Soal Jawab: Hariri Pengikut Rejim Arab Saudi

Soalan : Hariri menarik balik perletakan jawatannya pada 5 Disember 2017. Hariri memberitahu bahawa kementerian setuju untuk “tidak campur tangan dalam isu-isu di luar Lubnan”. Berikutan tindakan Hariri, beberapa kekeliruan dan percanggahan dapat diperhatikan. Setelah beberapa tahun berlakunya “vakum kepresidenan” di Lubnan, Hariri bertemu dengan Aoun pada 20 Oktober 2016 dan Hariri mengiktiraf akan kepresidenan Aoun serta kerajaan pimpinannya, meskipun mengetahui Aoun dan Hizbullah berada dalam satu blok yang sama dan Hizbullahlah merupakan watak yang utama dalam menguasai Presiden. Pada 4 November 2017, Hariri mengumumkan perletakan jawatannya semasa berada di Arab Saudi dan melepaskan kemarahannya terhadap Hizbullah. Kemudian Hariri menarik balik perletakan jawatannya dan meneruskan khidmatnya dalam kerajaan bersama-sama dengan Hizbullah! Apakah penjelasan mengenai kekeliruan serta percanggahan ini? Apakah ada kemungkinan perkara ini akan mengurangkan pengaruh Iran serta partinya (Hizbullah) di Lubnan? Apakah anda menjangkakan tindakan agresif dari negara entiti Yahudi terhadap Lubnan atau terhadap Hizbullah, mengambil kira peluang yang ada pada ketika ini? Semoga Allah mengurniakan kebaikan pada diri anda.


Jawapan : Untuk menjelaskan jawapan ke atas kekeliruan ini, maka perlu dinyatakan realiti hubungan di antara keluarga Hariri dan Arab Saudi. Hariri merupakan pengikut setia Arab Saudi. Jika pemerintah Saudi setia kepada British, ia akan diterjemahkan pada diri Hariri, dalam tingkah lakunya, serta polisinya di Lubnan dan begitu juga sekiranya jika pemerintah Saudi merupakan seorang yang pro-Amerika, tingkah laku dan polisinya di Lubnan turut akan berkiblatkan Amerika. Berdasarkan situasi ini, kita dapat menyimpulkan seperti berikut:

1. Bekas presiden Lubnan sebelum ini iaitu Michel Suleiman yang penggal pemerintahannya telah berakhir pada Mei 2014, dan pada ketika itu pemerintah Arab Saudi ialah Raja Abdullah bin Abdul Aziz. Oleh sebab Raja Abdullah seorang yang setia kepada British dan kerana terdapat kesungguhan daripada Hizbullah untuk menjadikan Aoun sebagai presiden, serta diketahui umum bahawa Hizbullah dan Aoun didokong oleh Iran yang pro-Amerika, maka dengan itu Raja Abdullah tidak bersetuju untuk Aoun menjadi presiden Lubnan. Oleh sebab itu, Raja Abdullah mengarahkan Saad Hariri untuk menentang Aoun sebagai calon presiden. Di sini dapat diperhatikan polisi Saad Hariri terikat kepada polisi Arab Saudi. Sebagai contoh, polisi Raja Abdullah serta jawatan presiden di Lubnan mengalami situasi vakum selama hampir dua tahun setengah sejak berakhirnya penggal pemerintahan Michel Suleiman pada Mei 2014 sehingga tengah hari Isnin, 31 Oktober 2016 apabila Parlimen Lubnan bersidang dan pemilihan Aoun sebagai Presiden Republik Lubnan.

