SN691 – Ramadan: Membina Perisai Diri, Mengembalikan Perisai Ummah

Bil: SN691 (PDF/Print) – 17 Ramadhan 1447 / 6 Mac 2026

Ramadan kembali lagi dengan membawa rahmat dan pengampunan. Di sebalik kesibukan umat mengejar fadhilat ibadah yang dijanjikan ganjaran berganda, marilah kita melakukan introspeksi diri terhadap sebuah persoalan yang sewajarnya direnung bersama – adakah Ramadan kali ini akan berlalu sekadar sebagai rutin tahunan tanpa sebarang impak, atau ia bakal menjadi titik tolak kepada lahirnya sebuah gagasan baru bagi umat Islam?

Sekiranya Ramadan gagal mengubah apa-apa dalam diri dan tidak mampu membangkitkan kesedaran yang mendasar terhadap pandangan hidup ini, maka kita bimbang ia tidak lebih daripada sekadar menahan lapar dan dahaga yang sia-sia. Ketaqwaan yang dituntut oleh Allah (swt) bukanlah sekadar kewarakan individu yang terpisah daripada realiti kehidupan, tetapi merupakan ketundukan total secara kaffah kepada seluruh perintah dan larangan-Nya, sebagaimana firman-Nya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa” [al-Baqarah (2): 183].

Dalam neraca syarak, ketaqwaan yang lahir daripada madrasah Ramadan berfungsi sebagai perisai (junnah) yang melindungi diri seorang Muslim daripada hawa nafsu dan kemaksiatan. Sebagaimana sabda Rasulullah (saw), “Puasa itu adalah perisai (junnah)” [HR Tirmidzi]. Namun, Islam sebagai sebuah mabda’ (ideologi) tidak akan sempurna dengan hanya perisai untuk individu.

Secara kolektifnya, Islam mewajibkan adanya perisai bagi seluruh umat dalam bentuk institusi kenegaraan, sebagaimana ditegaskan dalam hadis sahih: “Sesungguhnya al-Imam (Khalifah) itu adalah perisai, di mana orang-orang akan berperang di belakangnya dan berlindung dengannya” [HR Muslim]. Tanpa perisai ummah ini, ketaqwaan individu akan sentiasa terancam oleh kezaliman sistem yang membelakangi hukum Allah.

Natijah Ketiadaan Perisai Ummah

Tatkala perisai ummah ini sudah tiada sejak runtuhnya Khilafah lebih seabad lalu, umat Islam hidup dalam keadaan yang sangat rapuh dan terhina di bawah telunjuk kuasa asing. Setelah terbubarnya Khilafah Uthmaniyyah, iaitu khilafah terakhir yang berpusat di Istanbul pada tahun 1924, umat hidup diselubungi kegelapan sistemik yang menatijahkan keterpurukan. Umat ini bukan sahaja dipisah-pisahkan dengan batas sempadan palsu negara bangsa, bahkan kita dipaksa untuk tunduk kepada sistem Barat yang materialistik dan menerima pakai undang-undang sekular yang diwariskan oleh penjajah, menggantikan syariat Islam yang kaffah. Situasi hari ini digambarkan dalam sebuah hadis,

“Dari Abu Umamah al-Bahili dari Rasulullah (saw) bersabda: ‘Sungguh simpulan Islam akan terurai simpulan demi simpulan (satu per satu). Setiap kali satu simpulan terurai, maka manusia akan berpegang pada simpulan berikutnya. Yang pertama kali terurai adalah pemerintahan, dan yang paling akhir adalah solat” [HR Ahmad].

Tanpa Khilafah, hukum Allah (swt) tidak lagi dilaksanakan secara kaffah. Semuanya telah tercabut satu per satu. Apa yang tinggal hanyalah sedikit hukum dalam hal kekeluargaan, perkahwinan, pusaka, zakat dan solat, sedangkan dalam bab pemerintahan, ekonomi, politik, pendidikan, pergaulan (sosial), uqubat, dasar luar, jihad dan lain-lain, semuanya telah hilang. Ketiadaan perisai ini juga menyebabkan umat kehilangan jati diri politik yang bebas dan hanya mengekor acuan sekular demokrasi kapitalis yang telah terbukti gagal memberikan keadilan yang hakiki.

