Sorotan Mingguan (11 – 17 November 2019)

  • Tangani amalan kartel, monopoli pasaran: TPM
  • Kerajaan akan tampil dengan naratif baharu mengenai Islam
  • PRK Tanjung Piai dipenuhi kontroversi, sentimen perkauman

Tangani amalan kartel, monopoli pasaran: TPM

Perlakuan antipersaingan seperti kartel dan penyalahgunaan kuasa atau monopoli perlu ditangani bagi menjamin pertumbuhan ekonomi yang mapan, kata Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Sehubungan itu, beliau menegaskan penguatkuasaan Akta Persaingan 2010 adalah penting ke arah membentuk pasaran yang kompetitif dan sihat dengan melindungi proses persaingan untuk kepentingan pengguna, perniagaan, dan ekonomi [Sumber: Berita Harian, 13/11/2019].

Komen:

Mampukah Akta Persaingan 2010 menghentikan aktiviti monopoli, sedangkan sistem ekonomi kapitalisme memberikan ruang seluas-luasnya kepada para kapitalis memanifestasikan sifat tamak haloba mereka demi mengaut keuntungan maksimum? Bahkan dalam sistem kapitalisme, golongan pemodal ini menjalin hubungan erat dengan kelompok elit politik dalam kepentingan bersama. Teori persaingan bebas dalam kapitalisme hanyalah sebuah mitos dan penuh kepalsuan untuk mengaburi dunia. Apa sahaja penyelesaian yang gagal melihatnya sebagai suatu permasalahan yang bersifat sistemik, pasti akan menemui jalan buntu.

Sedangkan Islam telahpun mempunyai sistem aturan kehidupannya yang menyeluruh, termasuklah dalam hal berkaitan ekonomi. Islam dengan jelas melarang manipulasi harga dan monopoli (al-ihtikar) serta lain-lain amalan berat sebelah yang kini berleluasa dalam sistem kapitalisme. Dalam pada itu, Islam juga memberi penekanan terhadap umatnya untuk menjadikan hukum syarak dan pengakhiran kita di akhirat kelak sebagai pertimbangan dalam menjalani kehidupan di dunia ini – termasuklah dalam urusniaga dan perdagangan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya para peniaga dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang jahat kecuali mereka yang bertaqwa, berbuat kebaikan dan benar” [HR Tirmizi]. Perkara ini tidak wujud dalam kapitalisme, kerana yang dijadikan ukuran ialah manfaat yang ingin dikaut semata-mata sehingga seringkali menindas pihak lain.


Kerajaan akan tampil dengan naratif baharu mengenai Islam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf mempertahankan prestasi kerajaan mengenai pelbagai isu berbangkit yang menjadi pertikaian dan memberi kesan kepada Islam. Mujahid turut menegaskan akan menghasilkan naratif baharu mengenai Islam supaya tidak mengulangi kesilapan terdahulu. Naratif baharu yang dimaksudkan itu merujuk kepada ‘Islam yang penuh belas kasihan dan berharap akan cetuskan perpaduan nasional’ [Sumber: BH Online, 16/11/2019].

Komen:

Islam tidak memerlukan naratif baharu, sebaliknya apa yang perlu dilakukan sekarang ialah mengamalkan Islam yang benar sepertimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para generasi terawal Islam. Dengan mencipta naratif baharu, sebenarnya ia tidak ubah sekadar mainan persepsi agar kerajaan PH dilihat membawa Islam yang membawa rahmah dalam masyarakat majmuk di negara ini. Sedangkan hakikatnya penerapan Islam yang benar di negara ini begitu jauh sekali daripada realiti hari ini. Islam tidak diterapkan secara kaffah (menyeluruh), bahkan sekelumit hukum-hukum Islam yang diterapkan hari ini juga diletakkan rendah berbanding hukum sekular mengikut lunas perlembagaan.

Dalam pada itu, konsep maqasid syar’iyyah pula dimanipulasi oleh kerajaan demi menundukkan Islam agar selari dengan realiti sistem sekular demokrasi hari ini. Dengan meletakkan objektif-objektif (maqasid) syariah sebagai ukuran pengamalan Islam, kerajaan telah berjaya mengaburi sebilangan umat Islam di negara ini dengan ilusi bahawa Islam mempunyai tempatnya dalam pemerintahan Malaysia Baharu. Sedangkan hakikatnya, mana mungkin maqasid syariah boleh dikatakan tercapai seandainya syariah itu sendiri tidak diterapkan? Apa yang pasti, bukan maqasid syariah yang dijadikan panduan, sebaliknya lebih kepada maqasid aqliyah (objektif berasaskan akal) yang memanipulasi fakta agar kelihatan bertepatan dengan syariah.

Manakala konsep ‘rahmah’ yang dibawa kerajaan PH pula dilihat cuba menutupi kompromi yang dilakukan dalam persoalan-persoalan yang tidak sewajarnya dikompromi menurut Islam. Bahkan terdapat juga polisi yang dilaksanakan hari ini lebih cenderung ke arah liberalisme, dan kini Mujahid cuba untuk mewujudkan naratif (baca: ‘wayang’) baharu bagi menutupinya di samping kepincangan-kepincangan lain yang wujud dalam Malaysia Baharu.


PRK Tanjung Piai dipenuhi kontroversi, sentimen perkauman

Keseluruhannya kempen PRK kali ini dipenuhi pelbagai isu dan kontroversi membabitkan calon dan parti bertanding, baik daripada PH dan BN mahupun empat parti lain termasuk dua calon bebas. Sentimen perkauman dan keagamaan dilihat turut menjadi pilihan utama calon parti-parti bertanding untuk menyerang lawan mereka selain mendapatkan kelebihan sokongan pada segmen kaum tertentu [Sumber: Sinar Harian Online, 16/11/2019].

Komen:

Sesungguhnya, kontroversi dan sentimen perkauman bukanlah suatu yang asing dan hanya terjadi dalam PRK Tanjung Piai semata-mata. Sebaliknya semua ini telah sekian lama membarah dalam sejarah sistem demokrasi kapitalis yang diamalkan di negara ini. Penduduk di negara ini telah dipisahkan atas dasar pecah dan perintah oleh kolonialis British, dengan harapan untuk terus mengekalkan penguasaannya ke atas Tanah Melayu. Keadaan ini kemudiannya diteruskan oleh kerajaan yang mewarisi sistem demokrasi daripada penjajah British. Natijahnya, tercetus polarisasi kaum sehingga menggugat kesepaduan sosial yang memuncak dengan terjadinya tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Bahkan dalam Malaysia Baharu juga, sentimen tersebut masih membarah meskipun cuba disembunyikan atas slogan perpaduan dan ‘rahmah’ yang dilaung-laungkan oleh kerajaan PH. Ketidakadilan dan sentimen perkauman ini merupakan kesan apabila Islam yang benar tidak diamalkan. Sebaliknya Islam dijadikan sebagai ‘penghias’ bagi menutupi kebusukan assabiyah yang diperjuangkan oleh parti-parti tertentu dalam politik demokrasi di negara ini. Sedangkan hakikatnya para politikus sanggup mempergunakan apa sahaja sentimen termasuklah sentimen agama dan kaum, semata-mata demi meraih kekuasaan dan mengaut keuntungan daripadanya. Manakala rakyat pula kini menerima kesannya setelah para politikus meraih kekuasaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.