Sorotan Mingguan (14 – 20 Oktober)

  • Kerajaan wajar dahulukan rakyat, bukan korporat
  • Tak perlu hapus Sosma, perbaiki saja – Mat Sabu
  • Debat Piala Tun Razak: Tak salah tapi tak sesuai

Kerajaan wajar dahulukan rakyat, bukan korporat

Kuala Lumpur: Kerajaan wajar menyediakan dana sosial sejajar usaha mengotakan iltizam meningkatkan taraf hidup rakyat, dan bukannya dana korporat yang hanya memanfaatkan golongan kaya. Demikian saranan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat. [Sumber: Berita Harian, 17/10/2019]

Komen:

Saranan tersebut datang daripada ahli parlimen yang berada di pihak kerajaan di saat Belanjawan 2020 menerima kritikan daripada pihak pembangkang dan dilabel sebagai ‘Belanjawan Kapitalis’. Meskipun belanjawan kali ini dibuat bertemakan “Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif yang Berkualiti ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi”, namun sejauh manakah tema tersebut direalisasikan dalam pelaksanaan belanjawan kali ini masih boleh dipertikaikan.

Dalam pada itu, pihak pembangkang pula perlu sedar bahawa ketika mereka memerintah dahulu, mereka juga banyak melaksanakan dasar yang pro golongan pemodal sepertimana yang mereka kritik pada hari ini. Dalam sistem demokrasi sekular kapitalis, hubungan erat antara golongan pemodal dan oligarki elit politik merupakan suatu kelaziman yang tidak dapat dinafikan.

Kerajaan PH seringkali menyalahkan pemerintahan BN terdahulu apabila mereka gagal menunaikan janji-janji yang ditabur. Manakala pihak pembangkang pula sentiasa mencari-cari kesalahan kerajaan hari ini. Sedangkan hakikatnya meskipun kerajaan bersilih ganti, namun kemelut tidak akan selesai selagimana sistem kapitalisme yang rosak ini masih diterapkan.


Tak perlu hapus Sosma, perbaiki saja – Mat Sabu

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan kerajaan tidak perlu memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), sebaliknya ia hanya perlu diperbaiki. [Sumber: Malaysiakini, 15/10/2019]

Komen:

Sosma merupakan sebuah akta yang zalim serta bertentangan dengan prinsip keadilan dalam Islam yang berasaskan kaedah syarak yang muktabar iaitu al-aslu bara’atu zimmah (tidak bersalah sehingga disabitkan bersalah). Penahanan di bawah SOSMA menyebabkan seseorang itu dihukum sebelum bersalah.

Dalam manifesto Pakatan Harapan untuk PRU ke-14 lalu, mereka telah berjanji untuk “memansuhkan peruntukan-peruntukan yang zalim” dalam beberapa buah akta, termasuklah SOSMA. Namun hakikatnya, SOSMA itu sendiri merupakan sebuah akta yang zalim secara keseluruhannya.

Tidak dinafikan, keselamatan dan keamanan dalam negara merupakan perkara yang sangat penting. Namun matlamat tidak menghalalkan cara, apatah lagi dengan pelaksanaan undang-undang drakonian buatan manusia yang zalim serta menindas sebegini.


Debat Piala Tun Razak: Tak salah tapi tak sesuai

Usul-usul yang dipilih untuk peserta debat Piala Tun Razak baru-baru ini – secara teknikal – sebenarnya boleh dibahaskan tetapi ia mungkin tidak sesuai apabila membabitkan pelajar sekolah menengah rendah. [Sumber: Malaysiakini, 16/10/2019]

Komen:

Debat merupakan salah satu cara untuk berhujah antara dua pihak atau lebih. Hujah-hujah yang disampaikan semasa berdebat pastinya dilengkapi dengan fakta-fakta yang akan menyokong hujahan serta membidas balik hujahan pihak lawan. Namun sekiranya tajuk debat sahaja sudah tersasar, masakan pula ia boleh ditegakkan dengan ‘fakta’ yang pastinya tidak akan ada. Jika ada tajuk perdebatan sebegini, ia tidak lain hanyalah merupakan cara halus untuk menormalisasikan sesuatu yang sukar diterima oleh masyarakat, lebih-lebih lagi ia merupakan sesuatu yang diharamkan oleh Islam.