Penerapan sistem demokrasi ini telah mencorakkan tingkah laku manusia sehingga menghasilkan perpecahan internal yang parah dalam kancah politik setempat. Pertelingkahan yang tidak berkesudahan antara parti-parti politik seperti Bersatu, PH, mahupun UMNO, bukanlah disebabkan oleh perbezaan ijtihad syari’e untuk kemaslahatan umat, tetapi oleh kepentingan peribadi dan parti masing-masing. Ia hanya menjadi medan perebutan kuasa dan kelangsungan kepentingan yang didorong oleh manfaat dan kedudukan, sehingga umat terus menjadi mangsa percaturan para politikus yang tidak mempunyai visi Islam yang jelas. Bahkan ikatan yang menyatukan kelompok-kelompok tersebut tidak lain hanyalah berasaskan manfaat dan kepentingan, yang tersembunyi di sebalik slogan-slogan idealisme perjuangan masing-masing. Setelah hilang manfaat dan kepentingan yang ingin dicapai, maka terlerailah ikatan penyatuan yang rapuh ini.

Dalam pada itu, sistem kapitalisme yang mendominasi kehidupan umat pada hari ini turut menyuburkan barah rasuah yang sistematik sehingga ke akar umbi. Pendedahan mengenai isu integriti yang terpalit pada Tan Sri Azam Baki serta dakwaan kewujudan ‘corporate mafia’ memberi isyarat betapa institusi penguatkuasaan hari ini berisiko dicemari oleh kepentingan pemodal yang melingkari jentera-jentera kerajaan serta mereka yang berada di koridor kekuasaan. Dalam sistem yang menjadikan manfaat material sebagai miqyas (ukuran), undang-undang sering kali dilihat sebagai alat manipulasi demi kepentingan elit korporat, sekali gus menghancurkan kepercayaan rakyat terhadap sistem sedia ada.

Kita juga menyaksikan kepincangan dari sudut perundangan yang melibatkan aspek kemasyarakatan dan hubungan antara kaum dan agama di bawah tatanan kehidupan hari ini. Kewujudan rumah ibadat bukan Islam yang dibina tanpa kelulusan di atas tanah kerajaan atau persendirian menunjukkan kegagalan sistem hari ini dalam menguatkuasakan undang-undang tanah secara adil. Sedangkan dalam Islam, pemeliharaan pemilikan tanah merupakan satu kewajiban yang dipertanggungjawabkan ke atas negara untuk melaksanakannya.

Islam mempunyai penyelesaian yang praktikal berhubung isu ini. Penceroboh sama sekali tidak mempunyai hak ke atas tanah yang diceroboh, termasuk bangunan atau tanaman yang diusahakannya secara tidak sah. Manakala pemilik asal diberikan dua pilihan terhadap apa sahaja yang ditinggalkan di atas tanahnya – sama ada memiliki binaan tersebut dengan membayar kos perbelanjaan kepada penceroboh, atau berhak mengarahkan penceroboh meruntuhkan bangunan bagi mengembalikan tanah kepada keadaan asal dengan kos ditanggung oleh penceroboh.

Tanpa penyelesaian berlandaskan hukum Islam, isu-isu teknikal ini mudah dimanipulasi menjadi polemik perkauman dan agama yang meretakkan keharmonian masyarakat, manakala pemerintah pula sering dilihat teragak-agak dalam melaksanakan ketegasan undang-undang dengan seribu satu alasan.

Di pentas antarabangsa pula, ketiadaan perisai ummah telah menyebabkan bumi Palestin terus dikhianati melalui pelbagai agenda musuh Islam yang berselindung di sebalik nama perdamaian. Penubuhan Board of Peace dan rencana penempatan pasukan International Stabilization Force (ISF) di Gaza bukanlah demi memelihara umat Islam di sana. Sebaliknya ia adalah perisai bagi melindungi entiti haram Yahudi menerusi agenda perlucutan senjata Hamas dan pejuang Palestin. Penglibatan Indonesia, sebuah negara Muslim, dalam menguatkuasakan agenda ini jelas-jelas merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap umat Islam, sekali gus menjadikannya sebagai perisai bagi menjamin kelestarian rejim haram Yahudi.

