Soal Jawab: Kejadian di Syria dan Kejatuhan Rejim Asad
بسم الله الرحمن الرحيم
Soal Jawab
Kejadian di Syria dan Kejatuhan Rejim Asad
[Terjemahan]
Soalan:
Pada 8/12/2024 Ash-Sharq Al-Awsat melaporkan, “Rejim Asad telah tumbang: Pembangkang Syria telah mengumumkan pada hari ini, Ahad, yang mereka telah membebaskan Damsyik dan menggulingkan Presiden Bashar al-Asad yang memerintah selama 24 tahun. Kenyataan pembangkang, yang disiarkan di saluran televisyen resmi menyebut: “Alhamdulillah Kota Damsyik telah dibebaskan, dan diktator Bashar al-Asad telah digulingkan.” Pembangkang juga menyatakan bahawa semua tahanan telah dibebaskan.”
Serangan oleh هيئة تحرير الشام (Hay’at Tahrir ash-Sham – HTS) dimulakan di utara Syria pada 27/11/2024 dengan slogan “ردع العدوان” (“Mencegah Pencerobohan” / “Deterrence of Aggression”) yang diikuti oleh serangan الجيش الوطني السوري (Tentera Kebangsaan Syria / Syrian National Army) dengan slogan “فجر الحرية” (“Fajar Kebebasan” / “Dawn of Freedom”) pada 30/11/2024…Mereka berjaya menguasai Aleppo dan menyelesaikan penguasaan seluruh wilayah Idlib, kemudian Hama, Homs…dan hari ini Damsyik…Semua ini berlaku dalam tempoh sekitar sepuluh hari…Apakah sebenarnya yang sedang berlaku di Syria? Terima kasih.
Jawapan:
Untuk memahami perkara ini dengan lebih jelas, beberapa fakta berikut perlu diberi perhatian:
PERTAMA: Kumpulan yang memulakan serangan: Menurut BBC pada 28/11/2024, pihak yang terlibat dalam serangan ini adalah “غرفة عمليات الفتح المبين” (Bilik Gerakan al-Fath al-Mubin / Al-Fath Al-Mubin Operation Room ), yang dipimpin oleh HTS, dan termasuk الجبهة الوطنية للتحرير (Front Pembebasan Kebangsaan / National Liberation Front ) yang didukung oleh Turki serta جماعة جيش العزة (Kumpulan Tentera al-Izzah / Al-Izzah Army Group)…juga termasuk الجيش الوطني السوري (Tentera Kebangsaan Syria / Syrian National Army), yang merupakan gabungan kumpulan-kumpulan pembangkang yang didukung oleh Turki, dan tidak terlibat dengan Bilik Gerakan al-Fath al-Mubin…Oleh itu, kebanyakan kumpulan yang terlibat dalam serangan ini adalah kumpulan yang terkait dengan Turki dan setia kepada Turki, kerana Tentera Kebangsaan Syria adalah hasil ciptaan Turki, manakala HTS pula berada di bawah pengawasan Turki; dan hubungan antara organisasi-organisasi tersebut dengan Turki sangat ketara bagi siapa pun yang memerhati.
KEDUA: Pergerakan ini pada awalnya tampak seperti memberi satu mesej pengajaran kepada Bashar disebabkan Bashar tidak mengendahkan permintaan Erdogan, kerana Erdogan sebelumnya telah meminta Presiden Rusia Vladimir Putin untuk:
[“mempercepatkan perbincangan normalisasi antara Ankara dan Damsyik dan supaya Bashar menerima undangannya untuk bertemu”…(Reuters, 25/10/2024)].
Bashar tidak mengendahkan dan sebaliknya meminta penarikan pasukan Turki dari Syria serta meletakkan pelbagai syarat dalam rangka melengah-lengahkan waktu. Perantara Rusia, Lavrov mengesahkan hal ini dan memaklumkan kepada akhbar Turki, Hurriyet pada 1/11/2024, yang Bashar menuntut penarikan pasukan Turki dan menurutnya: “..halangan utama ialah kehadiran tentera Turki di utara Syria”. Hal ini membuat Erdogan marah dan memberikan lampu hijau kepada HTS dan Tentera Kebangsaan Syria untuk bertindak:
[“menurut sumber-sumber pembangkang yang ada hubungan dengan perisikan Turki, Ankara telah memberi lampu hijau untuk serangan ini” (AFP; Deutsche Welle, 30/11/2024)].
