleret-leret, hari ini kita berhadapan dengan satu pelan penaklukan fizikal dan ekonomi yang dibalut kemas dalam istilah “Board of Peace(BoP)” atau Lembaga Keamanan. Namun, bagi sesiapa yang meneliti dengan mata hati dan akal yang tajam, ini bukanlah jalan menuju kedamaian, melainkan sebuah perangkap untuk memadamkan terus hak umat Islam di Palestin serta mengukuhkan kedudukan entiti haram Yahudi untuk dekad-dekad mendatang.

Hakikat Strategi Dua Negara: Projek Lama, Wajah Baru

Gagasan projek penyelesaian dua-negara yang dimulakan oleh bekas Presiden Eisenhower pada tahun 1959, boleh diringkaskan sebagai “menyokong dan memelihara entiti Yahudi dan mewujudkan entiti Palestin di sisinya.” Walau bagaimanapun, bentuk negara Palestin yang akan dibina dalam projek tersebut tidak dinyatakan dengan terperinci oleh presiden-presiden Amerika selanjutnya. Majoriti mereka yang berada di dunia Islam menganggap bahawa rakyat Palestin akan diberikan sebuah negara berdaulat di sebahagian tanah Palestin.

Apabila Trump dan Biden berkuasa, mereka menyelidik beberapa butiran, dengan menyatakan bahawa apa yang akan diberikan kepada rakyat Palestin adalah sebuah negara bebas tentera, serupa dengan autonomi terhad dan sebuah negara yang tidak berdaya yang dikuasai oleh orang-orang Yahudi. Ini menunjukkan entiti Palestin yang bakal ditubuhkan hanyalah sebuah negara “plastik” tanpa kedaulatan sebenar, tanpa tentera, dan tanpa kawalan ruang udara mahupun sempadan.

Lembaga Keamanan (BoP) Gaza

Struktur “keamanan” yang akan dilaksanakan di Gaza terdiri dari badan-badan berikut:

1. Lembaga keamanan: Pihak berkuasa politik tertinggi, yang diketuai oleh Trump sendiri, yang memegang mandat antarabangsa dan kuasa untuk mengarah semua aspek. Trump telah melantik penasihat kepada lembaga (salah seorang daripadanya ialah seorang rabbi Zionis) untuk memimpin operasi dan strategi harian.

Selain itu, piagam itu secara jelas menyatakan: “Donald J. Trump akan dilantik sebagai Presiden Pengasas seumur hidup, dan tempoh jawatannya hanya boleh ditamatkan lebih awal melalui peletakan jawatannya secara sukarela atau melalui pemecatan sebulat suara oleh negara anggota. Setiap presiden mesti melantik pengganti untuk memegang jawatan presiden sebaik sahaja tamat tempoh jawatannya. Oleh itu, peranan ini bebas daripada jawatan presiden Trump di Amerika Syarikat, yang, menurut Perlembagaan AS, berakhir selepas tiga tahun. Sehingga itu, Trump mewakili Amerika Syarikat sebagai negara anggota, dan keahlian, atas jemputan presiden, secara amnya terhad kepada tiga tahun.”

2. Majlis Eksekutif Pengasas: Teras proses membuat keputusan Amerika-Barat, di mana keutamaan ditetapkan dan pelaksanaan politik, keselamatan dan ekonomi dipantau.

3. Majlis Eksekutif Gaza: Merangkumi beberapa ahli terpenting Majlis Pengasas, selain tokoh serantau dan antarabangsa. Majlis memainkan peranan sokongan kepada Wakil Tinggi (ahli Majlis Eksekutif yang akan berkhidmat sebagai Wakil Tinggi untuk Gaza, iaitu, Pesuruhjaya Tinggi) dan kerajaan teknokrat dalam menerima pakai tadbir urus yang berkesan dan menyediakan perkhidmatan yang menyokong keamanan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat Gaza.

