SN027 – MELAYU…. KE ARAH KEBANGKITAN SEBENAR

PDF

SN Keluaran 2005

alt

[SN027] Sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu pernah cemerlang. Tidak dinafikan bangsa Melayu memang memiliki asas jati diri yang kuat, berdaya tahan utuh, mempunyai unsur keupayaan untuk bersaing, mampu menyesuaikan diri dan menyumbang kepada survival bangsa serta kesinambungan kuasa pemerintahan. Orang Melayulah yang memainkan peranan utama dalam menubuhkan Kerajaan Sri Wijaya di Palembang dan orang Melayu jugalah yang mempelopori Kerajaan Langkasuka, Majapahit dan Gangga Negara. Orang Melayulah yang mula-mula menyahut seruan Islam di Melaka. Orang Melayulah juga yang menerajui kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka, Demak, Acheh, Ligor dan Champa; menjadi pejuang di barisan depan yang menentang penjajah dan berjaya mencapai kemerdekaan. Orang Melayu pernah bangkit dengan berani menidakkan kata-kata kuasa besar dengan berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan kebenaran. Walhal, tercatat dalam sejarah, bahawa banyak bangsa lain yang telah tenggelam ditelan zaman dan pengaruh pihak penjajah – Aztec dan Maya di Amerika Selatan, Gipsi di Eropah, Red Indian di Amerika dan pribumi Aborigines di Australia dan Kepulauan Pasifik. Inilah hakikat sejarah bangsa Melayu.

Ketika merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri dengan tema Kesinambungan dan Perubahan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Najib Tun Razak mengatakan …“kita perlu berubah daripada sikap sambil lewa kepada sikap bersunguh-sungguh, daripada sikap berlebih kurang kepada sikap lebih tepat, daripada kepercayaan karut marut kepada kepercayaan saintifik dan daripada pemikiran beremosi kepada pemikiran rasional, daripada tumpuan taktikal kepada pemikiran strategik dan seterusnya daripada pemikiran bercelaru kepada pemikiran yang mementingkan keutamaan” [Harian Metro 17 Julai 2005]

Menurutnya lagi, “…untuk menjadi satu bangsa yang perkasa dan berjaya, orang Melayu harus berusaha untuk berada pada satu tahap yang lebih baik daripada bangsa lain. Inilah masa terbaik untuk memulakan usaha ke arah memastikan kejayaan bangsa Melayu dengan melakukan perubahan…”.

Dalam pada itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap menutup Konvensyen Umno Johor 2005 mengatakan. “Perjuangan bangsa dan tanggungjawab untuk menjayakannya adalah melalui perpaduan kukuh dan teguh yang boleh dicapai melalui tiga prinsip penting iaitu mesti serius dalam apa yang dilakukan, mempunyai perasaan penyayang serta ihsan selain bersikap adil dan saksama”. Isu membangkitkan orang Melayu sememangnya akan menjadi antara agenda utama setiap kali menjelangnya Perhimpunan Agung Umno. Namun melihat realiti orang Melayu yang masih dihimpit kemiskinan, dilemma siswazah mengganggur, peningkatan kes buli & bunuh, rasuah politik wang yang terus subur, gejala penagihan dadah, peningkatan kes HIV, karenah birokrasi dalam melayan keperluan rakyat dan seribu satu macam masalah seakan-akan terus menghambat dan melengahkan usaha ke arah itu. Sepertimana ucapan di atas, orang Melayu digesa untuk mengubah sikap dan pemikiran usang mereka ke takuk yang baru. Memang benar orang Melayu boleh berubah dan bergerak menuju era kebangkitan. Namun yang menjadi persoalannya, apakah memadai perubahan itu dilakukan dalam rangka memperbaiki status quo orang melayu semata-mata atau perubahan secara menyeluruh untuk membangkitkan umat mengikut ukuran Islam? Sautun Nahdhah kali ini mengajak pembaca budiman untuk merenung apakah bentuk kebangkitan yang sebenar.