Dalam perkembangan berbeza, kita juga menyaksikan dua lagi negara kaum Muslimin, iaitu Pakistan dan Afghanistan, bertelagah sehingga mencetuskan pertumpahan darah. Pertempuran bermula apabila tentera udara Pakistan melaksanakan serangan udara ke atas Afghanistan, kemudian disusuli dengan pertempuran antara kedua-dua belah pihak. Pastinya perkembangan ini merupakan sebuah tragedi yang menyedihkan kerana melibatkan pertumpahan darah sesama Muslimin. Apatah lagi tragedi ini tercetus di dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Dalam masa yang sama, entiti haram Yahudi yang disokong oleh Amerika Syarikat telah bertindak melancarkan serangan agresif ke atas Iran pada 28 Februari lalu dengan mensasarkan kepimpinan tertinggi, komander-komander, dan sasaran ketenteraan republik tersebut. Iran kemudiannya bertindak balas menyerang negara haram ‘Israel’ dan pangkalan-pangkalan tentera Amerika Syarikat di beberapa buah negara Arab.

Tanpa perisai yang melindungi dan menyatukan umat Islam, negara-negara Muslimin diperkotak-katikkan demi kepentingan geopolitik dan agenda penjajahan Amerika Syarikat dan sekutunya, rejim haram Yahudi. Di samping itu, para pengkhianat dalam kalangan penguasa umat Islam juga membenarkan Amerika Syarikat membina pangkalan tentera yang digunakan untuk menumpahkan darah kaum Muslimin. Sedangkan Allah (swt) telah berfirman,

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ عَدُوِّى وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَآءَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat…” [al-Mumtahanah (60): 1]

Jelaslah bahawa kekuatan bala tentera kaum Muslimin serta segala kelengkapannya pada hari ini sudah tidak lagi digunakan bagi melaksanakan jihad ke atas musuh-musuh Islam. Sebaliknya, tentera-tentera ini digunakan bukan sahaja untuk melaksanakan agenda Barat dan Zionis, bahkan muncung-muncung senjata turut dihalakan terhadap sesama Muslimin. Semua ini berlaku di saat tiadanya sebuah kepimpinan yang menyatukan mereka di bawah naungan Khilafah.

Khatimah

Segala kerosakan dan penderitaan yang kita saksikan hari ini adalah bukti nyata kegagalan sistem buatan manusia yang membelakangi wahyu Pencipta. Mereka yang semakin kecewa dengan hasil sistem sekular-demokrasi-kapitalis ini seharusnya menyedari bahawa penderitaan sistemik ini adalah natijah akibat  hukum Allah yang diketepikan dalam urusan kenegaraan. Hal ini selaras dengan peringatan Allah (swt) dalam al-Quran:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةًۭ ضَنكًۭا

“Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit…” [Taha (20): 124].

Kesempitan hidup yang kita rasakan sekarang, daripada beban ekonomi yang menghimpit hingga kepada ketidakadilan hukum yang nyata, adalah natijah akibat ditinggalkannya aturan Ilahi.

Oleh itu, Ramadan sebagai bulan ketaqwaan wajib menjadi momentum untuk memacu usaha ke arah mengembalikan semula kehidupan Islam yang sebenar melalui penegakan Khilafah. Institusi agung inilah perisai hakiki yang akan menyatukan kekuatan umat, membasmi barah rasuah hingga ke akar umbi, serta membebaskan tanah-tanah yang dijajah dari cengkaman kuffar. Hanya dengan tegaknya Khilafah ala Minhaj Nubuwwah, kedaulatan Allah akan kembali dijunjung tinggi sebagaimana janji-Nya:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ كَمَا ٱسْتَخْلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa…” [an-Nur (24): 55].

Sesungguhnya, ketaqwaan yang hakiki akan membuahkan kesedaran bahawa syariat Allah tidak mungkin dapat diterapkan secara sempurna tanpa adanya institusi politik yang menaunginya. Ramadhan ini seharusnya tidak dibiarkan berlalu sebagai rutin ritual semata-mata, melainkan sebagai titik transformasi untuk kembali kepada fitrah pengabdian yang mutlak kepada Sang Pencipta. Tegaknya Khilafah akan mengakhiri dominasi sistem kufur yang merosakkan dan mengembalikan semula izzah (kemuliaan) umat Islam agar rahmat Allah kembali terpancar ke seluruh alam.

Wallahu a’lam bissawab.