Soal-jawab: Kejatuhan mendadak harga minyak

Oil-Barrels-with-Red-ArrowSoalan:

Harga minyak terus jatuh ke paras di bawah AS$40 setong. Namun Arab Saudi tidak mengurangkan pengeluarannya dalam usaha untuk menstabilkan harga minyak, dengan mengambil kira bahawa negara tersebut merupakan pengeluar terbesar di kalangan negara-negara OPEC, sebagaimana yang diputuskan dalam satu mesyuarat OPEC pada 4 Disember 2015. Dalam masa yang sama, Amerika telah meningkatkan pengeluaran dan bukan sebaliknya (untuk berhadapan dengan harga yang semakin jatuh)…jadi apakah sebab-sebab kejatuhan harga minyak?

Jawapan:

Dalam usaha untuk mendapatkan gambaran yang jelas, kita perlu mengkaji semula harga minyak sepanjang tahun lepas sejajar dengan peristiwa politik dan beberapa perkara yang berlaku yang mempengaruhi serta mengubah realiti, supaya kita dapat mengkaji punca-punca kenaikan dan penurunan harga minyak dalam tempoh tersebut:

1 – Semasa pemerintahan Abdullah Bin Abdul Aziz dan tidak lama sebelum kematiannya, harga minyak telah jatuh mendadak. Ini dapat dikaitkan dengan percubaan British melalui ejennya Abdullah Bin Abdul Aziz untuk menyerang kepentingan Amerika berhubung pengeluaran minyak berbatuan atau minyak shale (seperti yang telah dinyatakan di dalam jawapan kepada soalan yang dikeluarkan pada 07/01/2015 – sila rujuk khilafah.com). Harga petrol terus kekal rendah sehingga kematian Abdullah Bin Abdul Aziz dan juga sewaktu peralihan pemerintahan kepada Salman Bin Abdul Aziz (ejen Amerika) pada 23/01/2015. Walaupun Menteri Minyak Arab Saudi telah mengumumkan bahawa Arab Saudi tidak akan mengubah dasar minyaknya, namun realitinya harga minyak mula beransur-ansur naik setelah Salman menaiki takhta sehingga telah melepasi jidar (margin) AS$60 pada bulan Mei. Hal ini sememangnya telah dijangka, selaras dengan apa yang dinyatakan dalam jawapan kepada persoalan pada 25/01/2015 (sila rujuk khilafah.com): “Akibatnya, ketegangan di antara Amerika Syarikat dan Arab Saudi dapat diredakan, lalu memberi kesan kepada pengurangan terhadap penurunan berterusan harga minyak. Hal ini kerana raja sebelumnya, yang disokong oleh British mahu mengurangkan harga minyak untuk menggagalkan Amerika daripada mendapat manfaat daripada minyak shale”.

2 – Pada akhir Jun, harga minyak mula beransur jatuh sehingga mencecah sekitar AS$40 pada pertengahan bulan Ogos. Dalam tempoh ini kejatuhan harga minyak yang berlaku adalah seiring dengan masa berakhirnya perjanjian nuklear Iran dan ternyata Amerika berusaha untuk mengurangkan harga minyak dalam tempoh rundingan demi membantu ejen-ejennya di Iran supaya dapat membuat konsensi bagi memuktamadkan perjanjian itu. Penurunan ini bertujuan memberi tekanan ke atas ekonomi Iran, lalu memberikan justifikasi yang popular untuk menerima konsensi di bawah bayang-bayang kekangan ekonomi yang sememangnya telah dideritai oleh rakyat Iran. Kemudiannya barulah harga minyak mulai meningkat sedikit sehingga akhir September pada paras AS$50.