KEBANGKITAN SEBENAR UMAT

Asas kepada kebangkitan umat ialah dengan meningkatkan kualiti pemikiran. Kebangkitan bermula dengan terbentuknya pemikiran, yang dengannya, terbentuk mafhum (kefahaman) mengenai realiti yang ada disekitar kita. Bermula dari proses berfikir yang benar, mengikut jalan berfikir yang dijelaskan di dalam Al-Quran, akan terbentuk aqidah (keyakinan) yang luhur. Seterusnya daripada aqidah tersebut akan terbentuk qaidah fikriyyah (kaedah berfikir) yang digunakan untuk membuat keputusan (kesimpulan) yang disertai dengan kesedaran penuh akan hubungan diri dengan Allah swt. Kaedah berfikir ini akan menjadi landasan dalam memahami satu-satu permasalahan. Dengan kaedah berfikir Islam yang benar ini segala permasalahan yang timbul akan difahami dengan jelas, sesuai dengan sudut pandangan dan ruang lingkup Islam. Seterusnya kefahaman yang Islami ini akan mempengaruhi muyul (kecenderungan) atau sikap seseorang individu – ini berlaku apabila dorongan keperluan jasmani dan naluri manusia diikat dengan mafhum yang Islami. Inilah kebangkitan yang sebenarnya – kebangkitan yang diasaskan kepada pemikiran dan aqidah Islam.

Apa yang kita saksikan hari ini mengenai apa yang sedang berlaku di dalam dunia Islam umumnya dan di negara kita khususnya menjadi bukti yang amat jelas bahawa apabila Islam tidak dilaksanakan sepenuhnya di dalam kehidupan, maka timbullah bermacam-macam permasalahan. Masalah bangsa Melayu sering diterjemahkan melalui ungkapan Melayu Mudah Lupa, Melayu Layu, Melayu Malas, Melayu Makin Mundur dan sebagainya dan ini tidak dapat dipisahkan dari sikap orang Melayu sendiri yang tidak mahu berfikir secara serius mencari jawapan yang menghantar kepada penyelesaian masalah mereka. Apakah bangsa Melayu Islam rela generalisasi sebegini terus-menerus dilabelkan pada diri mereka tanpa berusaha untuk mencari punca dan penyelesaiannya? Apakah bangsa Melayu tidak ingin melihat aspirasi untuk membentuk bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang terealisasi? Sangatlah menyedihkan apabila langkah-langkah yang disarankan untuk membangkitkan bangsa Melayu hanyalah berkisar di sekitar peningkatan taraf perekonomian, penyemaian nilai-nilai murni, memperkasakan sistem pendidikan atau meningkatkan penguasaan bahasa asing tanpa penekanan yang serius kepada peningkatan taraf berfikir umat.

Perlu diingatkan bahawa perjuangan yang hanya disandarkan kepada unsur assobiyyah bangsa Melayu semata-mata tidak akan membawa kita ke mana-mana, sebaliknya, perjuangan dan kebangkitan orang Melayu haruslah dibincangkan di dalam konteks bangsa Melayu sebagai penganut Deen Islam. Hari ini, pemimpin-pemimpin Melayu yang sering melaungkan slogan perubahan pada hakikatnya telah gagal menerapkan perubahan yang menyeluruh di dalam diri mereka dan negara ini. Hakikatnya, sejak kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957, kita, sebagai bangsa Melayu Muslim masih lagi berpegang kepada idea sekularisme; tiada perubahan mendasar yang dapat diperhatikan dalam menerapkan sistem Islam secara menyeluruh di dalam negara. Sewajarnya, para pemimpin Melayu Muslim yang melaungkan slogan-slogan perubahan ini haruslah mengorak langkah untuk memaparkan contoh perubahan yang mereka laungkan namun hakikatnya mereka hanyalah pandai beretorik tentang perubahan. Keadaan negara tetap sama; sistem yang diterapkan tetap sahaja sistem yang tidak Islami – yang tidak akan dapat menyelesaikan masalah-masalah yang wujud akibat dari tiadanya Islam di dalam kehidupan.

