SPRM: Harapkan pagar, pagar makan padi?

Belum pun reda pendedahan Bloomberg mengenai pemilikan saham Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki, muncul satu lagi pendedahan di mana Bloomberg mendakwa bahawa SPRM, termasuk pegawai atasan suruhanjaya itu, bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam beberapa tindakan untuk menyingkirkan pesaing dan mengambil alih syarikat secara paksa.
Walaupun Azam Baki dan SPRM menafikan sebarang salah laku, ketua SPRM itu memang mengakui bahawa dia memiliki saham sebagaimana yang dilaporkan Bloomberg namun telah menjual kesemuanya, dan tidak ada apa-apa peraturan yang telah dilanggarnya. Azam dilaporkan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg. Semoga dia berbuat demikian segera agar rakyat Malaysia dapat menilai apa yang sebenarnya berlaku.
Penafian melakukan apa-apa kesalahan merupakan trend biasa bagi ramai pembesar negara dan pegawai-pegawai yang terpalit dengan skandal atau salah laku. Kadang-kadang kes berakhir di mahkamah dan kadang-kadang ia hilang begitu sahaja. Jika berakhir di mahkamah sekali pun, berapa ramai pembesar yang telah lepas dan bebas. Semua ini telah lama menimbulkan persoalan dan penghakisan kepercayaan rakyat pada sistem keadilan negara.
Antara persoalan lain yang tidak kurang pentingnya ialah amanah – lebih-lebih lagi apabila sesebuah badan yang bertanggungjawab untuk membersihkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, tiba-tiba terpalit dengan jenayah yang sepatutnya mereka bersihkan. Inilah yang disebut dalam pepatah Melayu sebagai “harapkan pagar, pagar makan padi”.
Apabila benteng terakhir yang diamanahkan untuk membersihkan negara daripada semua najis itu, rupa-rupanya turut bergelumang dalam najis yang sama, maka tidak ada apa-apa lagi yang tinggal kecuali kehancuran.
Dalam Islam, jawatan, kedudukan dan tugas bukanlah satu keistimewaan (privilege) untuk meraih kekayaan atau populariti, sebaliknya merupakan amanah dan tanggungjawab yang akan dihisab di hadapan Allah (swt). Dengan kata lain, jawatan di dunia sama sekali tidak boleh dipandang remeh dan tidak boleh dibuat main-main, kerana ia bakal menjadi bebanan yang berat di akhirat. Pengkhianat amanah akan termasuk orang-orang yang zalim, dan taruhannya ialah syurga dan neraka. Firman Allah (swt):
إِنَّا عَرَضْنَا الاٌّمَانَةَ عَلَى السَّمَـوَتِ وَالاٌّرْضِ وَالْجِبَالِ فَأبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الإِنْسَـنُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُوماً جَهُولاً
“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh” [Al-Ahzab (33):72-73].
Bagi seorang Muslim yang telah sanggup memikul amanah di dunia ini, lebih-lebih lagi amanah kepimpinan, maka sesungguhnya dia telah meletakkan sebelah kakinya di neraka. Sabda Rasulullah (saw) kepada Abu Dzar:
يَا أَبَا ذَرّ إِنَّك ضَعِيف، وَإِنَّهَا أَمَانَة، وَإِنَّهَا يَوْم الْقِيَامَة خِزْي وَنَدَامَة إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا
“Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau adalah lemah. Sungguh jawatan itu adalah amanah dan sungguh ia menjadi kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat, kecuali orang yang mengambil amanah itu dengan benar dan menunaikan kewajipan di dalamnya” [HR Muslim].
Demikianlah betapa penting dan menakutkan sebuah amanah. Rasulullah (saw) telah pun memberikan amaran kepada kita semua perihal amanah ini bahawa apabila ia telah disia-siakan, maka saat kehancuran sebenarnya sudah hampir tiba. Sabda baginda (saw):
إِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا أُسْنِدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ
“Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah saat-saat kehancurannya”. Salah seorang bertanya: “Bagaimana bentuk menyia-nyiakan amanah itu, wahai Rasulullah?” Beliau bersabda: “Apabila urusan itu diserahkan (dipercayakan) kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat-saat kehancurannya” [HR Bukhari].
Akibat disia-siakan amanah ini, kita sedang menyaksikan bagaimana kezaliman berleluasa – pemerintah tidak menerapkan hukum Allah dan memerintah dengan hawa nafsu dan kuku besi, hak rakyat dicabuli, harta rakyat dirampas, orang-orang besar kebal hukum dan sering terlepas hukuman, penguatkuasaan boleh “dibeli”, pendedah kejahatan ditangkap tetapi penjahat dibiarkan, penceroboh tanah dibiarkan, tetapi tuan tanah ditangkap, dan bermacam kezaliman lagi yang kita sedang saksikan di depan mata. Semuanya berlaku kerana orang yang diberi amanah telah tidak menunaikan amanahnya. Negara telah hilang keberkatannya kerana dipimpin oleh mereka yang khianat.
Selain akibat pemegang jawatan yang khianat, satu lagi penyebab utama kerosakan ialah akibat sistem yang diterapkan. Sistem demokrasi-sekular itu sendiri penuh dengan kerosakan, yang menjadikan siapa sahaja pemimpin dan pelaksana dalam sistem ini secara automatik ini turut rosak. Ini kerana, sistem ini memisahkan agama daripada kehidupan (sekular) yang bermaksud agama tidak memainkan peranan dalam pemerintahan dan pentadbiran negara. Jadi, kita boleh bayangkan bagaimana rosaknya sebuah pemerintahan yang agama tidak boleh campur tangan di dalamnya!
Krisis integriti SPRM ini adalah bukti nyata bahawa sistem sedia ada telah gagal memelihara amanah. Sistem demokrasi pada hari ini sebenarnya tidak lebih daripada sebuah sistem yang meletakkan musang untuk menjaga ayam.
Atas dasar itu, untuk membanteras salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah, umat Islam sudah tidak boleh berharap pada sistem demokrasi. Umat Islam juga tidak boleh hanya mengharapkan pertukaran individu, penambahbaikan prosedur, atau retorik anti-rasuah ahli-ahli politik, tetapi wajib menukar sistem pemerintahan dan pentadbiran negara secara keseluruhan – daripada sistem sekular kepada sistem Islam secara kaffah di bawah Khilafah.
Dalam sistem Khilafah, penjagaan amanah didorong oleh ketakwaan individu dan dikawal ketat Sang Khalifah itu sendiri, sebagaimana ketatnya Umar al-Khattab mengawal keseluruhan pegawai negara. Tambahan lagi terdapat Mahkamah Madzalim – sebuah mahkamah khas yang akan memantau, membicarakan dan memecat siapa sahaja kakitangan negara, termasuk Khalifah sendiri, jika terbukti melakukan kesalahan. Qadhi Madzalim tidak perlu menunggu apa-apa aduan salah laku untuk mengambil tindakan, kerana ia sendiri merupakan badan pengawas yang boleh memecat kakitangan negara serta-merta apabila wujudnya kesalahan.