3 – Pada awal Oktober 2015, harga minyak mula jatuh mendadak sehingga AS$34 pada 18/12/2015. Kejatuhan mendadak harga minyak ini mempunyai sebab-sebab yang berbeza dari sebelumnya dan huraiannya adalah seperti berikut:

Semasa berlakunya krisis kewangan Amerika pada tahun 2008, Amerika telah mengamalkan dasar “Quantitative Easing” (pelonggaran kuantitatif) untuk keluar dari krisis kewangan yang telah melandanya dengan teruk. Melalui dasar ini, Amerika mula melakukan pengeluaran dolar dalam kuantiti yang besar sebagai usaha untuk menyelamatkan sistem kewangannya dan tindakan ini telah melemahkan nilai dolar. Namun Amerika tetap komited meneruskannya (walaupun tindakan tersebut memberi kesan kepada nilai dolar). Walau bagaimanapun, sejak awal tahun lepas Amerika mula menyedari kesan-kesan ekoran perlaksanaan dasar Quantitative Easing ini, antaranya:

– Negara-negara dunia telah terjejas ekoran dasar ini dan China khususnya telah menerima kesan yang besar kerana mempunyai simpanan dolar yang banyak. Kesan daripada itu, seruan untuk meninggalkan dolar dan merangka semula sistem kewangan yang baru mulai muncul. Seruan ini muncul dengan kuat di Eropah seperti yang kenyataan Menteri Luar Perancis, Michel Sapin yang dipetik Financial Times pada 7/7/2015 di bawah tajuk ‘Perancis membidas dominasi dolar’.

Sapin dilaporkan berkata, “Kami orang Eropah membuat pertukaran antara kami dengan dolar misalnya apabila kita menjual pesawat. Adakah ini wajar? Saya tidak percaya begitu. Saya percaya bahawa mengembalikan keseimbangan adalah mungkin dan perlu, bukan hanya dalam hal berkaitan dengan Euro, bahkan matawang lain dari negara-negara yang semakin membangun dan semakin terkemuka dalam perdagangan global…”. Sapin turut memberitahu akhbar tersebut bahawa ia akan membangkitkan isu kewajaran untuk mencari alternatif bagi dolar bersama rakan-rakannya, menteri-menteri kewangan Zon Eropah, apabila mereka bertemu di Brussels pada hari Isnin. Namun beliau enggan memperincikan tentang langkah-langkah tersebut.

China turut mengikuti Perancis sebagaimana yang dilaporkan dalam temu bual agensi berita Xinhua bersama Kostin, Presiden VTB Bank, (bank pinjaman kedua terbesar di Rusia) berkata, “Sistem kewangan global masih tunduk kepada dominasi dolar Amerika dan mekanisme yang pelbagai diperlukan dalam usaha mengurangkan pergantungan kepada satu matawang tunggal”.  Kostin menyatakan bahawa terdapat kemungkinan bagi China, sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia, untuk bekerjasama dengan beberapa negera lain dalam membina satu sistem baru. Tambahnya lagi, Rusia akan menyokong China untuk memikul peranan kepimpinan dalam arena kewangan global [ ‘The People’s Online Daily Newspaper’ 2015/01/11].

Walaupun ini sudah menjadi satu alasan yang memadai bagi Amerika untuk meninggalkan dasar yang menyebabkan kejatuhan nilai matawangnya, namun Amerika tetap angkuh dan mengekalkan dasar ini. Oleh itu, Amerika giat untuk menaikkan harga petrol kerana seperti yang telah sedia maklum, kenaikan itu akan membawa kepada kejatuhan nilai matawang dolar. Bertitik tolak daripada itu, Amerika kemudiannya berusaha untuk menangani kesan krisis kewangan yang belum terpadam hingga kini. Dalam masa yang sama, Amerika berusaha untuk menaikkan harga petrol supaya pengeluaran minyak shale berbaloi hasil dari kenaikan harga petrol. Atas alasan inilah Kerry melawat Arab Saudi pada 11/09/2014 dan dalam pertemuannya dengan Abdullah, ia memberi tumpuan kepada pengurangan pengeluaran demi menaikkan harga petrol seperti yang telah kami jelaskan dalam jawapan kami bertarikh 07/01/2015 (sila rujuk khilafah.com).

– Meskipun demikian, Amerika mulai sedar semenjak bulan-bulan terakhir tahun lalu bahawa hala tuju untuk menjauhi matawang dolar telah mula menjadi semakin praktikal. Ini dilakukan dengan menghindari daripada menjadikan matawang dolar sebagai simpanan, sebaliknya menggunakannya untuk membeli emas. China yang selama ini memiliki simpanan dolar yang begitu banyak sehingga mencecah hampir 4 trilion, telah bertindak menggantikannya dengan emas. “Bank Pusat China bertindak menambahkan simpanan emas antara 14 dan 19 tan pada setiap bulan” [Reuters, 12/01/2015].