Oleh itu, perubahan yang sewajarnya ditempuh adalah dengan mendirikan pemerintahan Islam dan ianya mestilah dibangunkan di atas landasan pemikiran Islam. Bagi mencapai tujuan ini, umat, terutama kaum Melayu perlulah ditanamkan dengan pendidikan dan pemikiran Islam yang luhur, yang dibina di atas landasan aqidah Islam yang murni. Dengan demikian, kesedaran umat, khasnya golongan Melayu untuk terikat dengan seluruh perintah, larangan dan hukum-hukum Allah akan dapat diwujudkan. Jika ini dapat dilakukan oleh umat, maka akan tercapailah kebangkitan yang pasti.

Contoh terbaik yang dapat dijadikan teladan adalah sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah Saw. Tatkala Allah membangkitkannya dengan risalah Islam, baginda menyeru umat manusia kepada aqidah Islam. Ini tidak lain bererti menyeru kepada suatu pemikiran – pemikiran yang mendasari pandangan hidup seseorang. Dan tatkala penduduk kota Madinah dari kalangan kabilah Aus dan Khazraj dapat disatukan dengan aqidah Islam, yakni dengan pemikiran ini, mereka mula memiliki arah tertentu yang memimpin kehidupan mereka. Di sinilah pemerintahan Islam mula dibina di atas dasar aqidah.

Rasulullah saw pernah bersabda “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sampai mereka mengatakan ‘Laa ilaha illallah Muhammad Rasulullah’, Apabila mereka mengucapkannya, maka terpeliharalah darahnya dan hartanya kecuali ditumpahkan dan diambil dengan cara yang haq (benar)”. Hadis ini pada hakikatnya menyeru kepada satu pemikiran, satu aqidah – yang akan menjadi asas kepada kebangkitan umat. Setelah pemerintahan diraih di kota Madinah maka pemikiran Islam, yang merupakan dasar kebangkitan umat mula tersebar ke kawasan lain di didalam jazirah Arab. Akhirnya dalam beberapa tahun selepas kewafatan Rasul bangsa-bangsa lain mula memeluk Islam dan meyakini pemikiran ini. Dalam beberapa tahun telah termanifestasi kebangkitan umat – kebangkitan sebenar yang didasari oleh aqidah dan pemikiran Islam.

Jalan atau thariqah (landasan yang telah ditentukan oleh syara’) untuk mencapai kebangkitan itu adalah dengan menegakkan pemerintahan yang didasarkan kepada pemikiran, bukan didasarkan kepada peraturan, perundangan ataupun hukum yang dipaksakan. Hakikat ini sebenarnya berlaku bukan sahaja untuk Ad-Deenul Islam tetapi juga bagi ideologi-ideologi dunia lain. Kebangkitan suatu umat atau bangsa hanya akan dapat direalisasikan sekiranya ia didasarkan kepada pemikiran/aqidah yang dianuti oleh umat/bangsa tersebut. Penegakkan negara yang didasarkan kepada perundangan dan hukum yang dipaksakan tidak mungkin mencapai kebangkitan. Bukti kenyataan ini cukup banyak. Antaranya adalah seperti apa yang telah dilakukan oleh Mustafa Kamal di Turki. Beliau menegakkan pemerintahan di atas dasar dan perundangan Barat yang dipaksakan keatas rakyat. Kemudian, di atasnya dibangunkan pemerintahan. Beliau melaksanakannya dengan sepenuh usaha melalui strategi pemaksaan, ugutan dan sebagainya. Meskipun demikian, Turki tetap saja tidak mampu meraih kebangkitan yang diinginkan. Turki tetap tidak mampu bangkit malah mengalami kemunduran demi kemunduran. Pada masa yang sama, Lenin (1917M) yang muncul pada zaman yang hampir sama dengan Mustafa Kamal (1924M) mampu membangkitkan Rusia sehingga menjadi negara yang kuat. Sebabnya tiada lain kerana Lenin mendirikan pemerintahannya di atas landasan pemikiran yang secara umumnya di’anuti’ oleh bangsanya, iaitu pemikiran Komunisme. Dari pemikiran ini muncul penyelesaian-penyelesaian terhadap masalah kehidupan sehari-hari, yang berupa peraturan dan perundangan yang menjadi penyelesaian terhadap segala permasalahan dalam bentuk hukum yang bersandar kepada pemikiran tersebut. Dengan kata lain, dari pemikiran ini dibangunkan pemerintahan dan seterusnya ia membawa kepada kebangkitan suatu umat/bangsa. Eropah, sebagai contoh yang lain, tatkala mengalami kebangkitan, ia didasarkan pada suatu pemikiran – pemisahan urusan agama dengan negara dalam kehidupan (sekularisme) dan kebebasan. Begitu juga dengan Amerika, tatkala mengalami kebangkitan, ia didasarkan pada pemikiran yang sama, iaitu sekularisme dan kebebasan.