2. Apa yang membantu berlakunya perubahan ialah pertukaran pemerintah di Arab Saudi. Raja Abdullah telah meninggal pada 23 Januari 2015 dan diganti oleh adiknya, Salman. Sebagaimana yang diketahui umum, Salman seorang yang pro-Amerika. Raja baru ini memulakan pemerintahannya dengan mematahkan pendokong-pendokong yang pro kepada British, iaitu anak-anak kepada Raja Abdullah serta pendokongnya sehingga Salman menjadikan persekitarannya sesuai bagi dirinya memerintah. Setelah semuanya selesai, dan kerana Amerika ingin menstabilkan situasi di Lubnan dengan pemilihan Aoun sebagai Presiden Lubnan, Amerika memberi arahan agar Salman memerintahkan Hariri agar tidak menentang Aoun! Inilah sebabnya Saad Hariri berjumpa dengan Aoun dan bersetuju dengannya serta mencalonkan Aoun sebagai presiden. Dengan kata lain, barisan pembangkang yang diketuai oleh Saad Hariri semasa era Raja Abdullah telah pun tamat di era Raja Salman! Menurut berita An Nahar; “Presiden Saad Hariri telah tiba dari kediamannya (Bait Al- Wasat) dan mencalonkan Ahli Parlimen Michel Aoun sebagai Presiden Republik Lubnan di hadapan para penyokongnya yang diketuai oleh Fuad Siniora dan Ahli Parlimen Bahia Hariri. Hariri kemudiannya menyampaikan ucapan dengan berkata; “Berdasarkan beberapa perkara yang kami sepakati, saya mengumumkan kepada kamu semua pada hari ini bahawa keputusan saya untuk mendokong pemilihan General Michel Aoun sebagai Presiden Republik Lubnan”.

Setelah itu, parlimen telah bersidang pada 31 Oktober 2016 dan Aoun telah terpilih sebagai Presiden Republik Lubnan.  “Dokongan daripada pemimpin dari blok Al Mustaqbal, iaitu Saad Hariri merupakan perkara yang memudahkan berlakunya pilihanraya presiden setelah berlakunya kekosongan selama 2 tahun 5 bulan sejak berakhirnya penggal pentadbiran presiden Lubnan iaitu Presiden Michel Suleiman pada Mei 2014.” – [Al Arabiya (31 Okt 2017)]. Oleh itu, lawatan Aoun ke Arab Saudi sebenarnya untuk mengucapkan ucapan terima kasih! Jelas seperti yang telah dinyatakan di atas, bahawa Hariri mengikuti polisi pemerintah Arab Saudi, iaitu dia akan menentang mahupun bersetuju berdasarkan arahan daripada pemerintah Arab Saudi.

3. Setelah berkuasa sebagai presiden Amerika, Trump melawat Arab Saudi pada 20 Mei 2017 dan membuat kenyataan yang tegang mengenai Iran dan Hizbullah. Tujuan kenyataan panas berkaitan Iran dan Hizbullah yang dibuat sebelum sidang kemuncak bersama 50 penguasa muslim yang lemah adalah untuk mengalihkan perhatian lebih 50 penguasa muslim daripada isu di Palestin dan mengarahkan perhatian mereka kepada Iran. Ia merupakan langkah awal kepada perancangan Trump iaitu untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibukota kepada entiti Yahudi. Hal ini sangat jelas dalam kenyataan-kenyataan tegang yang dimainkan. Sudah tentu, Arab Saudi dan para pengikutnya turut mengambil pendekatan ini. Disebabkan peranan utama Iran di rantau tersebut didominasi oleh tindakan Hizbullah di Lubnan dan campur tangannya di Syria, maka Arab Saudi telah mengarahkan Hariri untuk menjadi anti-Hizbullah dan Iran. Sebab itu, mereka memanggilnya ke Arab Saudi dan menyuruhnya meletak jawatan di sana dan membuat kenyataan tegas untuk menentang Iran dan Hizbullah. Oleh itu, Hariri telah dibawa ke Arab Saudi dan memberi kenyataan yang keras serta mengumumkan perletakan jawatannya di Arab Saudi pada 4 November 2017.

