Sorotan Mingguan (16 – 22 September 2019)
- Ada cara selesai isu doa bersama – Khalid
- Aktivis Indonesia kritik pemerintah tak serius tangani kebakaran hutan
- Rumah dirobohkan mengikut prosedur, kata ADUN Paya Jaras
- 373 ditahan terbabit protes tuntut peletakan jawatan Presiden Mesir
Ada cara selesai isu doa bersama – Khalid
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata terdapat cara lain yang boleh dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam isu doa bersama pelbagai agama selain mengeluarkan larangan kepada umat Islam. Jelasnya, larangan itu mungkin dikeluarkan Jakim kerana bimbang masyarakat keliru sehingga menganggap semua agama adalah sama sekiranya program tersebut dijalankan… Khalid bagaimanapun percaya kebimbangan itu boleh diatasi sekiranya ada penjelasan majlis doa bersama itu bukanlah bermakna semua agama adalah serupa. “Bagi saya sekiranya dijelaskan terlebih awal dalam majlis tersebut bahawa agama berbeza dan semua ikut agama masing-masing maka anggapan itu tidak akan muncul. [MalaysiaKini]
Persoalan berdoa bersama-sama dengan penganut agama lain (doa rentas agama) hakikatnya tidak pernah diajarkan oleh Islam dan merupakan suatu amalan ibadah yang telah diada-adakan (bid’ah). Dalam hal ini, jelas bahawa amalan ini tertolak dan tidak diiktiraf oleh Islam sebagai suatu ibadah. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
“Siapa saja yang melakukan suatu perbuatan yang tidak kami perintahkan, maka perbuatan tersebut tertolak” [HR Muslim].
Selain itu, berhimpun bersama-sama dengan penganut agama lain untuk beribadah (berdoa) telah meletakkan Islam seolah-olah sebaris atau setaraf dengan agama-agama lain. Hal ini sememangnya satu perbuatan yang tidak boleh diterima dan bercanggah dengan prinsip kaum muslimin kerana jelas bahawa hanya Islam sahaja agama yang benar dan diredhai oleh Allah SWT serta tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam. [Baca Sautun Nahdah Edisi 382, https://mykhilafah.com/sn382-doa-rentas-agama-bolehkah/]
Aktivis Indonesia kritik pemerintah tak serius tangani kebakaran hutan
Pemerintah Indonesia dikritik kerana dilihat tidak serius dalam menangani kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu di beberapa buah negara di Asia Tenggara. Menurut aktivis, bahkan ‘10 syarikat yang didapati bersalah dalam kebakaran hutan pada 2012 hingga 2015 juga belum dikenakan tindakan’. [Sumber: Sinar Harian]
Krisis jerebu ini sudah berulang kali terjadi semenjak berdekad-dekad lamanya. Pelbagai usaha telah dirancang dan dilaksanakan termasuklah di peringkat ASEAN, namun ternyata masih gagal membendung krisis ini daripada berulang saban tahun. Antara punca utama kegagalan ini adalah kerana faktor kelemahan dari sudut penguatkuasaan dalam menghalang pengusaha ladang-ladang, baik daripada peladang kecil mahupun syarikat perladangan besar, daripada melakukan amalan pembakaran terbuka (slash and burn). Segala pelan, strategi, dan permuafakatan yang dimeterai selama ini tiada gunanya seandainya hanya cantik di atas kertas namun pincang di sudut pelaksanaan dan penguatkuasaannya.
Tanpa penguatkuasaan yang dilakukan secara telus dan berintegriti, krisis ini akan terus berulang. Lebih banyak sumber terpaksa digunakan untuk mengawal kebakaran akibat kerakusan syarikat peladang yang ingin mengaut untung maksimum tanpa memikirkan kesan perbuatan mereka terhadap alam sekitar dan juga kesihatan awam.
Rumah dirobohkan mengikut prosedur, kata ADUN Paya Jaras
Operasi merobohkan rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras yang dibina di atas tanah rizab milik kerajaan Selangor dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan dengan penyerahan notis awal kepada penduduk terlibat [Sumber: Sinar Harian].
Meskipun tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dibuat mengikut prosedur yang telah ditetapkan, namun kebajikan penduduk yang terjejas akibat perobohan rumah tersebut tidak sepatutnya diketepikan. Penduduk yang terjejas dilaporkan terpaksa menginap di khemah sementara setelah rumah mereka didakwa dirobohkan secara mengejut. Pastinya mereka menghadapi kesukaran untuk mencari rumah baharu atau membayar deposit bagi menyewa rumah dalam masa yang singkat. Sewajarnya perkara-perkara sebegini telah diberikan pertimbangan terlebih dahulu sebelum operasi tersebut dilaksanakan bagi memastikan perpindahan tersebut berlaku secara baik dan tidak menindas penduduk yang terjejas.
Menurut Islam, kediaman merupakan sebahagian daripada hak dan keperluan asas yang wajib disediakan oleh pemerintah kepada warganya terutamanya bagi mereka yang tidak berkemampuan. Sekiranya terdapat keperluan untuk memindahkan penduduk di sesebuah kawasan demi kemaslahatan umum, maka pemerintah wajib menyediakan penempatan yang sesuai untuk didiami sebagai pampasan.
373 ditahan terbabit protes tuntut peletakan jawatan Presiden Mesir
Pihak berkuasa Mesir menahan sekurang-kurangnya 373 orang yang terbabit dalam protes menuntut Presiden Abdel Fattah el-Sisi meletakkan jawatan sejak Jumaat lalu [Sumber: Utusan Online].
Perkembangan terkini di Mesir berpunca daripada pendedahan mengenai penyelewengan oleh pihak tentera khususnya Presiden Mesir, as-Sisi. Sesungguhnya golongan elit dalam tentera Mesir telah sekian lama mengaut keuntungan melalui dominasi dalam politik dan ekonomi di bumi Kinanah tersebut semenjak dari zaman Nasser lagi. Perubahan wajah pemimpin semata-mata tidak akan membawa sebarang kesan yang bermakna seandainya sistem yang sama masih diamalkan, dan penggantinya pula datang daripada rejim yang sama.
Justeru, umat Islam tidak sewajarnya terus dipergunakan dan dimanipulasi demi memenuhi agenda pihak-pihak yang berkepentingan. Sebaliknya, kita dituntut untuk mengorak langkah ke arah kebangkitan hakiki dengan menuruti thariqah dakwah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. [Baca: Sautun Nahdhah Edisi 497: Hizbut Tahrir dan Metode Penegakan Khilafah; https://mykhilafah.com/sn497-hizbut-tahrir-dan-metode-penegakan-khilafah/]