Sokongan kepada El-Sayed perlu dinilai berdasarkan pendirian dan perjuangannya – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Kemenangan Abdul El-Sayed sebagai orang Islam pertama dipilih ke Senat Amerika Syarikat telah disambut gembira oleh sebahagian umat Islam. Namun, identiti Muslim seseorang calon sahaja tidak memadai untuk menentukan sama ada perjuangan politiknya wajar disokong.
Demikian antara penegasan Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman, dalam program Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM bertajuk “Senator Muslim di Amerika: Wajarkah Disokong?” pada Jumaat, 6 November 2026.
Pada awal kupasannya, beliau menerangkan secara ringkas sistem pilihan raya pertengahan penggal Amerika, peranan Senat dan Dewan Perwakilan, serta persaingan antara parti Demokrat dengan Republikan. Menurutnya, kemenangan seorang Muslim dalam pilihan raya memang boleh menimbulkan rasa gembira, tetapi emosi tersebut perlu dipandu oleh penilaian terhadap pendirian dan perjuangan calon berkenaan.
Ustaz Abdul Hakim menegaskan bahawa beliau tidak mempersoalkan kedudukan El-Sayed sebagai saudara seagama. Namun, katanya, persaudaraan sesama Muslim tidak menghalang umat Islam daripada mengkritik atau memuhasabah pendirian politik seseorang yang jelas-jelas bertentangan dengan Islam.
Beliau kemudian menggariskan empat perkara utama yang menurutnya penting untuk dilihat dalam isu kemenangan El-Sayed, iaitu pendirian El-Sayed terhadap perlembagaan Amerika, cara dia membawa identiti Muslimnya, sokongannya terhadap ELGIBITI, serta pendiriannya berhubung ‘Israel’.
Menyentuh perkara pertama, Ustaz Abdul Hakim memetik pendirian El-Sayed yang jelas-jelas menumpahkan taat setianya kepada perlembagaan Amerika bahkan dia menyifatkan perlembagaan negara kafir tersebut sebagai “the guiding light”. Abdul Hakim mempersoalkan pendirian itu kerana menurutnya the guiding light bagi seseorang Muslim hanyalah Al-Quran dan As-Sunnah.
Kenyataan dan pendirian El-Sayed ini sangat berbahaya, kata beliau, kerana ia menyentuh persoalan akidah. Sebagai Muslim, ketaatan, kepatuhan, ketundukan dan kesetiaan kita hanyalah kepada Al-Quran semata-mata. Kita tidak boleh taat atau tunduk kepada undang-undang buatan manusia, jauh sekali untuk menjadikannya sebagai petunjuk, kerana pertentangannya yang begitu nyata dengan Al-Quran.
Berhubung identiti El-Sayed sebagai Muslim pula, Abdul Hakim mengulas kenyataan berkali-kali bakal Senator Muslim pertama Amerika itu bahawa dia bertanding bukan kerana dia Muslim, dan bukan untuk Islam. Dia bertanding untuk menjadi Senator di Amerika dan kebetulan agamanya ialah Islam. Inilah kenyataan yang keluar daripada mulut El-Sayed sendiri.
Menurut Abdul Hakim, kenyataan itu menunjukkan bahawa El-Sayed tidak pernah membawa atau menjadikan Islam sebagai asas perjuangan politiknya. Dia jelas seorang yang sekular dan memperjuangkan sekularisme, dan dalam konteks ini, El-Sayed tidak ada bezanya dengan semua Senator Amerika yang lain, kata Abdul Hakim.
Jurucakap HTM itu turut mengkritik pendirian El-Sayed tentang ELGIBITI di mana dia dengan jelas mendukung hak-hak kaum songsang itu. Pemikirannya jelas liberal, tanpa selindung, dan dia berbangga dengan pendiriannya itu. Ini jelas bertentangan dengan Islam.
Manakala dalam isu ‘Israel’ dan Palestin, El-Sayed membezakan antara orang-orang Yahudi dan ‘Israel’, dan menganggap Yahudi sebagai saudaranya, tetapi tidak bersetuju dengan pembantaian ‘Israel’ ke atas Palestin. Dalam satu temuramah, dia bagaimana pun mengelak untuk menjawab soalan mengenai hak ‘Israel’ untuk wujud. Di sinilah Abdul Hakim mengkritik El-Sayed di mana sebagai Muslim, pendirian kita seharusnya jelas bahawa ‘Israel’ tidak mempunyai hak untuk wujud, kerana ia merampas dan menjajah tanah orang lain, bahkan merupakan pembunuh yang kejam terhadap penduduk yang dijajahnya.
Menjawab hujah bahawa kehadiran seorang Muslim di Senat boleh membawa perubahan, Abdul Hakim bertanya apakah bentuk perubahan yang dimaksudkan. Menurutnya, matlamat umat Islam bukan sekadar ingin melihat seorang Muslim berada di kerusi pemerintahan, tetapi memastikan pemerintahan itu menurut Islam.
El-Sayed ialah seorang Demokrat, dan dia membawa pendirian dan perjuangan Demokrat. Dia tidak membawa agamanya ke dalam Senat atau sepanjang karier politiknya. Islam hanya sebatas agama untuknya, bukan untuk diamalkan di dalam politiknya. Hal ini sangat jelas, kata Abdul Hakim, yang sekali gus bermaksud tidak akan ada apa-apa perubahan yang didambakan oleh umat Islam akan berlaku di Amerika dengan kemenangan El-Sayed.
Jurucakap HTM itu seterusnya menolak tanggapan bahawa kemenangan El-Sayed membuktikan yang pengundi Amerika telah mula menyokong Islam. Menurutnya, sokongan pengundi kepada El-Sayed bukan kerana dirinya Muslim, dan bukan juga kerana Islam. Para pengundi menyokong El-Sayed kerana perjuangannya untuk memperbaiki kos sara hidup, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, serta kebencian para pengundi kepada Donald Trump.
Di akhir program, Ustaz Abdul Hakim menegaskan bahawa pendiriannya bukanlah memusuhi El-Sayed sebagai individu. Sebaliknya, beliau menyeru umat Islam supaya menilai setiap tokoh politik berdasarkan prinsip dan perjuangannya, serta wajib menegur perkara yang dianggap salah demi kebaikan saudara seagama.