Soal Jawab Berkenaan Masalah Pembekuan Embrio Dan Penentuan Jenis Jantina Anak

بسم الله الرحمن الرحيم
altSoalan: Dewasa ini terdapat pelbagai kajian ilmiah yang dilakukan secara terang-terangan di mana sebelum ini dilakukan secara sembunyi-sembunyi, iaitu yang pertama berkenaan ‘pembekuan embrio’ dan yang keduanya adalah berkenaan “penentuan jenis jantina anak”. Di negara-negara Barat, hal ini telah menjadi suatu komoditi (barangan)  yang diperdagangkan. Kemudian perkara ini telah tersebar ke negeri-negeri kaum Muslimin. Kini masalahnya tidak lagi hanya sekadar kajian ilmiah, tetapi ia juga telah menjadi permintaan oleh sebahagian kaum Muslimin untuk dipraktikkan. Untuk itu, apakah  hukum syara’ dalam dua permasalahan tersebut? Semoga Allah memberikan balasan yang baik kepada pihak tuan.

Jawapan:

Sebelum menjawab persoalan tersebut, ingin kami nyatakan bahawa sesungguhnya Allah swt telah menciptakan manusia dan mengajarkan kepadanya apa yang tidak diketahuinya. Allah swt menciptakan pada alam semesta, dalam diri manusia dan di dalam kehidupan, karakteristik, nilai-nilai dan susunan tertentu yang membuka ruang untuk manusia mengambil manfaat dari ilmu-ilmu kehidupan serta memanfaatkan ilmu-ilmu itu dalam hal yang berguna bagi manusia. Allah swt memuji ilmu yang bermanfaat dan ulama’ yang memberikan manfaat, kerana mereka lebih mampu beriman kepada Allah dan berhujah dengan apa yang mereka lihat di antara rahsia-rahsia kehidupan, manusia serta kehidupan atas keagungan, kebijaksanaan dan kekuasaan Allah. Allah swt berfirman:

] إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ[
Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya adalah ulama’. (TMQ Fâthir [35]: 38)

Rasulullah sallallahu ’alaihi wassalam bersabda:
 

«… إِنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ»
… sesungguhnya ulama adalah pewaris para Nabi, dan sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, melainkan mewariskan ilmu, maka barangsiapa  yang mengambilnya, ia (hendaklah) mengambil bahagian yang besar (HR Ibnu Majah dari jalur Abu Darda’)

Namun syaitan, para pengikutnya, dan penganut keburukan telah menyalahgunakan ilmu untuk menyakiti, menyebabkan bahaya, mengacau-bilaukan kehidupan umat manusia dan mengeluarkannya dari keadaan yang lurus. Maka ilmu itu dimanfaatkan bukan pada perkara-perkara yang sepatutnya. Contohnya: pengklonan, pembekuan sperma, sel telur, kemudian embrio yang ditempelkan (implantation) bukan pada tempat yang sepatutnya; bedah siasat mayat dan penjualan organ-organnya; bahkan penculikan manusia lalu dibunuh dan diperdagangkan organnya, percubaan (ujikaji) ke atas embrio dan pembekuannya, berlegar-legar dan bermain-main dengan kehidupan embrio, malahan kadang-kala pemotongan terhadap organ-organnya. Semua itu dilakukan dengan alasan kononya atas dasar kesihatan atau ada kalanya dengan dalih atas dasar kajian dan ilmu pengetahuan!

Sesungguhnya Allah subhanahu wa Taala telah berfirman:
 

]وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آَدَمَ[
Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam (TMQ al-Isra’ [17]: 70)

Hukum asalnya, ilmu pengetahuan adalah punca kepada kemuliaan yang telah ditetapkan oleh Allah swt sebagai milik manusia dan keistimewaan manusia berbanding makhluk-makhluk yang lain. Hal itu adalah dalam rangka untuk kebahagiaan manusia, peningkatan kepada kualiti kehidupan (secara fizikal/jasmani) dan aqliyah (pemikiran) mereka.  Akan tetapi, para ilmuwan jahat sebaliknya telah mengacau-bilaukan manusia dan membawa manusia ke darjat yang lebih rendah daripada binatang. Manusia telah dijadikan bahan ujikaji bagi semua keburukan dan dharar (kemudaratan).

Kemudian kami ingin menjawab:

Sesungguhnya hukum syara’ tentang subjek pertanyaan tersebut adalah seperti berikut:

Pertama, berkenaan pembekuan embrio.

Ada kalanya terdapat beberapa penyakit pada diri suami dan isteri yang menghalangi persenyawaan  (fertilization) sel telur isteri (ovum) oleh sel sperma suaminya secara semulajadi. Misalnya kerana berlakunya kesempitan di leher rahim, pergerakan sel sperma yang lemah untuk sampai ke sel telur, atau sebab lain yang diketahui oleh orang yang arif dan pakar dalam bidang tersebut. Sebahagian daripada saintis telah memperoleh kaedah untuk mempersenyawakan sel telur (ovum) di luar rahim iaitu di dalam tabung uji melalui keadaan yang sesuai. Secara ringkasnya kaedah tersebut adalah seperti berikut, pertama wanita itu akan diberi ubat yang akan merangsang ovarinya agar dapat menghasilkan beberapa biji sel telur (ovum) dalam sekali pengovulan (dan proses ini dikenali sebagai superovulasi). Walaupun secara normalnya setiap pengovulan hanya menghasilkan satu sel telur. Kemudian doktor pakar akan memasukkan alat ultrasonografi transvaginal ke dalam rahim melalui vagina dan menyedut sejumlah sel telur dalam tiub fallopio. Kemudian setiap sel telur itu ditempatkan di piring petri (petri dish) dan disenyawakan (dicantumkan) dengan sel sperma dari suami .

Setelah proses persenyawaan (fertilization) di dalam piring petri itu berhasil, satu atau lebih sel telur yang sudah disenyawakan (embrio), akan dimasukkan kembali ke rahim si isteri. Jika Allah mentakdirkan embrio itu hidup, ia akan menempel (implanted)  ke dinding rahim dan berkembang menjadi janin (fetus) . Jika Allah mentakdirkan yang lain, maka embrio itu akan mati dan gugur.