Terdapat  juga maklumat tidak rasmi seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar Rusia bahawa China sedang berusaha untuk meningkatkan simpanan emas di Bank Pusat sehingga mencapai 10 ribu tan metrik dalam tempoh mendatang bagi mengatasi Amerika Syarikat yang kini berada di tempat pertama dengan sejumlah 8 ribu tan simpanan emas. Kini, China telah memiliki kira-kira 1700 tan simpanan emas. Rusia turut mengambil langkah yang sama dengan membeli emas seperti China dan kini Rusia telah memiliki sejumlah 1275 tan, setelah negara tersebut membeli 67 tan emas pada separuh kedua 2015…Hal ini telah menjadi petanda amaran terhadap matawang dolar dan sekali gus mengundang bahaya besar kepada Amerika. Hal ini kerana matawang Dolar merupakan salah satu tunjang yang paling penting buat Amerika dan berperanan dalam mendukung dominasi Amerika terhadap dunia.

Oleh itu, adalah penting bagi Amerika untuk mengekalkan dolar sebagai matawang yang menjadi sandaran bagi penentuan harga petrol dan sebagai matawang dalam urusan-urusan kewangan. Dengan mengekalkan keadaan sedemikian, sesiapa sahaja yang memiliki dolar akan mempunyai pengaruh ke atas harga petrol dan perdagangan global.

4 – Menyedari hakikat ini, Amerika telah menerima pakai dasar yang menjurus kepada peningkatan nilai dolar atau menurunkan harga minyak melalui beberapa proses:

a – Menerima pakai dasar yang mengakibatkan berlakunya peningkatan pengeluaran minyak dengan apa cara sekalipun, antaranya:

* Amerika dan Kanada meningkatkan tahap pengeluaran minyak dari lingkungan 10.3 juta tong sehari sejak tahun 2005 kepada kira-kira 18 juta tong sehari pada tahun lalu.

* Agen-agen Amerika dalam OPEC, terutamanya Arab Saudi, Iran dan Iraq telah meningkatkan pengeluaran minyak mereka:

– Bagi Arab Saudi, sebagaimana yang telah dilaporkan oleh Al-Jazeera.net pada 10/10/2015: “Kerajaan Arab Saudi telah memaklumkan kepada Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum, OPEC, bahawa mereka telah meningkatkan pengeluaran minyak pada September lalu dengan penambahan sebanyak 100 ribu tong sehari” [Al-Arabi al-Jadeed, 14/12/2015]. Pengeluarannya pada tahun ini telah mencecah 10.1 juta tong setiap hari.

– Bagi Iran pula, agensi berita Reuters telah memetik daripada satu sumber di telaga minyak yang mempunyai maklumat berkenaan jadual penghantaran muatan dalam negara-negara pengeksport minyak (OPEC) sebagai berkata, “Iran sedang merancang untuk mengeksport 1.26 juta tong minyak mentah sehari sepanjang bulan ini. Jumlah sebanyak ini menunjukkan peningkatan sebanyak kira-kira satu perempat berbanding pengeluaran pada dua bulan terdahulu” [Al-Arabi al-Jadeed, 14/12/2015]. Beberapa orang pakar menjangkakan bahawa Iran akan mengeksport lebih daripada itu, “Penamatan sekatan ekonomi dan tindakan membenarkan Iran untuk mengeksport minyak (kini Iran telah menghasilkan 3.7 juta tong sehari dan bilangan eksport negara tersebut telah mencecah kira-kira 1.7 juta tong sehari) akan menyebabkan peningkatan pengeluaran global, kerana Iran mampu untuk meningkatkan pengeluaran sekitar 600 ribu tong sehari menjelang penghujung tahun 2015. Dalam pada itu, perlu diketahui bahawa anggaran pembekalan semasa Iran adalah di antara 1.5 hingga 2 juta tong sehari” [Sabaah al-Jadeed News site, 09/12/2015].