4. Jawatankuasa Kebangsaan Palestin: Jawatankuasa Palestin yang terdiri para teknokrat, tidak berpolitik, bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan awam dan majlis perbandaran harian untuk rakyat di Gaza. Jawatankuasa ini akan terdiri daripada rakyat Palestin yang berkelayakan dan pakar antarabangsa, dengan pengawasan dan penyeliaan oleh Lembaga Keamanan.

5. Pasukan Penstabilan Antarabangsa (International Stabilization Force): Amerika Syarikat akan bekerjasama dengan rakan kongsi Arab dan antarabangsa untuk membangunkan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) sementara untuk segera ditempatkan di Gaza. ISF akan melatih dan menyediakan sokongan kepada pasukan polis Palestin yang telah disaring di Gaza. Pasukan ini akan menjadi penyelesaian keselamatan dalaman jangka panjang yang bertujuan untuk memastikan tiada sebarang bentuk penentangan muncul kembali daripada celah-celah runtuhan Gaza.

Pelaksanaan Lembaga keamananan ini hakikatnya bertujuan melemahkan tatanan antarabangsa.  Trump cuba merobohkan tatanan yang ditubuhkan selepas Perang Dunia ke-2 dengan membentuk badan antarabangsa di bawah amanah(trusteeship) Amerika Syarikat tanpa negara lain mempunyai sebarang peranan atau kuasa penting. Peranan mereka terhad kepada kelulusan, pematuhan dan pembiayaan sahaja.

Di samping itu, lembaga keamanan ini juga merupakan instrumen penjajahan langsung AS ke atas Gaza yang bertujuan untuk mengubahnya menjadi pangkalan tentera yang besar. Walaupun Rumah Putih menafikannya, akhbar ‘Israel’ Yedioth Ahronoth mendedahkan bahawa Amerika Syarikat merancang untuk menubuhkan pangkalan tentera yang besar bernilai $500 juta berhampiran sempadan Gaza “untuk menyokong gencatan senjata”.

Tujuan Pembentukan Lembaga Keamanan

Objektif penglibatan langsung Amerika adalah untuk mengenakan kawalan ke atas Gaza serta memutuskan kaitannya daripada struktur pendudukan yang sedia ada. Ini adalah susulan dari kegagalan pihak entiti haram Yahudi untuk menghapuskan penentangan atau melemahkan ketabahan penduduk Gaza walaupun operasi ketenteraan yang dilaksanakan bersifat sangat keras dan meluas. Matlamat utama langkah ini adalah seperti berikut:

1. Demi melindungi dan menguatkan kedudukan entiti haram Yahudi. AS tetap terus memberikan wang dan persenjataan kepada entiti tersebut agar ia kekal menjadi kuasa utama yang lebih kuat ketenteraannya berbanding negara-negara di rantau Timur Tengah.

2. Membangunkan strategi untuk menghadapi dunia Islam dan menghalang mobilisasinya, terutamanya selepas Amerika Syarikat merasakan bahawa dunia Islam, dengan akidahnya yang sentiasa hidup, merupakan ancaman strategik dan fundamental sebenar kepada projeknya di Timur Tengah.

3. AS mahu membendung penubuhan semula Khilafah: Amerika dan entiti haram Yahudi sangat bimbang dengan kesedaran umat yang semakin meningkat terhadap keperluan kepimpinan tunggal Islam. Netanyahu berkata dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung oleh media, termasuk Al Jazeera, pada 21/4/2025: “Kami tidak akan membenarkan penubuhan Khilafah di pesisir Mediterranean.” Beliau menambah, “Kami tidak akan menerima kehadiran negara Khilafah di sini atau di Lubnan, dan kami akan berusaha untuk menjamin keselamatan ‘Israel’.” BoP adalah tembok penghalang kepada aspirasi penyatuan umat ini. Sungguh ironi, apabila orang-orang kafir terutamanya Yahudi, lebih yakin berbanding umat Islam sendiri, bahawa Khilafah akan membawa kehancuran mereka.