Oleh sebab dalam banyak kali percubaan peluang keberhasilannya (iaitu berlakunya penempelan embrio pada dinding rahim) adalah sangat kecil (peluang kegagalannya mencapai 90 %) dan ditambah pula dengan keinginan yang sangat tinggi pada pasangan suami-isteri itu untuk berlakunya kehamilan, maka mereka akan mengulangi lagi proses tersebut. Kadang kala hal itu menyebabkan wanita amat keletihan dan mengalami ketegangan (stress) kerana mereka biasanya akan diberikan berjenis-jenis ubat dan dikehendaki melakukan pelbagai perkara untuk merangsang ovari  bagi menghasilkan banyak sel telur (superovulasi). Disebabkan proses persenyawaan (fertilization) di dalam tabung uji  tidak dijamin hasilnya, maka ovari akan dirangsang bagi menghasilkan lebih dari satu sel telur dalam satu kali ovulasi (superovulasi) sehingga jika sel telur yang pertama tidak berhasil disenyawakan, mereka mengharapkan agar sel telur yang lain akan memberikan kejayaan pada percubaan tersebut. Maka sel telur yang telah disenyawakan (embrio) itu diambil dan ditempelkan (implanted)  ke dalam rahim. Kadang kala yang ditempelkan ke dalam rahim lebih dari satu embrio, di mana jika satu embrio itu mati atau gagal untuk menempel pada dinding rahim, maka  diharapkan embrio-embrio yang lain akan berhasil hidup dan mengalami pertumbuhan.

Embrio ditempelkan (implanted) di dalam rahim menggunakan alat yang khusus. Kaedah yang digunapakai pada saat ini adalah kaedah penyediaan bagi melakukan proses penempelan (implantation) sebanyak tiga embrio bagi menjamin agar salah satu daripadanya akan berhasil, di mana tiga embrio akan dihasilkan dan satu embrio akan dipilih untuk penempelan (implantation). Dua embrio yang masih ada tidak ditempelkan ke dalam rahim, tetapi akan disimpan dan akan digunakan pada tahap berikutnya jika embrio yang ditempelkan ke diding rahim (uterus wall) itu gagal. Ini bererti, jika embrio yang ditempelkan ke dalam rahim itu gagal, maka tidak perlu lagi diulangi proses untuk menyedut sel telur dari wanita itu lagi. Sebaliknya para doktor boleh mengambil daripada dua embrio yang ada dan akan digunakan untuk proses penempelan semula ke dalam rahim. Begitulah keadaannya setiap kali penempelan itu gagal, para doktor akan mengambil embrio yang lain tanpa perlu mengulangi proses penyuntikan ubat-ubatan kepada wanita itu.

Perlu diingati bahawa keputusan tentang kegagalan embrio yang ditempelkan untuk proses pertama kali itu tidak dapat diperolehi dengan serta merta. Keputusan tentang kegagalan penempelan embrio itu hanya akan dapat diperolehi setelah beberapa jam malah mungkin selama beberapa hari. Maka dalam tempoh untuk menunggu keputusan tentang hasil proses pertama tersebut, jika kedua-dua embrio simpanan tadi tidak dibekukan dan diletakkan di dalam keadaan yang sesuai, maka kedua-dua embrio simpanan tadi akan mati. Untuk itu, embrio simpanan tadi akan dibekukan dengan nitrogen cecair bagi mengelakkan ia mati  dan boleh digunakan bagi proses penempelan ke dinding rahim (uterus) sekiranya proses pertama tadi mengalami kegagalan.

Dari sini muncullah idea tentang pembekuan embrio. Pada awalnya ia dilakukan untuk proses penempelan kedua jika proses pertama mengalami kegagalan. Dan juga untuk memudahkan pihak ibu supaya tidak perlu melalui proses rawatan dan pengambilan ubat-ubatan bagi melakukan semula proses pengovulan (penghasilan ovum).

Tetapi mutakhir ini, embrio telah menjadi komoditi (barangan) yang diperdagangkan dan dijualbeli, khususnya di negara-negara barat. Akibatnya, embrio-embrio ini dibekukan dalam jangka waktu yang lama sehingga boleh mencapai masa pembekuan bertahun-tahun. Adakalanya embrio-embrio yang dibekukan ini tidak ditempelkan kepada rahim ibunya, sebaliknya dijual kepada pasangan suami isteri yang lain, bahkan dijual kepada wanita-wanita yang tidak mempunyai suami. Akhirnya tertubuhlah intitusi-intitusi yang berfungsi sebagai bank embrio bagi menyimpan embrio-embrio beku ini. Daripada apa yang dilaporkan oleh pihak media, semasa proses penyimpanan, berlaku percampuran antara embrio-embrio beku itu dengan embrio-embrio beku daripada pasangan yang lain sehinggakan ketika proses penempelan embrio pertama gagal, embrio yang digunakan untuk proses penempelan kedua sebenarnya datang daripada embrio pasangan yang lain. Begitulah fakta yang terjadi sehingga berlakunya percampuran nasab dan kehidupan umat manusia menjadi kacau-bilau dan berbelit-belit nasabnya.

Dan kami nyatakan di sini bahawa pembekuan ini tidak hanya terbatas pada embrio sahaja, tetapi akhirnya mereka juga telah membekukan sel-sel telur, sel-sel sperma dan mereka jual kepada sesiapa sahaja yang menginginkannya. Mereka juga telah membuat promosi dalam  memperdagangkan sel-sel ini dengan menyatakan bahawa sel-sel telur ini atau sel-sel sperma itu berasal daripada orang-orang yang terpilih atau yang seumpamanya.

Inilah secara ringkas fakta berkenaan pembekuan embrio. Masalah ini memiliki beberapa perincian dan cabang di dalam kajian mereka. Akan tetapi fakta umumnya adalah seperti yang kami jelaskan dan segala perincian dan cabangnya tidak akan terkeluar daripada fakta umum yang kami ungkapkan ini.

Berdasarkan hal itu, maka hukum syara’ dalam masalah tersebut adalah sebagai berikut:

Pertama, pilihan suami isteri untuk melakukan persenyawaan di luar rahim (in vitro fertilization) sebagai penyelesaian kepada masalah kesihatan disebabkan  kedua-dua pihak  tidak dapat memulakan  kehamilan dengan jalan biasa, maka hukumnya adalah diperbolehkan kerana hal ini termasuk sebahagian daripada usaha untuk perubatan. Di dalam perkara ini, Rasul sallallahu ’alaihi wassalam sememangnya memerintahkan kita untuk berubat. Abu Dawud mengeluarkan hadis daripada Usamah bin Syarik, ia berkata: “Rasul sallallahu ’alaihi wassalam pernah bersabda:
 

«تَدَاوَوْا فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلَّا وَضَعَ لَهُ دَوَاءً غَيْرَ دَاءٍ وَاحِدٍ الْهَرَمُ»
Berubatlah kalian, sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit kecuali diletakkan juga ubatnya, kecuali satu iaitu kematian

Akan tetapi kebolehan ini adalah disertai dengan dua syarat:

Syarat pertama, persenyawaan di dalam tabung uji (in vitro fertilization) dilakukan dengan sel sperma terhadap sel telur dari pasangan suami isteri yang menikah dengan akad yang sah. Dari Ruwaifi’ ibn Tsabit al-Ansari bahawa Rasul  sallallahu ’alaihi wassalam pernah bersabda:
 

« لاَ يَحِلُّ ِلامْرِئٍ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ أَنْ يَسْقِيَ مَاءَهُ زَرْعَ غَيْرِهِ»
Tidak halal bagi seseorang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat menyiramkan airnya (spermanya) ke tanaman (faraj/rahim) orang lain (HR Ahmad)

Jadi sel telur seorang wanita tidak boleh disenyawakan kecuali dengan sel sperma suaminya.