KETIGA: Meski pun pada awalnya serangan ini bertujuan untuk membebaskan zon-zon reda ketegangan (de-escalation zones) di sekitar Idlib, akibat penolakan Bashar terhadap tawaran Turki untuk berunding secara penyelesaian politik antara dia (Bashar) dan pihak pembangkang, namun gelombang besar rakyat yang telah lama menderita akibat kezaliman Bashar telah memanfaatkan peluang ini untuk bangkit dan bergerak di pelbagai front. Mereka tidak berhenti hanya di zon-zon reda ketegangan, melainkan terus mara ke kawasan-kawasan lain di Syria…Oleh kerana tentera Syria juga turut menderita dengan kezaliman Bashar, dan mereka tidak mempunyai keyakinan lagi untuk mempertahankan rejimnya, ini menyebabkan mereka berundur…Oleh itu, gelombang rakyat bergerak ke Aleppo, Hama, Homs dan akhirnya ke Damsyik, yang semua ini berlaku dalam masa sepuluh hari sejak bermulanya pergerakan pada 27/11/2024.
KEEMPAT: Sikap pihak serantau dan antarabangsa
1. Iran dan Rusia: Kedua-dua negara ini terkejut dengan apa yang berlaku, dan Rusia terus meningkatkan keselamatan di pangkalan udara Hmeimim serta pelabuhan Tartus. Kedua-dua negara juga mengadakan perbincangan sesama mereka:
[“Menteri Luar Iran, Aragchi, berbincang dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Lavrov mengenai perkembangan di Syria”…(Anadolu, 30/11/2024)].
Rentetan dari serangan ini, Iran mengambil langkah diplomatik untuk menghentikannya dan cuba menyelesaikan masalah dengan Turki. Menteri Luar Iran, Abbas Aragchi, tiba di Ankara pada 2/12/2024 dan bertemu dengan rakan sejawatnya dari Turki, Hakan Fidan. Fidan kemudian berbincang dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, dan berkata:
[“Proses politik antara rejim dan pembangkang perlu menuju kepada hasil yang positif untuk kedamaian dan keamanan di Syria”…(Anadolu, 1/12/2024)].
2. Turki: Turki pada awalnya menginginkan penyelesaian politik melalui rundingan damai dengan Bashar, seperti yang diinginkan oleh Amerika Syarikat. Namun, Bashar mengira bahawa dia boleh mendapat kelebihan (advantage) dengan menunda-nunda waktu. Sebab itulah dia melengah-lengahkan jawapannya terhadap tawaran Erdogan, dengan anggapan bahawa itu tidak akan menimbulkan kemarahan Amerika Syarikat. Nampaknya Erdogan benar-benar marah dengan kelengahan ini, lalu Erdogan mendapat persetujuan Amerika untuk memberi pengajaran kepada Bashar, supaya penyelesaian politik ini berlaku dalam suasana pertempuran, agar tampak “kemenangan” Erdogan ke atas Bashar…Oleh itu, Erdogan menekan kumpulan-kumpulan pembangkang untuk melakukan serangan, mendukung mereka dengan persenjataan dan maklumat perisikan yang diperlukan:
(a) Pada 25/10/2024, selepas bertemu Putin di sidang kemuncak BRICS di Kazan, Erdogan memberitahu wartawan bahawa:
[“Saya telah meminta Presiden Rusia, Putin untuk berusaha mempercepatkan perbincangan normalisasi antara Ankara dan Damsyik, dan untuk Bashar menerima undangan untuk bertemu yang telah dihantar kepadanya”…(Reuters 25/10/25)].
