Sorotan Mingguan (21-27 Oktober 2019)

  • Dr Mahathir kongsi pendekatan urus negara berbilang kaum
  • Kerajaan ‘pintu belakang’: Buat apa tanya saya, tanyalah PM mereka
  • Empat menteri Lubnan letak jawatan

Dr Mahathir kongsi pendekatan urus negara berbilang kaum

Ketika sesi soal-jawab di Persidangan Praxis Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) 2019, Dr. Mahathir menegaskan bahawa cara terbaik untuk memuaskan hati sebuah negara berbilang kaum adalah dengan memastikan tiada sesiapa pun berasa gembira. Menurut beliau apabila kita mengembirakan sesebuah kumpulan ia cenderung untuk menjadikan pihak lain tidak gembira. Maka strategi terbaik adalah dengan memastikan yang tidak ada sesiapa pun berasa gembira, maknanya kita ambil sesuatu daripada setiap orang dan memberi semula sesuatu juga kepada setiap orang [Sumber: Bernama, 21/10/2019].

Komen:

Hakikatnya, krisis perkauman yang berlaku dalam negara berpunca daripada formula urus tadbir yang lahir daripada ideologi sekularisme. Ketegangan kaum telah berlangsung sekian lama dan kini mencapai tahap yang sangat membimbangkan. Sebagai contoh, tindakan afirmatif dinilai perlu bagi sebuah kerajaan yang berdiri atas prinsip sekularisme yang kononya memberikan keadilan buat kaum pribumi atau pihak yang ditindas. Walhasil, tindakan tersebut hanya memberikan kelebihan kepada para pemodal dan jurang antara yang kaya dan miskin terus melebar. Selama itu juga sebahagian besar rakyat terus didiskriminasi.

Sesungguhnya formula yang lahir daripada akal manusia semata-mata tidak akan mampu membawa kesejahteraan dan kebahagian kepada umat manusia melainkan dipandu oleh syariat Islam. Sekularisme, kapitalisme dan segala -isme yang lahir daripada akal manusia telah gagal memberikan penyelesaian terhadap permasalahan manusia sejagat. Hanya Islam satu-satunya Deen sebagai sebuah cara hidup yang telah berhasil dan mampu untuk memberikan kebahagiaan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengenal kaum. Apabila para pemimpin kembali melaksanakan segala tuntutan syariat Islam, pasti tiada siapa yang didiskriminasi, tidak bahagia atau diambil sesuatu daripadanya tanpa hak seperti yang berlaku dalam kepimpinan hari ini.


Kerajaan ‘pintu belakang’: Buat apa tanya saya, tanyalah PM mereka

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) sepatutnya bertanya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai dakwaan penubuhan kerajaan baharu melalui ‘pintu belakang’ yang mengenepikan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP. Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, segala usaha penubuhan kerajaan ‘pintu belakang’ memerlukan sokongan Perdana Menteri dan tidak boleh dijayakan oleh satu pihak dan individu sahaja [Sumber: Sinar Harian, 21/10/2019].

Komen:

Kerajaan pintu belakang semakin kerap disebut-sebut ketika ini, termasuklah pihak pemerintah yang cuba untuk menutupinya. Selama ini mereka seringkali cuba menyembunyikan keretakan yang berlaku antara parti komponen Pakatan Harapan dengan menepis segala isu yang berlaku serta menyatakan mereka masih akrab dan sebulu. Isu kerajaan pintu belakang ini semakin rancak dibicarakan apabila desas desus yang menyatakan cubaan untuk menukar kerajaan melalui peralihan pakatan parti-parti politik serta Ahli Parlimen yang ada.

Hal ini bukanlah suatu yang pelik dalam sistem demokrasi pada hari ini, kerana suara majoriti merupakan suara keramat hinggakan pertukaran kerajaan pun boleh berlaku hanya dengan cara lompat-melompat. Apa yang pasti, ahli politik yang kononnya mewakili rakyat ini sebenarnya lebih banyak disibukkan dengan ‘politicking’ demi meraih kekuasaan berbanding melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap rakyat, apatah lagi hendak menerapkan hukum Islam dalam pemerintahan.


Empat menteri Lubnan letak jawatan

BEIRUT: Puluhan ribu rakyat Lubnan kembali memenuhi jalan raya dalam tunjuk perasaan anti-kerajaan yang masuk hari ketiga semalam, selepas empat menteri meletak jawatan kerana tidak yakin kerajaan mampu mencari penyelesaian. Tunjuk perasaan itu tercetus selepas kerajaan bercadang memperkenalkan sistem cukai baru, termasuk panggilan WhatsApp selain kenaikan kos sara hidup [Sumber: Harian Metro, 21/10/2019].

Komen:

Keadaan ekonomi Lubnan yang berada dalam keadaan kritikal dan dibelenggu hutang menyebabkan kerajaan campuran yang diterajui Saad Hariri mengambil pelbagai langkah termasuklah memperkenalkan pelbagai cukai baharu yang pastinya memburukkan lagi keadaan golongan marhaen yang sudah sememangnya terbeban.  Pengenalan cukai-cukai baharu bukanlah suatu yang asing dalam kerajaan yang mengamalkan sistem kapitalisme kerana cukai merupakan sumber utama pendapatan sesebuah negara kapitalis.

Kini, Hariri berdepan tekanan untuk memperkenal pelan pemulihan ekonomi baharu ekoran bantahan penduduk Lubnan. Namun langkah tersebut dilihat tidak lebih daripada sekadar usaha untuk menyelamatkan kedudukan golongan elit politik yang telah menguasai arena politik Lubnan semenjak zaman pasca Perang Saudara kira-kira tiga dekad lalu. Umat Islam, bukan sahaja di Lubnan, bahkan di seluruh dunia perlu menyedari bahawa kebangkitan hakiki tidak akan tercapai dengan rombakan kabinet mahupun penyelesaian kosmetik. Sebaliknya, umat ini perlu bangkit untuk mengubah sistem yang rosak ini menuju kepada penerapan sistem Islam secara sempurna (kaffah) dalam bingkai Khilafah Rasyidah yang akan menyatukan dan menaungi umat Islam di seluruh dunia.