Syarat kedua, persenyawaan di dalam tabung uji dan pemindahan embrio ke rahim wanita dilakukan ketika suaminya masih hidup, bukan setelah si suami sudah meninggal seperti yang terjadi di negara-negara barat. Barat memandang tidak ada halangan memindahkan embrio beku ke rahim wanita (pada bila-bila masa sahaja yang mereka inginkan), baik ketika suaminya masih hidup mahupun sudah mati. Hal ini tidak halal di dalam Islam. Ini adalah kerana kehamilan seseorang wanita tanpa suami yang masih hidup di awal kehamilan adalah haram dan mempunyai hukumannya untuk perkara tersebut. Malah di antara bukti zina pada seseorang perempuan itu adalah apabila berlakunya kehamilan tanpa suami. Seseorang wanita yang hamil sedangkan ia tidak mempunyai suami maka ia berdosa dan dianggap sebagai telah melakukan keharaman dan dosa besar. Hukum  inilah yang berlaku dan ia adalah berdasarkan kepada apa yang diriwayatkan dari Umar dan Ali ra, dan tidak ada sahabat yang mengingkari perkataan kedua-dua mereka, sedangkan perkara itu termasuk perkara yang wajib diingkari seandainya ia tidak benar. Maka hal ini (iaitu kehamilan tanpa suami termasuk bukti berlakunya zina) telah sampai kepada taraf ’ijmak sahabat’.

Jadi kehamilan tanpa suami adalah termasuk dalam bukti zina. Dan dalam hal ini terdapat had (hudud) yang boleh dijatuhkan jika kehamilan itu adalah hasil daripada hubungan seksual, dan terdapat hukuman ta’zir yang keras jika kehamilan itu bukan daripada hasil hubungan seksual iaitu dengan memasukkan embrio hasil persenyawaan in vitro (in vitro fertilization) ke rahim isteri setelah suaminya meninggal sehingga kehamilan wanita itu terjadi setelah kematian suaminya itu.

Begitulah hukum yang berkaitan dengan persenyawaan sel telur yang  dilakukan di luar rahim (in vitro fertilization) kemudian dipindahkan ke rahim ibu, di mana sel sperma dan sel telur kedua-duanya berasal daripada  pasangan suami isteri dan ketika si suami masih hidup, maka yang demikian hukumnya adalah dibolehkan. Maksudnya apa yang dinamakan sebagai “bayi tabung uji” itu adalah boleh (mubah) asalkan memenuhi syarat-syarat yang telah disebutkan di atas.

2. Pembekuan Embrio Simpanan

Adapun pembekuan sel telur yang sudah disenyawakan “atau pembekuan embrio” sebagai simpanan, sambil menunggu keberhasilan proses pertama di mana jika proses pertama itu gagal maka diambil simpanan embrio beku yang kedua itu kemudian ditempelkan  ke rahim si ibu, dan jika proses yang kedua juga gagal maka diambil lagi embrio beku yang ketiganya dan ditempelkan lagi ke rahim si ibu … dan begitulah seterusnya.

Jika embrio beku itu diyakini berasal daripada si ibu dan tidak bercampur dengan embrio yang lain, maka ia boleh dikembalikan ke rahim si ibu itu dengan dua syarat yang telah disebutkan di atas.
Akan tetapi, sepertimana yang telah dilaporkan oleh pelbagai pihak media tentang berlakunya percampuran embrio beku, maka menjadikan pembekuan embrio dan penempelan embrio beku itu ke rahim si ibu setelah proses pertama gagal menjadi tidak boleh. Hal itu disebabkan oleh:

1. Perhatian biasanya diberikan kepada embrio pertama daripada proses persenyawaan di dalam tabung uji (in vitro fertilization), kemudian dimasukkan ke dalam rahim untuk proses penempelan (implantation process). Perhatian diberikan bagi mengikuti perkembangan embrio yang ditempelkan itu sahaja.

2. Manakala embrio simpanan yang dibekukan tidak diperhatikan dan tidak dilihat kecuali setelah proses penempelan yang pertama gagal. Telah kami nyatakan bahawa kegagalan itu tidak dapat diketahui secara serta-merta, tetapi memerlukan jangka waktu tertentu baik singkat mahupun masa yang panjang dalam memastikan kegagalan proses penempelan tersebut. Selama jangka waktu itu, embrio simpanan itu terus berada di dalam pembekuan.

3. Terdapatnya laporan tentang bercampur-baurnya embrio yang dibekukan. Laporan-laporan tersebut memberikan pemahaman kepada kita bahawa terjadinya campur-baur nasab sebagai perkara yang akan terjadi melalui pembekuan embrio yang bercampur-baur itu.

4. Jika eksperimen pertama berhasil, maka embrio simpanan yang dibekukan akan diminta untuk dihapuskan. Walaubagaimanapun, penghapusan embrio simpanan itu tadi tidak dapat diyakini berlaku dan tetap ada dugaan (dzan) bahawa embrio simpanan itu tidak dihapuskan, tambahan pula dengan laporan-laporan pelbagai berita yang juga menyiarkan amalan perdagangan embrio beku yang amat berleluasa.