(b) Perantara Rusia menjawab kepada Erdogan beberapa kali bahawa terdapat syarat-syarat yang ditetapkan oleh Bashar al-Assad untuk bertemu dan menormalisasi hubungan, termasuk syaratnya ialah penarikan tentera Turki dari Syria. Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov mengesahkan kepada akhbar Hurriyet dari Turki pada 1/11/2024 bahawa, “Kedua-dua Turki dan Syria menunjukkan minat yang serius untuk menyambung semula dialog bagi menormalisasi hubungan, dan halangan utama untuk itu adalah kehadiran tentera Turki di utara Syria.” Ini menunjukkan sikap keras kepala Bashar yang cuba memanfaatkan posisi Erdogan yang semakin melemah dalam usaha menormalisasi hubungan, serta percubaan Bashar untuk memanfaatkan sokongan negara-negara Arab terhadapnya, dengan menganggap bahawa Amerika masih memerlukannya, memandangkan Amerika belum menemui penggantinya!
(c) Apabila rejim Turki telah berputus asa dengan solusi rundingan dengan Bashar dalam keadaan seperti ini, Turki kemudian mendapat lampu hijau dari Amerika untuk solusi rundingan dijalankan dengan memulakan tekanan dari segi ketenteraan ke atas Bashar. Erdogan lalu menggerakkan kumpulan bersenjata bermula pada 27/11/2024. Ini terbukti dengan fakta bahawa rejim Turki-lah yang telah membenarkan serangan tersebut dalam rangka memberi tekanan kepada rejim Bashar atau dengan kata lain, serangan itu dilakukan hasil lampu hijau dari Turki:
[“Sumber-sumber dari pihak pembangkang yang ada hubungan perisikan dengan Turki melaporkan bahawa Ankara telah memberikan lampu hijau untuk serangan tersebut” (Deutsche Welle, 30/11/2024)];
Ini dilakukan untuk memaksa Bashar duduk bersama Erdogan, menormalisasi hubungan dengan Turki, dan berdamai dengan pembangkang…diikuti dengan penyelesaian politik berdasarkan spesifikasi Amerika! Itu adalah “fasa baru” untuk Syria, seperti yang dikatakan oleh Erdogan dalam perbualan telefonnya dengan Setiausaha Agung PBB, Guterres:
[“Presiden Turki, Erdogan, pada hari Khamis, menekankan bahawa Syria sedang memasuki fasa baru yang sedang diuruskan dengan tenang”…(Arabi21, 5/12/2024)].
3. Amerika Syarikat: Amerika tidak terkejut pun dengan serangan dari pembangkang Syria. Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan berkata:
[“Kami tidak terkejut dengan pembangkang bersenjata Syria yang cuba mengambil peluang terhadap situasi baru” (Al-Jazeera Net, 1/12/2024)].
Amerika tidak menunjukkan kebimbangan, seperti yang dilaporkan oleh Al-Jazeera pada 1/12/2024, yang memetik kenyataan dari Rumah Putih:
[“Kami memantau dari dekat keadaan di Syria dan telah berhubung dengan ibu kota negara serantau dalam tempoh 48 jam yang lalu…”]
[“Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby berkata, “Amerika Syarikat bersama dengan rakan-rakan dan sekutunya, mendesak untuk pengurangan ketegangan, perlindungan terhadap orang awam dan kumpulan minoriti, serta permulaan proses politik yang serius dan boleh dipercayai, yang boleh mengakhiri perang saudara ini secara sekali gus dan selama-lamanya (once and for all), melalui penyelesaian politik yang selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan 2254″ (RT, 1/12/2024)]…
Al-Jazeera melaporkan di laman sesawangnya pada 2/12/2024 bahawa:
[“Kementerian Luar AS mengeluarkan kenyataan yang berbunyi, ‘Ketegangan yang sedang berlaku menegaskan keperluan mendesak untuk penyelesaian secara politik yang dipimpin oleh Syria terhadap konflik ini, selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2254’]