– Bagi Iraq: Fayad Hasan Ni’mah, wakil Kementerian Minyak untuk Hal Ehwal Pengekstrakan berkata, “Pengeluaran di Ramilah (telaga minyak) telah mencapai kira-kira 1 juta dan 350 ribu tong sehari”. Beliau menambah, “Kementerian berusaha meningkatkan tahap pengeluaran minyak (di Ramilah) sehingga dua juta seratus ribu tong sehari.” Menurutnya lagi, “Pengeluaran minyak di lapangan tersebut pada masa ini mewakili 40% daripada pengeluaran minyak Iraq”…agensi berita Reuters melaporkan bahawa Iraq telah menetapkan sebanyak 3.017 juta tong minyak mentah sehari dari Basra untuk dieksport pada bulan September, meningkat dari 2.52 juta tong sehari pada bulan sebelumnya [Sabaah al-Jadeed, 15/08/2015].

* Menghapuskan larangan pengeksportan minyak Amerika ke luar negara sepertimana yang dilaporkan, “Dewan Perwakilan Amerika Syarikat meluluskan proses baru untuk menghapuskan larangan yang dikenakan ke atas eksport minyak mentah yang telah dilaksanakan selama empat puluh tahun…dan Presiden Amerika, Barack Obama, telah menandatangani usul pada hari Jumaat, sekali gus meluluskannya sebagai  undang-undang” [BBC, 19/12/2015]…Dengan bertindak sedemikian, Amerika telah berjaya menangani isu minyak shale, supaya ia tidak menjadi penghalang bagi dasar baru dalam meningkatkan nilai matawang dolar dan mengurangkan harga minyak. Akibatnya, beberapa syarikat yang telah melabur dalam bidang ini dan beberapa telaga besar yang terpaksa menampung kos pengeluaran melebihi harga petrol, akhirnya menghentikan operasi. Hanya syarikat-syarikat yang mampu menanggung penurunan harga dan memiliki teknologi yang mampu untuk mengurangkan kos pengeluaran secara saintifik sahaja yang dapat bertahan. Kemudian mereka melipatgandakan kapasiti pengeluaran mereka sehingga pengeluaran minyak shale Amerika kekal pada tahap yang sewajarnya. Ini telah memberi kesan yang besar terhadap pengeksportan setelah pembatalan larangan tersebut berkuatkuasa.

Hal itu telah disebut dalam laporan agensi tenaga Amerika seperti yang dinyatakan dalam laman ‘Market Realist’, “Pengeluaran minyak mentah AS bagi minggu yang berakhir pada 11 Disember pada dasarnya stabil…” Dalam bulan semasa, pengeluaran telah mencapai sekitar 9.17 juta tong sehari dan ini berbalik kepada fakta bahawa kos pengeluaran minyak shale AS  telah menurun dan pengeluaran telah meningkat meskipun berlaku penutupan telaga-telaga yang tidak menguntungkan…Eric Lee, pakar strategi komoditi Citigroup berkata, “Di formasi Bakken, Dakota Utara (kawasan pengeluaran minyak di AS), kos pulangan modal di beberapa daerah telah jatuh dalam lingkungan AS$20, menurut laporan yang dikeluarkan Jabatan Sumber Mineral Negara pada bulan lalu. Penghasilan satu tong minyak masih lagi menguntungkan pada AS$24 di Dunn County, turun dari AS$29 pada Oktober lalu” [Tom DiChristopher, CNBC 20/08/2015].

