‘Suara Rakyat Suara Keramat’ – Retorika Lagi
TAWAU 13 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemimpin adil perlu menjaga kepentingan semua rakyat dan bukannya hanya menjaga kumpulan penyokong atau ahli parti sahaja. Beliau berkata, hakikat itu perlu menjadi pegangan kerana dalam sistem demokrasi berparlimen, yang menjadi penentu jatuh bangun pemimpin adalah rakyat.
“Saya menekankan supaya rakyat didahulukan kerana dalam sistem demokrasi berparlimen, suara rakyat adalah suara keramat.
“Sebagai Presiden UMNO, saya boleh mempertahankan jawatan kalau saya menjaga 2,500 perwakilan tetapi saya tidak mahu semata-mata menjaga 2,500 perwakilan UMNO.
“Sebaliknya, saya mahu menjaga 27 juta rakyat Malaysia dan saya harap ini menjadi sikap pemimpin kita di semua peringkat,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Al-Kauthar di sini hari ini.
Sumber : Utusan Online, 14/09/09
Ulasan:
Hakikat ini masih jauh dari perlaksanaan dalam kehidupan. Ianya hanya releven tatkala musim pilihanraya sahaja, tidak secara keseluruhan. Ketika rakyat memilih para wakil mereka, ketika itulah suara rakyat dikatakan sebagai suara keramat. Sedangkan apabila wakil rakyat telah terlantik, maka kekeramatan suara rakyat sirna. Konsep suara keramat hanya sementera, hanya helah demokrasi sahaja.
Wakil rakyat yang dipilih melalui kutipan suara rakyat pula membentuk jentera negara termasuk pucuk pimpinannya. Dan dari situlah, suara rakyat tidak lagi keramat kerana segala keputusan negara dilaksana tanpa peduli suara rakyat. Misalnya dalam meletakkan dasar negara, tak semua dasar dipersetujui oleh rakyat bahkan hanya beberapa orang atau sekumpulan sahaja yang biasanya terdiri dari para pemimpin dan kumpulannya. Harga komoditi yang terkawal juga ditentukan oleh para pemimpin tetapi bukan rakyat.
Prinsip dan konsep suara rakyat sebagai suara keramat hanyalah suatu retorika dan bagi Islam ianya merupakan suatu kemaksiatan besar di sisi Allah SWT. Suara rakyat bukan penentu bentuk dan corak kehidupan mereka secara keseluruhan. Ada aspek yang dibenarkan dan ada pula aspek kehidupan yang dilarang kita menggunakan suara rakyat. Misalnya dalam hal peraturan dan perundangan, Islam dengan tegas mendaulatkan hanya hukum Allah yang qat’i atau hasil ijtihad para mujtahid melalui nas-nas syarak sahaja, tidak dari selainnya. Kenyataan ini sesuai dengan firman Allah SWT,
“..hanya Allah jualah penetap hukum..” [TMQ Al-An’am (6):57]
Sedangkan dalam aspek madaniyyah yakni perkara yang membabitkan sains, teknologi, perkara teknikal dan seumpamanya suara rakyat boleh (bukan semestinya) digunapakai. Buktinya adalah melalui beberapa peristiwa di zaman Rasulullah SAW di mana beliau meminta buah fikiran dari para sahabat mengenai strategi peperangan dan kebenaran beliau terhadap usaha mengacukkan pohon kurma.
Prinsip suara rakyat suara keramat bukan berasal dari Islam, bahkan ia lahir dari idea sekularisme yang menafikan hak Allah dalam kehidupan umat manusia. Sekularisme membuka ruang dan peluang seluas-luasnya kepada manusia untuk menentukan bentuk dan corak kehidupan mereka biarpun ia bertentangan dengan Islam. Politik mesti diamalkan di luar ruang lingkup agama kerana jika tidak, maka sirnalah kemaslahatan berpolitik yang sentiasa didambakan oleh puak sekularis durjana ini.