Dalam hal ini, kaedah syara’ menyatakan “al-wasîlah ilâ al-harâm harâm : perkara  yang membawa kepada sesuatu yang haram, hukumnya adalah haram” dan dugaan kuat (ghalabah az-zhan) sudah cukup dalam menerapkan kaedah ini. Sementara percampuran embrio beku baik kerana kesilapan teknikal ataupun kerana kesengajaan bagi tujuan komersial akan membawa kepada bercampur-baurnya nasab. Bercampur-baurnya nasab adalah haram hukumnya. Justeru, Islam mewajibkan penjagaan dan perlindungan talian nasab. Ibn Majah mengeluarkan hadis di dalam Sunannya daripada jalur Ibn Abbas, ia berkata: “Rasulullah sallallahu ’alaihi wassalam bersabda:
 

« مَنْ اِنْتَسَبَ إِلَى غَيْرِ أَبِيْهِ، أَوْ تَوَلَّى غَيْرَ مَوَالِيْهِ، فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللهِ وَالْمَلاَئِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ »
Barangsiapa menisbatkan nasab kepada selain daripada bapanya atau mengikatkan wala’ (hubungan maula) kepada selain daripada maulanya maka baginya laknat Allah, para Malaikat dan manusia seluruhnya.

Imam ad-Darimi mengeluarkan hadis daripada jalur Abu Hurairah ra bahawa ia mendengar Rasululah sallallahu ’alaihi wassalam bersabda ketika turun ayat li’an:
 

« أيَّمَا اِمْرَأَةٍ أَدْخَلَتْ عَلَى قَوْمٍ نَسَباً لَيْسَ مِنْهُمْ فَلَيْسَتْ مِنْ اللهِ فِيْ شَيْءٍ، وَلَمْ يُدْخِلُهَا اللهُ جَنَّتَهُ »
Mana-mana wanita yang memasukkan nasab sesuatu kaum yang bukan sebahagian daripada nasab mereka, maka ia tidak mendapat apapun daripada Allah dan tidak dimasukkan ke dalam syurgaNya.

Atas dasar itu, perkara ini iaitu pembekuan embrio simpanan adalah haram. Embrio yang berlebihan daripada embrio yang ditempelkan ke dinding rahim, wajib dihapuskan segera tanpa dibekukan, walaupun ada dugaan bahawa proses yang pertama itu akan mengalami kegagalan. Akan tetapi, jika proses pertama itu benar-benar gagal, maka si isteri perlu kembali mengulangi proseder perubatan seperti yang awal tadi bagi merangsang ovarinya untuk menghasilkan sel telur baru untuk disenyawakan. Kepenatan dan tekanan yang dialami oleh wanita itu bukan merupakan sebab untuk dilakukan pembekuan embrio yang boleh membawa kepada bercampur-baurnya nasab. Untuk itu kami menegaskan bahawa pembekuan embrio itu adalah haram  hukumnya.

Mungkin akan ada yang mengatakan bahawa kaedah syara’ tersebut menuntut dugaan kuat (ghalabah az-zhan), sementara yang ada hanyalah dugaan (zhan), bukan dugaan yang kuat (ghalabah az-zhan). Apatah lagi jika pihak yang melakukan proses itu dapat dipercayai dan mampu membekukan embrio dengan cara yang terjamin, misalnya segera melenyapkan embrio simpanan beku sejurus proses pertama berhasil. Jadi mengapa kita katakan haram membekukan embrio simpanan itu sedangkan ia dapat menghindarkan wanita daripada keletihan dan tekanan ketika proses pengulangan persenyawaan sel telur ketika proses pertamanya gagal?

Jawapannya adalah; Memang benar, apa yang dituntut daripada kaedah itu adalah dugaan kuat (ghalabah az-zhan). Pada situasi  di mana pihak yang memberikan rawatan itu boleh dipercayai, dugaan kuat (ghalabah az-zhan) itu tidak dipenuhi. Memang benar, jika adanya kepercayaan penuh dan kepastian bahawa tidak berlakunya percampuran embrio, maka pembekuan embrio simpanan itu diperbolehkan dengan syarat embrio simpanan itu segera dilenyapkan ketika eksperimen pertama berhasil. Akan tetapi perkara ini sangat sensitif. Sedangkan berita-berita yang dilaporkan oleh pelbagai pihak membuatkan kepercayaan kita goyah terutamanya pada dua fasa rawatan berikut:

Pertama, fasa pemeriksaan eksperimen pertama untuk menentukan keberhasilan proses penempelan untuk terjadinya kehamilan. Dalam fasa ini, embrio simpanan yang dibekukan tidak diperhatikan secara baik, kerana tumpuan dan perhatian  diberikan secara berterusan  hanya kepada aspek  keberhasilan proses penempelan pada eksperimen pertama ini.

Kedua, fasa di mana eksperimen pertama atau kedua berhasil. Sepatutnya ketika fasa ini, embrio simpanan yang dibekukan wajib dihapuskan. Namun penghapusan ini tidak berada di bawah perhatian dan kawalan kerana jika seorang wanita telah hamil, maka dia ataupun suaminya tidak lagi memberikan perhatian untuk memantau embrio simpanan yang dibekukan tadi. Kadangkala kedua-dua pasangan itu sekadar cukup dengan bertanya dan kemudian diberikan jawapan bahawa embrio itu telah dilenyapkan.

Tanpa satu sistem ataupun mekanisme kawalan yang khas bagi memantau proses penghapusan embrio simpanan ini, bagaimana kita boleh mendapat kepercayaan penuh dan pengesahan bahawa embrio-embrio simpanan itu telah dihapuskan? Ditambah pula dengan amalan perdagangan embrio yang telah dilaporkan oleh banyak pihak khususnya media?

Oleh yang demikian, jika dugaan kuat (ghalabah az-zhan) tidak dapat dicapai bagi mengharamkan pembekuan embrio dengan bersandarkan pada kaedah syara’ di atas, akan tetapi ia tetap mempunyai keraguan. At-Tirmidzi mengeluarkan hadis yang berstatus hasan sahih daripada jalur al-Hasan bin Ali ra., ia berkata: “aku menghafal (hadis) dari Rasulullah sallallahu ’alaihi wassalam:
 

« دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ»
 
Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu
Ringkasnya:

Boleh dilakukan persenyawaa in vitro (in vitro fertilizaton) ke atas sel telur seseorang wanita dengan sel sperma suaminya sebagai penyelesaian bagi mengatasi masalah kehamilan wanita itu. Hal ini diperbolehkan jika persenyawaan itu tidak dapat berlaku secara alami.

Setelah pengambilan sel telur, dihasilkan embrio melalui persenyawaan in vitro kemudian embrio itu ditempelkan ke rahim, embrio-embrio lain yang berada di dalam tabung uji perlu dihapuskan.

Jika atas izin Allah proses penempelan pertama berhasil, suami isteri itu hendaklah memanjatkan puji-pujian ke hadrat Allah swt. Jika tidak berhasil, maka perlulah mengulangi proses tersebut, dengan dilakukan persenyawaan in vitro (in vitro fertilization) sekali lagi. Embrio kedua perlu dihasilkan melalui prosedur perubatan yang sama  dan bukan dengan proses membekukan embrio simpanan daripada eksperimen pertama.

