Sorotan Mingguan (1 – 6 Oktober 2019)

  • PH mangsa manifesto sendiri, kata Tun M
  • Biar Dr. Mahathir habiskan penggal
  • Hanya Melayu boleh pulih maruah Melayu – Tun M

PH mangsa manifesto sendiri, kata Tun M

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui Pakatan Harapan (PH) kini menjadi mangsa kepada manifesto mereka sendiri yang diumumkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu. Menurutnya, beliau berfikir PH akan kalah dalam PRU14 lantas mereka meletakkan janji yang susah untuk dilaksanakan dalam manifesto mereka [Sumber: Sinar Harian, 4/10/2019].

Komen:

Asasnya manifesto merupakan suatu niat atau motif untuk melakukan hal-hal tertentu sama ada daripada individu, parti politik atau kerajaan. Parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya akan mengumumkan pelbagai dasar atau polisi yang akan mereka laksanakan sekiranya mendapat mandat daripada rakyat. Maka dapat kita katakan bahawa manifesto ialah satu perakuan janji daripada parti-parti politik yang bertanding.

Walaupun begitu, manifesto tidak mempunyai apa-apa nilai serta tidak ada legal action yang boleh dikenakan kepada pihak yang memungkiri manifesto atau janji mereka. Realiti ini bukan perkara baru kerana sepanjang 13 kali Pilihan Raya Umum (PRU) yang diadakan sebelum ini, kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) sudah banyak kali gagal atau tidak melaksanakan manifesto yang mereka utarakan semasa kempen pilihan raya. Oleh sebab itulah dahulu terdapatnya slogan seperti ‘Janji Dicapati’.

Kenyataan-kenyataan Tun Dr Mahathir (Tun M) tentang manifesto Pakatan Harapan (PH) bukanlah suatu hal yang pelik. Sebabnya, sudah lima kali PRU yang beliau tandingi sepanjang menjadi Perdana Menteri ke-4 sebelum ini, dan hakikatnya beliau sendiri sudah mempunyai pelbagai pengalaman tentang ‘mungkirnya sebuah janji’. Lalu kita boleh timbulkan persoalan mengapa persoalan manifesto ini menjadi isu? Hal ini demikian kerana setelah bertukarnya kerajaan dalam PRU ke-14, rakyat menginginkan perubahan. Malangnya, apa yang berlaku ialah ‘dua kali lima’.

Sebagai umat Islam kita perlu melihat hal ini bukan sekadar kerana tidak tertunainya janji sahaja. Pertama, sama ada BN, PH atau sesiapa sahaja yang memegang kekuasaan lalu menipu rakyatnya, ia merupakan satu kezaliman dan layak mendapat seksaan di akhirat kelak.

Kedua, sistem demokrasi-lah yang menghalalkan tindakan-tindakan sebegini, walhal persoalan tentang bagaimana sesuatu dasar atau polisi negara seharusnya diatur, sesungguhnya sudah lengkap dalam Islam. Pemimpin dan para politikus berkewajipan mengatur urusan rakyat dengan hukum Islam, bukannya bersaing sesama mereka untuk dapatkan sokongan rakyat lalu membuat manifesto untuk jatuhkan lawan mereka hanya kerana undi. Akhirnya rakyatlah juga yang menjadi mangsa sebuah penipuan.

Perubahan yang diperlukan oleh umat Islam bukanlah dengan manifesto yang indah-indah tetapi masih dalam kerangka sistem yang sama. Sebaliknya umat Islam wajib membuang sistem pemerintahan dan amalan politik demokrasi yang dilaksanakan ketika ini untuk digantikan dengan sistem Islam iaitu Khilafah.


Biar Dr. Mahathir habiskan penggal

KUALA LUMPUR 3 Okt.- Tun Dr. Mahathir Mohamad seharusnya dikekalkan sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal ini tanpa perlu menyerahkan jawatan tersebut kepada mana-mana pihak. Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, ini kerana Dr. Mahathir telah memainkan peranan yang baik malah berjanji membantu memulihkan ekonomi negara [Sumber: Utusan Online, 3/10/2019].

Komen:

Para ahli politik utama di dalam negara kini sememangnya sedang bermain ‘politik dalam politik’ daripada melaksanakan politik dengan baik. Sebab itu munculnya isu tempoh jawatan Perdana Menteri ini. Walaupun ia dikatakan satu konsesus dalam PH, namun hal ini merencatkan tugas-tugas untuk memulihkan situasi rakyat yang selama ini dicanang oleh PH sendiri.

Soal siapa layak dan berapa lama tempoh jawatan seseorang pemimpin tertinggi umat Islam yang seharusnya menjadi ukuran kita ialah Islam. Namun ahli politik sekarang tidak lagi memandang hal ini dengan sudut pandang Islam, sebaliknya lebih kepada kepentingan peribadi dan manfaat mereka semata-mata. Dalam masa yang sama, apakah bentuk sistem pemerintahan dan kepimpinan yang diterapkan ialah asas kepada persoalan ini. Tiada gunanya bertukar pemimpin tetapi ia masih mengekalkan sistem yang sama [Baca: https://mykhilafah.com/sn347-tempoh-waktu-kepimpinan-dalam-islam/].


Hanya Melayu boleh pulih maruah Melayu – Tun M

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan hanya Melayu yang boleh memulihkan maruah bangsa itu sendiri, namun ia bergantung kepada kesediaan mereka untuk bekerja keras dan mengambil segala peluang diberikan kerajaan. Perdana Menteri berkata, walaupun kerajaan dipimpin oleh orang Melayu, ia tidak boleh memulihkan maruah bangsa itu sekiranya mereka sendiri tidak mahu berusaha mengubah nasib [Sumber: BH Online, 6/10/2019].

Komen:

Orang Melayu dilihat lesu serta masih dalam keadaan mundur berbanding kaum lain di Malaysia. Maka perlu dibangkitkan semula serta dikembalikan hak dan maruah mereka yang selama ini dicabar atau dirampas oleh sesetengah pihak. Maka diadakan Kongres Maruah Melayu beserta resolusi-resolusi yang ditawarkan bagi memperbaiki keadaan serta menyelesaikan dilema orang Melayu.

Apa yang menarik, Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dijemput untuk memberikan amanat orang Melayu. Sedangkan persepsi kedudukan politik dan hak orang Melayu semakin terhakis ini muncul tatkala beralihnya tampuk pemerintahan kepada PH yang kini sedang diterajui oleh Tun Dr Mahathir.

Oleh sebab itu ada yang melihat ini sekadar amanat yang berunsur ‘politik’, bahkan beranggapan apa yang Tun M ucapkan tersebut sebenarnya menghina orang Melayu dan tidak berubah daripada apa yang beliau pernah ucapkan sebelum ini lagi.

Hakikat kebangkitan yang perlu kita sedar ialah ia bermula dengan pemikiran. Ketika melihat orang Melayu mundur, maka pemikirannya-lah yang perlu diubah untuk bangkit dan mengubah nasib mereka sendiri. Tetapi, kebangkitan seperti apa yang ingin kita capai juga merupakan persoalan penting yang perlu dijawab [Baca: https://mykhilafah.com/sn027-melayu-ke-arah-kebangkitan-sebenar/].