Akibatnya, Amerika dan ejen-ejennya telah menyumbang kepada peningkatan pengeluaran sehingga menjadikannya tepu. Dalam kes ini beberapa laporan telah mengatakan, “Pada ketika ini, terdapat lebihan minyak antara 4 ke 5 juta tong sehari dalam pasaran” [dipetik daripada Alpha Beta Site, 15/12/2015]. Penepuan pengeluaran ini berlaku seiringan dengan pengurangan ketara pada penggunaan minyak global yang dianggap sebagai penggerak utama permintaan. Hal ini bertepatan dengan jangkaan IMF yang menunjukkan pengurangan dalam pertumbuhan KDNK dunia daripada 3.4% kepada 3.3% dalam konteks kelembapan ekonomi pembuatan di Eropah dan Jepun serta kemerosotan pertumbuhan di negara-negara membangun, terutamanya di China yang merupakan pengguna kedua terbesar minyak di dunia. Dalam konteks pasaran kewangan, hal ini dapat dilihat dalam bentuk keresahan akibat daripada penurunan nilai matawang Yen. Ramalan pasaran telah menganggarkan bahawa terdapat pengurangan permintaan terhadap minyak dalam negara penting ini (Jepun). Oleh itu, lebihan pengeluaran minyak yang besar disertai oleh pengecutan dalam permintaan telah mengakibatkan penurunan mendadak harga minyak lalu membawa kepada kenaikan nilai Dolar…

b – Terdapat juga isu lain iaitu berkenaan kenaikan kadar faedah. Walaupun ekonomi Amerika tidak menunjukkan pemulihan sebenar, Majlis Rizab Persekutuan AS telah mengumumkan peningkatan kadar faedah sebanyak setengah mata pada 16/12/2015. Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Janet Yellen mengumumkan pada 03/12/2015, menurut Financial Times: Seretan Dolar tinggi ke atas eksport Amerika Syarikat adalah salah satu sebab untuk Rizab Persekutuan mengambil pendekatan beransur-ansur untuk mengetatkan dasar kewangan. Perlu diingat bahawa kadar faedah di Amerika Syarikat telah dikurangkan kepada hampir sifar atau lebih tepat 0.25%, disebabkan krisis kewangan global yang turut melanda Amerika Syarikat pada tahun 2008. Menurut ekonomi kapitalis, jika kadar faedah kekal rendah, maka itu menunjukkan bahawa krisis masih berterusan dan ekonomi belum pulih. Ia juga menunjukkan bahawa ada kemelesetan, pergerakan pasaran semakin berkurangan dan perlahan dari segi jual beli, pelaburan dan pekerjaan. Hal ini kerana puak kapitalis bergantung kepada kadar faedah untuk meraih keuntungan. Menaikkan kadar faedah akan meningkatkan keuntungan kepada bank-bank dan syarikat-syarikat, di samping dapat menyediakan insentif bagi orang ramai untuk mendepositkan wang mereka ke dalam bank-bank untuk melabur dan meraih keuntungannya. Dalam keadaan ini, ia akan memberi petunjuk bahawa Amerika Syarikat telah berjaya mengatasi sebahagian besar jatuhan (fallout) dan kesan daripada krisis kewangan global.

Sebaik sahaja kenaikan kadar faedah diumumkan, harga minyak menurun sebanyak 3%. Kenaikan kadar faedah menguatkan keyakinan terhadap ekonomi Amerika Syarikat dan memberi gambaran bahawa negara tersebut telah mengatasi krisis kejatuhan kewangan demi meningkatkan pengaruh politik global Amerika. Harga saham AS melonjak di Bursa Saham Wall Street sebanyak 1.28% sebaik sahaja pengumuman kenaikan kadar faedah oleh Bank Pusat. Indeks S&P (Standard and Poor’s) juga melonjak sebanyak 1.45% dan Nasdaq sebanyak 1.52%.

5 – Dari sini Amerika telah mendapat keadaan yang sesuai untuk menaikkan harga (atau nilai) dolar dan menaikkan kadar faedah. Perlu dicatatkan bahawa dengan menaikkan kadar faedah, kos menyimpan emas akan meningkat disebabkan oleh kenaikan nilai dolar. Kemudiannya membawa kepada penurunan harga emas dan membawa kemudaratan kepada negara-negara yang berusaha untuk bergantung kepada rizab emas dan bukannya dolar. Dengan berbuat demikian, Amerika mahu mengekalkan dolar sebagai matawang global dan sebagai rizab wang untuk negara-negara dunia dan bukannya emas, serta menyebabkan berurusan dengan emas tidak menguntungkan dan penyimpanan sebagai rizab juga tidak berbaloi. Amerika enggan kembali kepada emas dan negara tersebut tidak mahu dunia kembali kepada sistem yang mendatangkan kemudaratan besar kepadanya. Ini kerana, AS menggunakan matawang kertas (yang nilainya tidak sama pun dengan harga dakwat yang digunakan untuk mencetaknya) untuk membeli sumber (harta) di dunia dan untuk membiayai jentera perang dan tenteranya di luar negara. Amerika membeli jaminan dan “membeli” beberapa buah negara melalui apa yang dipanggil “bantuan” tatkala ia menyerang ekonomi negara-negara lain lalu menjadikan ekonominya menguasai (dunia), melalui penguasaan dolar ke atas semua negara, institusi-institusi kewangan antarabangsa dan pasaran kewangan.