Pengkhianatan Pemimpin Umat Islam Sekian Kalinya

Apapun, luka yang paling dalam bukanlah datang daripada musuh-musuh kafir, tetapi daripada “saudara” yang berpaling tadah. Akhbar mendedahkan bagaimana pada September 2025 di New York, para pemimpin negara kaum Muslimin duduk semeja dan mengangguk setuju dengan 20 perkara dalam pelan Trump [Al-Jazeera – 24/09/2025]. Mereka tunduk kepada tekanan diplomatik dan ekonomi, lebih takutkan kehilangan dokongan Washington daripada takutkan kemurkaan Allah SWT.

Inilah fenomena yang telah diperingatkan oleh Allah SWT dalam kitab suci-Nya. Golongan yang mencari kemuliaan dengan bersekongkol dengan musuh Islam, sambil membiarkan saudara seagama mereka dizalimi, sebenarnya sedang menempah kehinaan. Allah SWT berfirman:

“Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan beroleh seksaan yang tidak terperi sakitnya; (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman setia dengan meninggalkan orang-orang mumin. Adakah mereka mencari kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu? Maka sesungguhnya kemuliaan itu semuanya milik Allah.”

 [TMQ Surah An-Nisa’: ayat 138-139]

Huraian ayat ini sangat tepat menggambarkan realiti hari ini. Pemimpin kaum Muslimin hari ini menyangka bahawa kemuliaan, kestabilan ekonomi, dan kelangsungan kuasa mereka bergantung kepada restu Amerika. Mereka sanggup mengabaikan rintihan para penduduk Gaza demi jemputan ke meja rundingan Trump. Padahal, Allah telah menegaskan bahawa kemuliaan mutlak (Al-Izzah) hanya milik-Nya. Apabila mereka mencari “kemuliaan” di kaki musuh, mereka sebenarnya sedang terjun ke dalam lembah kehinaan yang paling dalam.

Kesimpulan

Projek penyelesaian dua-negara di Palestin yang disuapkan kepada umat Islam sejak berdekad-dekad lalu telah pun tersingkap topengnya hari ini – sebuah negara untuk orang Yahudi di Palestin, yang disokong AS dari segenap aspek, termasuk sokongan oleh ejen-ejen AS dari kalangan para pemimpin dunia Islam  … dan sebuah lagi negara tanpa tentera (autonomi) dan lemah untuk rakyat Palestin di sebahagian kecil tanah Palestin dengan hegemoni Yahudi ke atasnya!! … tanpa mempedulikan suara-suara yang menginginkan sebuah negara Palestin yang berdaulat! Hakikatnya, Amerika tidak ingin melihat Palestin yang berdaulat walaupun di sebahagian kecil tanah Palestin, kecuali di bawah penjajahan dan hegemoni Yahudi!!

Bagi mereka yang masih menaruh harapan kepada penyelesaian dua-negara, sedarlah bahawa projek itu hanyalah demi menguatkan kedudukan entiti haram Yahudi dan melemahkan dan menghilangkan hak umat Islam ke atas tanah Palestin. Umat Islam harus bangkit daripada tidur yang panjang. Kita perlu menyedari bahawa setiap saat kita berdiam diri, pihak musuh akan mengukuhkan cengkamannya. Palestin memerlukan lebih daripada sekadar air mata dan doa; ia memerlukan keberanian, kesatuan politik, dan kepimpinan yang benar-benar berjuang demi agama.

Yakinlah, fajar kemenangan akan tiba. Sejarah akan mencatatkan mereka yang bersekongkol dengan “Board of Peace” sebagai pengkhianat yang akan dihinakan, manakala mereka yang tetap teguh akidah dan persaudaraan Islam akan dimahkotakan dengan kemuliaan yang abadi. Janji Rasulullah SAW tentang kembalinya Khilafah di atas manhaj kenabian adalah kebenaran yang tidak dapat disangkal.

“Kemudian akan ada pemerintahan yang menindas (mulkan jibriyatan) selama yang dikehendaki Allah, kemudian Dia akan menghapuskannya apabila Dia kehendaki, dan kemudian akan ada Khilafah mengikut manhaj kenabian.” [HR Ahmad].