yang merujuk kepada resolusi PBB tahun 2015 yang meluluskan proses perdamaian di Syria, yang sehingga kini masih belum dilaksanakan. Resolusi itu memperuntukkan bahawa rundingan perdamaian di Syria hendaklah bermula pada bulan Januari 2016, dan menegaskan bahawa rakyat Syria sendirilah yang harus menentukan masa depan negara mereka. Resolusi tersebut turut menggesa pembentukan kerajaan peralihan dan pilihan raya di bawah pengawasan PBB, serta menuntut pemberhentian segera serangan ke atas orang awam…Al-Hurra menerbitkan di laman sesawangnya pada 4/12/2024:
[“Blinken menyatakan bahawa perkara yang paling penting buat masa ini ialah untuk meneruskan proses politik berasaskan Resolusi Majlis Keselamatan PBB, dalam usaha untuk menyelesaikan dan mengakhiri perang saudara di Syria”]…
Agensi Berita Khabar (وكالة خبر للأنباء / Khabar News Agensi) melaporkan di laman sesawangnya pada 7/12/2024:
[“Kementerian Luar Turki menyatakan: Kami memaklumkan kepada Blinken tentang keperluan kerajaan Syria untuk mengadakan dialog dengan pembangkang”]
4. Mengenai entiti Yahudi: Euronews Arabic melaporkan pada 30/11/2024:
[“Perdana Menteri ‘Israel’, Benjamin Netanyahu mengumumkan pada malam Selasa lalu bahawa dia bersetuju untuk melakukan gencatan senjata dengan Hizbullah. Dalam ucapannya, Netanyahu tidak lupa merujuk kepada Presiden Syria, Bashar al-Asad, dengan berkata, “Asad bermain dengan api.” Hanya beberapa jam selepas kata-katanya itu, kumpulan-kumpulan di Syria melancarkan serangan terkoordinasi ke atas tentera Asad di utara Syria, yang telah menimbulkan banyak persoalan. Netanyahu mengadakan mesyuarat khas keselamatan mengenai perkembangan di utara Syria, satu perkara yang jarang berlaku untuk perkara sebegini, menurut media Israel]..
Al Jazeera Net melaporkan pada 1/12/2024, dengan memetik akhbar Yedioth Ahronoth yang menyatakan:
[“Tentera ‘Israel’ menghalang sebuah pesawat Iran daripada mendarat di Syria kerana disyaki membawa senjata untuk Hizbullah di Lubnan”].
Nampaknya entiti Yahudi cuba menghalang Iran daripada kembali ke kawasan Syria dengan kekuatan tentera, atas alasan Iran membawa senjata untuk Hizbullah di Lubnan. Entiti Yahudi nampaknya tidak mahu adanya tumpuan tentera Iran atau parti Iran (Hizbullah) di Syria, dan seterusnya di Lubnan.
KELIMA: Berdasarkan apa yang telah dijelaskan di atas, kesimpulannya adalah seperti berikut:
1. Pihak yang mengawal permulaan serangan ke zon-zon reda ketegangan (de-escalation zones) di Syria adalah Turki, dengan Amerika di belakangnya.
2. Dari sini, apa yang kedua-dua negara itu (Turki dan Amerika) mahukan ialah [“memulakan proses politik yang serius”]..[“fasa baru”]..untuk mengatur rejim baru di Syria..Saya ulangi beberapa kenyataan dari pegawai Amerika dan Turki dalam hal ini:
[“Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby berkata, ‘Amerika Syarikat bersama dengan rakan-rakan dan sekutunya, mendesak untuk pengurangan ketegangan, perlindungan terhadap orang awam dan kumpulan minoriti, serta permulaan proses politik yang serius dan boleh dipercayai, yang boleh mengakhiri perang saudara ini secara sekali gus dan selama-lamanya (once and for all), melalui penyelesaian politik yang selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan 2254’” (RT21, 1/12/2024)]..
[“Presiden Turki, Erdogan, pada hari Khamis, menekankan bahawa Syria sedang memasuki fasa baru yang sedang diuruskan dengan tenang”…(Arabi21, 5/12/2024)].
