Sorotan Mingguan (7 – 13 Oktober)

  • Kes sumbang mahram dituduh di mahkamah meningkat
  • AS sekat visa pegawai China, desak Beijing henti tindas Uighur
  • Kerajaan sedia jual PLUS
  • BTS berjaya adakan konsert di Arab Saudi

Kes sumbang mahram dituduh di mahkamah meningkat

KUALA LUMPUR: Bilangan kes sumbang mahram yang dituduh di mahkamah tahun ini meningkat berbanding tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong. Beliau berkata sehingga Ogos, 57 kes direkodkan berbanding 21 kes sepanjang tahun lepas. [Sumber: astroAWANI, 7/10/2019]

Komen:

Seperti kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat. Maka tuntutan untuk mengatasi perbuatan tidak bermoral seperti ini hanya dapat dikembalikan kepada pemikiran dan penyelesaian Islam, bukan dari sudut pandang akal manusia yang lemah.

  • Bermula dalam institusi kekeluargaan dengan kekuatan iman dan ketaqwaan serta pemahaman mengenai halal dah haram.
  • Pendidikan batas-batas kehidupan umum dan khusus yang ditetapkan Islam. Kehidupan berkeluarga yang termasuk dalam kehidupan khusus seperti batasan aurat mahram dan berpakaian antara mahram, pengasingan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan.
  • Islam turut melarang anak-anak untuk masuk ke dalam bilik ibu bapa mereka dalam tiga waktu (selepas isya’, sebelum Subuh dan Zuhur). Anak-anak perlu mengetuk pintu bilik ibu bapa dalam tiga keadaan tersebut.

Hal ini merupakan peranan bapa sebagai ketua keluarga dan ibu sebagai pembimbing anak-anak untuk mewujudkan suasana Islami dalam keluarga mereka. Di samping itu, pengaruh masyarakat dan trend semasa sangat berpengaruh dalam institusi kekeluargaan. Maka setiap perkara yang dapat mencemarkan kehormatan diri dalam masyarakat wajib dicegah. Perkara ini termasuk dalam peranan pemerintah yang tidak boleh diabaikan.


Kerajaan sedia jual PLUS

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia menjual PLUS Malaysia Bhd (PLUS) jika nilainya bersesuaian dengan bidaan ditawarkan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata kerajaan akan tetap memastikan masih memiliki kepentingan saham di dalam syarikat berkenaan walaupun sudah dijual. [Sumber: BH Online, 7/10/2019]

Komen:

Sama ada kerajaan membuat keputusan untuk menjual kepentingannya dalam PLUS mahupun tidak, kedua-duanya tetap sahaja menzalimi rakyat yang akan terus dipalit cukai (tol). Realiti amalan kapitalisme, sesuatu hutang akan ditutup dengan hutang lain, penjualan aset atau daripada cukai yang menjadi sumber utama pendapatan negara kapitalis.

Berbeza dalam sistem Islam yang menjadikan jalan raya sebahagian daripada tanggungjawab negara untuk menyediakannya tanpa mengenakan bentuk cukai seperti tol yang menzalimi rakyat. Tidak akan timbul persoalan penjualan kepentingan syarikat konsesi tol kerana menurut syariat, jalan raya termasuk dalam pemilikan umum manakala negara bertanggungjawab menguruskannya. [Baca: https://mykhilafah.com/sn151-tol-sampai-bila-pemerintah-mahu-menanggung-dosa/]


 AS sekat visa pegawai China, desak Beijing henti ‘tindas’ Uighur

WASHINGTON: Amerika Syarikat akan menyekat pengeluaran visa bagi pegawai China sehingga Beijing menghentikan penindasan ke atas etnik Uighur dan umat Islam di wilayah Xinjiang, sehari selepas ia melaksanakan sekatan perdagangan ke atas negara itu. Tindakan kerajaan pimpinan Presiden Donald Trump itu adalah langkah paling tegas pernah dilaksanakan kuasa asing bagi menyahut gesaan kumpulan hak asasi ke atas krisis di Xinjiang dan susulan satu siri persengketaan antara AS dan China. [Sumber: freemalaysiatoday, 9/10/2019]

Komen:

Tindakan AS di bawah pentadbiran Trump ini pastinya meningkatkan lagi ketegangan dua buah kuasa besar yang sedang bersaing hebat dalam perang perdagangan bagi menguasai ekonomi dunia. Sungguhpun demikian, keikhlasan AS dalam membela nasib Uighur boleh dipertikaikan, kerana mungkin ia sekadar justifikasi atau alasan untuk negara tersebut mengambil tindakan bagi menyekat kemaraan China. Lihat sahajalah rekod jenayah AS terutamanya ke atas umat Islam selama ini.

Namun, apa yang lebih mengharukan adalah apabila tiada satu pun negara umat Islam yang bertindak tegas ke atas China melainkan sekadar retorik kosong yang tidak disusuli tindakan tuntas. Apakah renminbi dan imbalan daripada projek mega OBOR lebih bernilai daripada nyawa dan maruah Muslim Uighur yang ditindas rejim komunis China?


BTS berjaya adakan konsert di Arab Saudi

RIYADH – Kumpulan K-Pop terkenal dari Korea Selatan, BTS berjaya mengadakan konsert sulung mereka di Arab Saudi semalam. Kumpulan yang terdiri daripada tujuh anak muda itu beraksi di hadapan lebih 30,000 peminat fanatik mereka di Stadium Antarabangsa Raja Fahd di Riyadh. [Sumber: Sinar Harian, 12/10/2019]

Komen:

Generasi umat Islam terdahulu telah membebaskan bumi arab daripada amalan-amalan jahiliyyah dan seterusnya menjaga umat Islam daripada perkara-perkara yang merosakkan syakhsiyah (keperibadian) umat Islam seperti budaya berhibur (hedonism). Mereka benar-benar di‘hidup’kan dengan al-Quran dan as-Sunnah sehingga menjadi umat manusia terbaik sepanjang zaman.

Sebaliknya keadaan di tanah arab hari ini telah dirosakkan oleh kepimpinan monarki mutlak. Tidak hairanlah perkara sedemikian boleh berlaku kerana keluarga Saud sendiri bersekongkol dengan kuffar Amerika, British dan Zionis dalam menjayakan agenda politik mereka di Timur Tengah daripada zaman penghujung Khilafah Uthmaniyyah sehinggalah sekarang. Sebelum ini, mereka agak berhati-hati dalam tindakan mereka agar tidak terdedah terang-terangan kebatilan yang ingin dibuat. Namun kini, mereka tanpa segan silu malah bertambah radikal akan tindakan mereka dalam menyebarkan kerosakan di bumi Arab demi mencapai cita-cita kemajuan ekonomi mengikut model Kapitalisme.