Semua itu dibolehkan dengan syarat sel telur dan sel sperma berasal daripada pasangan suami isteri yang sah dan dilakukan semasa si suami masih hidup, iaitu persenyawaan in vitro (in vitro fertilization) dijalankan dan kemudian pengembalian embrio ke dalam rahim dilakukan semasa si suami masih hidup.

Kedua, Penentuan Jenis Jantina Bayi

Sejak dari dahulu manusia berusaha untuk memilih jenis jantina bayi yang ingin dilahirkan dan membuang apa yang tidak dikehendaki melalui cara yang boleh mereka lakukan.

• Pada masa jahiliyah, mereka menginginkan anak lelaki untuk membantu mereka di dalam peperangan dan untuk menjaga nasab keturunan. Mereka menanam hidup-hidup bayi perempuan yang mereka lahirkan. Di dalam Al-Quran ada dijelaskan;

]وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ * بِأَيِّ ذَنْبٍ قُتِلَتْ[

Dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah dia dibunuh (TMQ at-Takwîr [81]: 8-9)

• Kemudian datang pula kaedah yang lain di mana janin yang ada di dalam kandungan akan diimbas (scan) dengan menggunakan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi (ultrasound) dan kemudian imej bayi tersebut dicetak. Teknik ini dinamakan sebagai teknik USG (ultrasonography). Jika janin itu tidak diinginkan, maka mereka akan melakukan pengguguran bagi  membuang janin yang ada di dalam perut ibunya.

• Kemudian mutaakhir ini, khususnya ketika teknik dan teknologi moden untuk memantau keadaan yang melingkupi janin di dalam perut ibunya sudah berkembang lebih maju, mereka mendapati bahawa  keadaan berasid lebih sesuai bagi sel sperma  membawa baka jantina perempuan, manakala keadaan beralkali lebih sesuai untuk sel sperma  membawa baka jantina lelaki. Maka melalui teknik-teknik tertentu mereka cuba mewujudkan persekitaran beralkali di dalam rahim seorang perempuan sebelum melakukan hubungan seksual. Hal itu dilakukan dengan membasuh bahagian dalaman vagina dengan menggunakan larutan beralkali dengan anggapan bahawa  itu akan membantu persenyawaan oleh sel sperma yang mengandungi baka jantina lelaki, dan dengan membasuh bahagian dalaman vagina dengan larutan berasid sebelum melakukan hubungan seksual dengan anggapan bahawa itu akan membantu  persenyawaan yang menghasilkan janin berjantina perempuan.

• Kemudian mereka mulai mengkaji teknik perubatan yang boleh membantu menghasilkan persekitaran beralkali di dalam tubuh seseorang perempuan dan teknik perubatan yang membantu menghasilkan persekitaran berasid di dalam tubuh perempuan itu.

Mereka berpandangan bahawa ubat-ubatan mempunyai pengaruh di dalam penentuan jenis jantina embrio dari dua sudut:

Pertama, mengubah persekitaran asid-alkali di dalam leher rahim dan vagina. Kalium (potasium – K) dan natrium (sodium – Na) mengubah kepada persekitaran beralkali dan ini memberi peluang lebih besar bagi sel sperma pembawa baka jenis jantina lelaki.

Sementara Magnesium (Mg) dan Kalsium (Ca) mewujudkan persekitaran berasid dan seterusnya membesarkan peluang persenyawaan bagi sel sperma pembawa baka jenis jantina perempuan.

Kedua, mewujudkan perubahan pada dinding sel telur bagi meningkatkan kadar penerimaan sel telur terhadap sel sperma pembawa baka jenis jantina lelaki atau jenis perempuan.

Begitulah keadaannya kemudian pasangan suami isteri khususnya isteri dinasihati, bagi yang menginginkan bayi laki-laki agar mengambil ubat-ubatan yang dapat mewujudkan keadaan beralkali, misalnya diet  yang mempunyai kandungan garam yang tinggi, daging yang ditambah garam (atau ikan masin), mengurangkan pengambilan susu dan produk-produk tenusu, memperbanyakkan lada (rempah-rempah), memakan buah-buahan dan mengambil ubat-ubatan (dan makanan) yang banyak mengandung kalium (potasium) atau ubat-ubatan yang membantu bagi mewujudkan keadaan beralkali  di dalam tubuh isteri.

Manakala jika pasangan itu menginginkan bayi perempuan, maka pasangan itu dinasihati agar  banyak mengambil ubat-ubatan dan makanan yang membantu terbentuknya keadaan berasid di dalam tubuh isteri. Contohnya meminum susu dan produk tenusu, mengurangkan pengambilan garam, menjauhi makanan berdaging khususnya daging masin, mengelakkan pengambilan buah-buahan, bawang, lada dan rempah-rempah, mengambil ubat yang mengandungi kalsium dan sebagainya. Begitulah juga memfokuskan pada pengambilan ubat-ubatan atau makanan yang membantu terbentuknya keadaan berasid di dalam tubuh.

• Kemudian mereka melihat pula kepada cara yang lain, di mana mereka menemui bahawa jika wanita terlebih dahulu mengalami proses pengovulan (penghasilan sel telur) sebelum lelaki mengeluarkan sperma, iaitu sperma datang setelah adanya sel telur, lalu terjadi persenyawaan, maka peluang lahirnya bayi laki-laki adalah lebih besar. Jika sperma masuk ke dalam rahim sebelum proses pengovulan, iaitu sel telur datang setelah sperma ada (di dalam rahim) maka persenyawaan yang terjadi lebih besar peluangnya untuk melahirkan anak perempuan. Misalnya, jika hubungan seksual terus dilakukan setelah terjadinya proses pengovulan maka peluang untuk melahirkan anak laki-laki adalah lebih besar. Ini bermakna jika hubungan seksual dilakukan sewaktu sel telur sudah ada (ketika hari terjadinya pengovulan di mana penghasilan sel telur dari ovari) maka peluang melahirkan anak laki-laki lebih besar. Sebaliknya jika hubungan seksual dilakukan sebelum proses pengovulan maka peluang untuk lahirnya perempuan jauh lebih besar. Pada hari-hari yang tidak dikehendaki jenis jantina janin (sama ada lelaki ataupun perempuan) maka dilakukan ‘azl (coitus interuptus), manakala tidak dilakukan ‘azl pada fasa di mana jenis kelamin janin yang dikehendaki lebih besar peluangnya.

Dengan demikian, ‘azl menjadi cara untuk mendapatkan jenis kelamin tertentu bagi janin.