4. Amerika menyedari bahawa kenyataan yang dibuatnya terhadap Iran dan Hizbullah tidaklah bermakna berlakunya konflik di antara Amerika dan Iran, tetapi adalah untuk meningkatkan eksploitasi Amerika ke atas ketakutan penduduk rantau Teluk. Amerika inginkan Arab Saudi dan Hariri menyampaikan mesej tersebut, tetapi bukan bermaksud untuk berada dalam landasan ini sehingga akhir (maksudnya Amerika tidak ingin melakukan sebarang tindakan yang lebih keras – penterjemah). Dengan kata lain, Amerika tidak mahu untuk menamatkan kewujudan parti (Hizbullah), tetapi hanya untuk menyampaikan mesej tersebut tanpa sebarang ketegangan di Lubnan. Inilah sebabnya Amerika mengarahkan Arab Saudi untuk bertenang agar Hariri mengurangkan kritikan kerasnya. Dalam laman web An Nashra pada 4 Disember 2017, menyatakan :“…Putera Mahkota Arab Saudi, Muhammad bin Salman , tidak akan berganjak melakukan apa-apa tanpa ada sebarang arahan dan koordinasi daripada Rumah Putih, dan setelah lawatan ke-4 Penasihat Kanan kepada Presiden Amerika, iaitu menantunya, Jared Kushner ke Timur Tengah sejak Trump menduduki Rumah Putih, lawatannya ini tidak mendapat liputan di media-media massa. Kushner beserta delegasinya ke Arab Saudi selama 4 hari diselangi dengan lawatan ke Mesir dan Jordan serta ‘Israel’. Setelah hampir 2 minggu lawatan Kushner tersebut, krisis di Lubnan dan penangkapan-penangkapan di Arab Saudi pun terus berlaku. Semasa krisis politik yang teruk melanda Lubnan, terdapat tanda-tanda kesefahaman telah muncul di antara Rumah Putih dan Putera Mahkota Arab Saudi berkaitan Lubnan untuk memberi tekanan terhadap Hizbullah agar mereka mengkaji semula pengaruh mereka di rantau tersebut yang semakin merambah. Atas alasan ini, Putera Mahkota Arab Saudi melancarkan tindakan ofensifnya ke atas kerajaan Lubnan melalui Perdana Menterinya, Saad Hariri dan dengan ini telah memusnahkan perjanjian kompromi yang telah dilakukan sebelum ini ketika naikknya General Michel Aoun ke Istana Presiden. Tetapi cara yang dilakukan oleh Arab Saudi adalah sangat keras dan tidak memiliki kebijaksanaan politik, yang mengancam kestabilan dalaman Lubnan. Manakala pelbagai institusi di Amerika terus menerus mengatakan bahawa tekanan yang dikenakan ke atas Hizbullah tidak boleh melepasi suatu tahap tertentu yang boleh menyebabkan suasana buruk meledak. Apabila keadaan mula menjadi parah, pelbagai institusi Amerika mula mengatakan bahawa kestabilan Lebanon boleh runtuh pada bila bila masa.. “ (An-Nashra website: 04/12/2017)

5. Jadi, Hariri mula untuk melembutkan intonasinya ke atas Iran dan Hizbullah atas arahan Arab Saudi. Untuk menyembunyikan peranannya, Arab Saudi menerima kunjungan Presiden Perancis dan mengadakan perbincangan serta berjumpa dengan Hariri. Hariri kemudiannya mengunjungi Perancis dan kemudiannya ke Mesir untuk menciptakan suasana seolah-olah dia meminta pandangan untuk sebarang tindakan meskipun sebenarnya senario tersebut telah dirancang semasa di Arab Saudi sebelum Hariri berlepas ke negara-negara tersebut iaitu bertujuan untuk mengurangkan kecamannya ke atas Iran dan Hizbullah serta tidak meletak jawatan.

6. Kesimpulannya, Hariri menuruti segala arahan dan polisi pemerintah Arab Saudi. Hal ini diterjemahkan dengan kesetiaannya dalam menerima arahan Arab Saudi. Perkara ini sudah terang lagi bersuluh dan usaha untuk mengaburi mata umat adalah suatu yang sia-sia!

Oleh itu, akan ada usaha untuk mengurangkan pengaruh Iran serta partinya (Hizbullah), perkara ini boleh berlaku, tetapi ia dijangkakan akan berlaku setelah penyelesaian di Syria sudah mencapai tahap sebagaimana yang dikehendaki oleh Amerika. Kemudian, sekiranya peranan Iran dan Hizbullah telah tamat, akan berlakunya pengunduran tentera di Syria, dan Iran serta Hizbullah akan mengurangkan peranan ketenteraannya. Untuk makluman, Hizbullah adalah pihak bawahan kepada rejim di Iran sebagaimana Hariri merupakan orang bawahan rejim Arab Saudi. Dengan itu, dijangkakan sekiranya isu Syria berakhir dengan sesuatu pengaturan dengan pengunduran tentera Iran, perkara seterusnya akan disusuli oleh partinya (Hizbullah) di Lubnan.

Adakah akan ada tindakan agresif oleh negara entiti Yahudi ke atas Lubnan atau Hizbullah? Ia bergantung kepada perancangan penyelesaian isu di Syria, yang juga bergantung kepada keadaan semasa dan keadaan yang akan mendatang.

21 Rabiul Awal 1439H
9 Disember 2017

(Terjemahan)

Sumber khilafah.com