3. Walaupun mereka tidak menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan penyelesaian politik sebagai akibat daripada serangan ini akan menghala ke mana, tetapi realiti pelbagai kuasa yang berperang di medan menunjukkan bahawa apa yang telah disusun oleh Amerika dan sekutunya ialah kewujudan sebuah rejim Syria yang berbilang puak antara kuasa-kuasa tersebut, menggantikan rejim diktator yang telah tumbang, dengan wilayah-wilayah yang mempunyai autonomi seperti wilayah Kurdistan di Iraq…
4. Amerika Syarikat, yang mengawal penyelesaian ini, akan memastikan yang kepentingan Yahudi akan terjamin, sebagaimana yang telah dijamin oleh Amerika dalam perjanjian gencatan senjata antara Yahudi dan Lubnan pada awal pagi 27/11/2024, pada hari yang sama serangan tentera bermula di Syria, yang seterusnya mencegah Iran daripada kembali dengan kekuatan tentera ke dalam arena Syria untuk menyokong partinya di Lubnan – di sinilah terjaminnya kepentingan Yahudi oleh Amerika – iaitu dengan memutuskan hubungan ketenteraan darat antara Iran dan partinya di Lubnan.
Inilah perkara-perkara yang ditunjukkan oleh kenyataan-kenyataan pegawai Amerika dan Turki mengenai pelancaran serangan di Syria.
KEENAM: Akhir sekali, apa yang telah berlaku dan sedang berlaku di Syria pada hari ini, dari darah-darah yang tumpah, rumah-rumah yang musnah, dan keluarga-keluarga yang terpaksa menjadi pelarian, adalah satu hal yang amat menyakitkan, lebih-lebih lagi kerana ‘penyelesaian’ dan ‘fasa baru’ yang dicari tidak jauh berbeza daripada sistem sekular yang wujud di negeri-negeri kaum Muslimin sejak penjajah dan agen-agen mereka berjaya menghapuskan sistem pemerintahan Islam (Khilafah) seratus tahun yang lalu…Sejak itu, bangsa-bangsa menyerbu kita seperti pemangsa yang menyerbu mangsanya…Namun, di sebalik semua ini, umat ini akan kembali mulia seperti dahulu, dan Khilafah ala Minhaj Nubuwwah akan kembali tegak dengan izin Allah…
Namun demikian, Sunnatullah menghendaki bahawa malaikat tidak akan turun dari langit untuk mendirikan Khilafah untuk kita sementara kita hanya berdiam diri; sebaliknya Khilafah akan berdiri melalui tangan-tangan orang yang beriman kepada Tuhan mereka, yang Allah (swt) menambahkan petunjuk untuk mereka…Sesungguhnya kita tidak kekurangan orang-orang seperti itu, sama ada di dalam pasukan tentera, atau di pihak pembangkang, biar pun jumlah mereka sedikit. Lebih-lebih lagi apabila kita mengikuti perkembangan yang telah berlangsung sejak sepuluh hari lepas, kita melihat bahawa penentangan terhadap rejim bukan hanya datang dari mereka yang memulakan pertembungan dengan rejim sebagai penyokong Turki yang mana di belakangnya ialah Amerika, demi meraih perubahan yang sekular, yang bertukar dari satu bahu ke bahu yang lain…
Tetapi banyak pihak lain yang turut menyertai penentangan, iaitu mereka yang telah lama menderita di bawah kekejaman rejim dan ingin merealisasikan kehendak rakyat Syria yang beragama Islam…Kepada mereka, kami menyeru: Usahakan sebaik mungkin untuk menggagalkan penyelesaian politik sekular yang korup yang diinginkan oleh penjajah kafir dan agen mereka. Jangan biarkan pengorbanan mereka yang telah berkorban, menjadi sia-sia! Dan dukunglah mereka yang berjuang untuk mendirikan pemerintahan Islam, al-Khilafah ar-Rasyidah, supaya mereka mendapat ganjaran yang besar dan kemenangan yang agung. Maka mereka akan menjadi antara orang-orang yang diberi khabar gembira:
﴿نَصْرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ ۗ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ﴾
“Pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman” [As-Saff (61): 13].
Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
Amir Hizbut Tahrir
6 Jumadil Akhir 1446 H
8 Disember 2024 M
https://hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer/political-questions/99175.html
https://hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/qestions/political-questions/26946.html