Untuk itu perlu dipantau waktu pengovulan isteri dan  mengelakkan hubungan badan sebelum proses pengovulan jika yang diinginkan lahir adalah bayi lelaki sehinggalah sel telur datang sebelum keberadaan sperma di dalam rahim. Maka dalam fasa sebelum proses pengovulan itu dilakukan ‘azl (coitus interuptus). Ketika saat terjadinya pengovulan, suami bersegera menyetubuhi isterinya sehingga sperma datang sewaktu sel telur sudah ada di dalam rahim.

Sebaliknya jika yang dikehendaki adalah kelahiran bayi perempuan, maka suami hendaklah tidak menyetubuhi isterinya selepas proses pengovulan. Ini bermakna pada fasa setelah berlakunya proses pengovulan, perlulah dilakukan ‘azl (coitus interuptus). Sebaliknya suami hendaklah menyetubuhi isterinya tidak lama sebelum terjadi proses pengovulan. Jika tidak, ia menyetubuhi isteri terlalu awal iaitu sebelum proses pengovulan dengan jangka waktu tertentu, maka sel sperma akan mati sebelum terjadinya persenyawaan dengan sel telur.
Barangkali teknik yang terakhir inilah yang ditunjukkan oleh as-Sunnah. Rasulullah sallallahu ’alaihi wassalam bersabda di dalam hadis yang dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari:
 

« وَأَمَّا الْوَلَدُ فَإِذَا سَبَقَ مَاءُ الرَّجُلِ مَاءَ الْمَرْأَةِ نَزَعَ الْوَلَدَ وَإِذَا سَبَقَ مَاءُ الْمَرْأَةِ مَاءَ الرَّجُلِ نَزَعَتْ الْوَلَدَ »
Adapun anak laki-laki, jika air (sperma) lelaki (suami) mendahului air (sel telur) wanita (isteri) maka anak laki-laki yang tanggal, dan jika air (sel telur) wanita (isteri) mendahului air (sperma) pria (suami) maka anak perempuan yang tanggal.

Hadis tersebut dijelaskan oleh hadis yang dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahîhnya daripada jalur Tsawban maula Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam bahawa salah seorang pembesar Yahudi bertanya kepada Rasul sallallahu ‘alaihi wassalam, dan Rasul menjawabnya dalam hadis yang panjang, sampaikan orang Yahudi itu berkata: “aku datang kepadamu menanyakan tentang anak laki-laki”. Maka Rasul sallallahu ‘alaihi wassalam menjawab:
 

« فإذا اجتمعا، “أي ماء الرجل وماء المرأة”، فَعَلاَ مَنِيُّ الرَّجُلِ مَنِيَّ الْمَرْأَةِ أَذْكَرَا بِإِذْنِ اللَّهِ وَإِذَا عَلاَ مَنِيُّ الْمَرْأَةِ مَنِيَّ الرَّجُلِ آنَثَا بِإِذْنِ اللَّهِ »
Jika keduanya bertemu (iaitu air mani lelaki (sperma) dan air mani wanita (ovum)) maka jika sperma lelaki menindih air mani wanita, maka dengan izin Allah jadilah laki-laki. Dan jika air mani wanita menindih air mani lelaki, maka dengan izin Allah jadilah perempuan.

Tabiatnya jika air mani lelaki menindih air mani wanita, ertinya air mani lelaki (sperma) datang di atas air mani wanita (sel telur). Air mani lelaki (sperma) tidak akan berada di atas air mani wanita (sel telur) kecuali sel telur itu ada terlebih dahulu. Dalam keadaan ini dengan izin Allah peluang lahirnya bayi laki-laki adalah lebih besar. Sebaliknya jika sel telur di atas sel sperma, iaitu sel telur datang setelah sel sperma ada di dalam rahim, maka pada keadaan ini peluang lahirnya anak perempuan lebih besar, dengan izin Allah.

• Kemudian mereka sampai kepada kaedah saintifik yang mereka katakan jauh lebih moden, iaitu seperti yang mereka katakan sebagai ’kaedah menyuntik sperma terpilih’. Kaedah ini memerlukan kita melakukan beberapa prosedur terhadap sel sperma untuk memisahkan kromosom X dari kromosom Y di dalam tabung uji (secara in vitro), iaitu dilakukan pemisahan di luar tubuh dengan jalan yang bermacam-macam. Metod ini memerlukan penggunaan teknik dan teknologi moden .

Idea ini menurut para ilmuwan, mereka menemui bahawa  kromosom sperma adalah terdiri daripada X atau Y. Kromosom Y adalah bahagian laki-laki dan kromosom X adalah bahagian perempuan. Mereka menemui bahawa kromosom sel telur adalah XX iaitu kedua-dua bahagiannya adalah perempuan. Mereka juga menemui bahawa jika bahagian Y dari sperma yang mempersenyawa (bercantum dengan)  sel telur, maka akan terhasil XY iaitu janin laki-laki. Dan jika bahagian perempuan iaitu kromosom X yang mempersenyawa (bercantum dengan) sel telur, maka akan terhasil XX iaitu janin perempuan. Atas dasar itu, mereka melakukan eksperimen untuk memisahkan bahagian sperma pembawa kromosom laki-laki (kromosom Y) daripada sperma pembawa kromosom perempuan (kromosom X). Kemudian dilakukan persenyawaan sel telur (ovum) di dalam tabung uji dengan bahagian sperma pembawa kromosom laki-laki (kromosom Y) jika yang diinginkan adalah janin laki-laki, dan dengan bahagian sperma pembawa kromosom perempuan (kromosom X) jika yang diinginkan adalah janin perempuan.

Juga terdapat metod lain yang serupa meskipun dengan sedikit perbezaan. Metod ini adalah, setelah sel telur disenyawakan di dalam tabung uji, lalu ia akan diperiksa. Embrio yang mengandungi kromosom XX akan menjadi janin perempuan, dan yang mengandungi kromosom XY akan menjadi janin laki-laki. Sesiapa yang menginginkan janin laki-laki, maka ke dalam rahimnya akan ditempelkan embrio dengan kromosom XY. Sebaliknya sesiapa yang menginginkan janin perempuan, maka ke dalam rahimnya akan ditempelkan embrio yang mengandungi kromosom XX. Kedua-dua metod ini sama dari sudut matlamatnya.  Perbezaannya, bagi metod yang pertama, dilakukan pemeriksaan sel sperma sebelum dilakukan persenyawaan, dan dipisahkan bahagian laki-laki dari bahagian perempuan. Sementera pada metod kedua pula, dilakukan pemeriksaan terhadap embrio, dan berikutnya dilakukan pemisahan embrio laki-laki dari embrio perempuan.

