Sorotan Mingguan (23 – 30 September 2019)

  • Pesawah masih miskin kerana diikat dasar zaman penjajah, kata pakar ekonomi
  • Jangan propemaju
  • Anwar mesra agenda asing, wajib ditolak
  • PM: Negara besar, kecil tak hormat PBB

Pesawah masih miskin kerana diikat dasar zaman penjajah, kata pakar ekonomi

Pakar ekonomi, Prof Jomo Kwame Sundaram mencadangkan dasar pertanian negara dirombak kerana petani dan pesawah masih menjadi golongan termiskin walaupun mendapat subsidi kerajaan. Masalah itu didapati berpunca daripada dasar yang diwarisi dari zaman penjajah dan undang-undang Tanah Rizab Melayu yang mengehadkan penggunaan tanah [Sumber: Free Malaysia Today, 24/9/2019].

Dasar yang mengehadkan penggunaan tanah bukan sahaja menyebabkan petani dan pesawah tidak dapat memanfaatkan tanah secara optimum, bahkan mengakibatkan banyak tanah-tanah terbiar dan tidak dibangunkan sebaik mungkin ekoran sekatan-sekatan yang dikenakan dalam undang-undang serta dasar warisan penjajah.

Dalam Islam, tanah-tanah pertanian yang terbiar selama lebih daripada tiga tahun akan diambil alih oleh negara dan diserahkan kepada pihak yang berkemampuan untuk mengusahakannya. Amalan ini dikenali sebagai ihya ul-mawat (menghidupkan tanah mati). Selain itu, petani dan pesawah juga wajar dibenarkan untuk mengusahakan pelbagai jenis tanaman mengikut kesesuaian dan garis panduan bagi menjamin pertanian lestari. Langkah sebegini secara tidak langsung mampu membuka peluang kepada golongan tersebut untuk menjana lebih hasil dan membantu meningkatkan ekonomi negara. Hal ini sekaligus dapat meningkatkan keselamatan makanan (food security) yang merupakan sebahagian daripada faktor jaminan kemandirian sesebuah negara.

Dalam pada itu, mekanisme dan pelaksanaan penyerahan subsidi juga perlu diteliti, termasuklah dari sudut teknikal seperti kesesuaian jenis dan gred baja, jumlah, dan teknik pertanian yang digunakan. Dikhuatiri peruntukan subsidi tersebut dimanipulasi melalui apa yang dikatakan subsidi harga, di mana harga ditukar ke paras lebih tinggi daripada harga dunia.


Jangan Propemaju!

Kerajaan Pakatan Harapan diingatkan supaya ‘kembali merujuk dan mengambil semangat retorik manifesto mereka sendiri yang sangat prorakyat, bukan propemaju’. Saranan tersebut dicetuskan berhubung isu lambakan rumah tidak terjual yang sudah lama membelenggu negara. Antara langkah yang dilihat propemaju termasuklah tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang melancarkan kempen rumah mewah kepada warga Hong Kong dan China, serta cadangan Menteri Kewangan supaya melonggarkan syarat pinjaman yang lebih menguntungkan pemaju berbanding rakyat [Utusan Malaysia, 25/9/2019].

Dalam sistem kapitalis, hubungan erat antara golongan pemodal (kapitalis) dengan kelompok elit politik dalam pemerintahan merupakan suatu hakikat yang sukar untuk dinafikan. Meskipun parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya bersungguh-sungguh menonjolkan imej prorakyat, namun kepentingan golongan pemodal terutamanya yang rapat dengan pemerintah sentiasa diberikan keutamaan dalam menggubal sebarang dasar mahupun ketika membuat sebarang keputusan. Masakan tidak, proses kempen pilihan raya menelan belanja yang cukup besar. Terdapat golongan pemodal yang menyalurkan dana pilihan raya, dan pastinya sumbangan tersebut tidak dibuat melainkan agar mereka beroleh imbalan daripadanya.

Berbalik kepada kempen yang dilancarkan, langkah tersebut secara tidak langsung membantu menguntungkan pemaju dan menggalakkan mereka untuk terus membina projek-projek rumah mewah kerana disokong oleh kerajaan. Pastinya harga rumah akan terus melonjak kerana wujud permintaan terutamanya terhadap perumahan mewah. Manakala kesannya turut melibatkan peningkatan harga rumah mampu milik.


Anwar mesra agenda asing, wajib ditolak

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sangat mesra dengan pimpinan asing yang beragenda Liberalisme dan Pluralisme. Justeru, rakyat digesa supaya ‘wajib menolak kepimpinan PH yang menjadi agen campur tangan asing dalam merosak dan meracuni pemikiran masyarakat serta melakukan penjajahan bentuk baru di negara ini’ [Sumber: Harakahdaily, 25/9/2019].

Kuasa-kuasa besar sentiasa mencari ruang untuk mendominasi percaturan politik antarabangsa, antaranya termasuklah dengan menaikkan ejen-ejen mereka untuk memegang tampuk pemerintahan di negara-negara kecil. Pelbagai langkah dan strategi dilaksanakan bagi memastikan pemimpin yang diangkat di negara-negara kecil bertindak mengikut polisi kuasa-kuasa besar. Pendekatan yang digunakan pula berbeza-beza, adakalanya melalui sokongan pilihan raya dan ada pula melalui pertukaran rejim. Namun matlamatnya tetap sama.

Di samping itu, perlu disedari juga bahawa penjajahan bentuk baru bukan hanya melalui usaha menaikkan ejen sebagai pemimpin semata-mata. Sebaliknya hegemoni dan dominasi kuasa besar juga dikekalkan melalui penerapan sistem demokrasi kapitalis sekular dalam konteks negara bangsa seperti hari ini. Situasi sebegini menjadikan umat Islam terus berada dalam keadaan berpecah-pelah, lemah, dan mudah untuk diperkotak-katikkan dalam percaturan geopolitik antarabangsa.


PM: Negara besar, kecil tak hormat PBB

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, negara-negara berkuasa dan kecil sama-sama tidak menghormati Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Menurutnya lagi, negara-negara besar mengabaikan resolusi PBB, dan negara kecil juga akan mengikutinya [Sumber: Malaysiakini, 26/9/2019].

Peranan PBB ditubuhkan bertujuan sebagai instrumen untuk mengekalkan hegemoni kuasa-kuasa besar mengikut acuan tatacara yang menguntungkan kuasa-kuasa tersebut. Melalui konvensyen-konvensyen antarabangsa dan program-program tajaan badan dunia tersebut, negara-negara kecil ditundukkan agar menuruti tatacara dunia sepertimana yang dikehendaki oleh kuasa-kuasa besar. Dalam masa yang sama, apabila ketetapan atau resolusi yang dikeluarkan oleh badan tersebut bertentangan dengan kepentingannya, maka mereka menggunakan kuasa veto yang ada atau langsung tidak mempedulikan ketetapan tersebut sama sekali.

Manakala negara-negara kecil pula, meskipun boleh bertindak mengabaikan PBB, namun mereka juga berhadapan dengan ancaman dipulaukan daripada ‘masyarakat antarabangsa’ dan dilabel sebagai pariah state – melainkan jika negara kecil tersebut didokong oleh kuasa besar yang mempunyai kepentingan di negara tersebut. Amat malang sekali apabila negara-negara umat Islam memilih untuk terus tunduk kepada tatacara dunia ini sedangkan jelas ia bukan sahaja merugikan umat Islam, bahkan menyebabkan umat ini terus ditindas.