Walaubagaimanapun, kebangkitan yang didasari oleh suatu pemikiran/aqidah ini tidak secara automatik membawa pengertian bahawa kebangkitan tersebut adalah kebangkitan yang benar. Kebangkitan yang berlaku di Eropah, Amerika dan Rusia ini merupakan kebangkitan yang bathil (salah) kerana tidak di dasari oleh asas ruhiyah (kesedaran akan hubungan manusia dengan pencipta iaitu Allah Swt). Kebangkitan yang sahih (benar) adalah kebangkitan yang didasari oleh asas ruhiyah dan hanya Islamlah ideologi yang membekalkan umatnya dengan asas ini.

Bangsa Arab, tatkala mengalami kebangkitan, didasarkan kepada pemikiran Islam. Di atas landasan aqidah Islam, pemerintahan dan kekuasaan Islam ditegakkan. Bangsa Arab bangkit tatkala mereka meyakini dan berpegang teguh kepada pemikiran Islam dan di atasnya dibangunkan pemerintahan dan kekuasaan. Semua ini menjadi bukti yang pasti bahawa jalan untuk mencapai kebangkitan adalah dengan menegakkan pemerintahan di atas suatu pemikiran dan bukannya di atas dasar perundangan atau hukum yang dipaksakan keatas sesuatu umat atau bangsa.

POTENSI KEBANGKITAN DALAM DIRI UMAT ISLAM.

Ketika penghuni Eropah mula meniti jalan kebangkitan, maka muncul beberapa nama yang membincangkan tentang kebangkitan (renaissance) – Immanuel Kant, Montesque, Adam Smith, John Stuart Mill dan lain-lain intelektual barat yang lain yang tidak mampu kami paparkan semuanya. Pada waktu itu, karya-karya mereka dikaji berulang-ulang oleh mereka yang dahagakan kebangkitan. Apa yang jelas dari penulisan-penulisan ini adalah pemahaman bahawa kebangkitan = anjakan paradigma. Pada zaman itu, bagi mereka, apa yang harus dilakukan adalah meletakkan akal manusia sebagai piawai dan menolak dogma gereja sejauh-jauhnya.