Inilah secara umum antara usaha manusia untuk memilih jenis-jenis kelamin anak, sejak dahulu sehinggalah ke zaman kita di saat ini.

Setelah mengetahui fakta-fakta tersebut, iaitu melakukan tahqiq manath, menjadi jelas hukum syara’nya sepertimana berikut:

a. Pembunuhan anak yang tidak dikehendaki (seperti yang berlaku di zaman Arab Jahiliyyah) hukumnya adalah haram, kerana itu adalah pembunuhan ke atas satu jiwa secara sengaja. Balasannya di akhirat adalah neraka jahanam yang kekal.
 

}وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا{
Dan barangsiapa yang membunuh seorang mu’min dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutuknya serta menyediakan azab yang besar baginya. (TMQ an-Nisâ’ [4]- 93)

Hukumannya di dunia adalah qisas iaitu dihukum bunuh jika wali kepada mangsa korban tidak memaafkannya atau dikenakan diyat jika dimaafkan.

b. Manakala pembunuhan janin yang ada di dalam perut ibunya ketika orang tuanya (sama ada suami dan/atau isteri) mengetahuinya dan tidak dia kehendaki (anak tersebut), misalnya ternyata janin di dalam kandungannya berjantina perempuan sedangkan orang tuanya menginginkan anak laki-laki, maka pembunuhan janin tersebut juga haram. Di dalamnya terdapat hukuman. Imam Bukhari dan Muslim telah mengeluarkan hadis daripada jalur Abu Hurairah ra., dari lafaz menurut Bukhari, Abu Hurairah berkata:
 

:«اقْتَتَلَتْ امْرَأَتَانِ مِنْ هُذَيْلٍ فَرَمَتْ إِحْدَاهُمَا الْأُخْرَى بِحَجَرٍ فَقَتَلَتْهَا وَمَا فِي بَطْنِهَا فَاخْتَصَمُوا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ دِيَةَ جَنِينِهَا غُرَّةٌ عَبْدٌ أَوْ وَلِيدَةٌ…»
Dua orang wanita dari Hudzail berkelahi lalu salah satunya melempar yang lain dengan batu sehingga membunuhnya beserta janin yang dikandungnya, lalu mereka mengajukan persengketaan itu kepada Rasuluah sallallahu ’alaihi wassalam, maka baginda memutuskan bahawa diyat janinnya adalah membebaskan seorang hamba sahaya laki-laki atau perempuan.

c. Melakukan ‘azl (coitus interuptus) sama ada dengan cara tidak melakukan hubungan seksual antara suami isteri untuk sementara waktu pada hari-hari tertentu, atau melakukan hubungan tetapi ejakulasi dilakukan di luar (faraj/rahim) dalam hari-hari tertentu. Begitu juga mengambil ubat-ubatan tertentu, atau mencuci vagina dengan sabun, beralkali atau berasid, semua itu adalah boleh (mubah) dan tidak ada masalah sedikitpun di dalam mengamalkannya.

Berkenaan ’azl (coitus interuptus), di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, daripada jalur Abu Sa’id al-Khudzri, ia berkata: “… maka kami ingin melakukan ‘azl, dan kami katakan: ‘kami melakukan ‘azl sebelum kami menanyakannya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam, sedangkan baginda sallallahu ‘alaihi wassalam berada di kalangan kami? Maka kami pun bertanya tentang hal itu kepada baginda, lalu baginda bersabda:
 

«… مَا عَلَيْكُمْ أَنْ لَا تَفْعَلُوا مَا مِنْ نَسَمَةٍ كَائِنَةٍ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلَّا وَهِيَ كَائِنَةٌ»
“tidak ada yang mengharuskan kalian untuk tidak melakukannya, tidak ada satu benih makhluk hidup sehingga Hari Kiamat (yang telah ditakdirkan hidup) kecuali ia akan menjadi makhluk hidup”.

Imam Muslim juga meriwayatkan hadis yang mirip dengan hadis di atas. Dan berdasarkan hadis-hadis ini, amalan ‘azl (coitus interuptus) adalah dibolehkan.

Manakala pengambilan ubat atau makanan tertentu dan mencuci vagina, maka semua itu adalah dibolehkan di dalam Islam dan ia dirangkumi oleh dalil-dalil yang ada dari sudut kebolehan/kebenaran bagi kita untuk makan, minum dan mencuci anggota badan.

d. Pemisahan bahagian sperma pembawa baka jenis jantina lelaki dari bahagian sperma pembawa baka jenis jantina perempuan kemudian dilakukan persenyawaan sel telur dengan bahagian sperma pembawa baka jenis jantina lelaki jika mereka menghendaki anak laki-laki, dan dengan bahagian sperma pembawa baka jenis jantina perempuan jika yang mereka inginkan adalah anak perempuan; atau pemisahan embrio laki-laki dari embrio perempuan dan menempelkan ke dinding rahim embrio yang dikehendaki, maka aktiviti sebegini tidak dibolehkan kerana itu bukan merupakan pengubatan. Ia bukan pengubatan atau penyelesaian bagi kehamilan seseorang wanita yang sukar hamil kemudian dirawat supaya dia dapat hamil. Dengan kata lain, perkara ini bukan merupakan penyelesaian/rawatan bagi keadaan tidak wujudnya kemungkinan persenyawaan sel telur isteri dengan sel sperma suami secara semulajadi, sehingga memilih untuk dilakukan pembenihan di dalam tabung uji (in vitro fertilization). Akan tetapi aktiviti tersebut merupakan masalah lain yang berkaitan dengan pemisahan bahagian sperma jantan dari sperma betina atau pemisahan embrio laki-laki dari embrio perempuan. Hal itu bukanlah penyelesaian bagi kehamilan seseorang wanita yang tidak boleh hamil secara semulajadi. Maksudnya aktiviti tersebut bukan merupakan ubat/pengubatan bagi penyakit yang sukar hamil.

Hal itu pula tidak mungkin dilakukan kecuali dengan menyingkap aurat kerana pengambilan sel telur dan penempelan ke dinding rahim perlu disingkapkan aurat wanita, walhal menyingkap aurat adalah haram. Keharaman itu tidak boleh dilakukan kecuali di dalam rawatan perubatan. Selama mana hal itu bukan rawatan perubatan, maka dengan menyingkap aurat itu tidak boleh dilakukan.