6 – Dengan ini kita dapat katakan bahawa sebab yang paling ketara atau lebih berpengaruh terhadap kejatuhan harga minyak adalah berkaitan dengan dasar dalam dan luar Amerika Syarikat yang bertujuan untuk:

a – Meningkatkan nilai kadar faedah dalam negara. Isu ini telah menjadi satu isu yang sangat penting bagi Amerika. Langkah ini bertujuan untuk memberi petunjuk bahawa Amerika Syarikat telah berjaya membebaskan dirinya daripada kesan kejatuhan dan krisis kewangan, sekali gus menonjolkan bahawa ekonominya adalah kuat, lalu meningkatkan keyakinan terhadapnya dan melebarkan pengaruh politiknya ke atas negara lain.

b – Mengukuhkan keyakinan terhadap dolar dalam menghadapi persaingan terhadapnya, untuk memelihara urusniaga menggunakan dolar, untuk menjadikannya (sumber) rizab wang negara-negara di dunia, untuk membuat mereka terus mengikat matawang mereka kepadanya, untuk menyerang kebergantungan kepada emas dan menjadikannya asas rizab berbanding dolar. Perhatian khusus diberikan ke atas China dan Rusia, kerana mereka merupakan antara negara yang gigih berusaha menuju ke arah menghapuskan dominasi dolar dan semakin meningkatkan pergantungan rizab matawang mereka kepada emas.

7 – Maka, dengan ini Amerika dapat mengawal situasi ekonomi antarabangsa, khususnya terhadap komoditi yang berpengaruh seperti minyak kerana matawang dolar merupakan ukuran dalam membeli dan menjual komoditi ini…Membiarkan urusniaga dijalankan menggunakan dolar dan membenarkannya untuk menentukan harga petrol, mineral lain dan semua komoditi penting adalah bukti secara langsung atau tidak langsung terhadap sikap ketundukan masyarakat antarabangsa kepada Amerika. Ini kerana, jatuh atau meningkatnya harga komoditi-komoditi tersebut bergantung kepada nilai dolar dan kadar faedah yang ditetapkan oleh Bank Pusat AS. Natijahnya, seandainya berlaku kemerosotan pada ekonomi Amerika, ini akan memberi kesan kepada ekonomi seluruh negara di dunia.

Apa yang perlu dilakukan oleh negara-negara di dunia (dalam situasi ini) adalah berhenti daripada mengikat matawang masing-masing kepada Dolar dan meninggalkan amalan penggunaan dolar sebagai rizab kewangan mereka. Selanjutnya, mereka sewajarnya mengubah pergantungan mereka daripada dolar kepada emas dan perak dan menjadikan emas dan perak sebagai matawang pertukaran, dalam urusan jual-beli barangan, dalam menilai penggajian dan juga sebagai asas kepada rizab kewangan. Namun, langkah besar ini tidak akan dapat ditelusuri dalam keadaan ketiadaan Negara Khilafah Islamiyyah, yang di dalamnya Allah SWT telah menetapkan emas dan perak sebagai unit kewangan. Di waktu berdirinya Khilafah kelak, dolar akan kembali menjadi hanya sekeping kertas sepertimana nilai asalnya.

إِنَّهُمْ يَرَوْنَهُ بَعِيدًا * وَنَرَاهُ قَرِيبًا

“Sesungguhnya mereka memandang seksaan (azab) itu jauh (mustahil). Sedangkan Kami memandangnya dekat (pasti terjadi)” [Al-Ma’arij (70):6-7].

12 Rabiul Awal 1437H, bersamaan 23/12/2015