Hakikat ini diulangi oleh seorang pakar motivasi masyhur, Stephen R. Covey yang menggambarkan bahawa “Manusia berubah berasaskan konsep”. Tamadun Barat yang berusia kurang dari 300 tahun ini baru sahaja menemukan jawapan untuk kebangkitan, sedangkan Islam, lebih 1400 tahun yang lepas telah mengajar erti sebuah kebangkitan. Islam telah mampu membangkitkan manusia dan telah mengajarkan bahawa sebuah kebangkitan hanya boleh dikecapi melalui perubahan konsep yang menyeluruh dalam hidup. Ini tertuang di dalam Al-Quran dimana Allah swt berfirman

“Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah keadaan yang ada pada suatu kaum, sehingga kaum itu sendiri mengubah keadaan yang ada pada diri mereka”. [TMQ Ara’du 13: 11]

Dari ayat di atas, umat harus mengubah keadaan yang ada pada diri mereka melalui peningkatan taraf berfikir yang didasarkan pada asas ruhiyah. Contohnya, apabila mengamalkan sistem ekonomi, umat Islam tidak menjadikan asas manfaat sebagai ukuran, malah sentiasa menjadikan aqidah Islam dan keterikatan dengan hukum Allah, kesan dari kesedaran akan hubungannya dengan Allah, sebagai ukuran. Umat Islam harus yakin bahawa potensi kebangkitan dalam diri mereka sentiasa terbuka. Yang jelas, jika kebangkitan yang dijana tidak berdasarkan Islam, maka kebangkitan itu berjalan di atas dasar yang salah. Inilah realiti musuh-musuh Islam seperti Amerika dan sekutunya. Mereka mampu dan boleh mengisytiharkan negara mereka sebagai negara maju, namun taraf berfikir bangsanya masih primitif dan bersifat haiwaniyah. Pemikiran rendah ini termanifestasi ketika mereka memerlukan sumber alam yang tidak atau kurang terdapat di negara mereka. Mereka dengan sewenang-wenangnya menjajah Iraq, membunuh rakyatnya dan merampas kekayaan minyaknya tanpa memperdulikan aspek moral/ruhiyyah dalam melaksanakan tindakannya itu. Ini jelas bertentangan dengan kebangkitan yang didasarkan kepada Islam.

KHATIMAH

Hakikatnya, di dalam rahim umat Islam sudah lahir berjuta-juta Muslim yang memiliki potensi besar, baik sebagai ulama, ilmuan, saintis, teknokrat, ataupun usahawan. Malah kekayaan sumber alam yang melimpah ruah di sebahagian besar wilayah negara-negara Islam mampu menjana kebangkitan yang diinginkan. Sayangnya, ibarat penyapu yang lidinya bertaburan, sumber umat Islam tidak dapat difokuskan agar boleh digunakan secara efektif. Ketahuilah, umat ini telahpun mempunyai modal yang cukup kuat untuk bangkit. Yang perlu dilakukan adalah menggiatkan da’wah agar umat Islam kembali kepada Islam, dengan menjadikan syari’at Islam sebagai tolok ukur (miqyas) dalam menyelesaikan setiap permasalahan kehidupannya. Jika umat telah bangkit taraf berfikirnya, tentu saja mereka menginginkan agar Islam mengatur kehidupannya. Marilah kita merenung hadis Rasulullah.


“Masa kenabian akan hadir di tengah-tengah kalian selama Allah menghendaki. Allah kemudian mencabutnya apabila Dia berkehendak untuk mencabutnya. Muncullah kemudian Khilafah yang tegak di atas manhaj kenabian yang akan tetap ada selama Allah menghendakinya. Allah lalu mencabutnya apabila Dia berkehendak untuk mencabutnya. Muncullah kemudian kekuasaan yang zalim selama Allah menghendakinya. Allah kemudian mencabutnya apabila Dia berkehendak untuk mencabutnya. Selanjutnya, muncullah kembali Khilafah yang tegak diatas manhaj kenabian. Setelah itu, Rasulullah saw diam” [HR Ahmad]

Allah swt. berjanji bahawa umat Islam akan bangkit semula dengan menegakkan kembali kepimpinan Khilafah menurut minhaj kenabian. Inilah manifestasi kebangkitan sebenar bagi umat Islam. Dan bagi bangsa Melayu, inilah perubahan dan kebangkitan yang kita inginkan selama ini. Dengan kebangkitan Islam sahajalah, tidak Melayu hilang di dunia!!