Sebagai penutup, harus disebutkan salah satu masalah penting iaitu masalah yang berkaitan dengan akidah yang menentukan keislaman seseorang. Hakikat ini, iaitu semua aktiviti ini (yang disebutkan di atas) tidak bermakna bahawa manusia itu boleh mencipta. Akan tetapi, semua aktiviti ini hanyalah mengkaji potensi-potensi dan sifat-sifat yang telah diciptakan oleh Allah swt dalam bentuk potensi (mendapat) jenis kelamin laki-laki dan perempuan, tatacara persenyawaan, kemudian dianalisa sama ada boleh dilakukan eksperimen terhadap apa yang diamati, lalu digunakan cara pengambilan ubat atau makanan tertentu. Diwujudkan keadaan tertentu dan pemisahan jenis jantina laki-laki dari yang perempuan, dilakukan pembenihan dan dikembalikan ke dalam rahim dan seterusnya. Semua itu tidak menghasilkan makhluk hidup, akan tetapi tetap memerlukan kekuasaan Sang Pencipta swt untuk menghasilkan makhluk. Maka jika Allah mentakdirkannya menjadi makhluk hidup, nescaya akan hidup. Dan sebaliknya jika Allah mentakdirkan mati maka pasti akan mati. Dan jika Allah mentakdirkan tidak terbentuk makhluk, nescaya tidak akan wujud, biar bagaimanapun eksperimen itu dilakukan.

Jadi sesuatu yang Allah swt telah tetapkan keputusan untuk menciptakannya, maka sesuatu itu akan wujud, dan apa yang Allah telah putuskan untuk tidak menciptakannya, maka ia tidak akan wujud.

Masalah ini, iaitu bahawa hanya Allah semata-mata yang menciptakan dan bahawa hanya Dia swt sahaja yang menciptakan laki-laki dan perempuan telah dinyatakan dengan dalil-dalil yang qat’ie, baik secara tsubut mahupun dilalah. Antaranya:
 

]ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ فَاعْبُدُوهُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ[
(Yang memiliki sifat-sifat yang) demikian itu ialah Allah, Tuhan kamu; tidak ada Tuhan melainkan Dia. Pencipta segala sesuatu, maka sembahlah Dia. Dan Dia adalah Pemelihara segala sesuatu.(TMQ al-An’am [6]: 102)
 
] إِنَّ رَبَّكَ هُوَ الْخَلَّاقُ الْعَلِيمُ[
Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui. (TMQ al-Hijr [15]: 86)
 
] أَفَمَنْ يَخْلُقُ كَمَنْ لَا يَخْلُقُ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ[
Maka adakah (Allah) yang menciptakan itu sama dengan yang tidak dapat menciptakan (apa-apa)? Maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran. (TMQ an-Nahl [16]: 17)
 
] هَذَا خَلْقُ اللَّهِ فَأَرُونِي مَاذَا خَلَقَ الَّذِينَ مِنْ دُونِهِ بَلِ الظَّالِمُونَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ[

Inilah ciptaan Allah, maka perlihatkanlah olehmu kepadaku apa yang telah diciptakan oleh sembahan-sembahan(mu) selain Allah, sebenarnya orang-orang yang zalim itu berada di dalam kesesatan yang nyata.
(TMQ Luqman [31]: 11)
 
] يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ لَنْ يَخْلُقُوا ذُبَابًا وَلَوِ اجْتَمَعُوا لَهُ وَإِنْ يَسْلُبْهُمُ الذُّبَابُ شَيْئًا لَا يَسْتَنْقِذُوهُ مِنْهُ ضَعُفَ الطَّالِبُ وَالْمَطْلُوبُ[
Wahai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah (selain Allah itu). (TMQ al-Hajj [22]: 73)

] يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِنَ الْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ تُرَابٍ * ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِنْ مُضْغَةٍ مُخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِنُبَيِّنَ لَكُمْ وَنُقِرُّ فِي الْأَرْحَامِ مَا نَشَاءُ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ وَمِنْكُمْ مَنْ يُتَوَفَّى وَمِنْكُمْ مَنْ يُرَدُّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْلَا يَعْلَمَ مِنْ بَعْدِ عِلْمٍ شَيْئًا وَتَرَى الْأَرْضَ هَامِدَةً فَإِذَا أَنْزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ اهْتَزَّتْ وَرَبَتْ وَأَنْبَتَتْ مِنْ كُلِّ زَوْجٍ بَهِيجٍ[
Wahai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitis mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim apa yang Kami kehendaki sehingga waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan beransur-ansur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (ada pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai tua, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan pelbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah. (TMQ al-Hajj [22]: 5)

] وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ مِنْ سُلَالَةٍ مِنْ طِينٍ * ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَكِينٍ * ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنْشَأْنَاهُ خَلْقًا آَخَرَ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ[

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik.
(TMQ al-Mu’minûn [23]: 12-14)
 

] لِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ يَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ الذُّكُورَ * أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا وَيَجْعَلُ مَنْ يَشَاءُ عَقِيمًا إِنَّهُ عَلِيمٌ قَدِيرٌ[
Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki, Dia memberikan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan memberikan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki (TMQ asy-Syûrâ [42]: 49)
 
] يَا أَيُّهَا الْإِنْسَانُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ الْكَرِيمِ * الَّذِي خَلَقَكَ فَسَوَّاكَ فَعَدَلَكَ * فِي أَيِّ صُورَةٍ مَا شَاءَ رَكَّبَكَ[

Wahai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (membuat derhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah? Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh)mu seimbang, dalam bentuk apa sahaja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu.
(TMQ al-Infithâr [82]: 6-8)
 
] هُوَ الَّذِي يُصَوِّرُكُمْ فِي الْأَرْحَامِ كَيْفَ يَشَاءُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ[.
Dialah yang membentuk kamu dalam rahim sebagaimana dikehendakiNya. Tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (TMQ Ali Imran [3]: 6)

Oleh kerana itu, hal ini harus difahami sebaik-baiknya sehingga seseorang Muslim tidak akan menyimpang dan tersesat, dan hanya kepada Allahlah kita memohon perlindungan.

Allah swt telah menyimpan berbagai-bagai pengetahuan di alam ini dan mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. Allah swt menjadikan potensi akal, kemampuan berfikir dan pemikiran agar orang-orang yang beriman semakin bertambah keimanannya dan agar orang-orang yang kafir tersungkur di atas wajah-wajah mereka sebagai kehinaan di dunia dan mendapat seksaan yang pedih di akhirat.

Dan akhir dari seruan kami, segala puja dan puji hanyalah milik Allah, Rabb semesta alam.

18 Jumadust tsaniyah 1430 H
11 Jun 2009